31 Ogos 2005

Merdeka dan Memerdekakan Diri



Hari ini Malaysia menyambut kemerdekaannya yang ke-48 setelah berkurun dijajah kuasa Barat walaupun sekejap di bawah "pembela orang Asia", Jepun. Bermula dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511 di tangan Peringgi, Belanda dan Inggeris, negeri-negeri Melayu mulai terpecah dan jatuh ke tangan pihak lain. Setelah semangat nasionalisme tercetus dan kemerdekaan dicapai, peta negara-negara wujud. Walaupun sesetengahnya merdeka dan maju, masih ada yang terjajah dan teraniaya di tanah sendiri...

OK, lupakan dulu perkara itu. Yang ingin dikupas di sini adalah realiti hari ini. Saban tahun, semua orang ternanti-nanti detik 12 malam 31 Ogos. Pelbagai acara diadakan seperti konsert, parti, makan minum (sampai mabuk pun ada) dan di sudut lain, ada yang berdoa bersembahyang supaya kesejahteraan dan kemakmuran berterusan.

Tahukah pembaca bahawa di Semenanjung kita sebenarnya menyambut kemerdekaan sejam lebih awal? Itu adalah realiti hasil pemiawaian waktu Malaysia. Waktu piawai Malaysia adalah mengikut waktu di Sabah iaitu sejam lebih awal. Waktu di Sabah inilah yang bersamaan dengan kota besar utama lain di Asia iaitu Hong Kong dan Shanghai.

Waktu di Semenanjung pernah dianjak beberapa kali antaranya untuk "memanjangkan" waktu siang dan akhirnya dianjak terus sehingga sama waktunya di seluruh Malaysia. Kalau diikutkan waktu sebenar berdasarkan terbit dan turun matahari, waktu Kuala Lumpur bersamaan dengan waktu Bangkok dan Jakarta.

Satu isu dibangkitkan berkenaan kemerdekaan ini. Bagi penduduk Sabah dan Sarawak, tarikh merdeka hakiki mereka adalah 16 September 1963 iaitu hari kedua-dua negeri ini menyertai penubuhan Malaysia. Jadi, tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu adalah untuk Persekutuan Tanah Melayu (negeri-negeri Semenanjung) sahaja. Sebelum tarikh penubuhan Malaysia, kedua-dua negeri masih di bawah kekuasaan British.

Jadi, tarikh sebenar kemerdekaan adalah 16 September dan tahun ini menyaksikan kemerdekaan hanyalah disambut kali yang ke-42. Namun bulan kemerdekaan ini tetap disambut kerana ia telah dilakukan sejak dulu lagi. Bagi penulis, ini adalah benar tapi jika dilihat dari sudut lebih luas, takkan orang Semenanjung saja yang mahu menyambut kemerdekaan. Kemajuan, kemewahan dan kemakmuran negara hari ini adalah usaha bersama dan sudah tentu rakyat Sabah dan Sarawak bangga menjadi rakyat Malaysia.

Dalam kita menyambut kemerdekaan ini, sedarkah kita sama ada kita benar-benar merdeka dan mempunyai identiti sebagai seorang rakyat Malaysia? Rasanya banyak yang merdeka dari segi kebebasan sahaja. Kebebasan berjalan ke mana saja dalam negara ini, kebebasan bekerja dan berniaga, kebebasan membentuk kekeluargaan, walaupun kebebasan bersuara yang kadang-kadang tersekat.

Kebebasan dari segi menangkis anasir-anasir luar supaya ada identiti sendiri cuma sedikit kurang. Jelas banyak yang terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang malas untuk ditulis di sini kerana ini dah bertahun-tahun malah berdekad-dekad diperkatakan.

Kalau diperhalusi, banyak yang dah tak beridentitikan Malaysia lagi. Semuanya ala-ala Barat. Dari nama (walaupun bukannya Kristian), cara berpakaian, bertutur bahasa ibunda sehingga huruf t dan r yang dah lain bunyinya, tak dicampur lagi dengan errr ala-ala London, semuanya dah berubah. Di mana Malaysia Truly Asia kita (bak kata temanku dari Bangkok)?

Identiti kebangsaan kita banyak yang dah hilang. Contoh bahasa kebangsaan. Ada yang memberi ucapan kemerdekaan dalam bahasa asing walaupun berkebangsaan Malaysia? Pelik dan jelik. Kenapa ini berlaku? Tak mahir berbahasa kebangsaan? Rasanya di Malaysia tak ada dasar untuk bertutur satu bahasa kebangsaan sahaja sepertimana di sesetengah negara. Sedang semua orang berlumba-lumba mempelajari bahasa ketiga, keempat malah kelima, kenapa ditinggalkan bahasa kebangsaan yang tempat paling ideal untuk dipraktikkan adalah di negara sendiri?

Mungkin juga ini kesilapan penutur bahasa kebangsaan itu sendiri. Umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, dalam mengejar untuk menguasai bahasa lain, bahasa sendiri dah sukar untuk dipertuturkan. Maka lahirlah bahasa rojak yang seolah-olah bahasa sendiri tak pernah wujud perbendaharaan kata sendiri.

Itu bahasa, satu lagi pegangan agama kita. Rasanya banyak yang meninggalkan tiang agama yang patut dibina lima kali sehari itu. Semua mengejar karier tetapi terlupa pada kewajipan. Cara berfikir di pejabat begitu kritis sekali, mampu membuat keputusan yang membawa keuntungan berbilion ringgit tetapi terlupa untuk membuat keputusan bagi pelaburan jangka panjang iaitu akhirat. World, world juga, akhirat jangan lupa...

Berhampiran rumahku ini, ada pengubahsuaian rumah. Pekerjanya dari tanah seberang yang juga kupasti seagama denganku tapi kerjanya terlalu kuat. Tak ada rehat sampai terlajak Jumaatnya entah ke mana. Waktu lain tak kiralah. Bang, uang-uang juga... Tak tahulah sama ada kemahuan sendiri atau "tak merdeka" kerana mengikut arahan boss yang sebangsa denganku ini.

Kita memang dah merdeka tapi rasanya harus "dimerdekakan" lagi diri kita ini.

2 ulasan:

  1. karena luasnya wilayah Indonesia , Di Indonesia terdapat 3 wilayah waktu yaitu Waktu Indonesia Barat (WIB), Waktu Indonesia Tengah (WITA), dan waktu Indonesia Timur (WIT).

    waktu Indonesia Barat (WIB) satu jam lebih lambat dari waktu Indonesia tengah (WITA) dan lebih lambat 2 jam dari waktu Indonesia timur (WIT)

    waktu Indonesia Tengah (WITA) sama dengan waktu di malaysia, singapura dan brunei darussalam.

    misalnya, waktu Indonesia barat (WIB) jam 7 pagi, di waktu indonesia tengah (WITA) jam 8 pagi, dan di waktu Indonesia Timur (WIT) jam 9 pagi.

    waktu Indonesia barat(WIB) berlaku di pulau sumatera dan pulau jawa. sedang waktu Indonesia tengah berlaku di pulau kalimantan, pulau Bali, kepulauan nusa tengara barat, dan waktu indonesia Timur (WIT) berlaku di pulau sulawesi, nusa tenggara timur, kepulauan maluku, serta pulau Papua.

    BalasPadam
  2. Ya, besar indonesia ni. Ada banyak pulau. Kalau bisnes cruiser dari Aceh ke Papua ini mencabar juga, tapi tentu unik...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...