02 September 2004

Puteri Gunung Ledang



Melihat pelbagai promosi dan pariwara yang saban hari ditonjolkan di media massa dan elektronik, aku bagaikan tak sabar-sabar untuk menonton filem ini. Ditambah pula desakan seorang teman, aku ke pawagam untuk menonton filem ini. Sebenarnya, aku tak pernah menonton filem Melayu di wayang sejak dari zaman sekolah menengah dulu lagi. Aku hanya tengok VCD saja.

Aku memang berminat dengan cerita-cerita yang mengisahkan sejarah negara di masa lampau tapi aku rasa cerita-cerita yang ada dikeluarkan dua-tiga tahun kebelakangan ini macam kurang ada 'feel' dan impaknya. Hanya sutradara-sutradaranya yang heboh memperkatakan kebaikan filem-filem mereka, padahal aku lihat hasil mereka tak seberapa.

Setelah menonton filem ini, aku rasakan industri filem kita sudah keluar dari sempadan bulatan kecil yang mereka agung-agungkan selama ini. Dengan terhasilnya filem Puteri Gunung Ledang ini, aku melihat satu bulatan baru dilakar dengan radiusnya yang lebih besar.

Filem ini seolah-olah membuka mata kita bahawa kita ada kekuatan tersendiri yang kita lupakan. Selama ini kita hanya berkiblatkan kekuatan filem-filem Hollywood. Kita ada kekuatan seperti kata-kata yang cantik berbunga-bunga, tajam dan mendalam maknanya. Orang-orang dulu juga mempunyai kekuatan hubungan batin dan berkebolehan menggunakan indera keenam.

Sebelum menonton filem ini, sedikit homework harus dilakukan. Kita yang memang arif dengan Kesultanan Melayu Melaka harus tahu sejarah Kerajaan Majapahit dan Kesultanan Demak.

Kerajaan Majapahit adalah sebuah kerajaan Jawa yang menganut agama Hindu. Terletak di Jawa Tengah, puncak kegemilangan mereka adalah di zaman pemerintahan Raja Hayam Wuruk dengan patih Gajah Mada yang terkenal dengan Sumpah Palapa. Plot cerita ini mengisahkan zaman kejatuhan Majapahit disebabkan genggaman semakin longgar di wilayah-wilayah pesisir di samping perluasan pengaruh Islam oleh Kesultanan Demak.

Kesultanan Demak pula juga merupakan suatu empayar Islam yang berpusat di Pulau Jawa. Wali Songo (sembilan) dikaitkan dengan kesultanan ini. Demaklah yang bertanggungjawab memberikan nafas Islam di Jawa dengan menolak agama asal penduduk Jawa, Hindu ke tepi. Di Bali, penganut Hindu yang ada hingga ke hari ini merupakan kalangan yang tak mampu dijangkau Demak.

Cerita ini berlangsung amat perlahan kerana ia memfokuskan ekspresi para pelakon dan suasana sekeliling yang sarat dengan pelbagai mesej tersirat disamping dialog-dialog yang ada. Penonton harus faham dengan keadaan ini dan fikiran perlu diset dengan betul sebelum menonton. Satu babak terlepas akan mencacatkan jalan cerita ini.

Sebagaimana yang kita maklum, orang Melayu zaman dahulu di Semenanjung dan Sumatera kaya dengan bahasa yang cantik dan indah. Dialog-dialog Hang Tuah, Bendahara (Tun Perak?), Sultan Melaka dan Tun Teja penuh dengan bunga-bunga puitis. Hal ini berbeza sekali dengan budaya Jawa yang banyak menggunakan bahasa isyarat. Di Jawa, ada kehidupan yang ada hubungan batin, dipanggil ilmu Kanuragan, menggunakan deria keenam. Satu babak 'pelik' yang melibatkan Gusti Adipati Handaya Ningrat (lakonan Alex Komang), Patih (Slamet Rahadjo) dan Mbok (Christine Hakim) menggambarkan perlakuan bahasa isyarat ini. Patih hanya mendengus tanda memarahi Mbok manakala Gusti Adipati hanya menggunakan memek muka.

Di samping kekuatan fizikal para pahlawan dahulu, kesaktian mereka yang selalu kita baca dalam hikayat-hikayat lama juga dipaparkan. Filem ini bijak menzahirkan elemen-elemen halus ini dan mengaitkannya dengan dunia nyata.

Filem ini juga mencatat sejarah sebagai filem paling banyak menggunakan tenik CGI dan super impose. Sebagai contoh, mereka bijak menggabungkan lokasi istana Sultan Melaka dengan latar belakang pantai yang diambil di Pulau Perhentian. Di pantai itu pula ditambah pelbagai perahu, bot dan tongkang dari seluruh Asia bagi menggambarkan kesibukan pelabuhan entreport Melaka.

Antara babak menarik yang aku suka ialah babak Gusti Putri Retno Dumillah lakonan Tiara Jacquelina menghalang rombongan meminang Sultan Melaka. Teknik CGI begitu berkesan dan paling menarik bagiku adalah adegan Gusti Putri bertukar menjadi Nenek Kebayan lakonan Ruminah Sidik.

Antara lain adalah babak percakapan batin antara Gusti Putri dengan Gusti Adipati. Gusti Adipati yang telah sampai ke Melaka bertutur secara batin dengan Gusti Putri yang ada di puncak Gunung Ledang. Bagi menzahirkan perbualan mereka, penonton ditunjukkan seolah-olah Gusti Putri ada bersama Gusti Adipati pada masa itu. Mereka hanya menggunakan ekspresi muka, tanpa menggunakan mulut untuk berbicara. Penonton pula diperdengarkan dialog bergema mereka di latar. Satu lakonan cukup mantap keduanya-duanya.

Watak yang kulihat memberikan impak besar terhadap filem ini adalah lakonan mantap M Nasir sebagai Hang Tuah dan Datuk Rahim Razali sebagai Bendahara. Mereka diperlihatkan sebagai bijak dan berfikiran amat tajam. Antaranya adalah watak Tuah yang tahu Nenek Kebayan adalah sebenarnya jelmaan Gusti Putri sedang rombongan lain tak mengetahuinya. Cara pertuturan natural Datuk Rahim Razali pula amat bersesuaian dengan watak Bendahara itu.

Tiga pelakon undangan yang gah dari Indonesia juga tidak harus diketepikan. Lakonan mereka cukup mantap. Adegan paling terkesan adalah dari Christine Hakim sebagai Mbok adalah semasa dia membunuh diri. Dalam adat lama Jawa, Raja (dalam konteks ini Raja di Kadipaten - negeri) adalah orang mulia. Raja tidak bisa melakukan hukuman bunuh karena itu adalah perlakuan jelek. Lantas, setelah menderhakai Raja, Mbok harus membunuh dirinya sendiri. Para pemirsa seolah-olah ditahan nafas melihat babak sayu Mbok ini.

Gusti Adipati lakonan Alex Komang pula bagiku adalah watak yang paling banyak menggunakan tenaga. Dia menggunakan otot-otot mukanya untuk memperlihatkan wajah bengis, marah dan tertekan di sepanjang cerita ini.

Tiara sebagai Gusti Putri pula harus diberi pujian atas usahanya menJawakan dirinya sendiri. Lakonannya amat baik sekalipun terdapat sedikit kelemahan kecil. Kata Slamet, puteri Jawa tidak boleh bola matanya meliar, ironi kepada kesopanannya. Aku dapat dengar dua-tiga perkataannya yang masih berbunyi bahasa Malaysia, tidak bahasa Indonesia.

Watak paling menyenangkan adalah watak Raja Ahmad lakonan si cute-mute Muhd Naufal. Aku suka melihat babak pertabalan Raja Ahmad sebagai Raja Muda di mana si kecil ini mengensot bersilang lutut menghadap Sultan. Si kecil ini juga mencetus emosi penonton dalam adegan sedih dan cemas sebelum Raja Ahmad hendak dibunuh oleh ayahandanya sendiri, Sultan Melaka bagi memenuhi permintaan Puteri Gunung Ledang.

Apapun, sukar untuk dicari kelemahan filem ini. Sebarang kritikan haruslah berlapik fakta, bukan sekadar seperti mengkritik pelajar Akademi Fantasia sahaja. Satu adegan yang boleh mencetus kontroversi adalah babak tentara Demak yang berjubah menyerang Majapahit kerana tidak menerima Islam. Pihak yang kurang faham akan membuat kesimpulan cetek. Namun ini adalah fakta dan penjelasan harus ada bagi menjawab persoalan ini. Kelemahan kecil lain adalah lakonan 'moden' Adlin Aman dan Sabri Yunus.

Satu persoalan besar setelah filem ini dipertontonkan ialah bagaimana ia mampu mengembalikan pelaburan memecah rekod sebanyak RM20 juta itu. Rekod kutipan pegangan Sembilu hanya RM6 juta manakala filem asing hanya mampu mencecah RM18 juta. Sebagai rancangan pemasaran, filem ini dikhabarkan akan ditayang di luar negara. Walau bagaimanapun, bagiku, nilai yang dibawa oleh filem itu sendiri yang mampu melonjak lebih RM20 juta. Kalau dari segi komersialnya tidak berbaloi, sekurang-kurangnya ia menjadi perintis untuk keluar dari kepompong kerdil selama ini.


3 ulasan:

  1. Sangat menarik!... saya sangat tertarik dengan sejarah kerajaan-kerajaan di Malaka dan Nusantara. Semoga film ini diputar juga di Indonesia...

    Industri film kamipun sedang sekarat. Kalaupun ada, hanya sedikit nilai moral dan edukatifnya...

    thanks for the review!

    BalasPadam
  2. Suatu kupasan yang cukup kritis dan berlandaskan fakta. Syabas diucapkan. Tentunya saya juga bersetuju bahawa penonton perlu membuat homework terlebih dahulu sebelum menonton filem ini.

    Dikalangan penonton yang mengharapkan lebih banyak aksi di dalam filem ini, tentunya akan sedikit dihambat kebosanan kerana babak-babak aksi banyak di awalan ceritanya. Tetapi pengarah dan penerbit filem ini harus diberi kredit atas keberkesanan efek yang digunakan. (posted by "teman yang dimaksudkan"?)

    BalasPadam
  3. 'Teman'ku, cepatlah menonton. Weekend ni pergi Kuantan... He..he...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...