10 Julai 2004

Lawatan Ke Indonesia - Bahagian I

Tanggal 2 Julai lalu, terbanglah kami berempat ke Jakarta. Gembira tak terkata kerana inilah kali pertama aku ke Indonesia. Namun ada juga kebimbanganku. Sebelum ini, aku telah dimomokkan dengan pelbagai cerita kurang enak di Jakarta dan ini menimbulkan rasa kurang senang di hati. Tambahan pula perlakuan jelek segelintir para pekerja Indonesia di sini juga bisa menggusarkan jiwa.

Tepat 2.30 petang waktu setempat, kami sampai. Kelihatan di sebelum pemeriksaan imigresen, Najib sedia menunggu. Dia terbang lebih awal dari Singapura. Dia tidak bersama kami dari Senai kerana katanya dia mendapat tiket percuma Penerbangan Singapura.

Image hosting by Photobucket Setelah menunggu sebentar, muncul dua orang anak buah Dr. Ikhwan membawa sepanduk kecil tertera nama Nizam. Berjabat tangan dan kami terus ke musolla untuk solat jamak. Usai solat, kata Eri jalan sudah mulai 'macet' kerana orang ramai sudah mula berlibur menjelang Pemilihan Presiden Isnin nanti. Kami tertanya apa 'macet' tu? Katanya 'macet' itu kesesakan di jalan raya. Ooo... kami berempat mengangguk faham dan dapatlah kami perkataan Indonesia pertama. Kalau di Malaysia, 'macet' itu dipanggil 'jem'.

Setelah keluar dari Soekarno Hatta, memang betul telahan Eri. Kami terperangkap di dalam kesesakan lebih dua jam untuk perjalanan yang sepatutnya mengambil masa setengah jam sahaja. Kenderaan berasak-asak untuk ke depan. Jarak antara kenderaan hanyalah satu kaki sahaja! Ini sudah kalah Malaysia dengan 'traffic jam'nya di KL, JB ataupun Pulau Pinang. Sambil terperangkap di dalam macet itu, aku terlihat juga beberapa setinggan yang berada di bawah jambatan-jambatan dan 'flyover-flyover'. Kasihan juga melihat orang-orang di situ yang tak mampu untuk tinggal di rumah. Betullah kata orang Jakarta itu kota setinggan.

Deli pulak tak habis-habis dengan dakyah 'Islam Hadhari'nya. Apabila Eri menyanjung Malaysia, makin naik tocanglah dia. Dikatanya kami selainnya adalah pembangkang yang tak pernah bersyukur dengan kemajuan Malaysia... Ei... kami bukan 'complacent', kami mahukan yang lebih baik.

Kurang lebih pukul 8 malam waktu tempatan, kami sampai di rumah Dr. Kelihatan ramai orang berada di rumah itu. Seperti mereka ternanti-nanti kehadiran kami dan kami diberitahu hujung minggu adalah waktu berkumpul seisi keluarga. Sewaktu aku melangkah masuk ke rumah, aku rasa agak kurang selesa kerana terfikirkan adat budaya di sini yang mungkin berlainan dari di Malaysia. Bahasa juga mungkin menjadi masalah jika mereka menggunakan bahasa daerah.

Kurang lebih 10 minit pertama, sambil bersalam-salaman, aku hanya diam cuba menyesuaikan diri. Selepas bertukar-tukar soalan dan jawapan, aku akhirnya dapat menyesuaikan diri dan yang aku temui rupa-rupanya keluarga mereka berasal dari Padang, Sumatera dan bangsanya pun sama dengan aku, Melayu. Nah, sekarang kita sama, yang berbeza hanyalah kami dipisahkan oleh dua buah negara dan cuma sedikit kelainan ialah bahasa pertuturan dek kerana pemisahan itu.

Sambil minum teh, mereka mengajak kami makan, apa lagi kalau bukan masakan Padang. Mereka bertanya masakan pedas boleh ke? Aku memang tiada masalah kerana masakan Padang adalah kegemaran aku. Kalau aku ke Larkin, mesti menjamah masakan Padang di sana. Sambil makan, kami berkenalan dengan Eka, seorang Puja Kesuma (rujuk glosari). Masakannya enak sekali ditambah pula hidangan nasi Batak. Nasi ini kelihatan lemak dan agak melekat, tapi sedap.

Selesai makan, kami berlima berbincang mengenai lawatan ke Jogjakarta. Kata Ibu, perjalanan ke sana memakan masa dua belas jam dengan Kijang. Itu belum ditambah lagi dengan macet disebabkan ramai yang berlibur mudik ke kampung masing-masing. Ibu menasihati supaya membatalkan rancangan asal itu kerana kesuntukan masa dan mungkin juga kami capet untuk meneruskan perjalanan nanti. Nizam masih berkeras untuk ke sana kerana itu memang hajatnya bila ke sini. Katanya lawatan ke Borubudur, Prambanan dan Keraton sudah cukup untuk dikatakan sebagai lawatan ke seluruh Pulau Jawa.

Aku memang bersetuju dengan Nizam. Kalau nak pergi berbelanja di Jakarta dan Bandung, di mana-mana boleh jumpa mal. Kat tempat lain tak ada Borubudur, Prambanan ataupun Keraton. Tapi aku mengambil langkah tunggu dan lihat. Mat Ju dan Deli pula tak setuju langsung untuk ke Jogja. Najib hanya diam.

Akhirnya setelah difikirkan masak-masak, kami bersetuju untuk membatalkan lawatan ke Jogja. Lain kali sajalah. Jadinya malam itu putar-putar Jakarta, esok pagi ke Bandung, tidur semalaman di sana, lusa ke Jakarta/Tanah Abang, tulat pergi ke pemilihan Capres dan Cawapres, jadi pemantau!

Image hosting by Photobucket Walaupun jam sudah 10 malam WIB, kami berlima dengan Eri dan Reza keluar ke Jakarta. Aku dah mengantuk bangat ni. Masuk mobil aku terus tidur. Sedar-sedar sudah sampai Ancol. Nongkrong di tepi pantai, yang lain ke kamar kecil. Sesudah mereka pulang dari kamar kecil, aku lihat Deli minum teh botol Sosro. Inilah yang aku cari-cari di Indonesia! Aku sering terlihat pariwara-pariwara teh botol Sosro di SCTV, RCTI, TPI dll. 'Apapun makannya, minumnya pasti Sosro'. Lalu aku mencadangkan kami pergi minum saja, menghirup Sosro. Sisipan Sosro pertama aku membuatkan aku terfikir bukan sedap sangat air teh ni! Nampak macam 'best' saja di tv! Tapi apa-apapun, sekurang-kurangnya mengantuk aku hilang!

Image hosting by Photobucket Sesudah itu, kami ke Hardrock Cafe dan Planet Hollywood. Najib mahu melengkapkan koleksi cenderahati kedua-dua tempat itu dari seluruh dunia. Sampai di sana, kami tak masuk kecuali Najib dengan Deli. Ini kerana Eri dan Reza hanya bersandal dan berseluar pendek dan mungkin tak dibenarkan masuk. Bagus juga, boleh aku sambung tidur di mobil! Selepas itu kami ke Monumen Nasional (Monas) dan Masjid Istiqlal. Aku ketika itu separuh sedar. Mengantuk sangat.

Pukul 3.00 pagi WIB, kami sampai di rumah Eri. Kelihatan ibunya membuka pintu. Kami duduk sebentar, bapanya pula keluar bersalaman. Aku rasa bersalah kerana mengganggu di waktu-waktu begini. Tapi mereka OK saja.

Sila klik di sini untuk melihat koleksi gambar-gambar di Indonesia.


Glosari:

Macet - kesesakan trafik
Libur - cuti
Puja Kesuma - PUtra JAwa KElahiran SUMAtra. Kalau anak orang Jawa kat Malaysia tu, janganlah malu-malu memanggil diri anda - Puja Kesema (PUtera JAwa KElahiran SEmenanjung MAlaysia)...
Kijang - jenama mobil. Kalau di Malaysia dipanggil Toyota Anser.
Mobil - kereta
Mudik - balik kampung
Capet - penat
Mal - kompleks perniagaan (mall)
Keraton - istana (Jw.)
Capres - Calon Presiden
Cawapres - Calon Wakil Presiden
WIB - Waktu Indonesia Barat (We-i-be)
Bangat - sangat (informal)
Nongkrong - lepak, duduk (Jw.)
Kamar kecil - tandas, juga dipanggil toilet di sini.
Pariwara - iklan (formal)

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...