26 Mac 2005

Perlumbaan Formula 1 Malaysia 2005

Pada asalnya aku tak sanggup ke Sepang lagi tahun ini. Bukan apa, dengan kesesakan lalulintasnya dan cuaca yang sangat panas, aku tak mahu menyeksa badanku dan juga keretaku lagi. Dulu, penghawa dingin kereta aku buat hal. Biasalah, Proton – kereta hanya sekadar untuk berada di jalan raya.

Namun tahun ini semuanya sudah agak berubah. Bagi mengekang kesesakan atau temanku dari seberang sebut kemacetan, pihak trafik mengadakan lorong “kontra”, istilah yang pernah digunakan di Lebuhraya Utara Selatan dulu. Lorong kontra bermaksud lorong yang bertentangan dengan kita dijadikan lorong tambahan yang sehaluan dengan kita atau boleh juga dijadikan sebaliknya.

Kesesakan hanya berlaku sekejap iaitu sebelum lampu isyarat ke litar. Kelihatan ramai juga yang mengambil pengangkutan awam seperti bas tempahan, terutama sekali para pelancong. Mereka mengambil bas shuttle yang berhenti-henti di hotel-hotel utama di KL.

Sesudah parkir kereta, perkara paling memenatkan harus dilakukan iaitu berjalan kaki ke litar yang jaraknya hampir satu kilometer. Cuaca amat panas pada hari itu, sekitar 35 darjah Celcius! Angin juga langsung tak terasa. Bahang.

Aku memang membawa bekal air bagi mengelak dehidrasi. Kalau ikut peraturan, tak boleh membawa minuman atau makanan tapi kerana orang tempatan, pekerja litar membenarkan dengan syarat masukkan dalam beg dan jangan terlalu kelihatan. Kalau nak beli minuman di dalam, mahu “pokai” habis! Mana tidaknya, air mineral sejuk RM8.00 satu botol! Mat Salleh bolehlah beli. Duit dia tinggi. Makanan yang dijual pun tak sedap – kononnya nak ikut selera si hidung tinggi tu, tak boleh pedas. Burger RM20 yang aku beli masa pusingan kelayakan memang tak sedap langsung! Lain kali buka McD di situ lagi sedap.

Masuk ke gerbang litar, orang dah ramai. Nak masuk pun susah. Aku cepat-cepat ke tempat duduk utama kerana dah tak tahan basah berpeluh. Masa aku sampai, pusingan kedua kelayakan dah tamat. Melepas aku. Sebelum perlumbaan juga diadakan pertandingan Formula Malaysia dan Piala Carrera Porsche.

Perlumbaan diadakan tepat jam 2.00 petang. Kali ini, penyokong Ferrari nampaknya agak senyap. Tak seperti tahun-tahun lepas, perlumbaan belum bermula tapi mereka dah menang sorak. Aku cukup lucu melihat apabila penyokong pasukan Ferrari terpaksa berhimpit ke bahagian tempat duduk utama yang agak jauh dari grid permulaan kerana pasukan Ferrari kali ini terperosok ke grid belakang! Biasanya mereka ini sanggup menempah di hadapan grid dengan harapan dapat mengambil foto mesin perlumbaan pujaan mereka.

Sesuatu yang menarik tapi pelik juga berlaku apabila tahun ini tiba-tiba ramai orang berbaju biru muda – baju pasukan Rennault! Ini tak seperti tahun-tahun lepas. Hisyh… ini mungkin penyokong “kapal layar”. Kalau di sekolah dulu, “kapal layar” bermakna pelajar yang tak ada jenis permainan sukan dan main apa saja yang dia suka. Di Formula 1 ini, mungkin mereka ini menyokong Rennault disebabkan persembahan memberangsangkan di Australia tempoh hari.

Kalau pasukan Liga Perdana Inggeris, banyak penyokong kapal layar ini. Dulu masa MU kuat, banyaklah penyokong MU. Lepas itu Arsenal pula. Dan sekarang Chelsea. Dulu masa Liverpool menang lima piala pada 2001, banyak juga yang menyokong Liverpool sekejap.

Pelumbaan cukup menarik bagiku. Hanya satu sebab iaitu tak ada kereta merah di depan! Lagipula aku sokong pasukan Toyota. Kereta-kereta mereka di depan. Ini sudah tentu melegakan. Pada awal perlumbaan cuaca sangat panas. Suhu pada asphalt ialah 46 darjah Celcius dan suhu ambien pada 36 darjah Celcius. Masa aku solat tak terasa langsung penghawa dingin. Panas, berpeluh dan rimas. Tapi OK sebab aku dah lama tak berpeluh. Bagaimanapun di hujung perlumbaan, cuaca agak redup kerana kawasan litar diselubungi jerebu atau kabut asap yang terhasil dari kebakaran hutan yang berdekatan.

Perlumbaan berakhir dengan Ferrari gagal menaiki podium! Alonso dari Rennault menang tempat pertama diikuti pasukanku Toyota dan ketiga BMW. Sebaik berakhir, aku terus pulang. Tak mahu kesesakan lagi. Penat. Bagi yang masih bertenaga atau memang peminat fanatik artis-artis, mereka menunggu untuk satu konsert F1 anjuran Astro. Ada artis-artis top Malaysia, Indonesia dan juga dari Thailand.

Seperti dijangka, nak keluar dari tempat parkir memang menjerihkan. Semua orang berpusu-pusu keluar. Aku menghabiskan masa 20 minit untuk keluar dari parkir itu. Apabila berada di jalan raya, semuanya lancar. Kudos buat polis trafik, mereka berjaya mengawal lalulintas dengan baik sekali. Aku pulang tanpa halangan ke Putrajaya walaupun hujan di tengah jalan.

Dengar khabar dari temanku, Lebuhraya KL-Seremban sesak teruk kerana bertembung dengan orang yang baru pulang bercuti setelah cuti sekolah berakhir. Tambahan pula pada waktu itu hujan. Aku terbaca seorang pelancong Jerman mengeluh kerana mengambil masa empat jam untuk pulang ke KL menaiki komuter. Ini normal bagi kita tapi penganjur harus memperbaiki keadaan pada perlumbaan mendatang.

Hmm… penat tapi menghiburkan. Ini adalah perlumbaan terbaik pernah aku saksikan. Penonton juga mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah Sepang iaitu seramai 110,000 orang. 40,000 daripadanya adalah pelancong asing.

Untuk melihat koleksi gambar-gambar di Sepang, sila klik gambar di bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...