21 April 2005

Ruang Tamuku di Indonesia, Ruang Dapurku di Malaysia!

Bila melihat tajuk di atas, aneh bukan? Tapi ini benar-benar terjadi and mungkin juga terdapat satu-satunya di dunia ini. Para penduduk di Kampung Aji Kuning di Pulau Sebatik, pulau yang dikongsi bersama antara Malaysia dan Indonesia, mempunyai keunikan tersendiri kerana terletak di tengah-tengah sempadan antarabangsa.

Penulis pernah membaca satu pos dari seorang teman asal Palembang ini. Tidak dinyatakan dengan jelas, penulis tertanya-tanya di mana tempat itu. Setelah keluar satu artikel minggu lepas di Berita Minggu, penulis menemui jawapannya. Rupanya hal ini sudah mendapat perhatian luas media Indonesia tatkala perairan Ambalat yang dekat dengan pulau ini menjadi buah mulut hangat kedua-dua belah pihak.

Pulau ini kebanyakannya didiami penduduk berketurunan Bugis. Mereka yang terkenal suka merantau berasal dari Bone, Sulawesi Selatan dan datang ke pulau ini sekitar tahun 1975. Pada masa itu pulau ini masih hutan belantara dan merekalah yang membangun penempatan di sini.

Dek kerana tiada usaha-usaha untuk menyisihkan titik-titik persempadanan di antara kedua-dua negara, mereka terlebih dahulu membangun penempatan di situ. Hanya pada tahun 1981, baru usaha-usaha itu dilakukan. Pihak berwajib kedua-dua negara telah menandakan perbatasan secara garisan lurus dari barat ke timur dan garis itu telah melewati kawasan kampung itu. Hasilnya, beberapa rumah telah betul-betul berada di atas titik perbatasan.

Di bahagian utara Pulau Sebatik yang lebih kecil menjadi wilayah Malaysia, di bawah pentadbiran daerah Tawau, negeri Sabah dan di selatan menjadi Kecamatan Sebatik menginduk kepada Kabupaten Nunukan, Indonesia. Di Malaysia terletak Wallace Bay, Sungai Tongkang dan Kampung Melayu manakala di Indonesia terletaknya Sungai Nyamuk dan Sungai Pancang.

Walaupun pulau ini terbahagi dua, para penduduk masih hidup aman damai tanpa kongkongan persempadanan negara. Mereka bebas ke mana saja di bahagian pulau itu tanpa melalui pos imigresen. Yang ada hanyalah batu-batu penanda sempadan kedua-dua negara. Mereka malah mempunyai susur galur persaudaraan yang rapat melewati batas persempadanan itu.

Oleh kerana kedudukan pulau itu yang sangat hampir dengan Tawau, antara bandar terbesar di Sabah, penduduk di bahagian Indonesia apabila "downtown" pasti akan ke sana dengan membawa pas sempadan. Dengan berjarak hanya 20 minit menaiki bot laju, perbelanjaan mendapatkan barang-barang seharian lebih murah jika dibandingkan pergi ke pekan terdekat di Nunukan. Maka tak hairan jika matawang utama di pulau itu adalah Ringgit, bukannya Rupiah.

Seorang penduduk menyatakan susah untuk berurus niaga dengan Rupiah kerana jarang digunakan melainkan untuk mendapat petrol atau diesel yang datang dari Nunukan. Para pekedai runcit juga malah menjual barang-barang berjenama dari Malaysia seperti Milo, Maggi, Planta dan lain-lain. Barang-barang dari Malaysia ini bahkan juga dijual secara meluas di Nunukan dan sering dijadikan ole-ole oleh wisatawan tempatan dari provinsi-provinsi lain di Indonesia.

Di sini, penduduk juga menonton siaran televisyen dari Malaysia yang lebih jelas dari bandar Tawau berbanding siaran terresterial dari Indonesia yang tak tertangkap. Mereka lebih tahu berita mengenai Malaysia berbanding dari Indonesia. Apabila seluruh Indonesia sudah kecoh dengan kes pertindihan tuntutan perairan Ambalat, mereka masih lagi tak mengetahuinya kerana siaran-siaran televisyen Malaysia masih lagi "slow tone".

Baru-baru ini, kedamaian pulau ini sedikit tercalar dengan tertangkapnya beberapa orang rakyat Malaysia berasal dari luar pulau ini termasuk seorang Datuk kerana melewati kawasan Indonesia. Artikel Berita Minggu pula menyebut beberapa orang tentera Indonesia lengkap berpakaian tentera terkejut apabila melihat kelibat wartawan setelah mereka memasuki sempadan Malaysia. Penulis berharap pihak luar jangan membuat provokasi yang boleh menghancurkan keamanan dan keakraban penduduk di sini. Kalau tak ada pos imigresen itu, tong-tong sajalah. Adil bukan? Kalau nak masuk Malaysia, janganlah berpakaian tentera...

Cadangan ADUN Sebatik mungkin tak praktikal langsung berdasarkan keadaan yang telah ada di Pulau Sebatik. Beliau mencadangkan supaya didirikan pagar buat memisahkan Malaysia dan Indonesia. Beliau sepatutnya membawa lebih banyak pembangunan di bahagian Malaysia kerana para penduduk mengeluh kurangnya pembangunan di situ jika dibandingkan dengan bahagian selatan yang berada di Indonesia yang lengkap dengan bekalan air dan elektrik. Penduduk di bahagian Malaysia pula terpaksa menghantar anak-anak bersekolah di Tawau.

Penulis menganggap adalah satu cadangan bernas dari satu pihak yang mahukan pulau ini dijadikan pulau bebas cukai. Daripada membakar kelambu kerana marahkan nyamuk, lebih baik pulau itu dimajukan dan kedamaian yang unik tercapai selama ini dilestarikan.

Pos berkaitan:
Lagi Kemelut Perairan Sipadan dan Ligitan
Isu Ambalat - "Perang" Sudah Bermula!
Ganyang Malaysia Kali Kedua?!

3 ulasan:

  1. haii...

    artikel yang menarik..

    i will go to sebatik (aji kuning) doing research...

    saya amat berminat dengan artikel berkenaan...n kalau ada liputan lanjutan saya amat berbesar hati sekiranya dapat berkongsi ilmu bersama..

    adios

    BalasPadam
  2. actually, i dont know how to communicate in your blog..im not a blogger at all...juz, i wait for your respond..

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...