20 Januari 2005

Selamat Hai Raya Korban

Sudah lama tidak aku memblog di sini. Sepanjang dua minggu lepas aku ke Kota Singa. Mau kemaskini blog pun susah kerana talian Internet yang perlahan.

Apa-apa pun, kuucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir batin dan semoga perayaan ini membawa keinsafan dan kesyukuran kita pada yang Maha Esa.

Sebut berkenaan raya korban ini, petang semalam, ada Pak Imam surau datang ke rumah aku memberikan kupon untuk mengambil daging korban esok. Eh, aku layak ke? Aku sering terfikir kalau diikutkan betul-betul hukum memberikan daging korban, ia hanya layak untuk diberikan kepada para fakir miskin sahaja. Namun di Malaysia ini dengan segala kemewahan yang dikurniaNya, susah untuk mencari fakir miskin di sini. Lalu, daging korban diberikan kepada sesiapa sahaja.

Berbalik kepada kupon tadi, lalu aku berikan sahaja kepada jiranku kerana fikirku anaknya ramai. Lagi pula, aku akan pulang ke kampung dan tak berkesempatan untuk mengambil daging korban itu.

Diberitakan ada satu kumpulan di Malaysia yang menghantar daging korban kepada mangsa-mangsa Tsunami Islam di Indonesia dan Sri Lanka. Ini baru betul-betul sampai kepada golongan sasar. Begitu juga dengan umat Islam Singapura yang menempah daging korban di Australia dan mengetin daging korban itu kepada para mangsa-mangsa Tsunami Islam di beberapa negara.

Mungkin dengan globalisasi hari ini, kita tak perlu lagi berbataskan sempadan wilayah atau negara.

06 Januari 2005

Aceh Telah Hancur Tetapi Masjidnya Tetap Utuh

Seantero dunia sudah tahu Aceh adalah tempat paling teruk terjejas kesan kejadian gempa bumi dan gelombang besar 26 Disember lalu. Dengan kematian dan kehilangan orang tersayang melebihi 100,000 orang, malapetaka itu merupakan yang terburuk dalam sejarah manusia. Malah ini jauh melampaui kemusnahan Krakatoa lebih sekurun lalu yang meragut 32,000 nyawa.

Melihat kemusnahan terbesar itu, para mangsa dari Aceh menceritakan mereka ingat dunia sudah kiamat. Bagi kita yang tak terjejas dengan kejadian itu, sudah tentu membuatkan kita insaf yang dunia ini hanya sementara. Dengan kehendakNya, semua habis musnah sekelip mata.


Menyayat hati... Seorang anak kecil yang melecur teruk di muka ditenangkan ibunya yang juga turut cedera.

Menonton berita berkenaan seorang saudara kita dari Aceh di tv semalam betul-betul mengingatkan aku suatu perkara yang pelik tapi menginsafkan. Rizal, nama pemuda itu, telah diselamatkan setelah sembilan hari hanyut di samudera. Dia tidak putus-putus berdoa dan membaca ayat-ayat Quran sepanjang tersadai di laut. Katanya ketika kejadian dia sedang membina masjid bersama rakan-rakan. Nah lihat, mungkin kerana kerja-kerja kebajikannya sebelum kejadian, dia ditakdirkan selamat.


Rizal ditemui masih hidup walaupun sembilan hari terapung di tengah laut.

Mengingatkan perihal Rizal, aku telah lihat beberapa gambar menakjubkan yang menunjukkan beberapa masjid tetap utuh walaupun seluruh kawasan habis disapu dek gelonbang besar. Mungkin ada yang mendakwa masjid-masjid itu tetap tegak kerana diperbuat daripada batu dan simen dibandingkan dengan rumah penduduk kampung yang dibina daripada kayu dan amat mudah hancur apabila ditolak tenaga besar.

Namun, menurut beberapa penuntut Malaysia di Aceh, masjid itu tetap bersih walaupun puing-puing dari malapetaka itu berselerakan di sekeliling masjid. Lihatlah beberapa gambar di bawah yang memeperlihatkan kekuasaanNya. Masya-Allah.


Sebuah masjid di Keude Teunom, Aceh tetap teguh berdiri walaupun kawasan sekitar mengalami kemusnahan.


Yang tinggal di satu kawasan di Meulaboh ini adalah... sebuah masjid.


Lagi gambar di masjid Kuede Teunom, Aceh.


Masjid Baturrahman yang terkenal di Banda Aceh ini masih tetap di tapak asalnya walaupun hampir keseluruhan kota itu hancur.

Pos berkaitan:
Tsunami - Sudah Ada Amaran Sebelum Berlaku?

04 Januari 2005

Malaysia 1 INDONESIA 4

Apa sudah jadi? Bermacam-macam tajuk berita keluar hari ini di bahagian sukan. 'Tsunami' di Bukit Jalil, Empat Pada Skala Richter, Aib di Gelanggang Sendiri dan lain-lain. Menurut Bertalan Biskei, para pemain Malaysia lemah dari segi mental. Ada pemain yang mahu dikeluarkan pada saat genting kerana tidak tahan menanggung tekanan. Nampaknya Biskei, kamu tertinggal satu lagi subjek untuk pemainmu - ketahanan mental.

30 minit terakhir rupanya terlalu panjang untuk pemain-pemain Malaysia. Indonesia telah meledak empat gol. Pemain Malaysia tampak kurang bersungguh-sungguh menguasai bola dibandingkan dengan pemain Indonesia. Amri Yahyah banyak mempersia-siakan peluang dan suka membuang bola. Begitu juga Fadzli Saari yang kurang berkesan. Khalid Jamlus pula terlalu 'berlembut' walaupun skilnya boleh mengucar-kacirkan lawan.

V Saravanan memujuk rakan sepasukan selepas kalah 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan separuh akhir Piala Tiger di Bukit Jalil. Malaysia menang 2-1 pada perlawanan pertama di Jakarta.












Kesilapan demi kesilapan dari Norhafiz Zamani seolah-olah melenyapkan persembahan cemerlangnya sebelum ini. Setiap kali dia melakukan kesilapan, pasti Malaysia dihukum Indonesia. Begitulah pentingnya beliau di bahagian pertahanan. Penjaga gol Syamsuri Mustafa (bekas pelajar sekolah aku ni...) pula seharusnya lebih mampu bertindak menampan bola yang sepatutnya dianggap mudah bagi seorang penjaga gol antarabangsa. Dari awal lagi kulihat cara dia kurang meyakinkan.

Mungkin seorang pemain yang dianggap berkesan dari pasukan Malaysia adalah Liew Kit Kong, penjaring berganda di Jakarta tempoh hari. Namun gara-gara terjahan kuat dari pemain Indonesia, dia terpaksa keluar awal.

Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya pasukan bolasepak Malaysia sudah ada peningkatan. Tidak semacam dahulu yang tiada langsung keyakinan dan menendang bola ke mana saja.

____________________________________________________

Sila klik di sini >>> untuk melihat komen lain seorang teman berkenaan kegagalan pasukan bolasepak Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...