24 Julai 2005

Lawatan Ke Siam - Hari Kelima dan Keenam - Pelengkap Lawatan

Image hosted by Photobucket.com
Panorama Grand Palace.

Pada hari kelima, aku dan Wira dah merancang untuk berjalan-jalan ke tempat-tempat bersejarah atau lebih dikenali sebagai kota lama Bangkok. Di kota lama inilah terletaknya Grand Palace, tempat acara rasmi dan adat istiadat Raja Thai, wat-wat dan beberapa monumen kerajaan. Di hadapan Grand Palace, terdapat juga Sanam Luang (rujuk catatan hari pertama), Universiti Thammasat dan Muzium Negara.

Setelah bersarapan kami menaiki tuk-tuk ke Sanam Luang dan seterusnya ke Grand Palace, satu tempat yang wajib dilawati; jika tidak, tak sahlah lawatan ke Bangkok. Di pintu masuk utama, kelihatan tertera di situ orang-orang asing dicaj lebih kurang 300 Baht manakala rakyat jelata Thai dapat masuk secara percuma. Sudah tentu rakyat Thai tidak dicaj kerana mereka masuk untuk mengadap pemerintah tertinggi mereka manakala orang asing lebih kepada lawatan pelancongan dan inilah salah satu sumber pendapatan mereka.

Image hosted by Photobucket.com
Di mana saja pasti ada potret Raja Thai. Ini adalah tanda taat setia rakyat dan mesti dihormati termasuk oleh para pelawat.

Image hosted by Photobucket.com
Seni rekabentuk Thai terserlah di Wat Po.

Image hosted by Photobucket.com
Lagi foto Wat Po.

Sebenarnya, pihak Istana khususnya atau rakyat Thai umumnya sedang berduka di atas kematian cucunda Raja Thai, bakal pewaris takhta yang terkorban angkara tsunami yang menerjah pesisir Lautan Hindi pada 26 Disember lalu. Dua tiga hari lepas, Grand Palace tak dinyalakan lampu pada waktu malam tanda berkabung setelah mayat cucunda Raja itu dibakar dalam istadat diRaja. Walau bagaimanapun, seluruh rakyat Thai juga bergembira kerana pasangan putera dan puteri Raja sudah dikurniai pengganti iaitu seorang lagi putera yang bakal mewarisi pemerintahan beraja yang sejak turun temurun itu.

Kami tak masuk ke Istana sebaliknya berkeliling di luar kawasan Istana itu yang masih banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Sebenarnya tujuan kami hanyalah untuk mengambil gambar-gambar buat koleksi. Setelah mengambil foto di Grand Palace, kami pula ke Wat Po, satu objek terkenal di Thailand dan beberapa lagi objek wisata di kota lama Thai itu. Hari kelima kami hanya dihabiskan untuk mengambil gambar-gambar saja. Kami berjalan kaki pulang ke hotel dan melalui beberapa tempat menarik lain.

Image hosted by Photobucket.com
Muzium Negara Thai yang menyimpan khazanah berharga.

Image hosted by Photobucket.com
Seorang kanak-kanak bermain dengan burung-burung di Sanam Luang.

Image hosted by Photobucket.com
Monumen Keamanan yang terletak di sebuah bulatan.

Pada hari terakhir, hari keenam, kami tak ke mana-mana kecuali ke Khao San Road pada sebelah pagi mencari barang-barang terakhir untuk dibawa pulang. Di sebelah petangnya kami ke pusat kotaraya Bangkok sekejap dan pulang awal sedikit kerana mahu bersiap sedia untuk berlepas pulang pada waktu malam nanti.

Kami dah berjanji dengan meja hadapan hotel untuk daftar keluar lebih lambat sedikit pada jam 1.00 kerana mahu bersiap diri selepas ke Khao San Road dan mahu solat dahulu.

Image hosted by Photobucket.com
Thailand memang terkenal dengan rekaan motor cub atau moped. Ini adalah model Yamaha Nouvo terbaru. Apabila aku pulang, ia baru saja dilancarkan di Malaysia.

Image hosted by Photobucket.com
Unik. Tuk-tuk tergantung di Khao San Road.

Setelah daftar keluar, kami ke daerah pusat perniagaan Bangkok, ke Siam dan Sukhumvit. Kami melengkapkan lawatan kami ke Bangkok dengan merasa menaiki MRT, iaitu versi Skytrain yang sebaliknya beroperasi di bawah tanah. Agak menarik, MRT tak menggunakan tiket tetapi menggunakan token ala permainan video.

Pada jam 5.00 petang, kami pulang ke hotel untuk makan buat kali terakhir di hotel tempat kami berkampung hampir seminggu itu. Sedih juga... Setelah memastikan semua barang dibawa bersama, kami ke lapangan terbang menaiki teksi.

Image hosted by Photobucket.com
Sebuah stesen MRT di Bangkok.

Image hosted by Photobucket.com
Sebuah stesen minyak PETRONAS di Bangkok.

Aku agak terkejut kerana di lapangan terbang ada surau untuk orang Islam bersembahyang. Tak sangka di sebuah negara bukan Islam, kemudahan ini disediakan. Apabila membaca doa yang tertera di situ yang ditulis dalam tulisan Jawi dan Thai, barulah aku faham di samping untuk bersembahyang, surau ini juga dijadikan tempat terakhir untuk berkumpul sebelum jemaah-jemaah haji berlepas ke Mekah.

Nampak kerajaan Thai liberal dalam memastikan keperluan orang Islam dipenuhi. Menurut Amran, sejak kes Masjid Krisek dan Tak Bai, kepekaan masyarakat Siam yang majoritinya Buddha terhadap Islam bertambah. Cuma cara pihak kerajaan menangani orang Islam/Melayu di Selatan kurang disenangi oleh dunia Islam khasnya jiran-jirannya, malah di pihak rakyat Thai sendiri.

Di dalam pesawat, kelihatan penuh dengan rakyat Malaysia yang sama seperti kami bercuti sempena Hari Buruh. Apa-apa pun, Bangkok, kami tetap datang lagi. Terima kasih tak terhingga buat teman-teman di Bangkok yang melayan kami. Kami memang berseronok semasa di Bangkok!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...