31 Ogos 2005

Merdeka dan Memerdekakan Diri



Hari ini Malaysia menyambut kemerdekaannya yang ke-48 setelah berkurun dijajah kuasa Barat walaupun sekejap di bawah "pembela orang Asia", Jepun. Bermula dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511 di tangan Peringgi, Belanda dan Inggeris, negeri-negeri Melayu mulai terpecah dan jatuh ke tangan pihak lain. Setelah semangat nasionalisme tercetus dan kemerdekaan dicapai, peta negara-negara wujud. Walaupun sesetengahnya merdeka dan maju, masih ada yang terjajah dan teraniaya di tanah sendiri...

OK, lupakan dulu perkara itu. Yang ingin dikupas di sini adalah realiti hari ini. Saban tahun, semua orang ternanti-nanti detik 12 malam 31 Ogos. Pelbagai acara diadakan seperti konsert, parti, makan minum (sampai mabuk pun ada) dan di sudut lain, ada yang berdoa bersembahyang supaya kesejahteraan dan kemakmuran berterusan.

Tahukah pembaca bahawa di Semenanjung kita sebenarnya menyambut kemerdekaan sejam lebih awal? Itu adalah realiti hasil pemiawaian waktu Malaysia. Waktu piawai Malaysia adalah mengikut waktu di Sabah iaitu sejam lebih awal. Waktu di Sabah inilah yang bersamaan dengan kota besar utama lain di Asia iaitu Hong Kong dan Shanghai.

Waktu di Semenanjung pernah dianjak beberapa kali antaranya untuk "memanjangkan" waktu siang dan akhirnya dianjak terus sehingga sama waktunya di seluruh Malaysia. Kalau diikutkan waktu sebenar berdasarkan terbit dan turun matahari, waktu Kuala Lumpur bersamaan dengan waktu Bangkok dan Jakarta.

Satu isu dibangkitkan berkenaan kemerdekaan ini. Bagi penduduk Sabah dan Sarawak, tarikh merdeka hakiki mereka adalah 16 September 1963 iaitu hari kedua-dua negeri ini menyertai penubuhan Malaysia. Jadi, tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu adalah untuk Persekutuan Tanah Melayu (negeri-negeri Semenanjung) sahaja. Sebelum tarikh penubuhan Malaysia, kedua-dua negeri masih di bawah kekuasaan British.

Jadi, tarikh sebenar kemerdekaan adalah 16 September dan tahun ini menyaksikan kemerdekaan hanyalah disambut kali yang ke-42. Namun bulan kemerdekaan ini tetap disambut kerana ia telah dilakukan sejak dulu lagi. Bagi penulis, ini adalah benar tapi jika dilihat dari sudut lebih luas, takkan orang Semenanjung saja yang mahu menyambut kemerdekaan. Kemajuan, kemewahan dan kemakmuran negara hari ini adalah usaha bersama dan sudah tentu rakyat Sabah dan Sarawak bangga menjadi rakyat Malaysia.

Dalam kita menyambut kemerdekaan ini, sedarkah kita sama ada kita benar-benar merdeka dan mempunyai identiti sebagai seorang rakyat Malaysia? Rasanya banyak yang merdeka dari segi kebebasan sahaja. Kebebasan berjalan ke mana saja dalam negara ini, kebebasan bekerja dan berniaga, kebebasan membentuk kekeluargaan, walaupun kebebasan bersuara yang kadang-kadang tersekat.

Kebebasan dari segi menangkis anasir-anasir luar supaya ada identiti sendiri cuma sedikit kurang. Jelas banyak yang terpengaruh dengan unsur-unsur luar yang malas untuk ditulis di sini kerana ini dah bertahun-tahun malah berdekad-dekad diperkatakan.

Kalau diperhalusi, banyak yang dah tak beridentitikan Malaysia lagi. Semuanya ala-ala Barat. Dari nama (walaupun bukannya Kristian), cara berpakaian, bertutur bahasa ibunda sehingga huruf t dan r yang dah lain bunyinya, tak dicampur lagi dengan errr ala-ala London, semuanya dah berubah. Di mana Malaysia Truly Asia kita (bak kata temanku dari Bangkok)?

Identiti kebangsaan kita banyak yang dah hilang. Contoh bahasa kebangsaan. Ada yang memberi ucapan kemerdekaan dalam bahasa asing walaupun berkebangsaan Malaysia? Pelik dan jelik. Kenapa ini berlaku? Tak mahir berbahasa kebangsaan? Rasanya di Malaysia tak ada dasar untuk bertutur satu bahasa kebangsaan sahaja sepertimana di sesetengah negara. Sedang semua orang berlumba-lumba mempelajari bahasa ketiga, keempat malah kelima, kenapa ditinggalkan bahasa kebangsaan yang tempat paling ideal untuk dipraktikkan adalah di negara sendiri?

Mungkin juga ini kesilapan penutur bahasa kebangsaan itu sendiri. Umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, dalam mengejar untuk menguasai bahasa lain, bahasa sendiri dah sukar untuk dipertuturkan. Maka lahirlah bahasa rojak yang seolah-olah bahasa sendiri tak pernah wujud perbendaharaan kata sendiri.

Itu bahasa, satu lagi pegangan agama kita. Rasanya banyak yang meninggalkan tiang agama yang patut dibina lima kali sehari itu. Semua mengejar karier tetapi terlupa pada kewajipan. Cara berfikir di pejabat begitu kritis sekali, mampu membuat keputusan yang membawa keuntungan berbilion ringgit tetapi terlupa untuk membuat keputusan bagi pelaburan jangka panjang iaitu akhirat. World, world juga, akhirat jangan lupa...

Berhampiran rumahku ini, ada pengubahsuaian rumah. Pekerjanya dari tanah seberang yang juga kupasti seagama denganku tapi kerjanya terlalu kuat. Tak ada rehat sampai terlajak Jumaatnya entah ke mana. Waktu lain tak kiralah. Bang, uang-uang juga... Tak tahulah sama ada kemahuan sendiri atau "tak merdeka" kerana mengikut arahan boss yang sebangsa denganku ini.

Kita memang dah merdeka tapi rasanya harus "dimerdekakan" lagi diri kita ini.

22 Ogos 2005

Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia

Sesetengah orang mengatakan Bahasa Malaysia atau kini dipanggil Bahasa Melayu, berasaskan sebutan nama bahasa itu dalam Perlembagaan Malaysia, tidak sama dengan Bahasa Indonesia walaupun bahasanya berasal dari bahasa yang sama. Apabila orang di Kuala Lumpur bercakap, mereka tak mengerti apa yang dibicara oleh orang Jakarta.

Ada perbezaan dalam perkataan-perkataan yang diucapkan dan sesetengahnya memberikan makna yang berlainan sekali. Bayangkan perkataan beza itupun sudah jelas perbezaannya. Malaysia sebut beza manakala Indonesia sebut beda. Contoh perkataan lain ialah percuma. Di Malaysia percuma bererti memberikan sesuatu tanpa perlu dibayar atau diharap balasan. Di Indonesia bererti sia-sia. Begitu juga dengan jimat yang Bahasa Melayunya bererti cermat, tak boros manakala Bahasa Indonesianya bererti alat pelindung atau sakti (Bahasa Melayu merujuk kepada azimat).

Di Indonesia, banyak perkataan pinjaman Arab disebut dengan sebutan lokal, tidak seperti di Malaysia yang masih mengekalkan sebutan Arabnya. Salah satu contoh adalah huruf z diganti dengan j seperti rezeki menjadi rejeki, izin disebut ijin*; f menjadi p, contoh fikir (pikir); kh manjadi k, contoh khamis (kamis), khuatir (kuatir/kawatir); sy menjadi s, contoh syarikat (serikat).

Dengan sejarah yang dilalui berbeza, evolusi bahasa juga berlainan. Bahasa Indonesia banyak menyerap perkataan-perkataan Belanda sebaliknya Bahasa Melayu banyak meminjam perkataan-perkataan Inggeris. Contoh perkataan Belanda ialah kantor (pejabat) dan bioskop (pawagam). Bagi perkataan Inggeris pula ialah basikal (sepeda), hospital (rumah sakit) dan zoo (taman hewan).

Dari segi tatabahasa pula, adalah sama cuma kulihat ada sedikit perbezaan dengan penggunaan imbuhan "kan" dan "i". Dalam konteks Bahasa Melayu, "kan" diikuti dengan objek yang menerima manakala "i" diikuti dengan objek yang diterima. Contoh,

"Hakim menjatuhi dia hukuman mati."
"Hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas dia."


Dalam konteks Bahasa Indonesia, ini berbeza. Kalau terjumpa sesuatu, di Malaysia disebut "menemui" tetapi di Indonesia disebut "menemukan". Kalau dalam peraduan, Malaysia sebut "menangi hadiah", Indonesia pula sebut "menangkan hadiah". Di jalan-jalan raya Malaysia disebut "kurangkan laju" tetapi di Indonesia disebut "kurangi laju".

Namun, bagiku perbezaan ini kecil jika dibandingkan dengan tahap pemahaman apabila kedua-dua penutur bahasa berkomunikasi. Aku kalau menonton berita tv Indonesia, 95% kufaham. Pernah kusuruh temanku dari Jakarta menonton berita TV1, katanya mengerti tapi berpendapat berita TV1 menggunakan "bahasa lama". Ini berlaku kerana Bahasa Melayu Malaysia mungkin masih mengekalkan perkataan-perkataan Bahasa Melayu di zaman dulu dan Bahasa Indonesia pula dinamik dan berubah bahasanya dari semasa ke semasa.

Temanku yang lain pula berpendapat Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia hanyalah 60% berkesamaan. Kurasa sepatutnya lebih dari itu. Kedua-dua penutur haruslah menggunakan Bahasa Piawai atau Baku. Kalau seorang menggunakan loghat Jakarta dan seorang lagi menggunakan dialek KL, sudah tentu tak faham. Contoh,

Jakarta : "Kamu apaan sih?"
KL : "Kau ni apehal?"
Baku : "Kamu kenapa?"


Kalau masing-masing tak menggunakan bahasa standard, di Malaysia sendiri pasti saling tak memahami kerana setiap negeri ada dialeknya. Bayangkan seorang bercakap loghat Kelantan, seorang lagi loghat Sarawak dan seorang lagi loghat pekat Negeri Sembilan. Pasti hari biru. Contoh apabila orang Kelantan bercakap,

"Keropok ini boleh dimakan selalu."

Apabila orang KL menginterpretasi ayat ini pasti ia bererti boleh dimakan setiap masa tetapi maksud sebenarnya ialah keropok itu boleh dimakan terus, tak perlu disediakan atau dimasak lagi atau Bahasa Inggerisnya instantly.

Contoh perkataan lain ialah kelmarin (kemarin dalam Bahasa Indonesia). Kelmarin dalam Bahasa KL bererti dua hari lepas manakala Bahasa Indonesia bererti sehari lepas! Di Pantai Timur, ianya sama seperti Bahasa Indonesia yang bererti sehari lepas. Kalau dua hari lepas disebut kelmarin dulu.

Jadi nampak di sini, bahasa bergantung kepada lokaliti dan pentadbiran. Bahasa Indonesia banyak dipengaruhi pertuturan orang di Jakarta manakala Bahasa Melayu (Malaysia) dipengaruhi dialek KL. Contoh di Batam, radio-radio di sana menggunakan bahasa Jakarta walaupun loghat penduduk di situ seperti loghat Johor. Juga di Aceh yang selalu kedengaran menggunakan nggak, lebih daripada tidak. Di Tawau pula walaupun bahasanya tak jauh dari Bahasa Indonesia (mungkin banyak orang Bugis di situ), apabila bertutur dengan orang luar, bahasa atau perkataan KL digunakan.

Bagiku, perbezaan ini dianggap wujud apabila mungkin kurangnya perbendaharaan kata-kata seseorang yang disebabkan kurangnya pendedahan penggunaan perkataan-perkataan tertentu bagi si penutur. Pernah kutonton wawancara antara Hani Wachaa dengan Rossa. Rossa menyebut tanggal, Hani pula berkata kalau tanggal maknanya seperti menanggalkan seluar. Kalau dirujuk kepada kamus, tanggal itu juga perkataan lain untuk tarikh. Begitu juga dengan panggung, perkataan lain untuk pentas dan badai untuk ribut. Begitu juga bagi orang Indonesia apabila disebut bebek, itu adalah itik dalam Bahasa Indonesia Baku.

Kujuga ingin berkongsi beberapa perkataan dijadikan bahan gurauan akibat perbezaan dialek ini. Harap tak terguris di hati. Temanku dari Jakarta membuat lawak yang merujuk kepada bahasa di Malaysia yang mereka anggap kadang-kadang pelik ini.

Contoh, bagi mereka, kalau orang Malaysia sebut push up dalam bahasa Malaysia, disebut "setubuh bumi" dan parachute pula dikata "payung bunuh diri". Ku pun tak faham dengan lawak mereka ini. Itulah cara mereka melawak. Kuperjelaskan pada mereka push up itu ialah tekan tubi dan parachute pula ialah payung terjun. Jawab mereka, "Murni bahasanya."

Untuk orang Malaysia, kalau sesiapa yang pernah menonton Indonesian Idol, kalau mendengar perkataan spektakuler disebut dalam Bahasa Indonesia pasti akan tergelak. Begitu juga perkataan cocok, merampok dsb.

Walaupun ada yang mempertikaikan perbezaan dan persamaan ini, kini jelas interaksi antara penutur-penutur kedua-dua bahasa ini makin bercambah dan terjalin. Lihat saja interaksi di alam maya Internet. Banyak pelayar Internet dari kedua-dua negara berinteraksi antara satu sama lain.

Tak disangkal lagi bahasa ini juga bakal menjadi antara bahasa terpenting di Internet kerana bahasa ini adalah antara bahasa kesembilan terbesar di dunia (kurasa sepatutnya lebih tinggi lagi kerana fakta di Internet ini tak betul - katanya penutur Bahasa Melayu/Indonesia hanya berjumlah 160 juta orang, tetapi jumlah rakyat Indonesia saja 220 juta orang, tak ditambah lagi dengan penutur dari Malaysia, Singapura, Brunei serta Selatan Thailand dan Selatan Filipina...)

*Mengapa amal jariah menjadi amal zariah?

Pos berkaitan:
Singapura Memperbanyakkan Penutur Bahasa Melayu
Ketchup
Bahasa Indonesia - Mengapa Bahasa Melayu?
10 Bahasa Paling Dipertuturkan Di Dunia

17 Ogos 2005

Jerebu Sudah Berlalu Tapi...

Sudah beberapa hari jerebu berlalu. API pun sudah berkurang di bawah tahap 100. Namun ramai yang masih sangsi keadaan ini berkekalan. Dengan angin yang tak menentu di musim panas ini, pasti bila-bila masa saja asap dari Sumatera boleh datang kembali.

Ramai yang marah kerana kesan terhadap kesihatan dan perekonomian. Pihak berwajib pula mencuba pelbagai cara untuk mengelak masalah ini berlaku lagi. Ada yang melakukan hujan tiruan, mengharamkan buat sementara tradisi membakar jerami di Utara, menghantar pasukan bomba ke Sumatera dan lain-lain.

Berikut adalah beberapa pandangan tentang jerebu ini:

Haze Haters in Malaysia

Ini adalah sebuah laman yang didedikasikan kepada "penderita" jerebu untuk meluahkan perasaan dan pendapat melalui gambar-gambar (dalam bahasa Inggeris).

Jakarta harus ambil berat punca jerebu

Artikel di Berita Harian ini menceritakan tentang perlakuan tidak bermaya Indonesia untuk menangani masalah jerebu yang terus berulang setiap tahun. Juga menyatakan seorang 'pakar' Indonesia mendakwa jika Malaysia membuat tuntutan ganti rugi, Indonesialah yang sepatutnya menuntut kembali bayaran dari Malaysia kerana banyak mengeluarkan oksigen ke udara dari permukaan laut dan hutan simpanannya untuk kebaikan rakyat Malaysia seperti juga penduduk di keseluruhan kawasan Nusantara!

Interaksi: Rakyat masih rasional hadapi jerebu ‘jiran’

Satu lagi artikel berkenaan jerebu di Berita Harian yang menceritakan tentang rakyat Malaysia masih boleh bersabar dengan karenah jiran mereka. Mereka masih rasional dan tak emosional sepertimana sesetengah rakyat Indonesia yang bertindak melulu membakar bendera Jalur Gemilang apabila tercetus isu bilateral di antara kedua-dua negara. Juga menyatakan keengganan Indonesia, satu-satunya negara di ASEAN, untuk menandatangani Perjanjian Jerebu Lintas Sempadan.

13 Ogos 2005

Jerebu - Permasalahan Yang Melangkaui Sempadan Negara

Jerebu, masalah yang sama kita lalui saban tahun sejak 20 tahun lalu. Cuma intensitinya yang berbeza dari tahun ke tahun bergantung kepada cuaca dan arah angin. Pada kali ini, keadaannya adalah paling teruk di Lembah Kelang sejak tahun 1997 sehinggakan Kerajaan mengisytiharkan darurat di dua kawasan iaitu Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang. Kedua-dua kawasan itu melebihi tahap darurat iaitu Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencatatkan nilai atas 500.

Di samping punca kecil lokal seperti asap kenderaan dan kilang serta kebakaran kecil hutan di Semenanjung Malaysia, punca terbesar adalah dari Sumatera, Indonesia. Di provinsi Riau, banyak titik-titik panas dikesan dengan menggunakan imej satelit. Titik-titik panas ini adalah api dari pembakaran hutan yang bertujuan pertanian. Pembakaran hutan adalah cara paling mudah dan ekonomik serta memperkaya nutrien tanah yang akhirnya ditanam dengan anak kelapa sawit dan sebagainya.

Dari sudut kemaslahatan umum, pembakaran hutan merupakan satu bencana yang bukan sahaja tertumpu di kawasan setempat malah melangkaui sempadan negara dan menjadi masalah serantau. Asap ini mengandungi bahan-bahan tercemar yang tidak baik kepada kesihatan. Habuk-habuk yang berterbangan di udara ini mengancam pengidap asma, yang sakit dada, sakit mata dan sebagainya. Jarak penglihatan yang semakin pendek juga boleh mengancam pergerakan lalulintas baik di udara, air mahupun darat.

Sudah lebih 20 tahun, negara-negara ASEAN bersidang untuk menangani permasalahan ini namun pelaksanaannya tak terlihat langsung. Negara utama penyebab masalah ini, Indonesia, sudah menyatakan komitmen, mengakui ada undang-undang dalaman yang ketat; namun setiap tahun asap-asap putih ini yang bahasa Melayunya jerebu dan bahasa Indonesianya kabut asap tetap berterbangan bebas di rantau Asia Tenggara melangkaui sempadan politik kenegaraan.

Pelaksanaan undang-undang yang terhambat di Indonesia ini menimbulkan banyak tanda tanya. Di kalangan negara Asia Tenggara khususnya Malaysia sudah faham dengan masalah dalaman Indonesia. Dengan negara yang luas, tenaga pentadbir tidak cukup dan kawasan-kawasan punca jerebu sukar diakses. Pun begitu, terdapat masalah lain yang diduga menghalang usaha murni ini. Mungkin karenah birokrasi dan makan suap atau korupsi di kalangan pegawai menyebabkan segala resolusi tak terlaksana. Bayangkan kesungguhan Malaysia membantu Indonesia dengan menghantar pasukan bomba dan penyelamat ke Sumatera untuk membantu memadam kebkaran pun sukar dilakukan dek karenah birokrasi.

Kesabaran negara tetangga Indonesia memang ada tahapnya. Di Malaysia, para ibubapa tak mahu melihat persekolahan anak-anak terus ditangguh lagi setelah dua hari ditutup sejak Khamis lalu. Jika Pelabuhan Kelang atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terpaksa ditutup, sudah pasti aktiviti perekonomian negara terganggu dan merugikan negara. Ini tak termasuk para pelancong yang membatalkan penempahan mereka. Ketika ini penulis yang berada di Pantai Timur Semenanjung yang jerebunya sedikit kurang menyaksikan ramai teman-teman pulang dari Kuala Lumpur bagi menghindari jerebu itu.

Di samping kita menyalahkan para sang rakus yang berkepentingan sendiri itu, kita juga patut sedari ini adalah satu ujian dan juga mungkin satu bala. Peringatan dariNya harus difikir-fikirkan. Namun kali ini, berkat ketabahan dan kepasrahan kepada yang Maha Kuasa, jerebu beransur pulih. Perintah darurat di dua kawasan itu ditarikbalik. Jerebu beransur pulih walaupun kini ia beralih ke utara Semenanjung Malaysia. Penulis melihat selepas solat Jumaat, jerebu beransur pulih. Mungkin permintaan para jemaah yang bersama-sama solat hajat beramai-ramai mahukan keadaan kembali normal dimakbulkan Sang Khalik.

Harap semuanya kembali ke asal tapi tahun depan boleh jamin ini berkekalan lagi?

07 Ogos 2005

Fakta Menarik Di Sebalik Akademi Fantasia

Image hosted by Photobucket.com
Mawi, setelah ditabalkan sebagai juara AF musim ke-3.

Hmm, setengah jam berlalu Mawi baru saja ditabalkan sebagai juara pertandingan realiti TV paling popular di Malaysia, Akademi Fantasia (AF) terbitan Astro. Di sini, kuingin mengongsi beberapa fakta yang menarik tentang AF:

1. Kini suku Jawa di Malaysia berasa sangat bangga dengan kejayaan Mawi yang bersuku Jawa itu. Kalau dulu sesetengah orang mentertawakan mereka kerana perkara remeh seperti nama sesetengah mereka yang Jawa, bukan nama Arab ataupun bercakap dengan bunyi loghat pekat Jawa, namun kini tak lagi.

Nampaknya semua orang mahu berkongsi persamaan dengan Mawi. Para pengkritik pun seperti Adlin mengaku Jawa kerana ibunya, Ruminah Sidek adalah Jawa dan Syafinaz pula mengaku Jawa-Bugis. Aznil pula nak lawan balik, mengaku Minangkabau. Ku juga Melayu...

2. Felix bin Agus. Di Sabah, suku-suku pribumi (anak negeri) yang lain menggunakan bin dan binti seperti orang Melayu/Islam walaupun mereka tak semestinya Islam. Dulu semasa AF2, kita ada Norlinda binti Nanuwil. Kalau di Indonesia, hanya orang Bugis yang memakai bin dan binti ini di samping suku Melayu. Orang Jawa, misalnya hanya ada nama sendiri pada namanya, tak ada nama bapa.

3. Perniagaan paling bagus bagi Astro mungkin di Sabah! Sewaktu ku di Sabah tahun lepas, pada masa itu tengah rancak dengan AF2, semua orang berbicara tentang AF. Malah masa aku mula-mula sampai di KK, pekerja hotel tanya sokong pelajar AF mana.

Ku pun perasan hampir setiap rumah ada piring Astro! Nak kata penerimaan siaran TV terresterial tak jelas, lokasinya di KK. Semasa di Labuan, semua kedai makan pasang AF pada malam Sabtu. Di depan Ujana Kewangan, persekitaran kedai-kedai makan tersebut telah berbunyi "surround" AF kerana semua kedai memasang AF!

Ada satu kedai itu kulihat tak ada pelanggan langsung. Sudah pasti dia tak ada Astro! Hanyaku saja yang menjadi pelanggannya sepanjang dua jam setengah aku melanguk di situ, itupun kerana aku tersalah duduk. Nak lari ke kedai sebelah, kasihan pula. Jadinya aku minum di kedai dia sambil menonton AF yang dipancarkan dari kedai sebelah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...