30 Julai 2004

Lawatan Ke Indonesia - Bahagian II

Pukul 4.30 pagi Nizam dah kejut aku untuk solat Subuh. Grrr... memang susah untuk bangkit bila baru tidur satu jam setengah! Lepas sembahyang, aku terus sambung tidur. Sedar-sedar sudah pukul 7.30 pagi (WIB lambat satu jam dari Malaysia). Itupun setelah terdengar Angita, adik perempuan Eri, merengek mahu bermain sepeda. Terdengar juga suara Mat Ju cuba melayan budak kecil itu. Dek kerana sedikit keterbatasan bahasa, Mat Ju fikir sepeda itu adalah permainan Lego. Jadinya, masing-masing tidak memahami antara satu sama lain.

Selepas bersarapan, kami bertolak ke Bandung dengan Kijang (sebenarnya Kijang ini kalau di Malaysia dipanggil Prado). Kami melalui satu lebuhraya dan di awal perjalanan, trafik sungguh lancar. Di sini plaza tol dipanggil gerbang tol. Sambil menyusuri lebuhraya itu, aku terlihat banyak tempat bermula dengan 'Ci', contohnya Cirebon dan Ciliwung. Menurut Eri, 'Ci' itu dalam bahasa Sunda adalah sungai.

Selepas satu jam perjalanan, jalan mulai macet. Memang betul telahan awal mereka malam tadi. Ramai orang mengambil peluang berlibur semasa Pemilu Presiden ini. Sebenarnya, macet ini merupakan rahmat bagi sang pedagang asongan. Mereka adalah penjaja-penjaja kecil yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman kepada pemandu dan penumpang yang terperangkap dalam macet itu. Paling popular adalah air mineral dan kuih-muih. Namun yang menarik perhatian aku adalah seorang pria yang menjual filem kamera. Bagus juga idea ini, terutamanya di waktu-waktu libur begini!

Image hosting by Photobucket Satu demi satu pedagang asongan datang ke mobil aku naiki menawarkan jualan mereka. Mereka berjalan dari satu mobil ke mobil yang lain dengan berlawan arus lalu lintas supaya mendapat pemandu/pelanggan baru. Apabila aku memerhatikan gelagat si pedagang-pedagang asongan itu, aku terfikir betapa susahnya orang-orang di sini mencari rezeki. Mereka sanggup berpanas berhujan demi sesuap nasi.

Walaupun ada yang ikhlas mencari rezeki halal, namun ada juga yang suka 'spoil'. Di satu sudut di tepi jalan, kelihatan ramai orang memanggil-manggil pemandu supaya mengikuti arah yang mereka tunjukkan. Kata Eri, itu adalah orang-orang yang menawarkan 'khidmat tunjuk jalan pintas'. Dengan membayar sejumlah uang, pemandu diberikan arah jalan pintas itu.

Perjalanan kami terhenti sebentar kerana enjin panas. Apabila diperiksa, air sudah kering. Nasib baik ada dibawa bekal air tadi. Masalah kami selesai setelah air diisi ke radiator. Perjalan diteruskan.

Aku masih lagi asyik melihat beberapa mobil yang mengikuti jalan pintas tadi. Jalan pintasnya tak berapa jauh dari lebuhraya, masih boleh dilihat dari mobilku. Setelah 'tol' pertama tadi, ada lagi satu 'tol' baru yang lebih hebat! Siap dengan halangan sepertimana yang kita lihat di pintu-pintu pagar sekolah atau kilang! Cuma ianya diperbuat daripada buluh dan digantung batu besar sebagai pemberat. Setelah itu, kami ternampak beberapa lagi 'tol' seperti itu. Bayangkan, jika kami melewati laluan itu tadi, berapa ribu rupiah habis dicekup si pemalas lagi kreatif itu.

Nun di depan sana, aku melihat sekumpulan orang yang nampak alim. Berkain pelikat, berbaju Melayu dan bersongkok, mereka meminta derma. Katanya untuk amal jariah seperti pembinaan sekolah dan selainnya. Mereka menghulurkan jaring (seperti jaring menangguk ikan) meminta ihsan belas. Aku sangsi kerana orang meminta derma biasanya di masjid atau sekolah, tidak di jalanan. Eri pun kata begitu, ini adalah satu manipulasi. Mmm... macam macam...

Setelah habis melalui macet itu, Eri memberhentikan Kijang untuk memeriksa air sekali lagi. Sebagai langkah keselamatan, kami mengisi air lagi supaya perjalanan kami tak tertangguh lagi.

Entah bila aku tertidur aku tak tahu, sedar-sedar dah sampai di Puncak. Puncak adalah sebuah tempat peranginan tinggi sebelum sampai ke Bandung. Tempatnya sama seperti Cameron Highlands di Malaysia. Udaranya nyaman dan teh juga ditanam di sini. Jalannya berlengkang-lengkuk mengelilingi bukit dan di tepinya curam-curam dalam.

Image hosting by Photobucket Sampai di puncak Puncak, kami singgah di Masjid Atta'awun untuk solat jamak. Semasa kami menaiki anak tangga ke pintu utama masjid itu, ramai penjual menawarkan barangan mereka. Malah ada yang ingin berjual dalam Ringgit setelah mendengar loghat kami. Walaupun bahasa kami asasnya sama, mereka terus mendapat tahu kami adalah orang Malaysia, walaupun cuba berbicara Indonesia. Keadaannya juga sama di Malaysia, kita boleh mengagak orang Indonesia yang cuba berbahasa Malaysia. Namun kami menolak dengan baik tawaran mereka kerana kami tahu harga dalam Ringgit itu lebih tinggi dari harga dalam Rupiah.

Image hosting by Photobucket Masjid Atta'awun sungguh unik! Hendak masuk ke masjid harus melalui satu aliran anak sungai supaya kaki para pengunjung dibasuh terlebih dahulu. Airnya sangat dingin tapi boleh menghilangkan kantuk aku. Bukan itu sahaja keunikannya, malah ada disediakan teh gratis! Tetapi bagi yang mahu infaq, digalakkan menderma. Sebut fasal infaq, servis menjaga kasut juga berdasarkan ikut berapa yang kita sudi sumbang.

Setelah sembahyang, kami meneruskan perjalanan. Aku lihat banyak villa terdapat di sini untuk khidmat sewaan. Kalau di Malaysia, villa itu adalah motel ataupun rumah tumpangan.

Sampai di satu pekan kecil yang aku dah lupa namanya, kami singgah untuk makan tengah hari di sebuah restoran masakan Padang. Lauk-pauk amat banyak dan setiap lauk-pauk itu diasingkan ke dalam piring-piring kecil. Bayaran adalah berdasarkan setiap piring yang diambil. Konsep ini sebenarnya sudah ada di Malaysia walaupun kebanyakannya bersifat layan diri. Aku makan banyak sekali kerana lauk-pauknya sedap. Setelah makan, perjalanan kami ke Bandung diteruskan.

Bersambung...


Glosari:

Sepeda - basikal; sepeda motor - motosikal
Pria - lelaki
Uang - wang
Gratis - percuma

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...