15 Disember 2004

Hidup Harmoni dan Tolong Menolong

Lewat petang tadi aku keluar awal pergi makan malam. Entah kenapa hari ini aku rasa lapar sangat. Mungkin tahap metabolisme aku naik hari ni. Banyak latihan fizikal hari ni terutamanya projek "Show Your Abs" aku ni... ;-)

Destinasi aku hari selepas memikirkan di mana nak makan (memang susah nak fikirkan tempat makan ni supaya aku tak pergi ke kedai sama setiap hari) ialah warung nasi lemak di Jalan Dedap, Johor Jaya.

Sampai di sana aku nampak warung tu dah dibuka. Lampu dah dinyalakan. Sampai di kaunter, kelihatan makcik tauke sedang menggoreng ayam. Seorang gadis yang baru kerja turut sama membantunya. Anak lelakinya pula tengah makan nasi lemak yang dibeli di kedai lain (takkan nak makan nasi lemak mak dia, mesti boring kan...) sambil membaca surat khabar.

Rupanya aku pelanggan pertama hari ni. Aku bertanya sama ada mereka semua dah bersedia nak berniaga. Kata makcik tu tunggu sepuluh minit saja. Nasi lemak dah masak, tunggu ayam siap digoreng saja. OKlah, sekejap saja. Niat awal aku nak bungkus dibatalkan saja. Ahh... makan di sini saja. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Tak berbaloi kalau aku tunggu lama-lama dan tapau pula. Baik makan di sini saja. Jadi aku memesan Milo ais sementara menunggu nasi siap.

Setelah aku duduk, berpusu-pusu orang datang. Makcik tu nampak sedikit kelam kabut. Si gadis yang rupanya anak saudaranya itu kelihatan agak kekok menghadapi situasi sebegini. Seorang pembantu dari seberang yang biasa aku nampak pula pulang ke kampung halamannya. Mungkin cuti Raya tak habis lagi.

Semua yang datang itu terpaksa menunggu dulu. Untuk menghilangkan rasa bosan aku bermain permainan di telefon bimbit. Ahh boringlah! Lalu aku masuk ke WAP. Linenya pula amat perlahan. Akhirnya aku memerhatikan makcik dan pekerjanya bertungkus-lumus menyediakan jualan saja.

Dah lima belas minit aku menunggu. Anak saudara makcik itu tak menyiapkan hidangan nasi lemak lagi walaupun nasi lemak sudah sedia untuk dihidang. Kelihatan dia menunggu ayam siap digoreng. Tak apa. Dia masih baru.

Kemudian datang seorang lelaki Cina separuh umur datang. Ramah orangnya. Kelihatan seperti seorang pelanggan tetap. Dia bertanya kepada makcik sama ada dia boleh membantu di warung nasi lemak itu. Makcik hanya tersenyum.

Selang beberapa minit, ayam dah masak. Makcik itu pula bergegas mengangkat nasi lemak dari dapur ke meja penyiapan. Aku seperti biasa lekas bangun ambil penyepit dan piring dan terus ke bakul tos untuk mengambil ayam dan terus potong ayam tu sendiri. Kalau lambat, bahagian kegemaran aku nanti orang ambil... He..he.. Tapi sekurang-kurangnya aku mengurangkan beban makcik tu. Lepas potong, aku bawa sendiri ayam tu ke meja aku. Orang lain juga melakukan seperti aku. Mereka dah biasa.

Sambil tunggu nasi aku dihidang, aku ratah dahulu ayam tu. Sambil makan, aku ternampak seorang pelanggan lain mahukan sambal lebih. Dengan selamba dia pergi mengambil piring dan ambil sendiri. Ada yang lain menolong angkat ayam yang baru masak.

Seperti biasa, sesudah makan, semua orang membayar harga biasa. Tak ada meminta caj dikurangkan. Masing-masing faham dengan masalah makcik tu yang terlalu sibuk melayan pelanggan. Mungkin pada pandangan orang yang tak biasa di situ menganggap makcik itu patut membuka kedai lebih awal ataupun bersiap sedia lebih awal, bagi yang dah biasa jawapannya ialah tak apa, biasalah...

Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin kerana nasi lemak makcik tu sedap. Ayamnya digoreng berempah, bukan macam ayam Kentucky tetapi ayam yang digoreng bersama jintan dan beberapa rempah ratus lain. Di tempat-tempat lain di Malaysia, jarang dijumpai melainkan di Johor ini.

Tetapi yang paling mengagumkan aku ialah semangat muhibah para pelanggan makcik itu yang terdiri daripada pelbagai kaum. Seperti orang kata, demi mencapai situasi win-win, semua orang menolong antara satu sama lain. Untuk mendapat servis yang efisyen, masing-masing buat sendiri tanpa ada rasa marah atau kecewa. Bagi makcik itu pula, dia dapat menumpukan pada kerjanya. Kalau dia buat ala kadar untuk cepat, nanti nasi lemak itu pula tak sedap. Sapa nak jawab dik...

2 ulasan:

  1. Nampaknya kena mencuba nasi lemak ini apabila sampai di JB nanti. Mungkin penulis boleh membawa teman makan di gerai ini satu hari nanti. Nasi lemak, layan diri.... satu kombinasi yang menarik! - (posted by teman yang dimaksudkan)

    BalasPadam
  2. Kedai tu asalnya bukan layan diri, tapi bila dah tahan menunggu, jadi layan diri ler...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...