24 Julai 2005

Lawatan Ke Siam - Hari Kelima dan Keenam - Pelengkap Lawatan

Image hosted by Photobucket.com
Panorama Grand Palace.

Pada hari kelima, aku dan Wira dah merancang untuk berjalan-jalan ke tempat-tempat bersejarah atau lebih dikenali sebagai kota lama Bangkok. Di kota lama inilah terletaknya Grand Palace, tempat acara rasmi dan adat istiadat Raja Thai, wat-wat dan beberapa monumen kerajaan. Di hadapan Grand Palace, terdapat juga Sanam Luang (rujuk catatan hari pertama), Universiti Thammasat dan Muzium Negara.

Setelah bersarapan kami menaiki tuk-tuk ke Sanam Luang dan seterusnya ke Grand Palace, satu tempat yang wajib dilawati; jika tidak, tak sahlah lawatan ke Bangkok. Di pintu masuk utama, kelihatan tertera di situ orang-orang asing dicaj lebih kurang 300 Baht manakala rakyat jelata Thai dapat masuk secara percuma. Sudah tentu rakyat Thai tidak dicaj kerana mereka masuk untuk mengadap pemerintah tertinggi mereka manakala orang asing lebih kepada lawatan pelancongan dan inilah salah satu sumber pendapatan mereka.

Image hosted by Photobucket.com
Di mana saja pasti ada potret Raja Thai. Ini adalah tanda taat setia rakyat dan mesti dihormati termasuk oleh para pelawat.

Image hosted by Photobucket.com
Seni rekabentuk Thai terserlah di Wat Po.

Image hosted by Photobucket.com
Lagi foto Wat Po.

Sebenarnya, pihak Istana khususnya atau rakyat Thai umumnya sedang berduka di atas kematian cucunda Raja Thai, bakal pewaris takhta yang terkorban angkara tsunami yang menerjah pesisir Lautan Hindi pada 26 Disember lalu. Dua tiga hari lepas, Grand Palace tak dinyalakan lampu pada waktu malam tanda berkabung setelah mayat cucunda Raja itu dibakar dalam istadat diRaja. Walau bagaimanapun, seluruh rakyat Thai juga bergembira kerana pasangan putera dan puteri Raja sudah dikurniai pengganti iaitu seorang lagi putera yang bakal mewarisi pemerintahan beraja yang sejak turun temurun itu.

Kami tak masuk ke Istana sebaliknya berkeliling di luar kawasan Istana itu yang masih banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Sebenarnya tujuan kami hanyalah untuk mengambil gambar-gambar buat koleksi. Setelah mengambil foto di Grand Palace, kami pula ke Wat Po, satu objek terkenal di Thailand dan beberapa lagi objek wisata di kota lama Thai itu. Hari kelima kami hanya dihabiskan untuk mengambil gambar-gambar saja. Kami berjalan kaki pulang ke hotel dan melalui beberapa tempat menarik lain.

Image hosted by Photobucket.com
Muzium Negara Thai yang menyimpan khazanah berharga.

Image hosted by Photobucket.com
Seorang kanak-kanak bermain dengan burung-burung di Sanam Luang.

Image hosted by Photobucket.com
Monumen Keamanan yang terletak di sebuah bulatan.

Pada hari terakhir, hari keenam, kami tak ke mana-mana kecuali ke Khao San Road pada sebelah pagi mencari barang-barang terakhir untuk dibawa pulang. Di sebelah petangnya kami ke pusat kotaraya Bangkok sekejap dan pulang awal sedikit kerana mahu bersiap sedia untuk berlepas pulang pada waktu malam nanti.

Kami dah berjanji dengan meja hadapan hotel untuk daftar keluar lebih lambat sedikit pada jam 1.00 kerana mahu bersiap diri selepas ke Khao San Road dan mahu solat dahulu.

Image hosted by Photobucket.com
Thailand memang terkenal dengan rekaan motor cub atau moped. Ini adalah model Yamaha Nouvo terbaru. Apabila aku pulang, ia baru saja dilancarkan di Malaysia.

Image hosted by Photobucket.com
Unik. Tuk-tuk tergantung di Khao San Road.

Setelah daftar keluar, kami ke daerah pusat perniagaan Bangkok, ke Siam dan Sukhumvit. Kami melengkapkan lawatan kami ke Bangkok dengan merasa menaiki MRT, iaitu versi Skytrain yang sebaliknya beroperasi di bawah tanah. Agak menarik, MRT tak menggunakan tiket tetapi menggunakan token ala permainan video.

Pada jam 5.00 petang, kami pulang ke hotel untuk makan buat kali terakhir di hotel tempat kami berkampung hampir seminggu itu. Sedih juga... Setelah memastikan semua barang dibawa bersama, kami ke lapangan terbang menaiki teksi.

Image hosted by Photobucket.com
Sebuah stesen MRT di Bangkok.

Image hosted by Photobucket.com
Sebuah stesen minyak PETRONAS di Bangkok.

Aku agak terkejut kerana di lapangan terbang ada surau untuk orang Islam bersembahyang. Tak sangka di sebuah negara bukan Islam, kemudahan ini disediakan. Apabila membaca doa yang tertera di situ yang ditulis dalam tulisan Jawi dan Thai, barulah aku faham di samping untuk bersembahyang, surau ini juga dijadikan tempat terakhir untuk berkumpul sebelum jemaah-jemaah haji berlepas ke Mekah.

Nampak kerajaan Thai liberal dalam memastikan keperluan orang Islam dipenuhi. Menurut Amran, sejak kes Masjid Krisek dan Tak Bai, kepekaan masyarakat Siam yang majoritinya Buddha terhadap Islam bertambah. Cuma cara pihak kerajaan menangani orang Islam/Melayu di Selatan kurang disenangi oleh dunia Islam khasnya jiran-jirannya, malah di pihak rakyat Thai sendiri.

Di dalam pesawat, kelihatan penuh dengan rakyat Malaysia yang sama seperti kami bercuti sempena Hari Buruh. Apa-apa pun, Bangkok, kami tetap datang lagi. Terima kasih tak terhingga buat teman-teman di Bangkok yang melayan kami. Kami memang berseronok semasa di Bangkok!

22 Julai 2005

Dan Putera 8 Tahun Ditabal Menjadi Sultan...

Image hosted by Photobucket.com
Tengku Mahmud Arya Alamajidi mengunyah gula-gula semasa ditabalkan sebagai Sultan Deli ke-XIV

Sedang aku menonton siaran berita SCTV petang tadi, aku tertarik dengan satu berita pertabalan seorang putera berusia lapan tahun dinobatkan sebagai Sultan. Tengku Mahmud Arya Alamajidi ditabalkan sebagai Sultan Deli ke-XIV menggantikan ayahanda Baginda, Leftenan Kolonel Sultan Otteman III Mahmud Ma`amun Padrap Perkasa Alam, Sultan Deli ke-XIII yang mangkat dalam nahas pesawat TNI di Lhokseumawe, Nanggroe Aceh Darussalam.

Semasa dinobatkan menjadi pewaris takhta Kesultanan Deli yang dari dulu bertapak di Medan, Sumatera, baginda kelihatan sedang mengunyah gula-gula dengan ekspresi wajah yang naif, tidak begitu mengerti dengan apa yang terjadi pada Baginda. Kasihan juga melihat Baginda kerana masih dalam kesedihan terpaksa melalui istiadat begitu yang mana jenazah ayahanda Baginda juga diletakkan di singgahsana.

Melihat istiadat tersebut, aku teringat kisah Raja-raja Melayu zaman dahulu yang ditabalkan menjadi Sultan pada usia masih mentah tetapi ditipu serta dimanipulasi para pembesar yang gila kuasa dan pangkat.

Namun itu adalah sejarah. Sekarang ini kuasa di tangan rakyat. Soal Sultan yang tak berkaliber mungkin tak relevan kini. Namun naungan Sultan masih ditagih rakyat. Adat dan tradisi harus dipegang teguh dan dibanggakan. Bagi rakyat Medan, warisan kesultanan Deli mereka yang pegang sejak zaman-berzaman harus dilestarikan.

Sumber gambar: SCTV

17 Julai 2005

Port Dickson dan Mencari Harta Karun

Image hosted by Photobucket.com
Avilla Resort, Port Dickson di saat senja melabuhkan gelap malam.

Awal bulan ini, aku mengikuti pertandingan mencari harta karun anjuran syarikatku. Pada mulanya aku malas nak melibatkan diri tapi atas desakan teman, akhirnya aku akur. Boleh juga aku melupakan soal kerja yang makin hari makin bertimbun ini. Lagipun, dengan lokasi akhirnya di Port Dickson, sekurang-kurangnya dapatlah aku menjejakkan kakiku buat kali pertama di Port Dickson...

Acara bermula jam 6.30 pagi. Aduh... nak kena bangun awal-awal pagi pada hujung minggu ni! Aku bangkit dari tidur pada jam 5.30 pagi dan bersiap sedia ke perkarangan pejabat, tempat bermulanya pertandingan ini. Dengan memandu pada kelajuan malar 120km/j di awal pagi tatkala sesetengah orang masih tidur, aku sampai tepat jam 6.30 pagi setelah 20 minit perjalanan dari Putrajaya.

Dah ramai peserta yang berkumpul. Azid dan Ian, rakan sepasukanku, juga sampai pada waktu yang sama. Setelah acara scrutineering dan taklimat, pertandingan dimulakan pada jam 7.30 pagi. Perjalanan kami lancar kerana jalan-jalan di KL tak sesak di hujung minggu. Kami mencari jawapan untuk klu-klu bermula di sekitar Bukit Bintang, kemudian ke Seri Kembangan, Seremban dan seterusnya ke Port Dickson.

Pertama kali aku menyertai pertandingan sebegini anjuran syarikatku, aku tak biasa sangat dengan teka-teki yang diberi. Berikut adalah antara soalan-soalan dan jawapan-jawapan kepada teka-teki tersebut. Pembaca pasti akan terkejut dengan jawapan-jawapannya!!

Yang kami dapat jawab:

Soalan (S): Five in damaged turkish currency, complicated!
Jawapan (J): Avril Place
Keterangan (K):
Matawang Turki adalah Lira. Five ialah V dalam nombor Latin. Damaged adalah satu anagram, bererti huruf dalam L I R A hendaklah diatur kembali bersama-sama V. Complicated ialah lagu nyanyian Avril Lavigne yang juga satu klu! Jadi jawapannya adalah AVRIL yang merujuk kepada satu restoran di KL!

S: The Selangor chief's father meet ten?
J: TOYOX
K: Siapa lagi Menteri Besar Selangor kan? Ten adalah X. Jadi apabila bapa YB ini bertemu sepuluh, jawapannya TOYOX.

S: Our e-mail tool seen at homes of the powerful people.
J: Rumah Kakitangan TNB Lotus
K: E-mail tool ialah Lotus (Notes) dan powerful people adalah pekerja Tenaga Nasional Berhad!

Yang tak dapat jawab:

S: A home within?
J: La Bodega
K: L[a bode]ga - nampak kan kediaman atau abode di dalamnya?!

S: (22/7)/(e2r)
J: Pioneer
K: 22/7 = 3.142 = pi; / = on; e2r = eer (sebagai engineer by graduate, bengang sungguh aku dengan soalan ni...)

S: A local snake fruit is blended here.
J: Laksa
K: blended adalah anagram; local snake fruit ialah buah SALAK kerana kulitnya macam ular. Diterbalikkan SALAK, jadinya LAKSA!!

Ha ha... boleh sakit jiwa kan? Pun begitu kami begitu bergembira dengan pertandingan ini. Avilla Resort, tempat yang kami tinggal di Port Dickson begitu unik dan cantik kerana ia dibina di atas air. Sebagai bonus, tanpa disangka kami memperolehi hadiah kerana memdapat tempat kesebelas dari 30 pasukan. Hadiah sampai ke tempat 15. Dapatlah baucer Jaya Jusco yang aku dah habiskan semalam...

p/s: Tensen sungguh aku dengan Port Dickson ni. Disebabkan bandarnya yang kecil, tak terjumpa aku kedai makan yang menayangkan Akademi Fantasia, apalagi pasang Astro! Penat berjalan satu setengah kilometer, tak jumpa pun. Tak macam di Sabah dan Labuan dulu, kedai yang tak ada Astro alamatnya tak lakulah perniagaan pada malam Sabtu!!

16 Julai 2005

Lawatan Ke Siam - Hari Keempat - Kedai Makanan Mak Yah

Image hosted by Photobucket.com

Hari ini, aku dan Wira dah berpakat untuk ke JJ Market lagi. Semalam tak puas hati langsung sebab masa terlalu suntuk untuk menjelajah pasar yang sangat luas itu. Selepas sarapan, kami mengambil teksi ke JJ Market.

Seperti semalam, cuaca memang panas. Kali ini kami lebih bersedia. Bawa bekal air banyak-banyak. Kami juga membeli jus buah ice-blended buat penghilang dahaga. Di sini jus buah sangat sedap rasanya. Para penjual menambah perahan jus limau nipis dan mereka pula pandai menentukan ramuan yang sesuai.

Kali ini aku mencari cenderahati untuk dibawa pulang sebagai ole-ole. Aku bertemu dengan tikar kecil pengalas gelas minuman dan aku terus beli. Aku juga membeli binokular. Seorang teman membawa binokularnya ke perlumbaan F1 yang lalu dan katanya dibeli di Bangkok, murah. Hmm, aku memang dapati ia murah di sini.

Kami berjalan lagi, menjelajah seluruh pelosok pasar yang tak pernah kutemui besarnya ini. Aku dan Wira membeli baju dan seluar. Memang murah. Lain kali kalau nak datang ke Bangkok, tak perlu lagi membawa pakaian. Beli saja di sini. Tak perlu juga membeli beg pakaian!

Puas di JJ Market, kami mahu ke pusat kotaraya Bangkok pula. Kami menaiki Skytrain yang terletak hanya bersebelahan dengan JJ Market untuk ke stesen Siam. Kawasan Siam seolah-olah Bukit Bintang di KL - kawasan emas sebagai pusat perniagaan utama.

Sampai di stesen Siam, kami terus ke Siam Center, salah sebuat pusat membeli-belah terkemuka di Thailand. Di sebelah Siam Center, terdapat pusat membeli-belah baru dibuka, Siam Discovery Center. Di seberang jalan pula, terdapat Mah Boon Krong atau MBK. MBK persis Sungei Wang Plaza di KL kerana banyak menjual telefon bimbit dan aksesorinya.

Image hosted by Photobucket.com
Mah Boon Krong (MBK) - tumpuan golongan muda.

Kalau dilihat pada ejaan "Center", jelas Bahasa Inggeris Amerika menjadi pilihan di sini, tak seperti Malaysia atau Singapura yang pernah dijajah British dan Bahasa Inggeris British diajar di sekolah dan pusat pengajian.

Satu lagi, disebabkan bahasa Thai ada tulisannya sendiri, proses merumikan perkataan Thai sepertinya tak ada piawai. Contohnya Jaktujak Market, ada yang mengeja Chaktuchak. Begitu juga lokasi hotel kami, Banglamphu, ada yang mengeja Banglumpoo. Contoh lain ialah Asok dengan Asoke ataupun paling dekat dengan kita, Sungai Golok dengan Sungai Kolok. Mungkin ini berlaku kerana bunyi sebutan yang agak dekat dan kedua-dua bunyi mungkin sama saja dalam bahasa Thai.

Image hosted by Photobucket.com
Unik - pondok telefon di Siam yang bergaya dengan rekabentuk Thai.

Setelah penat berjalan, Wira mahu membawa aku makan di Kedai Mak-Yah Pattani yang telah dia kenal pasti dua hari lepas. Hmm ada juga masakan Melayu di sini! Dan... siapa kata Nasi Goreng Pattaya tak ada di Thailand...?!

Berhampiran kedai Mak Yah, ada sebuah masjid. Kami solat dulu. Kelihatan para ahli kariah sedang bersiap untuk mengadakan satu majlis jamuan pada malam nanti. Kami nak tegur saudara kami itu, tapi masalah bahasa menghalang kami. Bercakap Inggeris bukannya mereka faham, kalau kami cakap Thai pula nanti orang tak mengerti!

Lepas solat kami ke Kedai Mak Yah. "Make gapo be?" kata seorang pekerja di Kedai Mak Yah menyambut kedatangan kami dengan loghat pekat Pattaninya. Aku memesan Nasi Goreng Udang. Harga makanan di sini memang mahal! Nasi gorengku harganya 80 Baht, sama dengan harga makanan di hotel aku menginap. Tapi tak apa, Mak Yah punya fasal, aku OK saja.

Image hosted by Photobucket.com
Aroi di... Kesalahan ayat itu, Mak Yah...

Kami menikmati hidangan sambil menonton tv yang menyiarkan rancangan masak-memasak yang dihoskan oleh Ogy yang bertandang ke Thailand. Aku ingat itu adalah siaran Astro. Maklumlah menurut Amran ada orang menjual Astro di pasaran gelap di Thailand. Namun itu adalah rakaman VCD saja.

Selepas makan kami ke Siam Center semula untuk window shopping. Selepas itu menaiki Skytrain ke stesen Silom untuk membeli lagi pakaian dan cenderahati.

Image hosted by Photobucket.com
Pengangkutan paling efisyen di kota Bangkok - teksi motosikal (pembonceng tak perlu pakai topi keledar!)

Malamnya kami pulang ke hotel menaiki teksi. Malang sungguh kami kerana pemandu teksi tak kenal lokasi hotel kami. Dah cakap bahasa Thai pun tak tahu juga. Lagipun dia tak bawa kacamata dan peta yang kami tunjuk pun tak berguna. Setelah puas bertanya dengan orang ramai dan berpusing-pusing di tempat sama, akhirnya dia menurunkan kami berhampiran Khao San Road. Kami pula terpaksa turun di situ saja. Kalau diteruskan, tambang makin meningkat dan masa terbuang.

Kami sampai di hotel setelah berjalan kaki. Nasib baik agak dekat dan kami dah kenal dengan jalan dari Khao San Road ke hotel. Tiba-tiba telefon berbunyi. Eve menelefonku mengajak keluar untuk minum susu. Kami cepat-cepat bersiap dan menunggu di lobi. Deli tak ikut sama kerana dia tak tahan dengan makanan Thai.

Sampai di bawah, Eve dah menunggu dengan suaminya. Kami ke kedai susu itu yang juga menjual roti. Setelah minum, suami Eve yang kami panggil Brother mengajak bersiar-siar di pusat bandaraya, melihat "kehidupan malam" di sana.

Kami ke Silom lagi. Rupanya lorong yang kami tak masuk tadi adalah lorong hotspot! Tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya Brother, kami "terselamat" dari pempromosi kelab-kelab malam yang agresif menarik pelanggan-pelanggan. Selepas itu kami minum di sebuah kelab di kawasan lain sambil menikmati live band, Kami pulang awal untuk mengelak kesesakan sebelum orang berpusu-pusu pulang apabila ditutup pada jam 1 pagi nanti.

Image hosted by Photobucket.com
Makin malam, makin rancak aktiviti kelab malam di Bangkok.

***bersambung untuk hari kelima - Grand Palace***
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...