27 Mac 2005

100 Tahun Malay College Kuala Kangsar (MCKK)

Image hosted by Photobucket.comSemalam, 26 Mac 2005, Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College Kuala Kangsar (MCKK) telah diisytiharkan sebagai satu warisan negara dan bangsa bersempena sambutan 100 tahun penubuhannya sebagai sebuah institusi perdana di negara ini.

"Pada hari ini, beta dan Raja-raja Melayu berkenan untuk kekal sebagai penaung Malay College Kuala Kangsar selagi ada peredaran bulan, bintang dan matahari." Begitulah ikrar oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di majlis penuh adat istiadat itu.

Perarakan membawa watikah pengisytiharan itu dimulakan dari Istana Bukit Chandan, tempat tercetusnya idea penubuhan kolej ini, ke tanah kolej penuh berjasa sejauh kira-kira tiga kilometer. Yang menarik perarakan itu mirip rombongan raja-raja zaman dahulu, diiringi tujuh tujuh ekor gajah, 100 tentera berpakaian hulubalang zaman dahulu kala, 300 orang siswa kolej dan diketuai oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah yang juga bekas pelajar (bagi yang tak kenal, inilah orang paling ditunggu-tunggu pada malam sebelum Raya Puasa dan Raya Haji...)

Image hosted by Photobucket.com
Perarakan penuh istiadat diiringi gajah-gajah beserta para hulubalang persis perarakan Diraja dahulu kala.

Watikah itu kemudian diserahkan kepada Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK. Turut mencemar duli beberapa Raja-raja Melayu yang pernah menuntut di sini seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Sultan Sharafuddin Idris Shah (Sultan Selangor) dan Tuanku Jaafar (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan). Beberapa pemimpin kerajaan yang juga bekas pelajar berada di situ seperti Tun Mohd Khalil Yaakob (Yang Dipertua Negeri Melaka), Datuk Ramli Ngah Talib (Speaker Dewan Rakyat), Datuk Tajul Rosli Ghazali (Menteri Besar Perak), Datuk Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Pelajaran) dan Datuk Nazri Aziz (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) beserta beratus pelajar sekarang dan lepas.

Image hosted by Photobucket.com
Upacara penyerahan watikah pengisytiharan MCKK sebagai warisan bangsa dan negara.

Aku sebenarnya berasa envy kerana tak dapat bersama-sama menyertai majlis itu. Bukan mudah dapat menyaksikan majlis sebegitu sekarang ini. Aku terbayang alangkah bagusnya kalau aku dapat mengambil foto-foto di majlis unik ini. Aku hanya dapat berita berkeaan majlis ini pada saat-saat akhir dari seorang teman sebatch. Aku dah tahu majlis ini akan berlangsung pada tahun ini, cuma tak tahu bila tarikhnya. :-(

Image hosted by Photobucket.com
Seri Paduka memeriksa barisan pelajar MCKK.

MCKK pada asalnya ditubuhkan atas desakan revolusi pendidikan yang mahukan orang Melayu lari dari pendidikan petani dan nelayan berkebolehan sahaja demi kepentingan negeri-negeri Melayu. Hasil usahasama empat pemerintah Melayu iaitu Sultan Idris (Perak), Sultan Sulaiman (Selangor), Sultan Ahmad (Pahang) dan Yang Dipertuan Besar Mohd Shah (Negeri Sembilan), tertubuhlah kolej ini pada tahun 1905. Sultan Idris sendiri telah mengurniakan sebidang tanah di Kuala Kangsar bagi tapak kolej yang megah berdiri hingga ke hari ini. Bagi mengenang jasa besar pemimpin-pemimpin terulung itu, nama rumah-rumah hingga hari ini diambil dari nama Sultan-sultan itu iaitu Mohd Shah (kuning) di Pavilion, Sulaiman (merah) di West Wing, Idris (putih) di Overfloor dan Ahmad (hitam) di East Wing.

Image hosted by Photobucket.com
Yang Dipertuan Agong (tengah) di samping bekas pelajar. Dari kiri Raja Muda Perak, Sultan Selangor, Sultan Perak, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pada asalnya kolej ini hanyalah dihuni oleh golongan elit Melayu seperti kerabat-kerabat diraja Melayu dan golongan bangsawan. Selepas zaman perang, barulah terdapat lebih ramai pelajar-pelajar Melayu dari golongan rakyat biasa. Kolej ini diasaskan dari sekolah bangsawan Inggeris, Eton College di England dan tak hairan MCKK juga dipanggil Eton of the East. Sejak penubuhannya, ramai pemimpin-pemimpin dan negarawan berjasa telah dilahirkan. Antaranya Datuk Onn Jaafar (pengasas UMNO), Tun Abdul Razak (Perdana Menteri kedua), Pak Sako (nasionalis) dan satu nama yang sengaja dilupakan di dada-dada akhbar arus perdana yang menyiarkan berita pengisytiran itu hari ini (fobia agaknya...) ialah mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Juga dilahirkan adalah ahli-ahli perniagaan terkenal seperti Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad dan Tan Sri Halim Saat.

Image hosted by Photobucket.com
Ucapan Daulat Tuanku berkumandang oleh pelajar-pelajar MCKK.

Dari segi sukan, seiring dengan kecermelangan akademik, MCKK juga melahirkan atlet-atlet bertaraf kebangsaan. Sukan cukup dititikberatkan seperti adanya perlawanan tahunan seperti pertandingan rugbi tahunan antara MCKK dan Kolej Vajirabudh, Bangkok, MCKK-Royal Military College (RMC) Tournament yang melibatkan semua jenis sukan ternama. Di MCKK juga terdapat satu-satunya gelanggang Eton Fives di Asia. Di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan, MCKK adalah nama yang cukup gah dalam apa saja jenis sukan.

Namun, hari ini orang mempertikaikan gelaran School of Kings, King of Schools yang diberikan kepada MCKK ini. Cream of the Malays juga satu nama yang mungkin tak relevan lagi. Para ibubapa tak berminat lagi menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh kerana sekolah-sekolah biasa juga boleh melahirkan pelajar cemerlang malah mendapat lebih keselesaan di rumah. Mungkin ada benarnya. Lihat saja Nur Amalina yang mendapat 17A1 dalam SPM tempoh hari. Dia keluar dari Kolej Tunku Khursiah (TKC) dan Sekolah Tun Fatimah (STF) untuk belajar di sekolah biasa dan seterusnya mencatat rekod sebagai orang terpandai dalam sejarah SPM. Seperti jawapan yang diberikan kepada Halim Othman dalam H.O. Live di Astro Ria sekejap tadi, Nur Amalina lebih suka belajar sambil mendengar muzik dan menonton tv yang ditegah jika di asrama. Beliau suka kebisingan.

Image hosted by Photobucket.com
Karikatur oleh Lat yang disiarkan oleh NST penuh dengan maksud tersirat tentang perlunya kecemerlangan dikembalikan di MCKK.

Lihat saja bila ada keputusan PMR atau SPM, nama MCKK langsung tak kedengaran. Yang ada hanyalah bila ada kes parang para pelajar. Uh uh uh... Satu hal lagi yang jelas ialah laman web MCKK sendiri. Tak dikemaskini, gambar tak muncul. Harap pihak sekolah lakukan sesuatu supaya MCKK sendiri tak ketinggalan di zaman siber ini. Mungkin bekas pelajar seperti MCOBA dan MalayCollege.com boleh tolong.

Apa-apa pun kepada semua Budak Koleq, past and present, selamat ulangtahun ke seratus. Teringat makan di Kuala - Soud, Yut Loy (yang jual pau terhad di majlis ini...), hantu?! Green Lady? Harap-harap Budak Koleq bangkit kembali dengan megah bersut Melayu dan samping unik dikenali itu atau bertali leher yang dipakai oleh Old Boy pada setiap hari Rabu itu. Fiat Sapienta Virtus harus dipegangi.

Image hosted by Photobucket.com
The Alma Mater - now.

Laman-laman pautan berguna MCKK:
Malay College Old Boys Ascociation (MCOBA)
Malay College.com
Laman rasmi MCKK
Malaysia Kini - Malaysia's Eton Looks to Restore Glory
MakanSakan.com - Chicken Pau @ Yut Loy, Kuala Kangsar

Sumber gambar: NST, Berita Harian, The Star, Bernama

26 Mac 2005

Perlumbaan Formula 1 Malaysia 2005

Pada asalnya aku tak sanggup ke Sepang lagi tahun ini. Bukan apa, dengan kesesakan lalulintasnya dan cuaca yang sangat panas, aku tak mahu menyeksa badanku dan juga keretaku lagi. Dulu, penghawa dingin kereta aku buat hal. Biasalah, Proton – kereta hanya sekadar untuk berada di jalan raya.

Namun tahun ini semuanya sudah agak berubah. Bagi mengekang kesesakan atau temanku dari seberang sebut kemacetan, pihak trafik mengadakan lorong “kontra”, istilah yang pernah digunakan di Lebuhraya Utara Selatan dulu. Lorong kontra bermaksud lorong yang bertentangan dengan kita dijadikan lorong tambahan yang sehaluan dengan kita atau boleh juga dijadikan sebaliknya.

Kesesakan hanya berlaku sekejap iaitu sebelum lampu isyarat ke litar. Kelihatan ramai juga yang mengambil pengangkutan awam seperti bas tempahan, terutama sekali para pelancong. Mereka mengambil bas shuttle yang berhenti-henti di hotel-hotel utama di KL.

Sesudah parkir kereta, perkara paling memenatkan harus dilakukan iaitu berjalan kaki ke litar yang jaraknya hampir satu kilometer. Cuaca amat panas pada hari itu, sekitar 35 darjah Celcius! Angin juga langsung tak terasa. Bahang.

Aku memang membawa bekal air bagi mengelak dehidrasi. Kalau ikut peraturan, tak boleh membawa minuman atau makanan tapi kerana orang tempatan, pekerja litar membenarkan dengan syarat masukkan dalam beg dan jangan terlalu kelihatan. Kalau nak beli minuman di dalam, mahu “pokai” habis! Mana tidaknya, air mineral sejuk RM8.00 satu botol! Mat Salleh bolehlah beli. Duit dia tinggi. Makanan yang dijual pun tak sedap – kononnya nak ikut selera si hidung tinggi tu, tak boleh pedas. Burger RM20 yang aku beli masa pusingan kelayakan memang tak sedap langsung! Lain kali buka McD di situ lagi sedap.

Masuk ke gerbang litar, orang dah ramai. Nak masuk pun susah. Aku cepat-cepat ke tempat duduk utama kerana dah tak tahan basah berpeluh. Masa aku sampai, pusingan kedua kelayakan dah tamat. Melepas aku. Sebelum perlumbaan juga diadakan pertandingan Formula Malaysia dan Piala Carrera Porsche.

Perlumbaan diadakan tepat jam 2.00 petang. Kali ini, penyokong Ferrari nampaknya agak senyap. Tak seperti tahun-tahun lepas, perlumbaan belum bermula tapi mereka dah menang sorak. Aku cukup lucu melihat apabila penyokong pasukan Ferrari terpaksa berhimpit ke bahagian tempat duduk utama yang agak jauh dari grid permulaan kerana pasukan Ferrari kali ini terperosok ke grid belakang! Biasanya mereka ini sanggup menempah di hadapan grid dengan harapan dapat mengambil foto mesin perlumbaan pujaan mereka.

Sesuatu yang menarik tapi pelik juga berlaku apabila tahun ini tiba-tiba ramai orang berbaju biru muda – baju pasukan Rennault! Ini tak seperti tahun-tahun lepas. Hisyh… ini mungkin penyokong “kapal layar”. Kalau di sekolah dulu, “kapal layar” bermakna pelajar yang tak ada jenis permainan sukan dan main apa saja yang dia suka. Di Formula 1 ini, mungkin mereka ini menyokong Rennault disebabkan persembahan memberangsangkan di Australia tempoh hari.

Kalau pasukan Liga Perdana Inggeris, banyak penyokong kapal layar ini. Dulu masa MU kuat, banyaklah penyokong MU. Lepas itu Arsenal pula. Dan sekarang Chelsea. Dulu masa Liverpool menang lima piala pada 2001, banyak juga yang menyokong Liverpool sekejap.

Pelumbaan cukup menarik bagiku. Hanya satu sebab iaitu tak ada kereta merah di depan! Lagipula aku sokong pasukan Toyota. Kereta-kereta mereka di depan. Ini sudah tentu melegakan. Pada awal perlumbaan cuaca sangat panas. Suhu pada asphalt ialah 46 darjah Celcius dan suhu ambien pada 36 darjah Celcius. Masa aku solat tak terasa langsung penghawa dingin. Panas, berpeluh dan rimas. Tapi OK sebab aku dah lama tak berpeluh. Bagaimanapun di hujung perlumbaan, cuaca agak redup kerana kawasan litar diselubungi jerebu atau kabut asap yang terhasil dari kebakaran hutan yang berdekatan.

Perlumbaan berakhir dengan Ferrari gagal menaiki podium! Alonso dari Rennault menang tempat pertama diikuti pasukanku Toyota dan ketiga BMW. Sebaik berakhir, aku terus pulang. Tak mahu kesesakan lagi. Penat. Bagi yang masih bertenaga atau memang peminat fanatik artis-artis, mereka menunggu untuk satu konsert F1 anjuran Astro. Ada artis-artis top Malaysia, Indonesia dan juga dari Thailand.

Seperti dijangka, nak keluar dari tempat parkir memang menjerihkan. Semua orang berpusu-pusu keluar. Aku menghabiskan masa 20 minit untuk keluar dari parkir itu. Apabila berada di jalan raya, semuanya lancar. Kudos buat polis trafik, mereka berjaya mengawal lalulintas dengan baik sekali. Aku pulang tanpa halangan ke Putrajaya walaupun hujan di tengah jalan.

Dengar khabar dari temanku, Lebuhraya KL-Seremban sesak teruk kerana bertembung dengan orang yang baru pulang bercuti setelah cuti sekolah berakhir. Tambahan pula pada waktu itu hujan. Aku terbaca seorang pelancong Jerman mengeluh kerana mengambil masa empat jam untuk pulang ke KL menaiki komuter. Ini normal bagi kita tapi penganjur harus memperbaiki keadaan pada perlumbaan mendatang.

Hmm… penat tapi menghiburkan. Ini adalah perlumbaan terbaik pernah aku saksikan. Penonton juga mencatat jumlah tertinggi dalam sejarah Sepang iaitu seramai 110,000 orang. 40,000 daripadanya adalah pelancong asing.

Untuk melihat koleksi gambar-gambar di Sepang, sila klik gambar di bawah.

23 Mac 2005

Lagi Kemelut Perairan Sipadan dan Ligitan

Sepeninggalanku selama lima hari, blogku penuh dengan pelbagai komen dari para pengunjung berkenaan pertindihan kawasan blok minyak Petronas di perairan Sipadan dan Ligitan atau di Indonesia dipanggil kasus Ambalat. Banyak kritikan dari Indonesia yang menghentam pendapatku. Aku siarkan beberapa komen yang aku dapat yang dihantar beberapa kali daripada seorang yang prihatin ini, Irnalita:

1. Hello nama saya Irnalita orang Indonesia bermukim di Switzerland. sebagai bangsa Indnesia dan cinta bangsa juga nasionalisme yang tinggi. setelah melihat perdebatan antara bangsa Indonesia dan Malaysia ... kesimpulan saya, malaysia yang menganut faham syariah dan hukum islam mengapa kok mau mencuri pulau yang bukan harta milik bangsanya, itu namanya mau makan barang haram! wassalam

2. saya asli indonesia ingin menjawab view khairul.hi kamu orang bodoh dan picik, dari bicara kamu aku lihat kamu orang rendahat yang bermoral rendah. kalau kamu merasa orang baik, kamu tidak bicar rendah begitu. tong kosong bunyinya nyaring, manusia macam kamu yang berhati sempit dan sifat setan!!! kasihan manusia macam kamu. wassalam

3. melihat jawaban salah satu orang malaysia yang mengatakan kalau:kami merdeka bukan dari england tapi dari British, mbok ya kamu bodoh sekali, keduanya ya sama toh ... piyee kamu. ha ha ha

4. hi khairul, kalau kamu bilang orang ind tidak tahu diuntung lalu apa sebutan orang macam kamu. yang pastinya tong kosong nyaring bunyinya. lha jelas-jelas bukan hak bangsa kamu kok mau nyuri, itu namanya suka makan barang haram!!!


Waalaikumussalam wbt. Irnalita,

Berkenaan barang yang dianggap haram ini, adakah ia benar-benar haram? Kalau difikir dari pihak Malaysia, kamu juga bisa dibilang mau makan yang bukan hak kamu! Tempat itu kan dikatakan kawasan bertindih, yaani masih menjadi rebutan kedua-dua belah pihak. Jadinya, selagi kawasan itu belum diputuskan secara hukum internasional yang diperakui oleh seluruh negara sedunia, Indonesia bahkan Malaysia tidak berhak mengatakan itu adalah wilayahnya. Permasalahan ini harus diselesaikan secara adil dan sekarang rundingan antara kedua negara sedang diusahakan. Mengapa harus ribut-ribut mengatakan itu adalah hak mutlak Indonesia sedangkan rundingan masih berlangsung?

Kedua, saya masih tidak mengerti bagaimana kamu yang katanya tinggal di Switzerland masih kurang arif tentang bedanya England dan British. England adalah sebuah negara di bawah Britain bersama-sama Scotland dan Wales. Britain ini juga dipanggil United Kingdom (UK). Perkataan British adalah bersangkut paut dengan Britain. Contohnya pada zaman dahulu disebut empayar British. Jadinya, jelas England itu adalah berlainan sekali dengan British/Britain.

Di samping itu, ada juga komen yang datang dari Tawau, Sabah ini. Orang Bugis - nampak jelas Malaysia dan Indonesia ini umpama satu badan, tangan kanan memukul tangan kiri, satu badan terasa sakit. Namun masih ada bagian yang sakit tak terubati iaitu bagian berkanser atau kanker. Bagian inilah yang lantang berdemo menyalak sana sini, kurang bijak, penuh emosi, tidak berbuat sesuatu yang memajukan diri dan orang lain, dan malah bisa menjahanamkan bagian-bagian yang masih sihat walafiat. OK, kembali kepada komen dari Rudy ini:

1. kami tidak mau pulau Ambalat/pulau Sebatik. kami mau hak kami yang ada di kawasan kami. kami tidak mahu hasil yang haram. saya orang bugis. tapi saya tetap pertahankan hak Malaysia. kami tidak mau rampas apa-apa dari kamu

2. kami tidak mau rampas apa-apa dari kamu. sebelah pulau hak Malaysia yang sebelah lagi hak indonesia. kami tidak mau rampas. kamu ada buktikah yang menyatakan kami
merampas pulau tu. pihak tentera Malaysia langsung tidak mengelabah. indo perlu kawal diri

3. pinggan tak retak nasi tak dingin orang tak hendak dia pulak yang naik angin

4. kami tak benci indon, kami cintakan kedamaian dan keamanan, sekarang ni pun kumpulan peterpan sangat diminati di Tawau. kami tak mau perang kami mau saudara kami cinta mencintai


Pos berkaitan:
Isu Ambalat - "Perang" Sudah Bermula!
Ganyang Malaysia Kali Kedua?!

10 Mac 2005

Isu Ambalat - "Perang" Sudah Bermula!

Hangat!! Hangat!! Nampaknya perang sudah bermula. Belumpun perang terjadi di Perairan Ambalat, "perang" maya sudah bermula di Internet! Lelaman atau situs aku juga dijadikan pautan dari ramai teman-teman seblog berbicara tentang kes Ambalat ini. Ada berbagai-bagai pandangan, menyokong mahupun membangkang. Sebelum aku mengulas lebih lanjut, berbanyak terima kasih buat Bahtiar dan Priyadi serta Yonky kerana menyediakan pelbagai pautan berkenaan kes Ambalat ini.

Menutur Detik, di kala isu ini hangat diperkatakan, beberapa lelaman rasmi Malaysia telah diceroboh. Tak tahu siapa yang buat. Mungkin dari Indonesia? Atau dari Malaysia sendiri?! Atau dari pihak lain yang ingin menangguk di air keruh? Paling kurang ajar adalah lelaman Sultan Perak telah dipampang bendera merah putih Indonesia beserta amaran buat Pak Lah. Di muka lain lelaman itu, diletak pula gambar Dian Sastrowardoyo! Isy.. kena tulah baru tahu si pembuat angkara ni! Menderhaka namanya ni! Sultan Perak tu keturunan Sultan Melaka tau...

Selain itu, laman web KL Pages, JKR dan USM juga diceroboh dengan memasukkan bendera Indonesia, memperdengarkan lagu kebangsaan Indonesia dan amaran buat pihak Malaysia. Walau bagaimanapun, hasil pemantauanku, sekarang ini lelaman itu sudah kembali ke asal.

Menurut Noirkudus, usah kita bersengketa, sebaliknya kita bersatu menentang musuh kita yang terang-terangan iaitu Yahudi yang menceroboh Palestin. Hmm memang benar tu. Bukankah sesama Islam haram saling berkelahi? Mengapa tidak bersatu menentang Israel?

Paling lucu adalah satu emel layang yang mendoakan kecelakaan untuk seluruh rakyat Malaysia kecuali.... SITI NURHALIZA! Oh benci-benci Malaysia masih sayang Siti ya!! Kalau dah perang, bagaimana mahu menonton konser atau membeli album baru Siti nanti?! He.. he.. (Rujuk Bahtiar)

Stesen RCTI pula menyiarkan beberapa relawan yang mahu berperang dengan Malaysia sudah memulakan latihan fizikal di Jawa Timur. Aku melihat satu aksi paranormal di mana pelatih seolah-olah dirasuk. Eh, jangan main dukun santet tau! Kita boleh import bomoh Siam! Nanti ber"sawadikap sabaidi mai kap kop khun kap" baru tau... Di Probolinggo, satu tunjuk perasaan diadakan siap dengan ritual berkemenyan dan mencalit darah di jari ke kertas, tanda siap berkorban darah. Di Situbondo, ilmu kebal juga akan diajari buat bekal ke medan perang kelak.

Bagi yang berfikir "keluar dari kotak" (think out of the box), mereka menduga ini adalah percaturan politik SBY dengan bantuan Pak Lah dalam menghadapi masalah dalaman Indonesia seperti tunjuk perasaan membantah kenaikan bahan bakar minyak (BBM) atau "barang-barang mahal". Boleh jatuh karier politik seseorang di Indonesia gara-gara unjuk rasa di jalanan ini. Menurut Patriot, ini mungkin satu cara SBY menyelamatkan karier politiknya. SBY juga tertekan dengan isu tenaga kerja Indonesia (TKI) haram atau PATI yang diarah pulang ke Indonesia.

Mungkin ya? Mungkin tidak? Tapi kelihatan isu ini sebenarnya diapi-apikan oleh media-media Indonesia. Unjuk rasa di jalanan itu hanyalah disertai sejumlah kecil orang jika dibandingkan dengan ramainya penduduk sesuatu kawasan di Indonesia. Ini tidak seperti masa reformasi dahulu ataupun paling terbaru semasa tunjuk perasaan membantah tuduhan Thailand yang Indonesia merupakan tempat latihan militan di Selatan Thailand. SCTV misalnya menyiarkan satu laporan tentang kekuatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Image hosted by Photobucket.com





Peta tempat pertikaian. Kenapa SCTV memasukkan Pulau Sipadan dan Ligitan yang dimiliki Malaysia dalam kawasan Indonesia?

Di Malaysia, berita berkenaan kes Ambalat ini hanyalah berita kecil. Mungkin kerana kawalan untuk tidak membangkitkan memarahan rakyat. Rakyat Malaysia juga mungkin menganggap kes ini adalah kecil dan banyak perkara lebih besar lagi harus diatasi. Dalam pada itu, banyak foktor dalaman Indonesia mungkin menaikkan amarah pihak Indonesia terutamanya Tentara Nasional Indonesia (TNI). Setelah kehilangan Timor Timur yang merdeka hasil bantuan pihak Anglician dan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia, Indonesia tak mahu lagi terpalit malu di muka mereka. Sila rujuk temanku, Krinch.

Di kalangan rakyat Indonesia, yang paling lantang bersuara menentang Malaysia adalah golongan TKI yang pernah tertindas di Malaysia. Kerana tidak ada rasa kemanusiaan, para majikan mengambil kesempatan seperti tidak membayar gaji para TKI haram kerana mereka sudah tahu dari segi undang-undang, para TKI itu tidak dilindungi. Tambahan pula, TKI haram itu kurang berpengetahuan tentang hak-hak mereka dan terlalu ghairah mencari rezeki melalui jalan pintas.

Apa-apa pun, harapnya kita semua tak terprovokasi dengan pelbagai aksi bodoh atau goblok dari "kanak-kanak" ini, bak kata Alex dari Aceh. Fikirkanlah, kalau perang di mana rakyat Indonesia mahu mencari rezeki?Di pihak Malaysia, mana mahu mencari tenaga kerja yang memudahkan dari segi bahasa dan agama? Paling penting, siapa mahu membantu pembangunan semula Kota Aceh...?!

Pos berkaitan:
Ganyang Malaysia Kali Kedua?!

08 Mac 2005

Ganyang Malaysia Kali Kedua?!

Sekembali dari outstation hari ini, aku menonton berita televisyen Indonesia. Terkejut aku kerana isu sempadan di Laut Sulawesi sebenarnya satu perkara yang maha berat lagi hangat di Indonesia. Aku melihat berita yang disiarkan di Malaysia kelihatan masih di dalam "kawalan" kerana kesediaan pihak Malaysia ke meja rundingan.

Di kota-kota besar di Indonesia seperti Jakarta, Solo dan Makassar, banyak demonstrasi atau unjuk rasa diadakan di jalanan. Geram aku melihat aksi beberapa orang yang menggelarkan diri sebagai "relawan negara yang sanggup berkorban jiwa raga" memperlekeh dan memijak-mijak bendera Malaysia dan langsung dibakar! Inilah orang-orang yang berfikiran sempit yang hanya melihat sesuatu dari satu sudut sahaja. Aku harap ini adalah golongan terisolasi di Indonesia. Majoriti bukan begitu harapnya.

Image hosted by Photobucket.com









Aksi membakar bendera Malaysia oleh ekstrimis Indonesia. Sabar.... itu bukan "bendera" Malaysia. Bintangnya cuma lima dan jalur merah putih hanyalah dua belas, bukan empat belas...

Media-media Indonesia juga melaporkan Presiden SBY sudah melawat perairan yang dipertikaikan itu di Pulau Ambalat, pulau yang terbahagi dua milik Malaysia dan Indonesia. Walau bagaimanapun, pihak Tentara Nasional Indonesia (TNI) juga diberitakan sudah bersiap untuk bertempur di perbatasan. Segala kelengkapan perang sudah disiapkan di situ.

Dalam pada itu, Ketua DPR, Agung Laksono dengan angkuh menggesa Indonesia "mengajar" Malaysia dengan tindakan ketenteraan. Baginya kes ini tak perlu ke Mahkamah Antarabangsa kerana sudah jelas kawasan itu adalah hakmilik Indonesia. Nampaknya "jungle rule" juga pilihannya di zaman serba canggih ini. Beberapa pimpinan DPR lain juga menggesa Indonesia memutuskan hubungan dan mengibarkan perang terhadap Malaysia.

Media juga mengetengahkan kerugian ekonomi Indonesia jika negara itu terlepas kawasan blok minyak yang dipertikaikan itu kepada Malaysia. Aku terfikir sekarang ini pun berapa banyak lagi kerugian ekonomi di pihak Indonesia walaupun banyak sumber alam di negara beribu pulau itu dek kelemahan pengurusan dan amalan rasuah atau korupsi yang dianggap "halal" dalam kehidupan seharian.

Lihat saja kes pendatang haram tanpa izin (PATI) yang ingin masuk semula ke Malaysia. Ongkosnya terlalu tinggi kerana banyak "mark up" dari pelbagai pihak sebelum dokumen legal diisu. Nampaknya "uang pelincir" adalah sesuatu kemestian...

Dalam kes memicu semangat nasionalisme ini walaupun berhadapan negara serumpun, media-media di Indonesia juga harus dipertikaikan. RCTI misalnya menyiarkan kembali video seruan Ganyang Malaysia oleh Sukarno. SCTV pula menyuruh para pelajar Indonesia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyanyi lagu nasional Indonesia, Indonesia Raya. Kelihatan para mahasiswa itu agak bersahaja, seolah-olah tidak mempedulikan isu "hangat" itu.

SCTV juga melaporkan para PATI yang sedang bersembunyi dari pihak berkuasa di sebuah kawasan di Selangor bersedia untuk mempertahankan negara!! Hei.. sedarlah diri itu sikit, tak tahu dek untung! Ingat di mana bumi dipijak!

Sekadar renungan, jika berperang, di mana mahu mencari rezeki? Di mana mahu belajar? Kenapa dengan sekecil butir pasir masuk ke pinggan, seluruh nasi mesti dibuang? Ikatan serumpun bangsa, seagama tidak harus terlerai begitu sahaja. Setiap masalah ada penyelesaian. Malaysia sudah bersedia bermesyuarah, kenapa harus dikeruhkan keadaan?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...