29 Disember 2004

Tsunami - Sudah Ada Amaran Sebelum Berlaku?

Ahad lepas Asia digegarkan oleh tsunami yang terhasil daripada gempa bumi di Nanggroe Aceh Darussalam, Sumatera Utara. Kesannya menjalar ke manca negara yang jauhnya beribu-ribu batu. Selain jiran tetangga seperti Malaysia dan Siam, Sri Lanka, India dan Maldives antara yang teruk terjejas malah jangkauan gelombang besar itu sampai ke Somalia nun di Afrika sana.


Tsunami ketika melanda Pulau Pinang.

Banyak pihak menyalahkan tiadanya komunikasi di antara negara-negara terlibat. Ini kerana waktu berlakunya tsunami itu di setiap negara adalah berlainan. Bayangkan gempa berlaku di waktu pagi di Indonesia, kesan di negara-negara lain berlaku pada waktu tengah hari atau petang. Waktu boleh dikatakan masih belum suntuk untuk bersiap sedia atau bertindak untuk menangani bencana itu.

Di Malaysia, pihak kerajaan mendapat kritikan kerana gagal menghebahkan amaran bencana itu. Ada pihak mendakwa pihak-pihak hotel di Pulau Pinang sudah mendapat amaran ombak besar dari hotel-hotel di Langkawi. Laporan menunjukkan Langkawi, kawasan paling utara di Semnanjung Malaysia, sudah diterjah ombak besar pada pukul 11.00 pagi walhal Pulau Pinang dan Kuala Muda dilanda tsunami pada pukul 1.00 petang.


Dia datang... jeng jeng jeng... Fenomena luar biasa tapi bisa membawa maut.

Dakwaan ini mungkin ada juga kesahihannya jika dilihat dari mangsa-mangsa hempasan tsunami yang rata-ratanya orang tempatan yang berkelah di pantai dan orang kampung yang tinggal berhampiran pantai. Para wisatawan yang menginap di hotel-hotel selamat walaupun ada seorang yang dilaporkan mati berdasarkan laporan hingga saat ini.


Para wisatawan melihat gelombang mendatang.

Namun, aku takjub membaca beberapa berita menarik tapi pelik yang berlaku sebelum malapetaka itu. Alam sudah menunjukkan tanda-tanda yang perkara buruk akan berlaku. Kekuasaan Ilahi sudah memperlihatkan banyak hidupan laut lari dari pusat gempa bumi untuk menyelamatkan diri. Para nelayan di Utara Semenanjung menyatakan mereka mendapat 'rezeki dari langit' apabila tangkapan di laut berlipat kali ganda beberapa hari sebelum kejadian. Ikan-ikan yang jarang diperolehi banyak yang masuk ke pukat. Mereka juga mendapati air pasang lebih tinggi dan surut lebih rendah dari kebiasaannya.

Cerita mangsa-mangsa dari Pulau Pinang pula menyatakan banyak hidupan laut terdampar di pantai-pantai selepas kejadian ombak besar pertama. Para pelancong yang berkelah terlalu teruja dengan kejadian itu dan datang mengutip ikan-ikan 'percuma' itu. Namun setelah kedatangan ombak kedua yang lebih besar, segalanya lenyap habis disapu sang gelora.


Seorang remaja menunjukkan ikan Kerapu yang mati terdampar di pantai.

Petanda malapetaka itu sudah dipertunjukkan namun kita insan lemah kadang-kadang sukar untuk mentafsirkan apa yang sedang berlaku. Mungkin kerana kita tidak pernah dilanda bencana sebegitu. Maklum bumi bertuah Malaysia bukanlah terletak di 'Lingkaran Api Pasifik' (Pacific Ring of Fire).


Seorang pelancong membelek ikan 'rezeki' petanda kejadian buruk bakal berlaku.

Mengikut pengalamanku pada hari kejadian, berita jam 1.30 tengah hari TV3 hanya mengkhabarkan kejadian gempa bumi di Aceh. Bagi kita, tiada ada yang perlu dikhuatirkan. Ini perkara biasa berlaku di negara lain. Kita tetap selamat. Namun, tiada siapa menduga pada waktu berita dikeudarakan itu, negara kita sedang dilanda ombak besar yang meragut lebih 60 orang dan 100 lagi masih hilang.

Pada pagi sebelum itu, aku berada di bandar Kuala Terengganu. Aku lihat pelik sungguh suasana kerana ramai orang berkumpul di luar bangunan tinggi. Apabila melihat berita jam 8.00 malam barulah kutahu semua orang berada di luar kerana mengalami gegaran. Bayangkan 800 km jauh dari pusat gempa bumi masih terasa goncangan itu.


Gurney Drive di Pulau Pinang ketika kejadian.

Sebagai manusia yang dikurniai akal fikiran, kita tidak seharusnya berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa untuk menghadapi kejadian ini pada masa depan dan hanya berserah kepada takdir untuk memperlihatkan petanda-petanda itu. Ada yang mengesyorkan supaya diadakan pasukan pemantau pantai dan juga kerjasama internasional untuk menubuhkan sistem mengesan gerakan kerak bumi dan tsunami.

Harap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi menghadapi masalah ini jika berlaku kembali. Pemantauan tidak seharusnya di pantai barat sahaja malah ia patut diperluaskan ke pantai timur dan Sabah dan Sarawak. Ketiga-tiga tempat ini lebih terdedah jika berlaku tsunami di Filipina atau Jepun yang juga berada di 'Lingkaran Api Pasifik' selain Indonesia. Bayangkan keluasan Laut China Selatan mampu membawa lebih banyak tenaga yang terhasil dari gempa bumi jika dibandingkan dengan Selat Melaka.

Pic Source: NST and its readers

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...