25 Ogos 2004

Lawatan Ke Indonesia - Bahagian Akhir

Apabila matahari terbenam, kami sampai ke Bandung. Mengikut perancangan awal, kami mahu mencari hotel dahulu, hinggakan Eri membeli satu peta dari pedagang asongan sebagai panduan. Namun puas mencari, tiada hotel yang masih ada bilik kosong. Semuanya penuh ditempah di musim libur begini. Tambahan pula, Pilpres hanya dua hari lagi. Akhirnya kami pergi membeli-belah dahulu. Kalau membuang masa mencari hotel, takut-takut nanti kedai sudah ditutup.

Apabila melihat tanda-tanda harga di sini, aku dapati barangan di sini murah sekali. Harganya adalah separuh harga barangan di Malaysia, terutama sekali pakaian kerana pabrik-pabriknya terletak di sini. Kami berborong sakan. Deli dan Nizam pula membeli lebih untuk dijual kembali di Malaysia nanti.

Setelah membeli belah, kami meneruskan pencarian hotel. Namun semua yang kami temui telah penuh ditempah. Reza memberi cadangan supaya bermalam di rumah pacarnya saja. Aku menolak kerana tak mahu menyusahkan orang. Tambahan pula kami ramai, bertujuh. Reza sebenarnya adalah pramuwisata kami ke Bandung kerana dia selalu ke sini bertemu pacarnya. Tapi dia kurang ingat jalan-jalan di sini dan itu yang membuatkan kami berpusing-pusing di tempat yang sama. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada di kalangan kami yang tahu serba sedikit keadaan di Bandung, dibandingkan dengan kami yang tak tahu apa-apa ini.

Setelah puas mencari, kami ternampak Hotel Mutiara. Kami memperjudikan nasib menanyakan kalau-kalau ada kamar yang kosong. Nasib kami baik kerana masih ada sebuah bilik besar untuk enam orang. Harganya RM300 semalaman. Boleh tahan harganya dan ini tentu boleh memuatkan kami yang tujuh orang ini. Aku ingatkan biliknya macam hotel biasa namun keadaannya di tahap asas sahaja. Tiada katil, tiada karpet munutupi lantai, yang ada hanyalah sebuah televisyen dan enam tilam disusun sebaris persis di waktu peperiksaan di asrama sekolah menengah dahulu. Tetapi tandasnya okey. Tak apalah, sekurang-kurangnya kami ada tempat tidur daripada bermalam di dalam mobil!

Kami bersiap, mandi dan sembahyang dan keluar lagi menemani Reza bertemu pacarnya sekaligus makan malam. Asalnya kami merancang untuk makan di puncak sebuah bukit yang dingin, dan aku dah bersiap dengan baju sejuk, tetapi dibatalkan kerana tiada kesempatan dek tersesat mencari rumah pacar Reza. Tambahan pula semua orang tak sanggup menunggu kerana lapar!

Kami hanya bertemu rumah pacar Reza pada pukul 11.00 malam. Setelah bersalaman dengan orang tuanya, kami keluar bersama-sama pacar Reza untuk makan. 'Sporting' sungguh orang tua ini membiarkan anak gadisnya keluar di waktu-waktu malam begini! Tapi aku percaya mereka menaruh kepercayaan besar buat Reza.

Kami berhenti di sebuah warung untuk makan Pecel Lele - sejenis makanan yang aku dengari dalam lirik lagu Dasarese dendangan Wong Pitoe (disebut pitu, bererti nombor tujuh dalam bahasa Jawa). Namun kami berpindah ke kedai lain kerana nasi sudah habis. Di sebuah kedai lain itu, Pecel Lelenya pula yang sudah habis! Mmm... kecewanya tak dapat makan Pecel Lele. Nasi pula yang tinggal hanya untuk tiga orang dan yang lain harus ambil mi. Tiada pilihan kerana sudah larut malam, kami bedal saja. Sebaliknya, sedap juga makanan di sini!

Selepas makan dan menghantar pacar Reza pulang, kami balik ke hotel. Sebenarnya aku dah separuh sedar sejak keluar dari hotel tadi kerana mengantuk sangat. Dah beberapa malam sejak dari Malaysia lagi aku tak cukup tidur. Entah-entah apa yang aku cerita sejak keluar hotel tadi tak betul. Mana aku ingat sangat... He...he...

Pagi besoknya semua orang bangun lambat. Pukul 8.00 pagi baru tersedar (9.00 pagi waktu Malaysia). Setelah mandi, bersubuh 'dinasor' dan bersarapan, kami meneruskan perjalanan balik ke Jakarta. Kami tak mengambil laluan melewati Puncak semasa kemari, sebaliknya melalui laluan lain yang lebih dekat supaya cepat sampai ke Jakarta nanti. Di awal perjalanan aku pening dan hendak mabuk kerana melalui jalan berbengkang-bengkok di cerun-cerun bukit. Tapi aku dapat tahan dan terus tertidur hinggalah sampai ke Jakarta.

Pukul 2.00 petang kami sampai ke Cempaka Mas untuk membeli batik dan cenderahati lain untuk dibawa pulang. Mengikut perancangan awal, kami mahu ke Tanah Abang tapi kerana kesuntukan masa, kami batalkan saja. Ada seperkara lucu di sini. Puas kami menunggu Deli dengan proses tawar-menawarnya dengan seorang pekedai batik di situ. Selepas setengah jam, yang diperolehinya hanyalah potongan sebanyak Rp1000 sahaja! 50 sen sahaja! Ekekek... sedekah sajalah...

Setelah di Cempaka Mas, kami berhenti di Masjid At-Tin untuk bersolat. Masjid ini dibina hasil sumbangan Almarhumah Ibu Tien, isteri mantan Presiden Soeharto dahulu. Kami mahu ke Taman Mini selepas itu, tapi tak dapat masuk kerana ditutup awal sempena libur Pilpres keesokannya.

Kami terus ke Thamrin pula. Barangan di sini lebih mahal kalau dibandingkan dengan di Bandung. Hampir dua kali ganda. Tapi kami hanya mencari kaset sahaja. Kami mencari kaset penyanyi-penyanyi popular Indonesia di lagunya banyak berkumandang di Malaysia seperti Sheila On 7, Melly Goeslow, Ari Lasso, Glen dan lain-lain. Harga kaset memang murah di Indonesia! Separuh harga dibandingkan dengan yang di Malaysia. CDnya pula lebih mengejutkan - RM15 sahaja! Rekod Siti pun ada dijual di sini! Baik beli di sini sahaja!

Sebut nama Siti, di mana saja kami memperkenalkan diri sebagai orang Malaysia, pasti orang bertanyakan Siti. Memang ngetop Siti di sini. Maklumlah dia baru saja membuat konsert di Indonesia. Dia telah muncul di Konser Gemilang Cahaya yang membariskan pelajar-pelajar Akademi Fantasi Indonesia (AFI) dengan para pelajar AF 1 Malaysia. Semasa di awal perjalanan di Bandung tadi pun, aku dengari di radio yang dua lagu Siti masuk carta 10 terbaik Indonesia. Begitulah penangan Siti di seberang!

Pukul 11 malam kami pulang ke rumah Eri. Kami makan malam dengan membeli sate dan mi goreng yang dijual sang penjaja jalanan. Makanannya memang sedap! Alangkah baiknya kalau ada orang berjual sebegini di Malaysia. Tak perlu aku susah-susah memikirkan hendak makan malam di mana kerana pasti ada orang datang bertanyakan apa yang mahu dimakan. Yang ada di kawasan perumahan aku hanyalah si penjual roti. Itupun macam biskut - sekejap ada, sekejap tak ada.

Image hosting by Photobucket Apabila bangun pagi, semua orang dah bersiap awal. Maklumlah hari ini hari yang bersejarah bagi Republik Indonesia - Pilpres pertama. Setelah bersarapan, kami dan keluarga Eri bagaikan satu rombongan keluar ke tempat pengundian. Kata ibu Eri, kami boleh jadi pemantau!

Image hosting by Photobucket Pada fikiran aku, Pilpres di sini adalah suatu proses yang rumit dan ketat. Namun, yang aku dapati ia tidak sekali! Kami bukan warga Indonesia dibenarkan masuk ke tempat pengundian. Kami bersalaman dengan para petugas dan juga dibenarkan mengambil gambar bersama-sama mereka! Di sini, kertas undi tidak dipangkah tetapi dicoblos, iaitu melubangkan bahagian calon Pilpres yang dipilih dengan sebatang logam sebesar pena yang tirus hujungnya. Aku lihat prosesnya lancar sekali. Tiada haru-biru seperti yang digembar-gemburkan.

Selepas mencoblos, kami pulang dan kami dapati sudah ramai sanak-saudara Eri berkumpul di rumahnya semata-mata mahu menghantar kami pulang ke Malaysia! Oh, terharu sungguh! Kami bersalaman dan mengambil foto bersama sebagai kenang-kenangan.

Image hosting by Photobucket Sebelum ke Bandara Soekarno-Hatta, kami makan tengah hari di sebuah restoran yang menghidangkan masakan Nusantara - Sunda, Padang, Melayu dan lain-lain. Akhirnya dapat juga aku makan ikan gurame. Ikan ini dibelah, digoreng dan dihidang seperti kipas. Ada juga hidangan ikan emas di sini. Pada mulanya aku agak janggal memakan ikan ini kerana biasanya di Malaysia dijadikan haiwan peliharaan, namun sekali rasa nak lagi!

Image hosting by Photobucket Setelah makan kami langsung ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. Selamat tinggal Indonesia. Kini persepsiku terhadap Indonesia berlainan sekali. Orang-orang di sini peramah, saling menghormati dan sangat suka menolong, tidak seperti citra yang dipaparkan oleh para TKInya di Malaysia. Ucapan terima kasih untuk keluarga Dr. Ikhwan yang budiman atas pertolongan kalian semasa kami di Indonesia. Kalau boleh, kami mahu datang lagi!


Glosari

Pabrik - kilang
Pramuwisata - jurupandu arah
Pacar - kekasih
Lele - ikan sembilang
Dasarese - lagu saduran Asereje dalam versi Indonesia.
Pilpres - Pemilihan Presiden
TKI - Tenaga Kerja Indonesia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...