13 Ogos 2005

Jerebu - Permasalahan Yang Melangkaui Sempadan Negara

Jerebu, masalah yang sama kita lalui saban tahun sejak 20 tahun lalu. Cuma intensitinya yang berbeza dari tahun ke tahun bergantung kepada cuaca dan arah angin. Pada kali ini, keadaannya adalah paling teruk di Lembah Kelang sejak tahun 1997 sehinggakan Kerajaan mengisytiharkan darurat di dua kawasan iaitu Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang. Kedua-dua kawasan itu melebihi tahap darurat iaitu Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencatatkan nilai atas 500.

Di samping punca kecil lokal seperti asap kenderaan dan kilang serta kebakaran kecil hutan di Semenanjung Malaysia, punca terbesar adalah dari Sumatera, Indonesia. Di provinsi Riau, banyak titik-titik panas dikesan dengan menggunakan imej satelit. Titik-titik panas ini adalah api dari pembakaran hutan yang bertujuan pertanian. Pembakaran hutan adalah cara paling mudah dan ekonomik serta memperkaya nutrien tanah yang akhirnya ditanam dengan anak kelapa sawit dan sebagainya.

Dari sudut kemaslahatan umum, pembakaran hutan merupakan satu bencana yang bukan sahaja tertumpu di kawasan setempat malah melangkaui sempadan negara dan menjadi masalah serantau. Asap ini mengandungi bahan-bahan tercemar yang tidak baik kepada kesihatan. Habuk-habuk yang berterbangan di udara ini mengancam pengidap asma, yang sakit dada, sakit mata dan sebagainya. Jarak penglihatan yang semakin pendek juga boleh mengancam pergerakan lalulintas baik di udara, air mahupun darat.

Sudah lebih 20 tahun, negara-negara ASEAN bersidang untuk menangani permasalahan ini namun pelaksanaannya tak terlihat langsung. Negara utama penyebab masalah ini, Indonesia, sudah menyatakan komitmen, mengakui ada undang-undang dalaman yang ketat; namun setiap tahun asap-asap putih ini yang bahasa Melayunya jerebu dan bahasa Indonesianya kabut asap tetap berterbangan bebas di rantau Asia Tenggara melangkaui sempadan politik kenegaraan.

Pelaksanaan undang-undang yang terhambat di Indonesia ini menimbulkan banyak tanda tanya. Di kalangan negara Asia Tenggara khususnya Malaysia sudah faham dengan masalah dalaman Indonesia. Dengan negara yang luas, tenaga pentadbir tidak cukup dan kawasan-kawasan punca jerebu sukar diakses. Pun begitu, terdapat masalah lain yang diduga menghalang usaha murni ini. Mungkin karenah birokrasi dan makan suap atau korupsi di kalangan pegawai menyebabkan segala resolusi tak terlaksana. Bayangkan kesungguhan Malaysia membantu Indonesia dengan menghantar pasukan bomba dan penyelamat ke Sumatera untuk membantu memadam kebkaran pun sukar dilakukan dek karenah birokrasi.

Kesabaran negara tetangga Indonesia memang ada tahapnya. Di Malaysia, para ibubapa tak mahu melihat persekolahan anak-anak terus ditangguh lagi setelah dua hari ditutup sejak Khamis lalu. Jika Pelabuhan Kelang atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terpaksa ditutup, sudah pasti aktiviti perekonomian negara terganggu dan merugikan negara. Ini tak termasuk para pelancong yang membatalkan penempahan mereka. Ketika ini penulis yang berada di Pantai Timur Semenanjung yang jerebunya sedikit kurang menyaksikan ramai teman-teman pulang dari Kuala Lumpur bagi menghindari jerebu itu.

Di samping kita menyalahkan para sang rakus yang berkepentingan sendiri itu, kita juga patut sedari ini adalah satu ujian dan juga mungkin satu bala. Peringatan dariNya harus difikir-fikirkan. Namun kali ini, berkat ketabahan dan kepasrahan kepada yang Maha Kuasa, jerebu beransur pulih. Perintah darurat di dua kawasan itu ditarikbalik. Jerebu beransur pulih walaupun kini ia beralih ke utara Semenanjung Malaysia. Penulis melihat selepas solat Jumaat, jerebu beransur pulih. Mungkin permintaan para jemaah yang bersama-sama solat hajat beramai-ramai mahukan keadaan kembali normal dimakbulkan Sang Khalik.

Harap semuanya kembali ke asal tapi tahun depan boleh jamin ini berkekalan lagi?

6 ulasan:

  1. Mungkin asap asap tu hukuman buat malaysia yang sombong dan arogan, yang selalu merendahkan dan meremehkan negara lain.

    BalasPadam
  2. Yang bodoh dan sombong itulah yang selalu membuatkan orang memandang rendah kepadanya. Masalah di halaman sendiri tak tertangani lalu menyusahkan orang lain dikatakan hukuman untuk yang orang lain.. Nak tolong pun sombong. No wonder negara tak maju-maju...

    BalasPadam
  3. lebih baik miskin daripada sedikit maju saja sudah merasa sombong dan arogan seperti malaysia.

    BalasPadam
  4. Assalamualikum

    sudah-jangan bertengkar, Malaysia- indonesia sama sama satu rumpun melayu, mari kita jayakan rumpun melayu di dunia ini. Jangan saling menghina dan menjatuhkan, mayoriti penduduk dari kedua negara adalah Muslim, sesama muslim adalah bersaudara seharusnya saling membantu dan bekerja sama demi kemajuan dan kejayaan Islam.

    BalasPadam
  5. 8 perusahaan asal malaysia terlibat pembakaran ladang di sumatera (jadi tak sepenuhnya kesalahan rakyat indonesia)

    Utusan online, 18 ogus 2005

    JAKARTA 15 Ogos - Indonesia mengenal pasti lapan daripada 10 syarikat peladangan di Riau yang melakukan pembakaran terbuka untuk membersihkan kawasan ladang kelapa sawit adalah dari Malaysia.

    Lapan syarikat Malaysia itu ialah PT Tunggal Mitra Plantation, PT Langgam Inti Hibrida, PT Udaya Loh Jinawe, PT Agri Plantation, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri, PT Bumi Reksa Nusa Sejati dan PT Mustika Agro Lestari dengan keluasan ladang kira-kira 200,00 hektar.

    Menteri Perhutanan, M.S Kaban berkata, senarai nama lapan syarikat Malaysia itu akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia, esok untuk tindakan lanjut sesuai dengan kesepakatan antara kedua-dua buah negara.

    Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan untuk mendakwa syarikat bermodal penuh dari Malaysia itu ke mahkamah negara ini sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini.

    ``Daripada 10 syarikat, lapan dari Malaysia. Tetapi apa yang mahu saya katakan ialah syarikat Malaysia banyak terbabit kerana memang banyak syarikat Malaysia yang terlibat membuka ladang di Riau,'' katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

    Kaban berkata, syarikat-syarikat Indonesia yang menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan kawasan ladang juga akan dikenakan tindakan yang sama.

    Katanya, mereka boleh memberi alasan kerja membersihkan ladang diserahkan kepada kontraktor tetapi hakikatnya tanah itu adalah milik mereka.

    ``Sebenarnya dari dulu syarikat tempatan yang menggunakan kaedah yang sama telah dikenakan tindakan, bukan sahaja dari Malaysia,'' jelasnya.

    Ditanya mengenai kemarahan sebahagian penduduk Malaysia terhadap jerebu yang berpunca dari kebakaran hutan di Indonesia, Kaban berkata, beliau memahami perasaan tersebut.

    Katanya, penduduk setempat juga melahirkan kemarahan kepada pemerintah termasuk mengadakan demonstrasi kerana gagal mengawal kebakaran yang menjadi punca jerebu di kota-kota di Sumatera dan Kalimantan.

    Beliau menjelaskan pihaknya menjalin kerjasama yang baik dengan Malaysia untuk membantu memadam kebakaran termasuk menerima kehadiran pasukan Bomba dan melakukan hujan buatan.

    ``Kita sangat senang menerima bantuan Malaysia. Ini contoh semangat kerjasama yang baik ditunjukkan oleh negara jiran untuk sama-sama menyelesaikan masalah dan bukannya saling menyalahkan,'' jelasnya.

    Kaban menambah pihaknya telah menyediakan enam pesawat untuk melakukan hujan buatan dengan tumpuan kawasan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia.

    Katanya, Indonesia juga akan menyediakan dua buah pesawat khusus yang dapat mengangkut air bagi memadam kebakaran.

    ``Dengan usaha memadam kebakaran yang kita lakukan dan bantuan hujan, titik panas juga sudah berkurangan, umpamanya hari ini di Kalimantan Barat hanya 134 titik dikesan berbanding 304 titik sebelum ini,'' katanya. - Utusan

    BalasPadam
  6. http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...