09 Disember 2004

Layanan Kelas Pertama

Dah lama aku tak menulis di sini. Maklum sekarang ini asyik outstation saja. Bulan ini saja boleh dibilang dengan jari berapa hari aku ada di rumah. OKlah, rasanya bulan Syawal masih ada lagi. Di kesempatan ini aku ucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.

Tadi semasa perjalanan pulang ke Johor Bahru menaiki kapal terbang, aku mendapat tempat duduk yang tak pernah aku dapat - barisan 5 paling hampir dengan laluan di tengah-tengah pesawat (5D). Di tempat ini aku hanya dipisahkan oleh langsir dari tempat duduk kelas pertama/perniagaan.

Setelah duduk, aku asyik memerhatikan para pramugari melayan penumpang-penumpang kelas satu itu. Aku lihat rata-ratanya ialah Mat Salleh dan Cina - mungkin orang Singapura yang membayar harga sama dengan kelas ekonomi Singapore Airlines. Selepas penumpang duduk, pramugari terus melayan penumpang sebaiknya. Kalau yang berkot, kot itu ditanggalkan dan disimpan di dalam almari kecil di depan kabin.

Mereka terus dihidangkan minuman ringan. Tuala kecil turut diberikan buat mengelap keringat. Kemudian pramugari mengambil pesanan makanan. Setelah kapal terbang stabil di awangan, pramugari terus melabuhkan langsir supaya penumpang-penumpang kelas ekonomi di belakang tidak dapat melihat penumpang-penumpang kelas pertama menikmati hidangan.

Melihat senario ini, aku terfikir bahawa di dunia ini duit adalah segalanya. Bayangkan kalau kapal terbang ini terhempas (nauzubillah...), mereka di kelas pertama pasti mendapat keutamaan. Sebabnya mereka membayar lebih. Lihat cerita Titanic, sebagai contoh, penumpang kelas pertama saja mendapat tempat di bot-bot kecemasan yang terhad itu. Yang membayar kurang, serahkan saja pada takdir.

Walaupun kisah layanan Titanic tak mungkin berlaku, di sini dapat dilihat ada wang segalanya pasti. Bayaran lebih menjanjikan pulangan lebih baik jika dibandingkan dengan yang membayar kurang. Yang kurang, dapatlah saja dengan apa yang dibayar itu.

Ada seperkara lucu belaku semasa aku mahu keluar dari pesawat itu. Setelah pesawat sepenuhnya berhenti, aku bergegas bangun, kiasu sedikit... aku belajar dari orang yang bekerja di Singapura naik bas nak pergi kerja... Aku berdiri paling hadapan sekali, di depan semua orang, paling dekat dengan langsir yang memisahkan kelas ekonomi dan pertama. Pramugari pada mulanya menutup langsir ini supaya penumpang kelas pertama dapat keluar dahulu. Setelah semua penumpang kelas pertama keluar, peramugari menyelak langsir itu. Terkejut 'beruk' dia nampak muka aku terpampang hampir dengan langsir yang diselak itu! Aku tak tahan nak gelak. Kalau seorang peramugari yang ayu bernama Ayu boleh juga... tapi ini orang lain.

Semasa balik ke rumah menaiki teksi, ternampak sebuah kereta pengiring orang kenamaan memberi petanda supaya kenderaan lain ke tepi. Ini satu lagi contoh klasik layan kelas pertama. Ada kuasa segalanya pasti. Undang-undang di jalanan tak lagi berguna. Mereka kebal. Tiga warna lampu isyarat bagi mereka adalah satu warna sahaja - hijau.

Pemandu teksi yang aku naiki itu rupanya juga bijak mengeksploitasi keadaan. Dia mengekori kereta mewah yang berplat nombor satu itu. Walaupun salah, sekurang-kurangnya aku cepat sampai ke rumah... Aku bertanya kepadanya sama ada dia kenal si pemilik kereta itu. Jawabnya mungkin ahli exco negeri.

Sepanjang perjalanan selepas itu, kami berbual pelbagai topik termasuklah penyalahgunaan kuasa, ekstrimisme dan juga kejelekan pelancong-pelancong yang pernah menumpangi teksinya. Seperti biasa, apabila perbincangan semakin menarik dan hampir ke klimaks, ia harus dihentikan kerana sudah sampai ke destinasiku. Perkara sama terjadi ketika aku ke lapangan terbang semalam. Pemandu teksi, kaki pancing, menceritakan kisahnya mendapat ikan boleh berkelip matanya dan pelbagai gangguan ganjil yang lain.

1 ulasan:

  1. Saya bersetuju dengan pendapat saudara, memang betul dengan bayaran lebih, anda akan mendapat keistimewaan. Tetapi bagaimana kalau layanan/kemudahan kelas pertama sudah disediakan tetapi ada yang masih tidak mahu membayar dan menghargainya? Mentaliti kelas ketiga masih wujud dan perlu dihindarkan - (posted by "Teman yang dimaksudkan")

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...