16 Julai 2005

Lawatan Ke Siam - Hari Keempat - Kedai Makanan Mak Yah

Image hosted by Photobucket.com

Hari ini, aku dan Wira dah berpakat untuk ke JJ Market lagi. Semalam tak puas hati langsung sebab masa terlalu suntuk untuk menjelajah pasar yang sangat luas itu. Selepas sarapan, kami mengambil teksi ke JJ Market.

Seperti semalam, cuaca memang panas. Kali ini kami lebih bersedia. Bawa bekal air banyak-banyak. Kami juga membeli jus buah ice-blended buat penghilang dahaga. Di sini jus buah sangat sedap rasanya. Para penjual menambah perahan jus limau nipis dan mereka pula pandai menentukan ramuan yang sesuai.

Kali ini aku mencari cenderahati untuk dibawa pulang sebagai ole-ole. Aku bertemu dengan tikar kecil pengalas gelas minuman dan aku terus beli. Aku juga membeli binokular. Seorang teman membawa binokularnya ke perlumbaan F1 yang lalu dan katanya dibeli di Bangkok, murah. Hmm, aku memang dapati ia murah di sini.

Kami berjalan lagi, menjelajah seluruh pelosok pasar yang tak pernah kutemui besarnya ini. Aku dan Wira membeli baju dan seluar. Memang murah. Lain kali kalau nak datang ke Bangkok, tak perlu lagi membawa pakaian. Beli saja di sini. Tak perlu juga membeli beg pakaian!

Puas di JJ Market, kami mahu ke pusat kotaraya Bangkok pula. Kami menaiki Skytrain yang terletak hanya bersebelahan dengan JJ Market untuk ke stesen Siam. Kawasan Siam seolah-olah Bukit Bintang di KL - kawasan emas sebagai pusat perniagaan utama.

Sampai di stesen Siam, kami terus ke Siam Center, salah sebuat pusat membeli-belah terkemuka di Thailand. Di sebelah Siam Center, terdapat pusat membeli-belah baru dibuka, Siam Discovery Center. Di seberang jalan pula, terdapat Mah Boon Krong atau MBK. MBK persis Sungei Wang Plaza di KL kerana banyak menjual telefon bimbit dan aksesorinya.

Image hosted by Photobucket.com
Mah Boon Krong (MBK) - tumpuan golongan muda.

Kalau dilihat pada ejaan "Center", jelas Bahasa Inggeris Amerika menjadi pilihan di sini, tak seperti Malaysia atau Singapura yang pernah dijajah British dan Bahasa Inggeris British diajar di sekolah dan pusat pengajian.

Satu lagi, disebabkan bahasa Thai ada tulisannya sendiri, proses merumikan perkataan Thai sepertinya tak ada piawai. Contohnya Jaktujak Market, ada yang mengeja Chaktuchak. Begitu juga lokasi hotel kami, Banglamphu, ada yang mengeja Banglumpoo. Contoh lain ialah Asok dengan Asoke ataupun paling dekat dengan kita, Sungai Golok dengan Sungai Kolok. Mungkin ini berlaku kerana bunyi sebutan yang agak dekat dan kedua-dua bunyi mungkin sama saja dalam bahasa Thai.

Image hosted by Photobucket.com
Unik - pondok telefon di Siam yang bergaya dengan rekabentuk Thai.

Setelah penat berjalan, Wira mahu membawa aku makan di Kedai Mak-Yah Pattani yang telah dia kenal pasti dua hari lepas. Hmm ada juga masakan Melayu di sini! Dan... siapa kata Nasi Goreng Pattaya tak ada di Thailand...?!

Berhampiran kedai Mak Yah, ada sebuah masjid. Kami solat dulu. Kelihatan para ahli kariah sedang bersiap untuk mengadakan satu majlis jamuan pada malam nanti. Kami nak tegur saudara kami itu, tapi masalah bahasa menghalang kami. Bercakap Inggeris bukannya mereka faham, kalau kami cakap Thai pula nanti orang tak mengerti!

Lepas solat kami ke Kedai Mak Yah. "Make gapo be?" kata seorang pekerja di Kedai Mak Yah menyambut kedatangan kami dengan loghat pekat Pattaninya. Aku memesan Nasi Goreng Udang. Harga makanan di sini memang mahal! Nasi gorengku harganya 80 Baht, sama dengan harga makanan di hotel aku menginap. Tapi tak apa, Mak Yah punya fasal, aku OK saja.

Image hosted by Photobucket.com
Aroi di... Kesalahan ayat itu, Mak Yah...

Kami menikmati hidangan sambil menonton tv yang menyiarkan rancangan masak-memasak yang dihoskan oleh Ogy yang bertandang ke Thailand. Aku ingat itu adalah siaran Astro. Maklumlah menurut Amran ada orang menjual Astro di pasaran gelap di Thailand. Namun itu adalah rakaman VCD saja.

Selepas makan kami ke Siam Center semula untuk window shopping. Selepas itu menaiki Skytrain ke stesen Silom untuk membeli lagi pakaian dan cenderahati.

Image hosted by Photobucket.com
Pengangkutan paling efisyen di kota Bangkok - teksi motosikal (pembonceng tak perlu pakai topi keledar!)

Malamnya kami pulang ke hotel menaiki teksi. Malang sungguh kami kerana pemandu teksi tak kenal lokasi hotel kami. Dah cakap bahasa Thai pun tak tahu juga. Lagipun dia tak bawa kacamata dan peta yang kami tunjuk pun tak berguna. Setelah puas bertanya dengan orang ramai dan berpusing-pusing di tempat sama, akhirnya dia menurunkan kami berhampiran Khao San Road. Kami pula terpaksa turun di situ saja. Kalau diteruskan, tambang makin meningkat dan masa terbuang.

Kami sampai di hotel setelah berjalan kaki. Nasib baik agak dekat dan kami dah kenal dengan jalan dari Khao San Road ke hotel. Tiba-tiba telefon berbunyi. Eve menelefonku mengajak keluar untuk minum susu. Kami cepat-cepat bersiap dan menunggu di lobi. Deli tak ikut sama kerana dia tak tahan dengan makanan Thai.

Sampai di bawah, Eve dah menunggu dengan suaminya. Kami ke kedai susu itu yang juga menjual roti. Setelah minum, suami Eve yang kami panggil Brother mengajak bersiar-siar di pusat bandaraya, melihat "kehidupan malam" di sana.

Kami ke Silom lagi. Rupanya lorong yang kami tak masuk tadi adalah lorong hotspot! Tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya Brother, kami "terselamat" dari pempromosi kelab-kelab malam yang agresif menarik pelanggan-pelanggan. Selepas itu kami minum di sebuah kelab di kawasan lain sambil menikmati live band, Kami pulang awal untuk mengelak kesesakan sebelum orang berpusu-pusu pulang apabila ditutup pada jam 1 pagi nanti.

Image hosted by Photobucket.com
Makin malam, makin rancak aktiviti kelab malam di Bangkok.

***bersambung untuk hari kelima - Grand Palace***

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...