22 April 2005

Siti Nurhaliza Jadi Duta di Indonesia?

Rupanya usul Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri Malaysia yang mahu Siti Nurhaliza menjadi duta buat menjernihkan hubungan keruh Malaysia-Indonesia akhir-akhir ini mendapat perhatian hangat di Indonesia.

Siti, seperti diketahui, sangat diminati dan dijadikan idola di Indonesia. Lagunya manjadi dendangan di segenap ceruk rantau Indonesia. Penampilan beliau menjadi sumber inspirasi di Indonesia.

Menurut temanku di sana, Siti diminati kerana tutur sopan budi bahasanya. Lagunya juga merupakan satu alternatif baru kepada dunia tarik suara (nyanyian) di sana. Malah fesyen pakaiannya juga menjadi ikutan di sana.

Selain itu, Siti juga mendapat pujian ulama terkemuka Indonesia, Kiyai Haji Gymnastiar Abdullah atau panggilan mesra beliau Aa Gym (aa dalam bahasa Sunda bererti abang). Aa Gym sudah lama "meminati" Siti sebenarnya, cuma akhir-akhir ini didedahkan secara sensasi oleh media hiburan Malaysia dan menjadi hangat di sini.

Walaupun disalah tafsir oleh media-media di sana yang Siti akan menjadi dubes (DUta BESar) Malaysia di Indonesia, bukan menjadi wakil buat memperbaiki hubungan Malaysia-Indonesia sebagaimana maksud asal, ku sungguh tercuit hati melihat komen-komen dari pelawat di blog Priyadi ini.

Berikut adalah vocab penting untuk yang tak biasa dengan dialek Jakarta:

1. ndak (Jawa) = tidak
2. jelek = buruk, tak cantik
3. nggak - kekadang ditulis gak (Betawi) = tidak
4. in (Betawi) = kan, contoh dijadiin = dijadikan
5. banget/bangat = sangat
6. mendingan = lebih baik
7. kantor = pejabat
8. kedubes = KEDUtaan BESar
9. kayaknya = gayanya

Eh.. jadi cikgu bahasa pulak aku ni...

Pos berkaitan:
Siti Nurhaliza Can't Speak English?

21 April 2005

Ruang Tamuku di Indonesia, Ruang Dapurku di Malaysia!

Bila melihat tajuk di atas, aneh bukan? Tapi ini benar-benar terjadi and mungkin juga terdapat satu-satunya di dunia ini. Para penduduk di Kampung Aji Kuning di Pulau Sebatik, pulau yang dikongsi bersama antara Malaysia dan Indonesia, mempunyai keunikan tersendiri kerana terletak di tengah-tengah sempadan antarabangsa.

Penulis pernah membaca satu pos dari seorang teman asal Palembang ini. Tidak dinyatakan dengan jelas, penulis tertanya-tanya di mana tempat itu. Setelah keluar satu artikel minggu lepas di Berita Minggu, penulis menemui jawapannya. Rupanya hal ini sudah mendapat perhatian luas media Indonesia tatkala perairan Ambalat yang dekat dengan pulau ini menjadi buah mulut hangat kedua-dua belah pihak.

Pulau ini kebanyakannya didiami penduduk berketurunan Bugis. Mereka yang terkenal suka merantau berasal dari Bone, Sulawesi Selatan dan datang ke pulau ini sekitar tahun 1975. Pada masa itu pulau ini masih hutan belantara dan merekalah yang membangun penempatan di sini.

Dek kerana tiada usaha-usaha untuk menyisihkan titik-titik persempadanan di antara kedua-dua negara, mereka terlebih dahulu membangun penempatan di situ. Hanya pada tahun 1981, baru usaha-usaha itu dilakukan. Pihak berwajib kedua-dua negara telah menandakan perbatasan secara garisan lurus dari barat ke timur dan garis itu telah melewati kawasan kampung itu. Hasilnya, beberapa rumah telah betul-betul berada di atas titik perbatasan.

Di bahagian utara Pulau Sebatik yang lebih kecil menjadi wilayah Malaysia, di bawah pentadbiran daerah Tawau, negeri Sabah dan di selatan menjadi Kecamatan Sebatik menginduk kepada Kabupaten Nunukan, Indonesia. Di Malaysia terletak Wallace Bay, Sungai Tongkang dan Kampung Melayu manakala di Indonesia terletaknya Sungai Nyamuk dan Sungai Pancang.

Walaupun pulau ini terbahagi dua, para penduduk masih hidup aman damai tanpa kongkongan persempadanan negara. Mereka bebas ke mana saja di bahagian pulau itu tanpa melalui pos imigresen. Yang ada hanyalah batu-batu penanda sempadan kedua-dua negara. Mereka malah mempunyai susur galur persaudaraan yang rapat melewati batas persempadanan itu.

Oleh kerana kedudukan pulau itu yang sangat hampir dengan Tawau, antara bandar terbesar di Sabah, penduduk di bahagian Indonesia apabila "downtown" pasti akan ke sana dengan membawa pas sempadan. Dengan berjarak hanya 20 minit menaiki bot laju, perbelanjaan mendapatkan barang-barang seharian lebih murah jika dibandingkan pergi ke pekan terdekat di Nunukan. Maka tak hairan jika matawang utama di pulau itu adalah Ringgit, bukannya Rupiah.

Seorang penduduk menyatakan susah untuk berurus niaga dengan Rupiah kerana jarang digunakan melainkan untuk mendapat petrol atau diesel yang datang dari Nunukan. Para pekedai runcit juga malah menjual barang-barang berjenama dari Malaysia seperti Milo, Maggi, Planta dan lain-lain. Barang-barang dari Malaysia ini bahkan juga dijual secara meluas di Nunukan dan sering dijadikan ole-ole oleh wisatawan tempatan dari provinsi-provinsi lain di Indonesia.

Di sini, penduduk juga menonton siaran televisyen dari Malaysia yang lebih jelas dari bandar Tawau berbanding siaran terresterial dari Indonesia yang tak tertangkap. Mereka lebih tahu berita mengenai Malaysia berbanding dari Indonesia. Apabila seluruh Indonesia sudah kecoh dengan kes pertindihan tuntutan perairan Ambalat, mereka masih lagi tak mengetahuinya kerana siaran-siaran televisyen Malaysia masih lagi "slow tone".

Baru-baru ini, kedamaian pulau ini sedikit tercalar dengan tertangkapnya beberapa orang rakyat Malaysia berasal dari luar pulau ini termasuk seorang Datuk kerana melewati kawasan Indonesia. Artikel Berita Minggu pula menyebut beberapa orang tentera Indonesia lengkap berpakaian tentera terkejut apabila melihat kelibat wartawan setelah mereka memasuki sempadan Malaysia. Penulis berharap pihak luar jangan membuat provokasi yang boleh menghancurkan keamanan dan keakraban penduduk di sini. Kalau tak ada pos imigresen itu, tong-tong sajalah. Adil bukan? Kalau nak masuk Malaysia, janganlah berpakaian tentera...

Cadangan ADUN Sebatik mungkin tak praktikal langsung berdasarkan keadaan yang telah ada di Pulau Sebatik. Beliau mencadangkan supaya didirikan pagar buat memisahkan Malaysia dan Indonesia. Beliau sepatutnya membawa lebih banyak pembangunan di bahagian Malaysia kerana para penduduk mengeluh kurangnya pembangunan di situ jika dibandingkan dengan bahagian selatan yang berada di Indonesia yang lengkap dengan bekalan air dan elektrik. Penduduk di bahagian Malaysia pula terpaksa menghantar anak-anak bersekolah di Tawau.

Penulis menganggap adalah satu cadangan bernas dari satu pihak yang mahukan pulau ini dijadikan pulau bebas cukai. Daripada membakar kelambu kerana marahkan nyamuk, lebih baik pulau itu dimajukan dan kedamaian yang unik tercapai selama ini dilestarikan.

Pos berkaitan:
Lagi Kemelut Perairan Sipadan dan Ligitan
Isu Ambalat - "Perang" Sudah Bermula!
Ganyang Malaysia Kali Kedua?!

17 April 2005

'Owen Syndrome'

Yet another poor result although brilliant performance by Liverpool today. A two all draw with Spurs means Champions League spot is going far far away from grasp. Even final fifth spot is now at stake and Bolton have now edged out Liverpool to sixth spot.

With exceptionally magnificient passing by Spanish wizard, Alonso, in the middle of the park, on the other hand somebody becomes a spoiler. Gerrard, with the easiest chance of putting the ball into the net from a penalty spot, he instead blasted the ball into the crowd.

His performance has been erratic this season. His future at Anfield is still inbalance and this has caused his performance to plunge to the poorest in his career. Everybody remembers when he scored an own goal in Carling Cup Final against Chelsea, a game looked destine for Anfield side if it was not his mistake. Now, another bad penalty execution by him in this crucial part of the season may deny Liverpool's Champion League hope.

This is what can be called 'Owen Syndrome'. Last season, when Owen did not have interest to play for Liverpool anymore, his previous performance for Liverpool seemed to have been an unrepeated history for him. He missed a lot of chances in front of goals. Now, he is frustrated for sitting longer on the bench and some suggest he might return to England.

What Rick Parry, Chief Executive of Liverpool, said might be correct and it was exactly what he meant although denied later by Benitez. Without Gerrard, we can still win. It looks like he is ready to offload Gerrard.

Similar with Owen, winning trophy is main reason to pursue career at other leagues. However, everything is now already in front of you, Gerrard. Let's forget Carling Cup final, forget chasing for ONLY Champions League spot next season, let's concentrate on winning Champions League this season! Owen must be very envy and regret leaving Anfield if we win this time...

15 April 2005

Teringat Perkara Lama

Mmm mata tak mengantuk lagi... teringat pula perkara-perkara lama yang seronok yang tak dapat kulakukan lagi.

Teringat di waktu petang bermain bola dengan kawan-kawan di padang sebuah sekolah vernakular Cina. Padang yang cantik terurus, rumput diparas rapi, tumbuh subur sampai petangnya pasti menjadi tanah sawah selepas dibajak. Keadaan pasti lebih teruk jika hujan. Di situlah kemahiran aku diasah. Pagi Ahad merupakan waktu yang tak terlepaskan. Kami bangun awal pada hari ini untuk bermain bola sepak. Sampai termimpi-mimpi aku teringatkan zaman lampau ini. Tapi boringnya dalam mimpi tak pernah lepas menggelecek lawan...

Sebelum itu aku tak pernah atau jarang bermain bola sepak. Di sekolah menengah aku bermain bola tampar. Di sekolah rendah dulu aku pernah dicop kaki bangku kerana tak tahu bermain bola sepak. Pernah aku dimarahi guru kerana tak mahu ke kelas pendidikan jasmani kerana hanya sukan bola sepak saja yang dimainkan. Kata beliau, kalau macam itu, jadi penjaga gol saja.. Dulu aku memang minat bola baling dengan olahraga. Pernah berkaki ayam berlari di stadium di waktu terik tengah hari. Panasnya di kaki tak terkata.

Satu lagi teringat juga motorku yang dah dua tahun dijual. Sayang masa nak dijual dulu. Tapi apakan daya, keadaan memaksa. Tak ada orang nak membelai motor itu. Jaga pangsapuri yang selalu melihat-lihatkan motor aku pun dah nak bertukar ke tempat lain.

Sebut fasal jaga itu, aku ingin berkongsi satu kisah lucu. Pada hari kemerdekaan Singapura dua tahun lalu, aku tertinggal kunci di dalam rumah. Puas ku mencari idea untuk masuk ke rumah namun sekuriti yang telah dipasang ternyata satu halangan yang kukuh. Pintu depan walaupun diterajangku tak juga terbuka. Di bahagian dapur, kepalaku pula tak lolos di celah-celah jerigi. Berputus asa, aku mengambil keputusan untuk tidur dalam kereta saja sementara menunggu hari siang.

Pada esoknya, aku berjumpa jaga itu bertanya kalau-kalau ada kunci spare boleh dipinjam. Sambil menjawab tak ada, dia mengatakan padaku yang ada orang berlegar-legar di keretaku malam tadi. Nampak bergoyang-goyang saja keretaku.

Aku menyambut pernyataannya dengan ketawa yang besar. Ujarku usah takut, itukan aku pada malam tadi. Aku bertanya kenapa tidak didekati saja ke keretaku untuk menyiasat apa yang terjadi. Dibalasnya dengan satu jawapan yang membuatkan aku ketawa besar lagi. Katanya dia tak mahu mendekati "perkara-perkara aneh". Katanya dia pernah terserempak dengan "lembaga" di blok pangsapuri itu. Pernah juga terlihat sekumpulan "kanak-kanak" bermain di padang pada lewat malam hari. Hmm macam-macam...

Berbalik kepada motosikalku itu, teman inilah yang menolong mempromosikan motosikalku semasa hendak dijual dulu. Janji nak belanja kalau terjual tapi belum tertunai lagi kot.. Temanku, kira dah belanjalah ya, walaupun tak rasmi... Setelah berjaya menjual kepada seorang mahasiswa di universiti aku dulu, aku tak kedengaran lagi berita motorku dulu itu. Hanya baru-baru ini, seorang kawanku menyebut motorku masih "sihat walafiat" walaupun pernah melanggar tiang lampu!

Hmm.. apabila tersangkut dalam kesesakan lalulintas, si motor inilah yang aku teringat. Tapi apabila terfikir asap hitam kenderaan dan debuan kota serta terik mentari, tak apalah, tak ada motor pun tak ada... Tapi aku masih termimpi-mimpikan motorku.... ;`(

Image hosted by Photobucket.com
Zaman penuh glamor... gambar ketika waktu latihan praktikal di Terengganu, 2000.

10 April 2005

Jalan Raya di Malaysia dan Pemandunya

Hari ini, aku pulang dari kampung. Bertolak pagi, bukan seperti kebiasaannya selepas Zuhur, dengan harapan dapat pulang awal dan berehat. Namun, perancangan manusia tak selalunya tertunai. Apabila sampai di Kota Tinggi tadi, terdapat kesesakan lalulintas. Mungkin sebab orang pulang dari bercuti, sesaklah agaknya.

Namun, kesesakan hampir satu kilometer di tempat yang tak pernah aku lihat ada kesesakan itu adalah disebabkan satu lubang kecil merentangi jalan belum ditampal sebaiknya! Tesennya aku!!! Sebab ini semua orang terpaksa beranjak sedikit demi sedikit kerana perkara yang boleh dielakkan itu! Kita selalu mengalami pengalaman sebegini. Kadang-kadang sikap acuh tak acuh kontraktor yang membaiki jalan amat dikesalkan.

Semasa pulang dari kampung tiga hari lepas berhampiran kawasan yang sama, kontraktor yang sama juga sedang menampal jalan dan menyebabkan kesesakan. Bukan aku mempertikaikan kerja mereka yang akhirnya untuk kebaikan semua, tetapi mereka patut membuat perancangan rapi. Mereka seharusnya menghentikan kerja di waktu-waktu puncak dan memilih waktu kurang sesak seperti pertengahan pagi, pertengahan petang ataupun pada waktu malam untuk melakukan kerja-kerja mereka.

Semasa memulakan perjalanan pada hari yang sama, ada satu kontraktor lain tak sempat mengalihkan jentera-jentera dan lori-lori dari laluan jalan sebelum waktu orang pulang dari kerja. Oleh sebab kurang perancangan mereka, jalan sesak teruk. Hasil dari halangan-halangan ini, perjalananku ditambah sejam dari waktu kebiasaannya.

Apabila terjadi kesesakan ini, pasti akan ada pemandu yang 'kurang matang'. Mereka meluru ke depan tanpa mempedulikan orang lain. Tak sopan langsung. Tadi ada satu kereta yang memang 'tak makan saman'. Sesudah satu kejadian terawal memotong aku dari kiri, kali ini dia memotong keretaku secara tak sopan. Aku mengelak ke tepi supaya tak tertembung kereta yang membrek mengejut di depan, pemandu itu tiba-tiba menutup jalan supaya laluanku terhalang. Hendak saja dimaki pemandu itu dan berharap dia kemalangan, namun tetap bersabar...

09 April 2005

Lapangan Terbang Terbaik Di Dunia – Asia Mengatasi Yang Lain

Baru-baru ini satu soal selidik yang dilakukan oleh Airports Council International (ACI) dan International Air Transport Association (IATA), lapangan terbang di Asia jelas menunjukkan kedudukan yang lebih baik dari lapangan-lapangan terbang lain di dunia. Soal selidik itu bertanyakan tahap kepuasan pengguna dan dilakukan pada tahun 2004 meliputi 40 lapangan terbang utama dunia dan 65,000 temuramah.

Berikut adalah lima kedudukan teratas:

1. Lapangan Terbang Antarabangsa Chep Lap Kok, Hong Kong
2. Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, Korea Selatan
3. Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura
4. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Malaysia
5. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriah Arab Bersatu

Image hosted by Photobucket.com
Saujana mata memandang. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dibina di atas tanah tebus guna.



Nampaknya KLIA masih belum mampu menjadi yang terbaik di dunia. Cadanganku ialah satu sistem pengangkutan internal tambahan perlu ada di KLIA. Semua orang tak mampu berjalan jauh untuk ke balai berlepas.

Satu lagi waktu menunggu untuk daftar masuk perlu dilicinkan pada setiap masa. Jangan hanya tertumpu pada waktu sibuk sahaja. Pada awal pagi Isnin lepas, seorang temanku terpaksa potong barisan bagi mempastikan tak terlepas pesawatnya. Bayangkan hanya satu kaunter dibuka pada waktu itu. Lebih banyak kaunter perlu dibuka pada waktu sebegini atau memperkenalkan “daftar masuk-cepat”.

Lagi satu, papan tanda tandas harus tak mengelirukan. Logo lelaki, wanita dan orang cacat tak patut disatukan dalam satu papan tanda. Dua minggu lepas aku termasuk ke tandas berlainan jantina…. Malunye…..!!!!

05 April 2005

100 Hari Tragedi Tsunami 26 Dis dan Selat Melaka

Aku pulang awal dari kerja hari ini. Terlalu penat memandu sepanjang hari sejak dari awal pagi lagi. Aku tak mampu membuka mata lagi, mengantuk. Dari awal aku bercadang untuk bermalam saja di bumi penuh bersejarah ini. Tak larat lagi aku untuk pulang ke kota terselatan Malaysia itu.

Setelah merebahkan punggung ke sofa empuk, bersemuka dengan selat gemilang dari zaman Parameswara dulu hingga kini, aku sempat tertarik melihat satu siaran televisyen yang cukup menyayat hati ditonton. Kesedihan lalu seolah-olah disingkap kembali.

TV1 menyiarkan kembali pengalaman dua wartawan Televisi Republik Indonesia (TVRI) semasa meliput di Banda Aceh pada pagi pra bencana maha dahsyat dalam sejarah itu. Ia disiarkan bersempena dengan ulang hari keseratus bencana tsunami yang melanda pinggiran Samudera Hindi itu.

Dua orang wartawan itu menceritakan kembali pengalaman mereka di tempat-tempat mereka berdiri pada hari kejadian. Sambil itu, rakaman-rakaman yang telah dibuat pada hari kejadian juga diselang-seli dengan penceritaan mereka.

Kisah bermula apabila mereka meliput satu larian hujung minggu di Banda Aceh. Apabila gempa terjadi, semua orang tak mampu berdiri. Semua peralatan majlis itu jatuh bertabrakan termasuk seset alat pembesar suara yang besar jatuh bertaburan ke jalanan. Sangat hampir dengan salah seorang wartawan itu, Marzuki. Motosikal yang beroda dua juga jatuh tertiarap ke tanah. Tongkatnya tak mampu bertahan lagi. Sambil itu, beberapa bangunan dan toko berhampiran yang kurang kukuh menanggung getaran dari perut bumi juga roboh dan reruntuhan berserakan di tapaknya.

Setelah gempa reda, kedua-dua wartawan langsung berjalan merakam situasi kejadian. Banyak sekali bangunan yang runtuh. Orang ramai keluar beramai-ramai menyaksikan kejadian dan masing-masing berkerumun di puing-puing bangunan menyelamatkan orang-orang yang terperangkap di bawah reruntuhan dan mungkin juga cuba mengeluarkan barangan berharga.

Perjalanan diteruskan. Pada waktu ini, tiba-tiba terdengar orang ramai bertempiaran lari dari arah pantai sambil menjerit,

“Lari! Air naik! Air naik!”

Barulah disedari bahawa air laut telah pasang secara luar biasa dan jalan-jalan mulai sesak dengan kenderaan yang menjauhi air pasang itu. Air yang datang itu gelap pekat persis air abu. Seorang wartawan lain menarik Marzuki agar menjauhi air yang mendatang itu. Nyawa harus diutamakan. Di ketika itu, air yang deras mula menyeliputi bumi Banda Aceh dan secara mendadak naik ke paras leher orang dewasa.

Marzuki berpaut pada dahan sepohon asam dan hanya mampu melihat air deras itu menerjah apa saja di laluannya. Semua habis dibawa arus. Dari pokok-pokok kecil seperti pisang hinggalah kenderaan seperti kereta habis semua disapunya.

Apabila air surut, suasana sungguh haru-biru. Bagai dunia mahu kiamat, itulah di benak fikiran masing-masing. Hilai tangis kedengaran di sana sini. Ada yang tak berkata apa-apa. Masih bingung seolah-olah tak percaya apa yang berlaku.

Para wanita menangis mengenangkan saudara, sahabat dan anak-anak yang hilang. Seorang bapa mengangkat anaknya yang terbujur kaku. Si bapa kelihatan tenang. Namun siapa tahu di hatinya. Sungguh menyayukan. Beberapa orang berserta seorang tentera mengangkat sekujur mayat lelaki dewasa. Di satu tempat, jenazah-jenazah dikumpulkan. Mayat-mayat hitam terseliputi air berabu itu.

Di satu jambatan, banyak puing-puing yang timbul hanyut di permukaan sungai dibawa arus yang sangat deras. Kelihatan beberapa orang berdiri di atasnya cuba menyelamatkan diri dari tenggelam. Sangat laju gerakan puing-puing itu. Kali ini puing-puing itu menghampiri palang jambatan itu. Beberapa pemuda cuba tunduk merendahkan badan agar tak terhantuk palang jambatan itu. Ada yang di tepi bernasib baik ditolong orang-orang di tebing sungai lalu ditarik ke atas. Bagi yang di tengah-tengah sungai, tak tahu apa nasib mereka.

Di tengah-tengah kota, Masjid Baiturrahman yang melambangkan permulaan Islam di Nusantara masih utuh tak terusik. Orang ramai berkumpul mencari rakan taulan. Tubuh-tubuh orang yang tak bernasib baik dikumpul setempat. Tak terbayang perasaan melihat insan-insan disayangi pergi buat selamanya. Mungkin sedih lagi terkenangkan jenazah-jenazah tak dapat terurus sempurna kembali ke asal kejadiannya. Tak terdaya. Darurat. Yang hanya mampu dilakukan hanyalah solat ghaib, mendoakan kesejahteraan roh-roh yang pergi mengadap Ilahi.

Mengadap antara selat tersibuk dunia ini, aku terkenang besarnya peranan laluan kecil ini. Di selat inilah, kegemilangan kerajaan silam terserlah. Siapa berkuasa di sini, makmurlah negerinya. Sriwijaya di Palembang, Melaka di Kota Melaka, Samudera-Pasai di Aceh, Johor-Riau di Johor semuanya bersilih ganti.

Asal kedua-dua seberang adalah satu negeri, kini tersisih dua angkara para penjajah dan tak dinafikan juga kelemahan pembesar-pembesar kerajaan dulu yang kurang bijak mencaturkan nasib anak cucu mereka. Bayangkan satu pulau dipajak kepada penjajah selagi ada bulan dan bintang…

Selat ini juga memisahkan dua tanah yang berlainan usia menurut bijak pandai. Di Semenanjung Tanah Melayu, bumi ini sudah berusia dan senantiasa berkedudukan diam. Di seberang sana, Pulau Sumatera masih baru dan dinamik. Pulau Sumatera termasuk dalam lingkaran api Pasifik yang aktif. Bermula dari Pulau Nicobar/Andaman, lingkaran itu melewati Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina hinggalah ke Jepun. Di sinilah Pelantar Sunda bertembung dengan Pelantar Australasia. Maka, terjadilah banyak gerakan yang menghasilkan gempa dan juga luapan tak tertahan bumi yang menghasilkan gunung berapi.

Bagi yang di seberang sini, semua bersyukur berterima kasih kepada Sang Sumatera yang berkorban diri menyelamatkan saudara lebih berumur ini dari sebarang malapetaka. Tak hairan bumi berusia ini pernah dipanggil Survanabhumi yang bermaksud “bumi emas”. Aku pernah beberapa minggu lepas bertemu seorang klien yang pejabatnya menghadap pemandangan selat cantik yang Hang Tuah tunjukkan keperkasaannya dahulu kala. Katanya,

“Kalau tiada bumi di sebelah sana itu, aku mungkin tiada lagi. Jarakku dengan pusat gempa sungguh dekat. Tapi aku selamat. Lihat, di Sri Lanka, India, Somalia yang jauh beribu batu itu terjejas teruk. Aku di sini masih lengkap sifat tubuhku. Terima kasih Sumatera. Aku menghulurkan berbagai bantuan sedayaku bagi menghargai mereka. Aku sedih mengenang nasib mereka.”

Bumi emas ini mungkin dahulu amat relevan. Kini, tanda soal besar terserlah apabila merenung status bumi emas ini. Lihat akhir Mac yang baru berlalu. Semua pencakar langit di kota-kota Semenanjung Malaysia bergoyang hasil gempa di Nias. Semuanya takut mengenang peristiwa Aceh, Sumatera Utara atau Phuket yang masih segar di ingatan. Kini semua orang menuding jari kepada pihak berkenaan dalam menangani masalah ini. Bayangkan kalau berlaku lagi pada waktu siang. Bagaimana dengan menara-menara yang penuh terisi di waktu siang itu?

Di sebalik itu, pelbagai maksud tersirat berselindung di sebalik kejadian-kejadian ini. Kalau kehendakNya, walaupun dianggap selamat, belum tentu selamat barang sesuatu itu. Ini juga mungkin petanda amarah bagi mengejutkan kelalaian yang makin menjauh dari yang hak itu.

Ombak-ombak kecil menerjah pantai menghasilkan bunyi nyaman mengejutkan aku dari lamunanku. Tenang dirimu hari ini wahai Selat Melaka. Sampai bila kau sebegini Selat Melaka?

Pos berkaitan:
Aceh Telah Hancur Tetapi Masjidnya Tetap Utuh
Tsunami - Sudah Ada Amaran Sebelum Berlaku?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...