05 April 2005

100 Hari Tragedi Tsunami 26 Dis dan Selat Melaka

Aku pulang awal dari kerja hari ini. Terlalu penat memandu sepanjang hari sejak dari awal pagi lagi. Aku tak mampu membuka mata lagi, mengantuk. Dari awal aku bercadang untuk bermalam saja di bumi penuh bersejarah ini. Tak larat lagi aku untuk pulang ke kota terselatan Malaysia itu.

Setelah merebahkan punggung ke sofa empuk, bersemuka dengan selat gemilang dari zaman Parameswara dulu hingga kini, aku sempat tertarik melihat satu siaran televisyen yang cukup menyayat hati ditonton. Kesedihan lalu seolah-olah disingkap kembali.

TV1 menyiarkan kembali pengalaman dua wartawan Televisi Republik Indonesia (TVRI) semasa meliput di Banda Aceh pada pagi pra bencana maha dahsyat dalam sejarah itu. Ia disiarkan bersempena dengan ulang hari keseratus bencana tsunami yang melanda pinggiran Samudera Hindi itu.

Dua orang wartawan itu menceritakan kembali pengalaman mereka di tempat-tempat mereka berdiri pada hari kejadian. Sambil itu, rakaman-rakaman yang telah dibuat pada hari kejadian juga diselang-seli dengan penceritaan mereka.

Kisah bermula apabila mereka meliput satu larian hujung minggu di Banda Aceh. Apabila gempa terjadi, semua orang tak mampu berdiri. Semua peralatan majlis itu jatuh bertabrakan termasuk seset alat pembesar suara yang besar jatuh bertaburan ke jalanan. Sangat hampir dengan salah seorang wartawan itu, Marzuki. Motosikal yang beroda dua juga jatuh tertiarap ke tanah. Tongkatnya tak mampu bertahan lagi. Sambil itu, beberapa bangunan dan toko berhampiran yang kurang kukuh menanggung getaran dari perut bumi juga roboh dan reruntuhan berserakan di tapaknya.

Setelah gempa reda, kedua-dua wartawan langsung berjalan merakam situasi kejadian. Banyak sekali bangunan yang runtuh. Orang ramai keluar beramai-ramai menyaksikan kejadian dan masing-masing berkerumun di puing-puing bangunan menyelamatkan orang-orang yang terperangkap di bawah reruntuhan dan mungkin juga cuba mengeluarkan barangan berharga.

Perjalanan diteruskan. Pada waktu ini, tiba-tiba terdengar orang ramai bertempiaran lari dari arah pantai sambil menjerit,

“Lari! Air naik! Air naik!”

Barulah disedari bahawa air laut telah pasang secara luar biasa dan jalan-jalan mulai sesak dengan kenderaan yang menjauhi air pasang itu. Air yang datang itu gelap pekat persis air abu. Seorang wartawan lain menarik Marzuki agar menjauhi air yang mendatang itu. Nyawa harus diutamakan. Di ketika itu, air yang deras mula menyeliputi bumi Banda Aceh dan secara mendadak naik ke paras leher orang dewasa.

Marzuki berpaut pada dahan sepohon asam dan hanya mampu melihat air deras itu menerjah apa saja di laluannya. Semua habis dibawa arus. Dari pokok-pokok kecil seperti pisang hinggalah kenderaan seperti kereta habis semua disapunya.

Apabila air surut, suasana sungguh haru-biru. Bagai dunia mahu kiamat, itulah di benak fikiran masing-masing. Hilai tangis kedengaran di sana sini. Ada yang tak berkata apa-apa. Masih bingung seolah-olah tak percaya apa yang berlaku.

Para wanita menangis mengenangkan saudara, sahabat dan anak-anak yang hilang. Seorang bapa mengangkat anaknya yang terbujur kaku. Si bapa kelihatan tenang. Namun siapa tahu di hatinya. Sungguh menyayukan. Beberapa orang berserta seorang tentera mengangkat sekujur mayat lelaki dewasa. Di satu tempat, jenazah-jenazah dikumpulkan. Mayat-mayat hitam terseliputi air berabu itu.

Di satu jambatan, banyak puing-puing yang timbul hanyut di permukaan sungai dibawa arus yang sangat deras. Kelihatan beberapa orang berdiri di atasnya cuba menyelamatkan diri dari tenggelam. Sangat laju gerakan puing-puing itu. Kali ini puing-puing itu menghampiri palang jambatan itu. Beberapa pemuda cuba tunduk merendahkan badan agar tak terhantuk palang jambatan itu. Ada yang di tepi bernasib baik ditolong orang-orang di tebing sungai lalu ditarik ke atas. Bagi yang di tengah-tengah sungai, tak tahu apa nasib mereka.

Di tengah-tengah kota, Masjid Baiturrahman yang melambangkan permulaan Islam di Nusantara masih utuh tak terusik. Orang ramai berkumpul mencari rakan taulan. Tubuh-tubuh orang yang tak bernasib baik dikumpul setempat. Tak terbayang perasaan melihat insan-insan disayangi pergi buat selamanya. Mungkin sedih lagi terkenangkan jenazah-jenazah tak dapat terurus sempurna kembali ke asal kejadiannya. Tak terdaya. Darurat. Yang hanya mampu dilakukan hanyalah solat ghaib, mendoakan kesejahteraan roh-roh yang pergi mengadap Ilahi.

Mengadap antara selat tersibuk dunia ini, aku terkenang besarnya peranan laluan kecil ini. Di selat inilah, kegemilangan kerajaan silam terserlah. Siapa berkuasa di sini, makmurlah negerinya. Sriwijaya di Palembang, Melaka di Kota Melaka, Samudera-Pasai di Aceh, Johor-Riau di Johor semuanya bersilih ganti.

Asal kedua-dua seberang adalah satu negeri, kini tersisih dua angkara para penjajah dan tak dinafikan juga kelemahan pembesar-pembesar kerajaan dulu yang kurang bijak mencaturkan nasib anak cucu mereka. Bayangkan satu pulau dipajak kepada penjajah selagi ada bulan dan bintang…

Selat ini juga memisahkan dua tanah yang berlainan usia menurut bijak pandai. Di Semenanjung Tanah Melayu, bumi ini sudah berusia dan senantiasa berkedudukan diam. Di seberang sana, Pulau Sumatera masih baru dan dinamik. Pulau Sumatera termasuk dalam lingkaran api Pasifik yang aktif. Bermula dari Pulau Nicobar/Andaman, lingkaran itu melewati Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina hinggalah ke Jepun. Di sinilah Pelantar Sunda bertembung dengan Pelantar Australasia. Maka, terjadilah banyak gerakan yang menghasilkan gempa dan juga luapan tak tertahan bumi yang menghasilkan gunung berapi.

Bagi yang di seberang sini, semua bersyukur berterima kasih kepada Sang Sumatera yang berkorban diri menyelamatkan saudara lebih berumur ini dari sebarang malapetaka. Tak hairan bumi berusia ini pernah dipanggil Survanabhumi yang bermaksud “bumi emas”. Aku pernah beberapa minggu lepas bertemu seorang klien yang pejabatnya menghadap pemandangan selat cantik yang Hang Tuah tunjukkan keperkasaannya dahulu kala. Katanya,

“Kalau tiada bumi di sebelah sana itu, aku mungkin tiada lagi. Jarakku dengan pusat gempa sungguh dekat. Tapi aku selamat. Lihat, di Sri Lanka, India, Somalia yang jauh beribu batu itu terjejas teruk. Aku di sini masih lengkap sifat tubuhku. Terima kasih Sumatera. Aku menghulurkan berbagai bantuan sedayaku bagi menghargai mereka. Aku sedih mengenang nasib mereka.”

Bumi emas ini mungkin dahulu amat relevan. Kini, tanda soal besar terserlah apabila merenung status bumi emas ini. Lihat akhir Mac yang baru berlalu. Semua pencakar langit di kota-kota Semenanjung Malaysia bergoyang hasil gempa di Nias. Semuanya takut mengenang peristiwa Aceh, Sumatera Utara atau Phuket yang masih segar di ingatan. Kini semua orang menuding jari kepada pihak berkenaan dalam menangani masalah ini. Bayangkan kalau berlaku lagi pada waktu siang. Bagaimana dengan menara-menara yang penuh terisi di waktu siang itu?

Di sebalik itu, pelbagai maksud tersirat berselindung di sebalik kejadian-kejadian ini. Kalau kehendakNya, walaupun dianggap selamat, belum tentu selamat barang sesuatu itu. Ini juga mungkin petanda amarah bagi mengejutkan kelalaian yang makin menjauh dari yang hak itu.

Ombak-ombak kecil menerjah pantai menghasilkan bunyi nyaman mengejutkan aku dari lamunanku. Tenang dirimu hari ini wahai Selat Melaka. Sampai bila kau sebegini Selat Melaka?

Pos berkaitan:
Aceh Telah Hancur Tetapi Masjidnya Tetap Utuh
Tsunami - Sudah Ada Amaran Sebelum Berlaku?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...