28 Februari 2005

Arghhhhh!!

Arghhhh! Tensennye aku malam ni. Badan aku dah panas ni. Tak boleh nak tidur. Tensen aku tengok Liverpool kalah. Ini adalah kerana Si Gerrard, Stevie Tak Wonder tu! Main tamak, semua bola nak kat dia. Alih-alih dia yang score gol... sendiri!

Aku rasa manager dia kena jual dia secepat mungkin, sebelum dia memusnahkan pasukan Liverpool. Tengok saja Owen tahun lepas. Main cam sial. Orang bagi bola penat-penat, dia pulak kaki pengkang. Lepas Gerrard score gol sendiri tadi, dia cam tak wujud langsung kat atas padang tu. Tendang bola slow, bagi kat orang.

Camne Liverpool score gol kedua tadi hah? Aku dah alih channel lepas Chelsea score gol ketiga. Grrr menyampah aku tengok Jose tu berlagak...

Mmmm pagi esok start minggu baru... aku tak tido lagi ni, sure mengantuk esok. Apalah masalah akan mendatang minggu ni ya? Malasnye nak kerja... Appraisal tak lama lagi...

19 Februari 2005

Singapura Memperbanyakkan Penutur Bahasa Melayu

Diberitakan Singapura sedang berusaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga di sekolah, selepas Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Usul ini diutarakan oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew setelah pihak Singapura menghadapi kesukaran dari segi bahasa semasa misi kemanusiaan ke bumi Aceh yang dilanda gempa bumi dan tsunami tempoh hari.

Ini berlaku kerana taklimat yang diberikan oleh pihak Tentara Nasional Indonesia (TNI) adalah dalam bahasa Indonesia dan pada masa itu hanya beberapa orang sahaja seperti Perdana Menteri Singapura sendiri, Lee Hsien Loong, Menteri Pertahanan dan beberapa pegawai tertinggi tentera yang dapat memahami taklimat yang diberikan.

Sebelum gesaan ini dibuat, beberapa buah sekolah menengah di Singapura secara tidak rasmi sudah mengadakan pilihan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga untuk penutur bukan bahasa Melayu. Banyak penuntut bukan Melayu belajar bahasa ini sebagai bahasa komunikasi untuk berhubung dengan penutur bahasa Melayu di Singapura dan juga di negara jiran serantau seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Nampaknya Singapura sudah nampak peri pentingnya bahasa Melayu di rantau ini. Selama ini, sejak dikeluarkan dari Malaysia, Singapura telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pentadbiran dan ia mengambil alih tempat Bahasa Melayu yang sejak berzaman menjadi lingua franca di kalangan rakyat negara yang berbilang kaum itu. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan selama ini hanyalah tertulis di dalam perlembagaan dan tidak dipraktikkan.

Keadaan ini menyebabkan satu generasi iaitu golongan muda sudah tidak mampu lagi bertutur dalam bahasa Melayu kerana lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris. Di pasar-pasar, sebagai contoh, bahasa Melayu sangat sukar didengari sebagai bahasa pengantara sepertimana bahasa Inggeris dan Mandarin.

Tidak dinafikan bahasa Inggeris sangat penting dalam dunia global hari ini, bahasa Melayu juga tidak boleh diketepikan sama sekali sebagaimana bahasa Mandarin atau Jepun yang boleh dijadikan kelebihan seseorang dalam pasaran kerja. Mengikut statistik, bahasa Melayu adalah antara 7 bahasa yang paling dipertuturkan di dunia. Jadi, dengan penutur yang sebegitu ramai sudah tentu bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat penting.

Mungkin Singapura sudah nampak akan nilai ekonomi bahasa ini sendiri di masa depan. Sekarang ini banyak orang berlumba-lumba mempelajari bahasa Mandarin untuk menembusi pasaran China yang mendadak naik. Mungkin selepas ini, selain India, Indonesia juga mungkin menjadi tumpuan pasaran kerana sumbernya yang besar. Dengan memiliki rakyat yang keempat teramai di dunia, sumber alam yang kaya serta angin perubahan politik yang melanda negara itu, tidak mustahil orang akan tertumpu kepada Indonesia pula.

Bercakap bahasa lokal sebenarnya memberikan banyak impak kepada perusahaan-perusahaan. Bercakap dialek yang sama dengan pelanggan sebenarnya mendekatkan si penjual dan si pembeli. Keberkesanan komunikasi juga lebih baik kerana masing-masing dapat memahami kehendak antara satu sama lain dengan mudah. Ada juga komuniti yang "pantang" orang bertutur bahasa selain dari ibunda sendiri dan dengan bertutur dalam bahasa yang disenangi, seseorang mudah memenangi hati orang lain.

Pos berkaitan:
Ketchup
Bahasa Indonesia - Mengapa Bahasa Melayu?
10 Bahasa Paling Dipertuturkan Di Dunia

01 Februari 2005

Siaran TV Terrestrial Tidak Menguntungkan?

Hari ini 1 Feb 2005. Selain sebagai tarikh yang 'ditakuti' oleh para Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tarikh pengampunan sudah berakhir, tarikh ini juga menandakan tiada lagi pancaran siaran Channel 9 di Malaysia dan Channel i di Singapura.

Punca utama penutupan itu adalah kerana kekurangan sumber pendapatan dari iklan. Setelah Channel 9 diambil alih oleh THR, rating stesen itu jatuh merudum, ditambah pula dengan kemunculan 8TV yang terbang megah bersama rancangan Malaysian Idol pertama. Dulu, Channel 9 menjadi stesen "mesti tonton" bukan sahaja kerana ia adalah stesen baru, bahkan rancangan seperti La Liga Sepanyol, Fashion TV dan Entertainment Now membuatkan penonton melekat dan bersengkang mata menghadap tv.

Sebelum penutupannya, Channel 9 memperagakan slogan Malaysia-lah dan lebih banyak menyiarkan drama ditujukan kepada setiap komuniti di Malaysia. Ada drama berbahasa Indonesia, Tamil dan Cina. Rupanya rakyat Malaysia sudah muak dengan drama-drama kerana di RTM sendiri, saban hari kita disuap dengan pelbagai drama seantero dunia yang berbilang bahasa itu.

Penamatan berita dari Bernama juga mencacatkan Channel 9 dan lebih mengharukan lagi, siaran berita ehsan dari RTM tersekat setengah jalan bagi memberi laluan kepada rancangan lain. Aku sendiri pun dah lama tak menonton Channel 9 ini. Setelah masalah suara pada awal kemunculannya di sini, kini sudah dibaiki, akhirnya Channel 9 terkubur sementara menanti ada pihak ingin memilikinya. Dengar khabar, Astro ingin mengambil alih Channel 9 dan ingin mungkin perkara menarik sebab Astro seperti ingin keluar mencari sesuatu yang baru dari perniagaan tv berbayarnya.

Di Singapura pula, Channel i hari ini tidak bersiaran lagi. Walaupun sudah menutup operasi sejak 1 Januari setelah diambil alih oleh Mediacorp dari SPH Mediaworks, ia masih menayangkan notis penutupannya selama sebulan. Punca utama penutupan ialah kurangnya daya saing siaran berbahasa Inggeris di Singapura yang menyebabkan kurangnya pendapatan dari iklan.

Agak ironi kerana semasa di bawah SPH dahulu, kembar Channel i, Channel U yang berbahasa Mandarin mendapat rating tertinggi dalam kelasnya. Nampaknya siaran berbahasa Inggeris di Singapura sukar bertapak memandangkan banyak lagi siaran kabel tv berbahasa Inggeris yang sudah ada reputasi di peringkat antarabangsa seperti STAR TV, HBO dan lain-lain menjadi pilihan di sini.

Sila klik di sini untuk melihat perkara sama yang dikupas oleh seorang teman.

Pos berkaitan:
Anugerah Televisyen Asia 2004
Watch TV
Misteri Nusantara
Who Wants To Be/Steal A Millionaire
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...