10 April 2005

Jalan Raya di Malaysia dan Pemandunya

Hari ini, aku pulang dari kampung. Bertolak pagi, bukan seperti kebiasaannya selepas Zuhur, dengan harapan dapat pulang awal dan berehat. Namun, perancangan manusia tak selalunya tertunai. Apabila sampai di Kota Tinggi tadi, terdapat kesesakan lalulintas. Mungkin sebab orang pulang dari bercuti, sesaklah agaknya.

Namun, kesesakan hampir satu kilometer di tempat yang tak pernah aku lihat ada kesesakan itu adalah disebabkan satu lubang kecil merentangi jalan belum ditampal sebaiknya! Tesennya aku!!! Sebab ini semua orang terpaksa beranjak sedikit demi sedikit kerana perkara yang boleh dielakkan itu! Kita selalu mengalami pengalaman sebegini. Kadang-kadang sikap acuh tak acuh kontraktor yang membaiki jalan amat dikesalkan.

Semasa pulang dari kampung tiga hari lepas berhampiran kawasan yang sama, kontraktor yang sama juga sedang menampal jalan dan menyebabkan kesesakan. Bukan aku mempertikaikan kerja mereka yang akhirnya untuk kebaikan semua, tetapi mereka patut membuat perancangan rapi. Mereka seharusnya menghentikan kerja di waktu-waktu puncak dan memilih waktu kurang sesak seperti pertengahan pagi, pertengahan petang ataupun pada waktu malam untuk melakukan kerja-kerja mereka.

Semasa memulakan perjalanan pada hari yang sama, ada satu kontraktor lain tak sempat mengalihkan jentera-jentera dan lori-lori dari laluan jalan sebelum waktu orang pulang dari kerja. Oleh sebab kurang perancangan mereka, jalan sesak teruk. Hasil dari halangan-halangan ini, perjalananku ditambah sejam dari waktu kebiasaannya.

Apabila terjadi kesesakan ini, pasti akan ada pemandu yang 'kurang matang'. Mereka meluru ke depan tanpa mempedulikan orang lain. Tak sopan langsung. Tadi ada satu kereta yang memang 'tak makan saman'. Sesudah satu kejadian terawal memotong aku dari kiri, kali ini dia memotong keretaku secara tak sopan. Aku mengelak ke tepi supaya tak tertembung kereta yang membrek mengejut di depan, pemandu itu tiba-tiba menutup jalan supaya laluanku terhalang. Hendak saja dimaki pemandu itu dan berharap dia kemalangan, namun tetap bersabar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...