25 Jun 2005

Lawatan Ke Siam - Hari Ketiga - Pasar JJ

Image hosted by Photobucket.com

Hari ini kami dah berjanji dengan Amran yang dia akan membawa kami keluar berjalan-jalan di sekitar kota Bangkok. Kami berjanji bertemu pada jam 11.00 pagi supaya Amran dapat rehat dulu. Lagipula kami bukannya bangun awal dan kami boleh mengambil brunch nanti. Jade, jejaka igauan wanita, pula akan menyertai kami kemudian.

Tepat jam 11.00 pagi, Amran muncul di lobi hotel. Destinasi kami hari ini adalah Pasar Jaktujak atau lebih dikenali sebagai JJ Market. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 20 minit dan kami melewati kawasan Istana Raja Thai. Aku lihat ada parit di sekeliling istana bagaikan langkah sekuriti di zaman silam. Tapi ini adalah benar sejak dari dulu lagi kerana Negara Thai tak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa imperialisme disebabkan kebijakan pemerintahnya.

Hari ini cukup panas! Kami tak sedar yang suhunya mencecah 42 darjah Celcius sehinggalah kami lihat di termometer di kereta Jade yang datang kemudian. Maka tak hairan tadi semasa di dalam teksi kami masih kepanasan walaupun penghawa dingin dipasang penuh.

Image hosted by Photobucket.com
Pasar Jaktujak.

Pasar JJ merupakan sebuah pasar yang sangat luas sehinggakan di setiap sudut pasti ada papan tanda menunjukkan peta di mana pengunjung berada. Dengan keluasan yang luar biasa ini, apa saja barangan yang dihajati pasti ada. Dari pakaian dan cenderahati hinggalah ke senjata dan haiwan peliharaan. Para pengunjung juga disediakan satu shuttle berkuasa elektrik untuk bergerak dari satu bahagian ke bahagian yang lain. Namun tempat duduknya terhad.

Pasar JJ sebenarnya hanya dibuka pada hujung minggu bermula dari petang Jumaat hinggalah petang Ahad. Khabarnya pasar ini tak dibuka pada hari-hari biasa kerana sewanya yang sangat mahal.

Kami berborong sakan kerana banyak barang yang menarik di sini. Lagipun harganya memang murah. Kalau baju di sini harganya sekitar sepuluh ringgit, malah boleh ditawar. Cenderahati buatan tempatan pula di samping harga yang berpatutan, ia menampilkan hasil kerja halus orang-orang di sini yang tinggi nilainya. Setelah puas berbelanja kami makan di sebuah warung di situ. Kami makan mi sup daging. Sedap.

Dalam perjalanan keluar dari pasar itu, Wira tersedar ada banyak panggilan tak dijawab di telefon bimbitnya. Kami baru teringat Jade akan datang bersama-sama kami. Kasihan Jade. Jade menelefon Wira kerana dia pakai talian prabayar di sini. Kalau mahu menelefon kami, memanglah mahal kerana perantauan antarabangsa. Aku menelefon Jade kembali dan berjanji menunggunya di tepi jalan.

Setelah menunggu 15 minit, Jade muncul dengan Honda Accord pemberian ayahnya. Oh sekarang aku tahu kenapa Nuslan memberitahu aku Jade adalah begitu "seductive". Ada rupa ada kereta. Di sini, perempuan agak materialistik. Hmm sama saja di mana-man pun... Aku masih ingat "kerja-kerja" Jade di Singapura apabila seorang gadis dari China tergila-gilakan dia...

Jade menghantar kami pulang ke hotel. Mandi bersiap dahulu, sebelum keluar kembali. Destinasi kami seterusnya adalah menaiki bot menyusuri terusan-terusan di sekitar pinggir Sungai Chao Phraya. Walaupun dah hampir senja, kami tetap teruskan.

Image hosted by Photobucket.com
Tiang-tiang lampu menyusuri terusan di Bangkok.

Dengan menyusuri terusan-terusan ini, kami dapat melihat kehidupan penghuni kota Bangkok. Mereka masih lagi bergantung kuat pada sungai walaupun jalan darat sudah ada. Muka pintu rumah masih menghadap sungai. Warung-warung dan gerai-gerai juga didirikan di tebing-tebing sungai. Paling menarik perhatian aku adalah tiang-tiang elektrik didiri berdasarkan arah laluan sungai. Kalau di Malaysia mengikut jalan-jalan di darat, di sini mengikut laluan air.

Hari dah pun gelap. Tak banyak pemandangan dapat dinikmati. Kami memberi ikan-ikan makan dengan roti tapi tak banyak yang datang dan keadaan gelap untuk kami lihat. Di satu tempat terletaknya perahu-perahu Diraja pun kami tak dapat lihat dengan jelas kerana hari sudah pun malam.

Image hosted by Photobucket.com
Dah gelap, tak nampak apa pun.

Selesai menaiki perahu, Jade membawa kami ke pusat kota Bangkok pula. Mahu melihat kehidupan malam di sana. Mula-mula kami ke China Town dulu. Jalan-jalan melakukan window shopping. Seperti China Town di serata dunia, di sini banyak perniagaan diusahakan oleh orang-orang Cina yang sudah merantau ke sini sejak dulu lagi.

Sesuatu yang unik di sini ialah orang Cina terasimilasi terus dengan penduduk tempatan sehinggakan orang Cina dengan orang Thai boleh dikatakan sebagai satu bangsa. Ini tidak seperti di Malaysia atau Indonesia yang disebabkan berlainan rumpun bangsa, agama serta adat dan budaya.

Di sini mereka tidak berbicara bahasa Cina tetapi bahasa Thai. Mungkin disebabkan dasar satu bahasa kerajaan Thai. Malah orang Melayu di selatan juga bertutur bahasa Thai. Sebenarnya Jade dan Eve adalah Cina Thai.

Image hosted by Photobucket.com
China Town di waktu malam.

Kami kemudian makan malam di sebuah restoran Arab di Sukhumvit. Maklum di China Town banyak syubahatnya. Setelah makan, Jade membawa kami mengenali tempat-tempat "hitam" di kota Bangkok yang terkenal di seluruh dunia.

Kami tak masuk, cukuplah sekadar berada di luar, duduk di dalam kereta. Lagipun Jade bukanlah jenis yang pergi ke tempat-tempat begitu. Malam semakin larut tapi semakin hidup di Bangkok. Kami pulang istirehat. Esok tak tahu ke mana. Mungkin ke Pasar JJ lagi?

***bersambung untuk hari keempat***

19 Jun 2005

Mentor

Image hosted by Photobucket.com

Mak aih... bz giler sekarang ni... Berkejar ke sana kemari. Minggu lepas saja aku pusing separuh Semenanjung dalam masa tiga hari. Kalau ada bini, tak tau apa nak jadi...

Pada saat aku menulis blog ini, di TV3 ada siaran langsung realiti tv terbaru, Mentor. Sebenarnya genap seminggu lepas aku berada di Sri Pentas 2 menonton rancangan ini secara langsung. Pertama kali aku menyertai acara sedemikian.

Kebetulan Isnin lepas aku ada satu latihan memandu intermediate skills di Shah Alam. Jadi alang-alang ada di sana, seorang kawanku mengajak menonton Mentor pada Ahad malam sebelum latihan. Dengan bantuan seorang rakan lagi, kami mendapat empat tiket VIP percuma! Bolehlah mengajak kawan-kawan yang mahu pergi. Namun, disebabkan ramai yang ada hal, kami hanya pergi bertiga.

Malam itu merupakan satu malam yang hebat. Walaupun masih di peringkat kumpulan pada minggu keenam, para protege merupakan peserta-peserta pilihan. Artis-artis terkemuka tanah air yang sebahagian menjadi mentor juga muncul pada malam itu. Antaranya Siti Nurhaliza, Ning Baizura, SM Salim, Zainal, Roy dan Liza Hanim. Azli Senario pun ada menyokong adiknya, Fahmi yang juga merupakan seorang protege yang bermentorkan Siti Nurhaliza.

Paling menarik perhatian ialah persembahan Siti Surianie yang menyanyikan Dialah Di Hati dendangan asal Siti Nurhaliza. Suara beliau mantap. Lepas acara ingatkan nak bertemu Siti Nurhaliza tapi apakan daya. Dah awal-awal lagi sebelum acara habis dia dah pulang. Mungkin mengelak "terjahan" para peminatnya. Oh walaupun hanya dua kerusi memisahkan kami dengan Siti, rupanya terlalu jauh bagi kami...

Apa-apa pun setelah program berakhir kami tetap terhibur. Kami melihat saja peminat-peminat bergambar dengan artis-artis dan protege-protege pujaan mereka. Paling lucu, rakan kami, JFK, menawarkan diri untuk bergambar dengan para peminat. Hu hu hu kesian... Tak apa, nak cari makan, semuanya OK.

Aku sebenarnya lebih teruja jika dapat menonton Akademi Fantasia dari Mentor ini. Apakan daya tak ada tiket. Tapi apabila bertemu seorang kawan lagi keesokannya, dia memberitahu dia mendapat tiket AF pada hujung minggu itu tapi tak pergi. Alahai, apa fasal tak cakap awal-awal...

p/s - Lawatan ke Siam akan bersambung nanti. Sibuk sikit sekarang... please bear with me...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...