19 November 2010

Mabuhay Pilipinas Bhgn. VI - Sampai Semula ke Manila

1 April 2009

Setelah lebih kurang sejam perjalanan, aku sampai semula ke Manila. Pabila sampai saja, kulihat namaku sudah tertera di papan tanda nama. Kudapati Heng tiada kali ini tetapi kawannya yang menungguku sambil membawa sepanduk tersebut yang tertera namaku. Aku terus dibawa ke hotel penginapanku di sini iaitu di Hotel Mandarin Oriental Manila yang terletak di Daerah Perniagaan Pusat (CBD) di Makati. Semasa perjalanan, inginku mengambil semula gambar tempat membuang air kecil di tepi jalan yang kusebutkan dulu (sungguh tidak senonoh!), namun masa pula tidak tepat. Hendak kuambil saja, pasti ada kenderaan yang lalu di depan menghalang pemandanganku.

Hari ini, tidak banyak aktiviti yang hendak dilakukan. Di sebelah petang, aku hanya berbincang dengan Wack berkenaan pasal kerja di hotel saja. Wack berasal dari sebuah tempat di pulau Luzon (kulupa namanya). Katanya bahasa ibundanya banyak persamaan dengan bahasa Melayu. Kalau dia membeli DVD cetak rompak (made in Malaysia lagi!), dia kadang-kadang boleh faham dengan sarikata Melayu yang walaupun tunggang-langgang dikarang oleh orang yang tidak mahir nahunya (atau juga diterjemah secara automatik dengan perisian penterjemah yang tidak pernah betul). Contohnya perkataan "engkau".

Sambil berbincang, kami minum petang. Banyak pula yang hendak diperkatakan. Maklum saja perbincangan muka ke muka pastinya lebih berkesan daripada perbincangan di telefon. Sedar tidak sedar, hari sudahpun mulai petang. Wack beransur pulang setelah kami bersetuju untuk memulakan lawatan ke kilang esok hari sahaja.

From Philippines Trip - Manila
Hotel Mandarin Oriental di Bandaraya Makati, Metro Manila sebagai tempat penginapan.


From Philippines Trip - Manila
Pemandangan ruang kamar Mandarin Oriental Manila.


From Philippines Trip - Manila
Pelbagai peralatan termasuk mesin fax/fotostat disediakan di Mandarin Oriental Manila.


Malam ini, aku mahu keluar makan dan membeli sedikit ole-ole dari Manila. Seperti yang telah janjikan sebelumnya, Heng datang tepat pada waktunya iaitu jam 8 malam untuk menjemputku. Seperti yang telah diperolehi daripada carian Internet, ada satu restoran halal berkonsepkan makanan India Utara di Makati yang kubercadang untuk ke sana malam ini. Daripada komen di Internet, ada juga menu makanan Malaysia di sana. Mungkin orang Malaysia selalu berkunjung ke situ. Setelah diberitahu kepada Heng, dia mengangguk tanda kenal tempat itu dan pernah ke situ. Tidak lama memandu, akhirnya kami sampai ke restoran yang diberi nama Kashmir itu.

Aku disapa oleh pekerja di situ yang fasih berbahasa Melayu. Eh, tahu pula dia yang aku adalah orang Malaysia :). Sebelum ini, di merata-rata tempat orang bercakap Tagalog denganku. Agaknya terlalu ramai para pelanggan yang terdiri daripada orang Malaysia ke sini. Aku memilih sebuah meja di tepi tingkap yang terletak di tengah-tengah restoran. Dari sini, dapat melihat seluruh pemandangan restoran dan merupakan sudut yang sesuai untuk mengambil gambar.

Setelah duduk, pelayan restoran itu menunjukkanku masakan Melayu yang tertera pada menunya. Aku pula menolak dengan baik dan kataku, aku mahu mencuba makanan yang lain, yang bukan Melayu dan menyuruhnya menyarankan beberapa manu terbaik di restoran itu. Atas saranannya, aku hanya memesan Nasi Kashmir dan Kuah Dal berserta air kerana hidangannya agak besar untuk seorang makan.

Sedap juga makanan di sini. Ada rasa dan tidak terlalu masin atau masam seperti yang didapati di sesetengah kedai Mamak. Pada malam ini, tidak banyak pelanggan yang datang. Banyak meja di selilingku yang dialaskan dengan kain putih yang masih kosong menanti para pelanggan. Mejanya kecil-kecil sesuai untuk empat orang makan. Restoran ini pula bertatariaskan ala Parsi di mana barangan perabot berasaskan ciri tersebut. Lampunya pula malap memberikan suasana yang romantis.

Setelah habis makan, aku meminta bil. Seperti dijangka setelah membaca pendapat di Internet sebelumnya, harganya sememangnya mahal! Makanan yang kupesan tadi berharga lebih kurang RM80! Itu baru seorang makan; kalau ramai, mungkin pergi ke tempat lain sahaja. Sememangnya begitu kalau mencari makanan halal di tempat-tempat yang sukar mendapatkan makanan halal. Teringatku semasa makan di Four Seasons Restaurant di Ho Chi Minh tempohari dan makan di Restoran Mak Yah di Bangkok dulu yang mana harganya melambung tinggi menyaingi harga makanan di hotel sungguhpun suasana makan tidaklah sehebat di hotel.

From Philippines Trip - Manila
Pemandangan di dalam Restoran Kashmir, Manila.


From Philippines Trip - Manila
Nasi Kashmir.


From Philippines Trip - Manila
Kuah Dal.


Selepas makan, aku bertanyakan pada Heng tempat yang sesuai untuk membeli-belah. Heng membawaku ke pusat membeli-belah SM yang terletak berdekatan. Aku mahu mencari beg untuk mama. Untuk barang-barang buatan Filipina, harganya memang murah kerana kadar tukaran wang di mana nilai Peso lebih kurang tiga per empat nilai Ringgit. Bagi barangan import pula, harganya memang mahal. Menurut Victor, dia bahkan berbelanja di KL kerana katanya harganya lebih murah untuk barangan berjenama.

Setelah lama mencari, akhirnya aku bertemu satu beg pakaian yang sesuai untuk mama bersalin nanti. Setelah lama memilih akhirnya aku berkenan dengan satu beg buatan tempatan yang harganya agak murah. Sambil itu, aku mencari sedikit barang-barang makanan buat alas perut di sebuah pasaraya yang terletak di lantai bawah kompleks membeli-belah tersebut. Aku terperasan yang ada banyak biskut buatan Malaysia dijual di sini. Namun harganya memang mahal daripada yang di Malaysia.

Setelah lama berjalan-jalan, aku masih belum bertemu dengan magnet peti sejuk untuk dijadikan koleksi. Dengan putus asa, aku keluar saja daripada kompleks membeli-belah tersebut dan mancari Heng. Kami pulang selepas itu.

From Philippines Trip - Manila
Pasaraya SM di Manila.


...bersambung...

Entri terdahulu:
Mabuhay Pilipinas Bhgn. I - Permulaan Perjalanan
Mabuhay Pilipinas Bhgn. II - Sampai di Manila
Mabuhay Pilipinas Bhgn. III - Perjalanan dari Manila ke Cebu
Mabuhay Pilipinas Bhgn. IV - Di Cebu
Mabuhay Pilipinas Bhgn. V - Kembali ke Manila

06 November 2010

Kerdilnya Dunia Ini

Musibah tidak habis-habis berlaku di dunia yang fana ini. Peringatan dari yang Maha Kuasa datang, bukan sahaja kepada mangsa yang di tempat kejadian, malah buat sang manusia lain yang duduk di tempat yang selesa, yang jauh dari tempat kejadian. Semua perlu mengambil iktibar, malah buat yang menulis entri ini juga.

Baru-baru ini, tsunami datang lagi. Selepas tsunami, terjadilah letusan gunung berapi, atau lebih spesifik lagi, Gunung Merapi di Jawa Tengah. Sungguhpun jarak Pulau Mentawai di Barat Pulau Sumatera dan wilayah Jawa Tengah jauh dan terletak di pulau besar berlainan, bagi alam, jaraknya terlalu dekat dan saling terkait.

Takziah buat para mangsa yang terkorban dan cedera. Dalam kejadian letusan Gunung Merapi yang terbaru kali ini, berita-berita menyiarkan tewasnya juru kunci Gunung Merapi iaitu Mbah Marijan. Allahyarham Mbah merupakan seorang personaliti disegani di sana kerana dilantik sebagai penjaga Gunung Merapi oleh Sultan Hamengkubuwono ke-X. Allahyarham Mbah meninggal di dalam keadaan bersujud sambil diselubungi debu dari wap panas atau disebut warga setempat sebagai wedus gembel.

Diberitakan saat untuk dievakuasi, Arwah Mbah mahu solat Isyak dahulu. Arwah Mbah ditemui terkorban bersama belasan yang lain di rumahnya termasuk seorang wartawan VIVAnews yang turut menantikan Arwah Mbah untuk turun.

Al- Fatihah.

Pautan:
Entri terdahulu: Takziah Buat Warga Jogja
Berita kematian Allahyarham Mbah Marijan oleh VIVAnews
Gambar sekitar tsunami di Pulau Mentawai dan letusan Gunung Merapi oleh Boston.com

Video evakuasi mangsa-mangsa korban di rumah Allahyarham Mbah Marijan:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin