12 Disember 2005

Lupa, Tak Ingat?

Bagiku, bab-bab nombor ini sukar aku nak ingat. Kalau tengah hafal nombor telefon, kalau ada orang tegur diriku, pasti kulupa nombor yang kuhafal itu. Aku ingat nombor kad kredit aku pun berdasarkan bagaimana pergerakan jariku menekan nombor enam belas digit itu. Nombor terpanjang yang kuingat adalah nombor kad pengenalanku, sudah tentu!

Minggu lepas sewaktu ku ke Melaka, aku terpaksa bertukar-tukar hotel kerana hotel sudah penuh di musim cuti sekolah begini. Apabila mendapat nombor bilik, kutinggalkan kad yang mengandungi nombor bilik itu di atas meja di bilik. Yang kubawa hanyalah kad akses bilik.

Di hotel pertama, aku masih ingat lagi nombor bilikku tetapi di hotel kedua aku terlupa. Banyak sangat nombor yang harus kuingat pada hari ini. Apabila pulang semula ke hotel, dengan yakinnya ku ke tingkat 13. Setelah keluar dari lif di tingkat 13, barulah kusedar tingkat 13 adalah di hotel terdahulu.

Bagaimana ini? Hendak turun semula le lobi malaslah. Lalu kutelefon kawanku tapi tak berjawab. Kumenelefon pihak hotel tetapi mereka tak dapat memberi informasi atas faktor keselamatan. Kalau nak, kenalah turun ke bawah.

Telefon sekali lagi kawanku itu. Akhirnya dapat. Dia di tingkat 18, dan aku pun tahu yang aku berada di tingkat atasnya iaitu tingkat 19. Terpaksa gunakan formula lagi - aku setingkat di atasnya.

Keesokannya aku bergegas pulang semula ke hotel kerana waktu daftar keluar sudah hampir tiba. Kad akses itu tak akan berfungsi jika terlebih waktu daftar keluar iaitu jam 1200.

Sedang kuberharap agar kuboleh masuk lagi ke bilikku, kumencuba beberapa kali memasukkan kadku, tapi tak berhasil. Tiba-tiba ada orang membuka pintu bilik dari dalam... Arghhh malunya!!! Dah tersalah bilik. Penghuni bilik itu terkejut melihatku. Kumeminta maaf banyak-banyak.

Rupanya bilikku di sebelah! Nasib baik boleh masuk lagi kebilikku. Bilik yang kucuba masuk tadi adalah 1910, padahal bilikku adalah 1908! Kenapa? Ini terjadi kerana semalam bilikku bernombor 1310!

Hmm, teladan dari cerita ini, jangan asingkan kad akses dengan kad yang ditulis nombor bilik.

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...