28 Mei 2005

Lawatan Ke Siam - Hari Kedua - Menyusuri Sistem Pengangkutan Bangkok

Image hosted by Photobucket.com

Hari ini aku bercadang hendak ke pejabat cawangan syarikat aku berkerja di daerah Klong Toey di Bangkok. Setelah menyelidiki sistem pengangkutan awam di Bangkok pada peta yang diperolehi, aku merancang untuk ke sana dengan menaiki bot berhenti-henti menyusuri Menam (Sungai) Chao Phraya yang terkenal itu, seterusnya menaiki Skytrain (macam LRT Star di KL) dan akhirnya menaiki teksi ke lokasi pejabat.

Deli tak ikut serta kerana katanya takut menaiki bot. Dia fobia kerana pernah mabuk menaiki bot di kawasan pelantar minyak di luar pantai Terengganu. Kami meyakinkan dia yang di sini adalah berlainan sekali dengan suasana di laut lepas. Di sini tak ada gelombang besar. Namun tak berjaya.

Sebelum memulakan perjalanan, kami bersarapan dahulu di hotel tempat kami menginap. Wah, enak betul sarapan di sini. Ada sarapan barat yang ala kadar itu dan paling menarik, sarapan cara Thai yang amat berat bagi sesetengah orang. Cara bersarapan di sini saling tak tumpah seperti di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Menunya seperti makan tengah hari. Ada nasi, pelbagai lauk dan sayur (sudah tentu dicampur ayam atau daging...).

Sungguh enak makan beras siam berserta lauk dan sayur Thai. Maka tak hairan begitu banyak beras Siam diseludup ke Malaysia dari Thailand kerana permintaan yang tinggi dari penduduk tempatan Malaysia. Mat Salleh yang datang bersarapan sekali agak pelik melihat kami mengambil sarapan yang mungkin sangat berat bagi mereka. Namun, bagi kami ini adalah biasa kerana kami berasal dari Pantai Timur, cuma tak ada nasi dagang di sini...

Image hosted by Photobucket.com
Tuk tuk - sistem pengangkutan jarak dekat yang efisyen di kota Bangkok

Setelah makan, aku dan Wira ke jalan raya mencari tuk-tuk, satu pengangkutan awam yang efisyen untuk perjalanan singkat. Deli pula memnawa haluan sendiri mencari teksi. Sejak dari malam tadi, aku dan Wira teruja melihat tuk-tuk di sini. Bunyi enjinnya nyaring dan apabila membrek, bunyi pecah-pecah dari ekzos ala Star Wars memang seronok didengar. Kali ini dengan harapan mendapat peluang membuat pusingan U di jalan yang sempit, seperti yang dilihat semalam, kami menahan sebuah tuk-tuk. Destinasi kami adalah stesen bot Phra Athit.

Naik tuk-tuk memang seronok tapi angin kuat dari hadapan kadang-kadang tak menyamankan. Kalau yang rambutnya tak boleh disikat dengan jari, kan haru-biru selepas set rambut cantik-cantik...

Kami tak sedar yang kami dah sampai ke destinasi. Sebelum berhenti, pemandu tuk-tuk itu membuat pusingan U yang kami tunggu-tunggu! Wow, best! Bayangkan tayar belakang tuk-tuk berpusing di tempat sama dan tayar hadapan membuat pusingan bulatan dengan laju. Seronok kan?!

Image hosted by Photobucket.com
Papan tanda stesen bot Phra Athit

Kami berjalan ke stesen bot, namun ada wanita di situ mengajak kami menaiki bot ekspresnya. Tak perlu berhenti-henti lagi katanya. Kami menolak kerana tak mahu tergesa-gesa lagipula harganya lebih mahal. Seperti biasa kerana tak mahu melepaskan pelanggan, dia berkata bot yang kami kehendaki akan sampai dalam masa sejam. Kalau naik dengan dia, tak perlu tunggu. Lupakan saja ya... Aku dah masak dengan teknik scarcity para peniaga ini. Aku belajar teknik ini di kursus Persuasion and Influence dulu.

Berputus asa, wanita itu mencadangkan kami ke tempat berdekatan untuk menaiki bot berhenti-henti. La... rupanya ini bukan stesen bot itu. Tersalah kami rupanya. Sampai di sana nampak agak ramai pelancong menunggu. Ini barulah betul. Untuk ke stesen Taksin Bridge (nama orang jahat ni...), harganya lebih kurang 100 Baht.

Sistem perjalanan bot di sini ala-ala LRT kerana ada stesen-stesennya tersendiri. Jarak antara stesen-stesen taklah jauh. Perjalanan agak perlahan tapi sesuai untuk menikmati pemandangan dan melihat cara hidup orang-orang di sini yang sampai hari ini masih bergantung kuat pada sungai walaupun sudah ada jalan darat yang meluas.

Image hosted by Photobucket.com
Antara pemandangan indah di sepanjang Menam Chao Phraya - Dawn Temple

Seronok melayan pemandangan indah di tebing sungai dan "mengacau" seorang kanak-kanak yang terpikat melihat kameraku, kami tak sedar lagi yang kami dah sampai ke Stesen Taksin Bridge yang bersambung dengan stesen Skytrain Taksin.

Image hosted by Photobucket.com
Si kecil yang suka melihat kameraku. Bila diambil gambarnya malu pula...

Semasa menaiki anak tangga stesen Skytrain, kami terlihat ada orang yang berumah di bawah tangga itu. Kawanku pernah menceritakan ada orang-orang miskin dari wilayah-wilayah luar Bangkok datang mencari peluang mengubah nasib namun tak semua berjaya. Untuk pulang semula pun tak mampu. Akhirnya tinggal saja di bawah jambatan-jambatan di kota Bangkok. Syukur ini tak ada di KL, bertuahnya rakyat Malaysia...

Tanpa menunggu lama, sebuah koc Skytrain sampai. Aku lihat koc di sini sama saja dengan sistem MRT di Singapura. Mungkin sama pengeluar agaknya. Kami menuju ke stesen Siam di daerah perniagaan pusat Bangkok. Wira berhenti di situ untuk ke kompleks perniagaan di situ, manakala aku naik Skytrain lain ke arah stesen Thong Lo.

Dari stesen Thong Lo, aku mengambil teksi ke pejabat cawangan syarikat aku berkerja. Setelah menempuh kesesakan lalulintas Bangkok yang teruk, akhirnya aku sampai. Menurut Amran, sejarah menyatakan orang zaman dahulu yang mencadangkan jalan raya luas di kota Bangkok dianggap gila kerana tak ada orang akan guna sepenuhnya jalan raya yang luas itu. Lihat hari ini, siapa yang gila?

Image hosted by Photobucket.com
Sebuah koc Skytrain meninggalkan satu stesen.

Sampai di pejabat, aku bertemu Eve, Ploy dan Amran. Aku ingin lihat cara mereka berkerja. Sempat juga aku tolong mereka sebagai penterjemah kerana tak semua pelanggan dari Malaysia boleh berbahasa Inggeris. Sedang aku melayan karenah-karenah mereka, tak sangka Uma yang dah berhenti dari syarikat datang menjenguk kerana dia sedang bercuti dari kerja barunya. Hmm, "musuhku" udah dateng! Ngapain kamu ke sini sih? Uma, kacukan Thai dan Indonesia, merupakan rakan gurauanku.

Pada lewat petang, mereka semua mengajak aku makan malam di sebuah restoran di tepi Menam Chao Phraya. Isy... mahal ni! Macam mana aku nak bayar ni. Aku senyap saja. Oh, rupa-rupanya Uma sudah meminta dari bekas bosnya untuk syarikat membayar bil makan kami nanti! Alasannya untuk meraikan tetamu. Nasib baik... fuhh lega (kedekut juga aku ni...).

Kami sampai terlebih dahulu. Puas menunggu Wira dan Deli, kami memesan makanan sementara mereka sampai. Dah sejam menunggu, barulah mereka berdua sampai. Mereka lambat sedikit kerana masing-masing tak biasa dengan Bangkok. Kami memesan makanan lagi buat mereka. Aku mencuba pulut mangga tapi tak sedap di sini. Di pejabat tadi, yang Suree beri lebih sedap.

Setelah kekenyangan dengan banyak menu yang "tuan rumah" sediakan, Amran menemani kami pulang menaiki teksi. Kebetulan rumah Amran berhampiran hotel kami, senanglah dia pulang nanti.

Sampai di hotel, kami ke Khao San Road pula. Mahu sight-seeing di sana. Di sana, kami terdengar seperti ada satu ceramah diadakan di khalayak ramai. Rupanya terdapat seorang paderi Kristian seolah-olah berkhutbah buat umatnya agar menjauhi tempat-tempat maksiat di situ... Dia masih tabah bersyarah walaupun basah berpeluh yang kebetulan pada musim yang panas itu. Suhu musim panas di seolah-olah suhu bahang dari kipas penghawa dingin!

Namun sepertinya tak ada orang yang pedulikannya. Menurut Amran, di sini semuanya terbuka. Malah berhampiran hotel kami terdapat satu kuil Yahudi. Para pelancong yang datang ke sini juga membawa ajaran mereka sekali.

Image hosted by Photobucket.com
Pemandangan malam Khao San Road

Di Khao San Road, banyak pub dan kelab malam dibuka. Terdapat juga para peniaga pakaian, kraftangan, DVD, makanan dan lain-lain. Ini seperti pasar malam di Malaysia. Harganya pula agak murah. Kami tenang berjalan kerana terlepas dari "gangguan" pempromosi kelab malam kerana mereka hanya menumpu kepada Mat Salleh.

Setelah penat, kami pulang.

***bersambung untuk hari ketiga***

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...