12 Disember 2004

Pattani - Sejarah Yang Dilupakan



Kalau disebut Pattani, kita terbayang yang tempat ini merupakan sebuah tempat bergolak di Siam. Apabila disebut Langkasuka, kita pula teringat ia adalah sebuah kerajaan berkuasa di Nusantara pada zaman silam. Namun tahukah kita Pattani dan Langkasuka adalah tempat yang sama?

Negeri Pattani sebenarnya sudah lama sejarahnya di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan lebih lama dari Kesultanan Melayu Melaka. Pattani atau Langkasuka adalah sebuah kerajaan Melayu tua yang pada asalnya menganut agama Hindu kemudian Buddha dan akhirnya beralih ke Islam sampai ke hari ini. Kekuasaannya meliputi wilayah Selatan Thailand hari ini iaitu dari Senggora (Songkhla) hinggalah ke Kedah di bahagian barat dan Terengganu di bahagian timur semenanjung.

Asal perkataan Pattani dikatakan berasal dari perkataan "Pantai Ini" yang menggambarkan pantai di Pattani yang sesuai dijadikan penempatan yang makmur. Ada juga yang mengatakan ia berasal dari perkataan "Pak Tani" yang merujuk kepada pemilik pondok iaitu petani garam semasa Pattani mula dijumpai.

Semasa zaman kegemilangan Kerajaan Sriwijaya di Palembang, Sumatera, Sriwijaya telah menakluk Ligor (Nakhorn Si Tammarat di Thailand sekarang) dan menjangkau kekuasaannya ke selatan di Pattani. Pada masa itu terjadilah pemelukan agama Buddha oleh orang Hindu Pattani (Sriwijaya adalah kerajaan Buddha). Di bawah kekuasaan Sriwijaya inilah, Langkasuka maju dan makmur. Ini dibuktikan dengan besarnya ufti yang dibayar kepada Sriwijaya.

Langkasuka memeluk Islam hasil dakwah para pedagang Islam dari India dan Arab. Menurut sejarah, Raja Phya Tu Nakpa, pengasas Langkasuka, jatuh sakit tenat. Baginda terdengar akan seorang tabib Islam yang hebat lalu berjumpalah baginda dengan tabib itu. Tabib itu memberikan satu syarat yang baginda harus memeluk Islam jika sembuh nanti. Namun setelah sembuh, baginda tak jadi masuk Islam. Disebabkan baginda tidak mengotakan janjinya, dia jatuh sakit kembali. Setelah kejadian ini berlaku untuk kali ketiga, barulah baginda menganut Islam dan menamakan dirinya Sultan Ismail Shah.

Pattani mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan empat ratu iaitu Ratu Hijau diikuti Ratu Biru, Ratu Ungu dan akhir sekali Ratu Kuning. Pattani sangat berkuasa pada masa itu dan menjadi persinggahan para pedagang dari Arab, India, China, Jepun dan dari seluruh Nusantara sendiri.

Setelah kemangkatan Ratu Kuning, Pattani mengalami zaman kemerosotannya. Para pucuk pimpinan bercakaran sesama sendiri untuk merebut kuasa. Negeri-negeri jajahan takluk pula berusaha melepaskan diri. Dengan naiknya pelabuhan-pelabuhan lain di dunia Melayu seperti Johor, Melaka, Aceh, Banten dan Batavia (Jakarta), pelabuhan Pattani menjadi sepi dan Pattani hilang sebahagian besar sumber pendapatannya.

Pada tahun 1785, segalanya berakhir bagi Pattani. Mimpi buruk menjadi nyata. Negara dan anak bangsa tergadai. Siam telah berjaya menakluk Pattani dan berakhirlah sebuah negeri Islam Pattani. Sekalipun mungkin ada sinar pada tahun 1909 semasa Perjanjian Bangkok antara Siam dan Inggeris, Pattani tetap di wilayah Siam. Hanya Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada Inggeris. Walaupun ada desakan supaya Pattani turut diserahkan kepada Inggeris supaya dapat bersatu dengan negeri-negeri Melayu lain, Inggeris tetap dengan keputusan bahawa Pattani di bawah Siam demi menjaga hubungan baiknya dengan Siam.

Hasilnya, pada hari ini wilayah Pattani dahulu terpecah dua. Negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mejadi Persekutuan Malaysia setelah merdeka dari Inggeris manakala Pattani menjadi tanah jajahan Thailand dengan terbahagi kepada beberapa wilayah seperti Pattani sendiri, Narathiwat (Menara), Yala (Jalor), Satun dan Songkhla (Senggora).

Seperkara menarik hasil peninggalan Kerajaan Islam Pattani ini ialah bahasa Melayu di Selatan Thailand secara rasmi ditulis dalam tulisan Jawi sehingga ke hari. Ada juga penulisannya ditulis Rumi disebabkan pengaruh tulisan Melayu di majoriti dunia Melayu lain tetapi tulisan Jawi menjadi keutamaan.

Pada hari ini, proses "Siamisasi" menjadi ancaman kepada tulisan dan bahasa Melayu Jawi ini. Kerajaan Thailand mengamalkan sistem satu bahasa di sekolah iaitu bahasa Thai. Hasilnya pelajar-pelajar Melayu hari ini kebanyakannya tidak tahu membaca bahasa Melayu dan lebih suka berbicara bahasa Thai.

Dengar cerita RTM akan memancarkan siaran RTM di Selatan Thai sebagai sumber maklumat untuk orang Melayu di sana. Jadi ke?

Hari ini, orang Melayu di Selatan Thailand juga mempunyai dua nama. Satu nama rasmi dalam bahasa Thai yang mempunyai nama keluarga (surname) untuk digunakan pada pengenalan diri atau di sekolah. Satu lagi nama Islam yang ada bin atau binti dan digunakan di rumah, masjid dan dalam bacaan talkin. Nama bin dan binti ini tidak dibenarkan di Thailand.

ref: Imam Nugraha SH, PULO.

3 ulasan:

  1. Sebuah sejarah patut dikekalkan bagi genarasi yg akan datang...

    BalasPadam
  2. RazakRao

    Fakta mengenai Siam dan Thailand perlu di pisahkan ..kerana Pattani dulu adalah sebahagian dari kerajaan Siam ( kerajaan Islam ) .. kemudian nya barulah bangsa Sukhothai datang menjajah bangsa & wilayah Siam ini .

    BalasPadam
  3. Salam Razak, tak tahu pula Siam itu kerajaan Islam. Bagaimana pula Islam sedangkan Siam itu dikaitkan dengan Thai. Adakah pemahaman selama ini salah? Harap komentar.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...