01 November 2004

Bulan Ramadan - Bulan Makan?

Dah dua minggu lebih kita berpuasa. Sekejap saja rasanya dah nak raya. Ramai orang dah berpusu-pusu membeli belah barangan keperluan raya. Radio pula dah mula pasang lagu raya. Sebut fasal lagu raya, Era, seingat aku dah mula ke udara lagu raya sejak minggu kedua lagi. Maklumlah radio nombor satu kena buat apa saja mula-mula sekali. Dulu, radio ini dikritik hebat kerana memasang lagu raya sebelum puasa lagi kerana mahu mendahului orang lain.

Bulan puasa juga merupakan rezeki kepada para penjual. Banyak jenis makanan, minuman dan lauk-pauk dijual untuk berbuka ataupun bersahur. Rambang mata dibuatnya. Apa saja jenis ada dijual dari Kuih Tahi Itik hinggalah ke Batang Buruk. Hinggakan bulan puasa tak salah dikatakan bulan pesta makanan. Di bazar-bazar Ramadan, ia bagaikan one-stop centre untuk membeli berbagai-bagai makanan. Kadang-kadang kita tak tahu di mana makanan ini dijual di bulan-bulan selain puasa. Alih-alih, ada saja di bulan puasa ini.

Bagi aku, aku ada beberapa makanan kegemaran di bulan puasa ini sehinggakan aku adakan pusingan untuk menikmati makanan ini sehari-hari. Di JB, banyak bazar Ramadan didirikan. Selain dari yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ada juga pasar-pasar borong persendirian yang membuat bazar-bazar Ramadan sendiri. Antara yang popular seperti yang ada di Stadium Larkin, Kampung Melayu, Bandar Baru Uda (bazar Ramadan peringkat kebangsaan), Pasaraya SMart dan lain lain.

Di Johor, ada beberapa makanannya unik dan mungkin tidak terdapat di tempat-tempat lain di Malaysia. Dengan asimilasi budaya lain seperti Jawa dan Arab, lahirlah makanan seperti Nasi Ambang, Nasi Rawon dan juga Air Katira.

Berikut adalah beberapa makanan kegemaran aku:

Image hosting by Photobucket
Air Katira Abu Bakar. Air yang berwarna hijau muda ini terdiri daripada air pandan, susu, biji selasih, buah kurma dan lain-lain yang aku tak tahu. Airnya manis sesuai untuk berbuka. Boleh didapati di Bazar Ramadan Stadium Larkin dan Kampung Melayu. Aku lihat banyak peniaga menggunakan jenama mereka sendiri sebagai taktik melariskan jualan. Mereka menggunakan nama-nama yang sudah established.

Image hosting by Photobucket
Nasi Ambang. Ikut slang Jawa disebut "Nasi Ambeng". Nasi ini ada banyak lauk dicampur sekali. Ada mi goreng atau mihun, sayur campur, tempe, tahu, ayam, daging dan sambal diperbuat dari kelapa. Banyak tempat boleh didapati tetapi kegemaran aku ialah di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. Kalau ke Pasir Gudang, semasa balik mesti mampir dulu...


Image hosting by Photobucket
Nasi Kerabu Tepi Mahkamah Kota Bharu. Walaupun jauh dari kampung halamanku, namun aku masih boleh nikmati makanan ini. Nasi kerabu berasal dari Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu. Nasi biasanya putih atau ada juga berwarna biru atau kelabu bergantung kepada pewarna. Ada pucuk-pucuk daun ataupun "pucuk kayu" seperti bunga kantan, daun limau (aku tak tahu sangat, tahu makan je...) dicampur sekali. Selain itu, ada juga budu, sambal ikan, ayam dan daging bakar. Yang berjual ni orang Kelantan. Katanya resepi asal kedai tepi mahkamah di Kota Bharu. Nanti aku periksa jika ke Kota Bharu.

Image hosting by Photobucket
Nasi Kerabu Kampung Melayu. Kalau yang atas tadi tak cantik sangat persembahan dia, tapi sedap, yang ini cantik tapi aku tak suka sangat sebab agak kering, tak berkuah. Yang ini, kombinasi lauk boleh dipilih sendiri. Mungkin salah pilih agaknya itu yang tak sedap...


Image hosting by Photobucket
Rojak Asma. Ini satu lagi menggunakan nama orang. Rojak ini sedap sebab banyak jenis komponen rojak boleh dipilih seperti cucur, kentang, tempe, sotong dan lain-lain. Disebabkan banyak pilihan, kadang-kadang aku tak sedar sudah banyak yang dipilih hinggakan sakit perut dek makan terlalu banyak. Kadang-kadang, beberapa hari baru habis makan. Yang baki disimpan dalam peti sejuk dan dipanaskan kembali bila mahu dimakan.

Akhir kata, kepada semua pelungsur dan pembaca, sabarlah melihat makanan-makanan di atas jikalau sedang berpuasa. Selamat menjalani ibadah puasa dan sedihlah, Ramadan semakin menghilang, jangan nak raya je...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...