11 Disember 2006

Kurang Dari Satu Kilometer Menjadi 40 Kilometer!



Entah kenapa hari ini (hari minggu) kuberasa sangat bosan tinggal di rumah. Biasanya pada hujung minggu, ku lebih senang berada di rumah kerana pada hari bekerja, ku sudah bekerja di luar dan hujung minggulah waktunya untukku berehat di rumah. Tiada apa-apa yang menarik untuk kulakukan di rumah. Torrent-torrent yang kutunggu-tunggu sudahpun dimuat turun. Blog-blogku pula sudah dikemaskini. Hendak menonton TV, terasa malas.

Pada mulanya kumahu ke kedai mamak saja untuk makan tengah hari walaupun perutku masih kenyang kerana lambat mengambil sarapan. Lalu kubawa The Star yang masih belum ku habis baca sebagai pengisi waktu di sana. Sengaja kupilih jalan jauh untuk ke kedai yang sebenarnya di seberang jalan rumahku saja itu. Kumahu menghilangkan kebosananku. Sedang kumemandu, jalan raya tiba-tiba sesak. Biasanya kumenyumpah seranah ;-), tetapi kali ini kusantai saja. Memandu pun perlahan. Kereta-kereta lain banyak meyusup masuk ke depan keretaku. Ku tak kisah.

Sedang kumenunggu keretaku lepas dari kesesakan itu, kuterfikir apa kata kukeluar saja dari hiruk-pikuk kota Johor Bahru ini. Kufikir untuk pergi ke tempat yang boleh menenangkan fikiranku ini. Ku tidak tahu untuk ke mana. Entahlah. Kuikut rasa hati – pergi ke arah Utara. Ke mana? Tak tahu.

Kubatalkan saja niatku untuk makan di kedai mamak. Perutku pun masih kenyang. Apa kata pergi Air Terjun Kota Tinggi? Tak mahulah. Kumahukan tempat yang suasana yang saujana mata memandang. Di sana hutan, bukannya dapat memandang jauh. Pohon-pohon di hutan waima hijau, masih tidak menjadi pilihanku.

Melihat meter di keretaku, kelihatannya minyak sudah pun mahu habis. Kuberhenti di sebuah stesen minyak dulu. Tenangkan fikiran. Nanti mendapat idea untuk ke mana. Kubeli makanan ringan dan minuman untuk bekalan.

Kuberfikir lagi. Kalau mahu tempat yang saujana mata memandang, pantailah jawabnya. Tapi di sini mana mahu dicari pantai. Yang cantik jauh. Kalau ke Desaru, jangkamasa untuk ke sana lama, bahkan sama dengan perjalanan ke Melaka – 2 jam, walaupun jika dilihat di peta Desaru tak jauh dari Johor Bahru! Ini kerana tiada laluan dekat untuk ke sana. Lebuhraya yang dikatakan akan siap umpama menanam tebu di bibir saja, terutama di waktu pilihanraya. Entah bila siap, err entah bila dimulakan?

Ku sudah sampai ke Kota Tinggi. Di depanku simpang empat. Kalau ke kiri, ke bandar Kota Tinggi. Kalau terus, ke Mersing dan kalau ke kanan, ke Desaru. Mahu terus, tempat menarik seperti Mersing sangat jauh. Ke Kota Tinggi, jalannya pasti sesak di sana. Lalu kuambil keputusan ke kanan saja iaitu ke arah Desaru.

Setelah membelok, kulihat papan tanda di bahu jalan. Desaru 42km. Agak dekat juga! Boleh juga ke sana. Tapi kufikir lagi. Ku tidak membawa kamera, rugilah kalau ke sana kalau tidak “menembak” dan diletakkan di Fotopagesku. Lagi pula langit membiru hari ini sangat cantik untuk dipotretkan. Tidak apa, nanti menyesal pula kalau tidak bergambar di Desaru.

Kumendapat idea, apa kata singgah di tengah jalan ke Desaru saja. Dulu, ku pernah singgah di sebuah warung yang menjual Roti Tempayan. Agak terkenal dan semestinya sedap. Ku tidak tahu lokasi sebenarnya. Yang kuingat warung itu berhadapan dengan stesen minyak Shell. Kalau ke sana, bolehlah menikmati Roti Tempayan sambil membaca The Star dan melihat kereta lalu lalang dalam perjalanan pulang dari Desaru.

Ku santai saja. Kelajuanku 80 km/j. Banyak kereta menunggu untuk memotongku. Biasanya akulah antara yang laju, agresif untuk memotong kereta di depan. Jalan dua lorong di sini kulihat tidak mampu lagi menampung jumlah kenderaan yang agak banyak melalui laluan ini, lebih-lebih lagi cuti sekolah begini. Barisan kereta yang panjang bergerak kelihatan sukar untuk kereta yang diparkir sebentar di bahu jalan untuk masuk semula ke lorong memandu. Itulah, seperti kukatakan, lebuhrayanya entah bila siap… Nasib baik semuanya laju-laju belaka, 90 km/j. Sungguh lancar trafiknya.

Terasa lama pula untuk sampai ke tempat tujuan yang ku tidak pasti itu. Kiri kananku, kelihatan banyak ladang kelapa sawit. Barangkali banyak Felda di sini kerana gabungan Felda-Felda ini telah dijadikan satu kawasan Parlimen iaitu Parlimen Pengerang yang diwakili oleh seorang menteri yang tidak habis-habis dengan membina kompeks sukan di London itu. (Untuk shopping?) Pelik juga kerana fikirku kawasan kampung bukannya ramai sangat penduduknya untuk dijadikan satu kawasan Parlimen. Ah, tinggalkan bab politik ini…

Kurasa sudah bosan pula memandu. Tempat yang ditujui belum sampai lagi. Asalnya mahu melepaskan kebosanan, kini hampir penat pula memandu. Akhirnya kelihatan beberapa rumah kedai di tepi jalan. Mungkin ini tempatnya. Semakin dekat, kulihat pula papan tanda stesen minyak Shell yang meninggi melebihi pepohon di situ. Sah, inilah tempatnya! Rasa hampir penat itu tiba-tiba hilang.

Di depan stesen minyak itu, tertera papan tanda Roti Tempayan di kedai makan itu yang dipisahkan sebuah lorong dari stesen minyak itu. Kumenyusur masuk ke lorong itu dulu. Mahu ke masjid dulu untuk bersolat Asar. Nanti balik lebih senang kerana semuanya sudah usai. Ramai juga penduduk Felda Air Tawar 5, seperti nama tertera di muka lorong tadi, mengimarahkan masjid. Ingatkan ada majlis kahwin atau orang meninggal tapi jemaah yang menunggu bilal mengalunkan iqamah.

Sesudah solat, inilah masanya. Makan time. Kumemandu keluar untuk ke kedai makan itu. Agak ramai orang jika dibandingkan semasa kulalu tadi sehinggakan kuparkir keretaku agak jauh. Tidak mengapa. Kupesan order dan tidak lama, sampai Roti Tempayan dan Teh Tarik yang kupesan. Saiz Roti Tempayan itu amat besar memenuhi keseluruhan pinggan. Baru kuteringat, semasa kudatang ke sini dulu, kubungkus saja sisanya kerana tidak dihabis makan setelah menjamah Nasi Goreng Kampung.

Pastinya agak lama untuk kuhabiskan semuanya. Lalu kuambil The Star yang kubawa dan kulapik surat khabar itu untuk menikmati Roti Tempayan. Bukan untuk mengelakkan meja kotor, tapi untuk kubaca akhbar itu sambil menelan cubitan-cubitan kecil roti itu. (Kakak itukan bakal membersihkan mejanya…). Agak lama ku situ. Orang yang sampai bersamaku tadi sudahpun beransur pulang. Kuhabiskan dulu membaca The Star edisi Ahad yang agak tebal itu.

Wah, sungguh padat perutku dek Roti Tempayan besar itu. Sampai penat pula setelah makan. Setelah bayar, kumemandu pulang. Kali ini, tidak boleh perlahan lagi. Kena laju sikit sebab hari dah pun petang. Seperti biasa, perjalanan pulang terasa sungguh singkat jika dibandingkan dengan perjalanan pergi tadi.

Setelah tiga jam keluar tadi, ku pun sampai ke rumah semula. Pasa asalnya mahu ke kedai mamak yang jaraknya tidak sampai satu kilometer pun, tapi perjalananku akhirnya mengambil jarak lebih kurang 40 kilometer! Hanya untuk makan! Tapi kupuas, puas kerana kebosananku hilang…



Tag: , , ,

10 Disember 2006

Sekitar Sukan Asia Doha 2006



Malam tadi adalah malam kegembiraan apabila lagu Negaraku berkumandang apabila pasangan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong memenangi emas acara beregu lelaki badminton Sukan Asia apabila mengalahkan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto. (Juga gembira melihat Liverpool membelasah Fulham 4-0…)

Ada beberapa perkara menarik tentang kemenangan pasangan tersebut. Jurulatih beregu, Rexy Mainaki, membaling jaketnya ke arah kumpulan penyokong Indonesia, mungkin tanda hormat setelah “menderhakai” negara sendiri. Juga, sungguh puas hati beliau dapat membalas kritikan pedas sebelum ini setelah pasangan tersebut bermain buruk dalam acara berpasukan. Kini beliau bernafas lega setelah dikatakan mahu meletak jawatan gara-gara persembahan buruk tersebut.

Juga lagu Gadis Melayu berkumandang sebaik kemenangan tersebut. Siapa yang memasangnya? Adakah seseorang membuat permintaan jika pasangan Malaysia menang? Apa-apa pun Negaraku tetap berkumandang yang sebelumnya Ole-ole Kita Menang Kitalah Juara dinyanyikan.

Selain itu, juga menarik perhatianku ialah pemakaian atlet Bahrain, Ruqaya Al Ghasara yang memenangi pingat gangsa acara 100m pecut wanita. Siapa kata berpakaian Muslim tidak boleh bersukan. Beliau malah membuktikannya. Mungkin beliau boleh mendapat tempat yang lebih baik jika dia bermula dengan lebih baik, di mana beliau adalah orang terakhir berlepas dari blok permulaan.



p/s – kusuka lagu semasa penyampaian pingat di Sukan Asia kali ini. Lagu berirama Arab moden itu kedengaran menaikkan semangat dan seolah-olah meraikan kejayaan.

Dikemaskini semula:
Ruqaya Al Ghasara bagaimanapun memenangi pingat emas dalam acara 200m. Syabas!

Tag: , , , , ,

06 Disember 2006

Di Sebalik Peraturan Terbaru Pemakaian MPKB

Heboh sekarang memperkatakan peraturan terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang mewajibkan warga Kota Bharu mematuhi peraturan terbaru pemakaian wanita di khalayak ramai. Jika tidak dipatuhi, denda RM500 bakal dikenakan.

Antara tegahan terbaru yang diwajibkan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah dan restoran-restoran ialah pemakaian yang ketat dan jarang, mini skirt dan blaus pendek menampakkan pusat. Untuk orang Islam, busana mestilah melitupi hingga sampai ke buku lali dan diwajibkan memakai tudung. Yang bukan Islam pula hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian dan sopan serta tidak menjolok mata.

Ada beberapa perkara menarik yang ingin dikupas di sini. Sebenarnya yang kuat “melompat” apabila mendengar peraturan baru ini ialah mereka yang tidak terikat dengan peraturan ini! Mereka itu bukannya tinggal di Kota Bharu. Yang diprihatinkan mereka ialah hilangnya kebebasan dan “kemodenan” perempuan di Kelantan. Sedarkah kita apabila pengumuman ini dibuat, sekurang-kurangnya 90% wanita Kelantan sudah mematuhi peraturan itu! Bahkan mungkin lebih daripada itu.

Di dalam Islam, perempuan wajib menutup aurat. Yang boleh dibuka di khalayak ramai hanyalah muka dan tapak tangan. Di Kelantan, wanitanya memang terkenal dengan kesopanan, memakai pakaian menutup aurat, malah kejelitaan mereka juga.

Sebagai orang yang berasal dari Pantai Timur, penulis sendiri memahami budaya orang Pantai Timur. Jika dibandingkan dengan orang di bahagian lain di Malaysia ini seperti Pantai Barat, agak berlainan sekali. Di Pantai Timur, sekurang-kurangnya 90% penduduk bandar adalah Melayu dan Islam. Jika di kampung-kampung 100%. Orang Melayu di Pantai Timur memang sebati dengan cara hidup Islam dan berorientasikan Melayu kerana mereka majoriti. Amat jarang untuk mencari mereka yang tidak bertudung di sana. Kalau sembahyang, mesti lengkap lima waktu.

Di dalam The Star hari ini, terdapat satu kartun satira yang menggambarkan pusat membeli-belah di Kota Bharu membuat lelongan baju-baju seksi kerana katanya selepas larangan tersebut, baju-baju tersebut bakal tidak laku. Sedarkah mereka yang di Kota Bharu tidak ada pasaran bagi baju-baju sedemikian jika dibandingkan dengan di Pantai Barat? Mungkin ada tapi penulis fikir tidak balik modal kalau cuba dijual di sana.

Ini merujuk kepada fakta kedua iaitu kurangnya pemahaman mereka tentang cara dan gaya hidup penduduk Pantai Timur yang berlainan daripada di Pantai Barat. Mereka sering mengkritik kurangnya hiburan di Pantai Timur. Hiburan di sini bermaksud kelab malam yang menyediakan arak dan malah sesetengah mengharapkan layanan perempuan. Bagi penduduk tempatan, mereka tidak perlu semua itu. Itu adalah maksiat dan dosa.

Jika diamati, yang membuat bising itu ialah golongan “atasan” seperti menteri dan golongan bukan Islam yang terlalu prihatinkan nasib bukan Islam di sana yang disangka bakal mendapat ketidakadilan peraturan yang mirip Islam. Hasil tinjauan penulis, akhbar Melayu tidak banyak memperkatakan hal ini, manakala yang menganggap isu ini besar ialah akhbar berbahasa Inggeris seperti The Star yang memberikan tajuk utama di muka depan. Channel News Asia di Singapura juga memperkatakan hal ini. Adakah wujud Islamophobia di sini? Jika ditanya kepada penduduk bukan Islam di Pantai Timur, mereka tentu lebih faham keadaan dan budaya di Pantai Timur dan sememangnya maklum dengan peraturan itu.

Lihat saja hasil tinjauan SMS di Edisi 7, NTV7 tadi, 85% yang bersetuju mengatakan wanita yang berpakaian seksi itu tidak menghormati diri sendiri. Hasilnya, umum tidak “melompat” dengan peraturan terbaru itu, cuma segolongan kecil termasuk menteri yang malah tidak terikat langsung dengan peraturan ini heboh memperkatakannya. Mereka ini jumlahnya kecil tapi "salakan"nya terlalu kuat. Bila ditanya pernah ke Kota Bharu untuk merasai sendiri suasana di sana. Jawabnya tidak! Alahai, nak kritik tapi dari jauh…

Tag: , , ,

05 Disember 2006

Dedikasi Untuk Cibilzsonic

Ini ditujukan khas buat Cibilzsonic, yang menjadi orang pertama memberikan komen di shoutbox baruku itu: :-)

Cahaya suria itulah menerangi harimu
Isi alamlah rezekimu
Buana inilah tempatmu berpijak
Indah luas samudera itu pandanganmu
Langit yang tinggi itulah azammu
Zahirkan cita-citamu
Satu hati inginkan jaya
Omonganmu untuk didengari
Nuranimu menyentuh jiwa
Ilhammu cetusan idea
Cubalah, cita-citamu kan tercapai

29 November 2006

Streamyx Memblok P2P dan BitTorrent

Sejak beberapa bulan lepas, kelajuan klien BitTorrentku sudah menurun. Bayangkan ada beribu-ribu malah berpuluh ribu seeders di Internet tetapi kelajuannya hanyalah 10 kbps. Kalau kumahu berkongsi fail dengan pengguna lain, muat naiknya pula tiada langsung walaupun berpuluh ribu cuba menyambung ke komputerku.

Sepertimana yang didedahkan pekerja Streamyx sendiri, satu program telah dipasang untuk mengawal dan menghalang sambungan program P2P dan BitTorrent. Alasan Streamyx ialah untuk mengurangkan trafik dari program tersebut yang dikatakan memperlahankan jaringan Internet yang disediakan mereka. Selain itu, mereka juga ingin mengawal aktiviti cetak rompak yang cerita atau filem dibawa masuk menggunakan aplikasi tersebut.

Bagiku, ini adalah satu pencabulan hak pengguna. Kita, sebagai pengguna, telah membayar servis mereka. Sebagai contoh, dengan melanggan pakej 1024 kbit/s, kelajuan muat turun boleh dikira dalam kbps dengan membahagi lapan. Jadi kelajuan muat turun ialah 128 kbps. Apabila kelajuan muat turun kita dikawal atau dipanggil throttle, mengikut pengalamanku, kelajuan muat turun maksima hanyalah 20 kpbs. Dengan RM88 yang kubayar, sepatutnya kumendapat 128 kbps, tetapi ini hanyalah 20 kbps. Adakah berbaloi dengan apa yang kubayar?

Alasan mengurangkan trafik dan mengawal cetak rompak hanyalah untuk menutup kegagalan mereka dalam menyediakan sistem yang lebih baik dan mampu menyediakan kehendak pelanggan yang makin meningkat. Mereka sepatutnya menaiktaraf sistem mereka, bukannya merompak apa yang sudah dibayar pelanggan. Kufikir ini patut dilapor ke pihak tribunal pengguna. Masalahnya, mereka faham ke? Silap haribulan, kena kelentong dengan Streamyx.

Untuk senarai Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) yang jahat (?), sila klik di sini. Ini termasuk Jaring sendiri.

Kontroversi Streamyx:
1. Iklan bukan main gah di TV tetapi apabila mahu dilanggan, kawasan di luar liputan.

2. Pelanggan sedia ada dinaiktaraf. Contoh: 384 kbit/s menjadi 512 kbit/s, 512 kbit/s jadi 1 Mbit/s. Namun banyak yang belum dinaiktaraf. Mengikut pengalamanku, empat kali kulapor dan selepas itu barulah diambil tindakan. Kalau ikutkan, berbulan-bulan kubayar 'buta' kerana kelajuan yang diterima lebih rendah dari sepatutnya.

3. Mempunyai reputasi khidmat pelanggan yang buruk. Antara sebab yang mungkin ialah pegawai pusat pelanggan adalah pekerja pihak ketiga/kontrak. Jadi, tiada rasa 'kemilikan' di kalangan pegawai. (Sama juga seperti Celcom yang pegawainya dimarahiku memutuskan talian).

4. Ramai pekerja Streamyx bakal diberhentikan kerana banyak jawatan dianggap sebagai lebih dari perlu.

28 November 2006

Gara-Gara Meniru Aksi Smackdown


Seorang kanak-kanak sekolah di Bandung, Indonesia telah meninggal dunia akibat meniru aksi Smackdown ketika bermain dengan kawannya. Smackdown adalah satu rancangan popular World Wrestling Entertainment (WWE) yang memaparkan aksi professional ahli gusti.

Meniru aksi Smackdown kini sangat popular di kalangan budak-budak sekolah di Indonesia dan aksi-aksi ini sering dimainkan terutama ketika waktu rehat sekolah. Di sebalik satu kejadian malang itu, ramai lagi kanak-kanak yang cedera ketika bermain dengan rakan-rakan mereka. Antara aksi yang sering ditiru ialah aksi mengangkat rakan mereka dan menghumban ke lantai.

Rentetan kejadian maut itu, pihak pemerintah telah memanggil pihak televisyen yang menyiarkan rancangan itu, Lativi dan diambil keterangan. Ada pihak lain pula mahukan rancangan itu diharamkan kerana dikatakan telah merosak fikiran kanak-kanak yang masih mentah. Ini dikhuatiri perlakuan ganas yang ditiru itu tanpa pengawasan orang dewasa itu, terutama di sekolah, bakal mengulangi kejadian malang itu.

26 November 2006

Rupa Baru Blogku Dalam Blogger Beta

Syabas buat Blogger Beta kerana memperkenalkan ciri-ciri terbaru dalam menghasilkan blog yang kupasti adalah terbaik di alam maya Internet ini.

Mereka memperkenalkan Label iaitu satu cara untuk mengurus pos-pos mengikut kategori masing-masing, yang sudah lama kuidamkan ada di Blogger ini. Juga diperkenalkan ialah feed di mana kita boleh memaparkan feed yang dilanggan dari laman-laman lain. Selain itu, ada juga cara mencari pos-pos lama dengan paparan hirarki yang sungguh mesra pengguna. Sungguh mudah mencari tajuk pos yang diinginkan.

Selain itu, templatnya juga sungguh senang diubahsuai sekarang. Paparan halaman telah dibahagikan mengikut elemen-elemen tertentu. Elemen berlainan jenis seperti gambar, senarai jaringan, teks, skrip Java pihak ketiga dan malah Google AdSense sendiri boleh juga ditambah atau dibuang mengikut kehendak kita. Kini tidak perlu lagi bergelumang dengan HTML yang mudah terdedah kepada kesilapan dan tidak mesra pengguna baru.

Jadi, sesiapa yang belum menggunakan Blogger Beta terbaru ini, kusyorkan semuanya bertukar ke Blogger Beta. Buat Krinch, marilah bertukar ke Blogger Beta kerana laman anda terlalu lambat untuk dimuat turun. ;-)

25 November 2006

Hotspot di EON Servis

Hari ini kuhantar keretaku untuk servis di EON Servis. Sudah terlajak dari masa sepatutnya kerana tiada masa @ malas sebelum ini. Satu perkara yang ku tak suka apabila menghantar kereta ke sini ialah masa menunggu yang agak lama. Biasanya kupulang saja ke rumah dengan menaiki teksi. Kalau keretaku siap, staf di sini akan menelefonku untuk mengambilnya.

Tetapi kali ini kubercadang untuk menunggu saja. Mahu balik, rumahku agak jauh. Lagipula jika terdapat kesesakan lalulintas, pastinya masaku terbuang untuk balik ke rumah dan pergi semula ke EON Servis. Jadi, kumenunggu saja. Buat menghilangkan kebosanan menunggu, kubawa laptopku sekali.

Satu perkara yang kusuka di sini ialah adanya akses tanpa wayar TMNet Hotspot. TM pula sudah memperbaiki perkhidmatannya dan dengan kolaborasi antara TM Net dan Celcom, pengguna Celcom, tak kira pascabayar atau prabayar, semuanya boleh memohon ID dan kata kunci dengan menggunakan SMS. Akses satu hari berharga RM5 manakala sebulan berharga RM28.

Ini kukira sudah baik kerana ku punya prabayar Celcom yang jarang digunakan. Sekurang-kurangnya dapat kumanfaatkan. Dengan beberapa langkah menghantar SMS, kusudah dapat ID dan kata kuncinya.

Dan sekarang, kumenulis entri ini di EON Servis sementara menunggu keretaku siap. Kalau macam ini, satu hari suntuk, kusedia menunggu... ;-)

17 November 2006

Khutbah Jumaat Dalam Bahasa Inggeris


Jumaat minggu lepas, kubersembahyang Jumaat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC kerana ada urusan kerja di sana. Seperti biasa, kupergi awal supaya mendapat tempat duduk di masjid yang senantiasa sesak itu. Sebelum khutbah bermula, imam masjid mengumumkan yang khutbah pada hari itu akan diadakan dalam Bahasa Inggeris. Agak terkejut kudengar namun apabila memikirkan yang para jemaah bukan saja terdiri daripada orang tempatan, malah juga orang Islam dari senatero dunia yang melawat ke sini ataupun berkerja di sini, maka pertukaran ini memang patut.

Walaupun kualiti penyampaian adalah kurang jika dibandingkan dengan yang di dalam Bahasa Melayu, namun sekurang-kurangnya itu boleh memanfaatkan yang bukan bertutur dalam Bahasa Melayu.

Hari ini pula, kubersolat Jumaat di Singapura. Jika sebelum ini ada saja alasan untuk tidak bersama berjemaah di masjid ;-), kali agak mudah untukku ke masjid. Dari tempat kuhadiri seminar, kunaik MRT, yang stesennya terletak berdekatan, dan berhenti di Orchard Road. Di situ sebenarnya ada sebuah masjid iaitu Masjid Al-Falah. Namun keadaan bangunannya yang sama seperti gedung-gedung perniagaan lain, mungkin sukar untuk seseorang mengagak itu adalah sebuah masjid. (Di Johor Bahru, juga ada masjid di pusat membeli belah, iaitu di Kotaraya.)

Kufikir di sini juga ada kebarangkalian yang khutbah akan diadakan dalam Bahasa Inggeris kerana Bahasa Inggeris di Singapura sekarang sudah menggantikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca, lebih-lebih lagi buat golongan muda. Di samping itu, ramai juga umat Islam dari luar tinggal di Singapura. Namun, khutbah masih diadakan dalam Bahasa Melayu. Kulihat cara khutbah berjalan masih sama dengan yang diadakan di negeri Johor, cuma tiada doa panjang berjela untuk keluarga diRaja Johor..

Jikalau di Selatan Thai, khutbah masih di dalam loghat Melayu di sana, di Bangkok pula di dalam Bahasa Thai. Bagaimana di kampung-kampung di Jawa Tengah dan Jawa Timur? Adakah di dalam Bahasa Jawa? Juga di pedalaman Aceh, adakah di dalam Bahasa Aceh?

14 November 2006

Awas Terengganu!

Banyak pentanda alam muncul di Terengganu sejak akhir-akhir ini. Banyak timun laut bertaburan di pantai-pantai Terengganu dan juga ikan lumba-lumba dikatakan juga muncul di situ. Semua kejadian ini adalah pelik dan luar dari kebiasaan. Jadi, berhati-hatilah khususnya kepada rakyat Terengganu bahawa sesuatu kejadian alam yang luar biasa akan berlaku.

Ramai orang mengaitkan dengan kejadian Bah Merah yang berlaku setiap 40 tahun dan tahun ini adalah pusingan terbaru Bah Merah. Justeru, pelbagai persiapan harus dilakukan sekarang dalam menghadapi limpahan banjir yang bakal mendatang saban tahun.

Petanda alam dari Yang Maha Kuasa ini bukanlah perkara baru. Dulu semasa tsunami, banyak ikan dan hidupan lain bertaburan di pantai sebelum kedatangan tsunami. Burung yang tidak pernah datang ke Malaysia juga berkunjung ke sini mencari perlindungan. Gajah-gajah peliharaan di Thailand resah gelisah di kurungan pada pratsunami tersebut. Di Sri Lanka, hidupan liar semuanya naik ke pergunungan.

Bagi sesetengah orang Terengganu, mereka juga tidak kurang pengetahuan mereka. Sebelum musim banjir, seseorang boleh mengetahui ketinggian air yang bakal melanda dengan melihat ketinggian sarang-sarang semut yang dibina di batang-batang pokok di hutan bakau. Jika tinggi sarangnya, maka tinggilah paras air nanti, jika rendah, maka rendahlah paras banjir yang bakal melanda.

Semua ini adalah petunjuk untuk kita. Mungkin bencana alam adalah pengajaran buat manusia kerana haiwan semua tidak terlibat, bahkan para binatang sudah 'diberitahu' sebelum kejadian. Cuma manusia yang menggunakan akal fikiran dapat menafsir apa yang tersirat dan menginsafi kekhilafan sendiri. Wallahu a'lam.

13 November 2006

Subang

Sudah dua kali, kulihat Andy Flop Poppy muncul di TV dengan hujung bawah cuping telinganya dikaburkan dari pandangan oleh satu bulatan kecil. Ini gara-gara Andy sendiri yang memakai subang yang agak besar di kedua-dua belah telinganya. Pertama kali di Melodi Raya yang lepas di TV3 dan terbaru dalam rancangan Selamba Serius di NTV7.

Kuterfikir kenapa sampai macam itu sekali harus diedit. Jikalau lelaki Melayu Islam memakai subang dipandang sebagai tidak sesuai untuk tontonan umum, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak, kenapa tidak disuruh saja Andy membuka subangnya sebelum rakaman dibuat. Kalau Andy tidak memberikan kerjasama, Andy sepatutnya tidak boleh muncul.

P/s: Ramli MS pun tak terkecuali.

04 November 2006

Penterjemahan Yang Lemah

29 Oktober 2006 @ 11.00 malam

Tika ini sedang kumenonton Ada Apa Dengan Cinta yang disiarkan di TV9. Kuteruja untuk menontonnya sekali lagi kerana dulu, melalui VCD yang kubeli ketika filem ini sedang hangat, tidak kufahami dialog-dialognya kerana loghat Jakarta yang digunakan terlalu pekat. Tambahan pula, pertuturan para pelakon mudanya yang jelita dan kacak itu sangat cepat dan sukar ditangkap.

Namun harapanku tidak kesampaian. Penterjemahan Bahasa Jakarta ke Bahasa Melayu sangat lemah dan selalu tertinggal beberapa ayat penting. Yang diterjemah hanyalah terbatas untuk perkataan yang biasa dituturkan orang Jakarta yang orang Malaysia sendiri fahaminya. Perkataan-perkataan seperti lu, gue, kayak, cowok, cewek, ngomong, enggak dan jelek (awak/kau, saya/aku, macam, ‘balak’, ‘awek’, cakap, tidak/tak dan buruk) sememangnya mudah difahami orang Malaysia.

Beberapa perkataan yang ku sendiri tidak fahami tidak diterjemah langsung ke Bahasa Melayu. Tidak ada sarikata yang keluar pada masa itu, lebih-lebih lagi apabila banyak perkataan Jakarta disusun dalam satu ayat. Apabila keluar percakapan yang boleh ditangkap oleh orang Malaysia, barulah keluar sarikata. Itupun ditukarkan ke perkataan-perkataan yang lebih biasa disebut orang Malaysia (atau lebih tepat ke Bahasa KL) sungguhpun perkataan yang disebut para pelakon itu sendiri adalah perkataan asal Bahasa Melayu juga seperti ‘bagaimana’ ditukar ke ‘macam mana’, ‘lalu’ ditukar ke ‘lepas tu’ dan ‘ibu’ menjadi ‘mak’.

Inilah ‘masalah’ yang terjadi apabila menterjemah bahasa dari rumpun yang sama. Kuterfikir adakah orang Inggeris meletakkan sarikata apabila menonton filem-filem Hollywood? Adakah pawagam di Amerika menyediakan khidmat sarikata untuk filem-filem Harry Potter? Adakah Bahasa Inggeris mereka masih saling difahami sungguhpun temanku dari Australia mengatakan loghat Inggerisnya tidak sama dengan yang di Amerika.

Adakah Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia terlalu jauh bezanya? Bagiku perbezaan ini disebabkan lebih kepada loghat. Di Malaysia, cenderung ke Bahasa KL manakala di Indonesia, lebih cenderung ke Bahasa Jakarta. Jika dituturkan bahasa standard (bahasa yang kita tulis dalam karangan di sekolah), kita masih saling memahami. Dengar saja ceramah pendakwah tersohor Indonesia, Aa Gym. Tentu tahap pemahaman orang Malaysia jauh lebih tinggi peratusannya jika dibandingkan dengan memahami dialog-dialog filem Ada Apa Dengan Cinta ini.

Dari sudut lain, nampaknya ‘tsunami’ dari Indonesia terus melanda lagi. Sesudah kumpulan-kumpulan muzik Indonesia menjadi hit di seluruh Malaysia, kini stesen-stesen TV berlumba-lumba menaikkan rating dengan menyajikan filem-filem dan drama-drama dari Indonesia. TV3 sekarang berbangga kerana sinetron Bawang Putih Bawang Merah sudah memecah rekod jumlah tontonan teramai, yang malah mengalahkan Buletin Utama terbitan TV3 sendiri. Ini juga memadamkan rekod terdahulu opera sabun Latin, Rosalinda. Untuk menarik lebih ramai penonton, buat pertama kali, sarikata juga disediakan untuk filem-filem dan drama dari Indonesia akhir-akhir ini. Tidak pernah kulihat sebelum ini, kecuali di NTV7 dahulu, sebelum diambilalih Media Prima.

Sekarang ini juga, satu lagi sinetron menjadi hit ialah sinetron Kiamat Sudah Dekat yang juga disiarkan di TV9. Seperti juga yang kusebut di atas, mutu penterjemahan sungguh rendah. Beberapa kesilapan kudapati seperti resep diterjemahkan sebagai konsep, sedangkan maksud asal kalau diterjemah ke Bahasa Melayu ialah resepi. Beberapa perkataan yang penterjemah tidak tahu juga sengaja ditinggalkan seperti mendingan yang bermaksud lebih baik. Penonton mungkin sedar atau tidak, kerana loghat yang digunakan dalam cerita ini lebih kepada loghat Betawi, bukan loghat Jakarta.

Nampaknya pihak Media Prima harus meningkatkan mutu penterjemahan Bahasa Indonesia/Jakarta di TV3 dan TV9. Kalau tidak dapat mencari penutur fasih kedua-dua loghat iaitu Bahasa Jakarta/Indonesia dan Bahasa Melayu, kenapa tidak ditemuduga bibik-bibik atau pekerja-pekerja Indonesia yang sudah lama berada di Malaysia? Daripada mengambil penterjemah yang ada sijil, diploma atau ijazah tetapi lemah mutu penterjemahannya, lebih baik (mendingan) ambil yang tiada kelayakan tetapi masih mampu menterjemah dengan baik.

P/s – bolehkah kujadi penterjemah sambilan untuk TV3 dan TV9…? ;-)

02 November 2006

Sketsa di Sebuah Warung Makan di Tepi Pantai


Raya Ketiga (26 Okt 2006 @ 6.00 ptg)

Dek kemaruk sotong goreng tepung yang pernah kumakan di Pantai Kemasik, temanku membawaku bersama seorang kawan lagi pergi ke sebuah pantai di Kuala Terengganu untuk menikmati sotong goreng tepung itu. Sepanjang perjalanan, terasa suasana kampung menyambut Aidilfitri. Kelihatan ramai orang berkunjung ke rumah-rumah yang berlatarbelakangkan desa yang masih merimbun hijaunya walaupun rumah-rumah tradisional kebanyakannya sudah diubahsuai menjadi lebih moden.

Oleh kerana musim perayaan begini, sudah tentu tidak banyak warung-warung yang dibuka kerana pemiliknya masih beraya. Warung yang dicadangkan temanku itu, yang katanya sedap berdasarkan pengalaman menjamu selera di situ sebelumnya, masih lagi ditutup. Kerusi-kerusi masih lagi bersandar pada meja-meja.

Kami terus menyusuri jalan yang mengarah ke pantai. Lama juga kumemandu membawa teman-temanku itu dan akhirnya bertemu sebuah warung yang kelihatannya agak ramai orang. Kami mengambil keputusan untuk tidak berhenti dan meneruskan perjalanan mencari warung lain yang lebih sesuai dan kurang pelanggan supaya perkhidmatannya lebih pantas. Nun di depan sana, kami lihat ada sebuah warung lagi namun lebih ramai orang berkumpul di situ.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berpatah balik saja kerana warung pertama tadi lebih baik, fikir kami. Kumembuat pusingan U di jalan yang agak sempit itu dan memandu ke warung tadi. Rupanya masih ada lagi meja kosong. Kami duduk di situ dan terus memanggil untuk membuat pesanan. Kumahu pesan sotong goreng tepung tetapi tidak ada kerana bekalan sotong tidak sampai. Almaklum, di musim raya, para nelayan tidak turun ke laut.

Aku (A): Doh, pende hok ade?
Jadi, apa yang masih ada?

Pembantu Warung (P): Ikang je hok ade. Ikang kembung. Khepok ade gok.
Ikan saja yang ada. Ikan kembung. Keropok ada juga.

A : Oklah, saye order ikang due ekor. Khepok due riya.
Oklah, saya pesan ikan dua ekor. Keropok dua ringgit.

Temanku (T): (Sambil mencelah) Bukuh khepok singgik deh.
Bungkus keropok satu ringgit ya.

P : (Sambil tersenyum dan mengangguk)
Minung pende?
Minum apa?

A : Air jagung ade dok?
Air jagung ada tak?

P : Ade.
Ada.

A : Air jagung se.
Air jagung satu.

T : Air jagung bukuh se lagi.
Air jagung bungkus satu lagi.

A : Kawang saye hok sorang lagi tengoh telepung tu, die order kediang
(merujuk kepada seorang lagi temanku yang sedang menelefon).
Kawan saya yang sedang menelefon itu, dia akan pesan kemudian.

Sesudah membuat pesanan, kami bersembang panjang. Pelbagai cerita keluar kerana masing-masing jarang bertemu. Oh ya, temanku yang tadi itu membungkus pesanannya kerana dia sudah berpuasa enam. Jadi yang dibungkus itu katanya untuk berbuka puasalah.

Tidak lama kami menunggu, keropok yang kami pesan sudahpun sampai. Temanku seorang lagi yang sedang menelefon tadi juga sudah kembali dan memanggil pembantu warung untuk membuat pesanan. Sama juga, dia mahu minum air jagung dan air jagung itu juga sampai dengan agak cepat.

Kami sambung berbual-bual. Agak pelik kerana sudah lama menunggu ikan kami belum sampai-sampai lagi. Kami melambai tangan memanggil pembantu tadi. Dia datang.

A : Mane ikang takdi?
Mana ikan tadi?

P : (Tersenyum dengan bahasa badan yang malu dan bersalah)
Nati jak deh.
Nanti sekejap ya.

A : Ho, dok buak lagi lah tu…
Hmm, belum buat lagilah itu…

Pembantu itu berlalu dan kelihatan mahu memeriksa jika pesanan kami sudah disiapkan. Kami tetap menunggu sambil mata menjeling ke arah kaunter dan dapur tempat menggoreng makanan. Seketika kemudian, dia datang dengan muka yang tidak henti senyum.

P : Mitok maah deh. Ikang habih doh.
Minta maaf ya. Ikan sudah habis.

T : Dok apelah. Khepok singgik takdi siak doh dok lagi?
Tak apalah. Keropok satu ringgit tadi sudah siap ke belum?

P : Ho, mitok maah bbanyoklah… Khepok pong habih gok…
Ssiang nggoh.
Mitok maah bbanyoklah.
Ya, minta maaf banyak-banyak… Keropok pun dah habis
juga… Kesian sungguh. Minta maaf banyak-banyaklah.

T : Dok apelah… Nok buak guane…
Tak apalah… Nak buat macam mana…

Setelah pembantu itu berlalu, kubersuara dengan kegeraman berligar-ligar di kepala.

A : Nasik baik orang Teranung kite. Kalu di KL ning, kene doh!
Nasib baik orang Terengganu kita. Kalau di KL ini, sudah kena!

Bukankah tadi kami semua bercakap panjang tentang ikan semasa membuat pesanan…?

19 Oktober 2006

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1427H

Ingin kuambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1427H. Kususun sepuluh jari memohon ampun dan maaf zahir dan batin jika terkasar bahasa, tutur kata dan penulisanku yang mengguris hati. Semoga kita sudahi Ramadhan ini sebagai yang terbaik pernah kita lalui dan marilah kita raikan kejayaan ini dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan bersamalah kita mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.

Rupanya Ramadhan ini juga adalah yang terakhir buatku di Johor Bahru kerana tahun depan ku akan berpindah ke Kuala Lumpur. Iftar petang tadi adalah yang terakhir dan terawihku tadi juga yang terakhir buatku di sini. Agak sedih setelah lima kali menjalani ibadah puasa di sini. Pelbagai suka duka, riang ria, pahit maung telah kulalui di sini.

Sebelum kubalik kampung esok, ingin kuungkapkan satu pantun:

Menduga ikan di dalam kali,
Kuda berlari terjatuh pelana,
Leka di jalanan jangan sekali,
Semoga Aidilfitri lebih bermakna.

Salam takzim dariku.

Pautan:
Lihat gambar-gambar juadah Ramadhan

08 Oktober 2006

Jerebu - Antara Kelangsungan Hidup dan Kemaslahatan Umum

Seperti saban tahun, kali ini jerebu datang lagi. Karenah jerebu memang menggusar dan merimas dan bahkan menguji kesabaran kita. Kita tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya melihat di luar jendela, segalanya putih. Inilah gara-gara jerebu yang berasal dari laman jiran kita. Setiap tahun, beratus malah beribu titik panas dikesan di Kalimantan dan Sumatera hasil pembakaran hutan yang membawa asap tidak sihat ke seluruh rantau ini.

Inilah dilema antara seorang yang mahu meneruskan kelangsungan hidup dan seorang lagi pentingkan kemaslahatan umum. Seorang petani yang tidak punya banyak wang harus mempergunakan cara yang murah dan mudah untuk membersihkan kebunnya. Dengan hanya satu cucuhan api, kebunnya akan terang-benderang kerana seluruh semak samun sudah dihapuskan dan malah rakannya yang bakal bercucuk tanam di hujung sana juga turut mendapat habuan kerana api yang marak di musim kemarau begini tidak mengenal sempadan. Inilah caraku yang paling senang dan paling penting murah, kata petani itu.

Apa aku kisah dengan asap putih yang pergi ke negara tetanggaku yang dikatakan lebih baik nasibnya daripadaku. Aku tak mampu untuk menyewa jentolak buat meratakan semak di kebunku yang dah setahun naik ini.

Di seberang satu lagi, di tanah yang dikatakan sudah matang, tidak akan ada gempa bumi, tsunami dan segala bencana alam lain, katanya, seorang Datuk dengan isteri mudanya, yang diperolehi dengan mas kahwin bernombor sama dari ribuan Ringgit ke Sen itu, menatap ke luar jendela. Asap putih telah menenggelamkan panorama Menara Berkembar Petronas yang telah menaikkan harga kondominiumnya. Apa sudah jadi ini? Setiap tahun masalah yang sama. Sampai bila pun perkara ini tidak berkesudahan.

Apa sudah jadi dengan negara jiranku ini. Mereka tidak tahukah ini menggugat aktiviti masyarakat, menyebarkan penyakit dan malah merugikan ekonomi negara. Bagaimana kapal terbang mahu berlepas dan mendarat. Bagaimana kapal dagang di selat paling panjang, paling strategik itu dapat dikemudi supaya tidak berlanggar antara satu sama lain. Bagaimana jika jerebu ini berlarutan di musim lebaran nanti bakal menyebabkan kemalangan kenderaan yang mungkin berlaku di lebuhraya dari sempadan Siam di Utara sehinggalah ke sempadan Temasik di Selatan. Ini satu malapetaka besar. Datuk berfikir secara the worst case scenario.

Balik semula ke seberang, ada seorang pemilik banglo besar. Banglonya meninggi ke langit dan berdiri megah di samping teratak-teratak kecil dan usang di sekelilingnya. Tahun ini, wangku semakin banyak. Sayang pula untuk kukeluarkan sebagai modal untuk meneruskan aktiviti di ladangku. Ah, aku bakar saja ladangku itu. Habis semua dibakar, akan senanglah nanti anak-anak pokok ditanam. Sangat efisyen caraku ini.

Nun di kota terbesar rantau ini yang dulunya orang Belanda panggil nama lain dan akhirnya Jepun menukar kembali namanya, seorang menteri pening kepala memikirkan masalah negara. Di hujung sebelah paling utara ada masalah. Di sebelah paling timur pun ada masalah. Di kepulauan rempah pun ada masalah. Ini pula datang satu lagi masalah yang dibangkitkan menteri negara tetanggaku. Aku punya banyak masalah. Ini bukan keutamaanku. Aku biarkan dulu masalah ini. Bukannya terkena batang hidungku sekarang ini. Aku mahu selesaikan masalah lain dulu. Tahun depan saja aku lihat balik perjanjian jerebu itu...

Pos terdahulu yang berkaitan:
Jerebu Sudah Berlalu Tapi...
Jerebu - Permasalahan Yang Melangkaui Sempadan Negara

Tag: , ,

07 Oktober 2006

Nusantara

Istilah Nusantara sebenarnya diinterpretasi sangat berlainan sekali antara Indonesia dan negara-negara rumpun Melayu lain. Nusantara berasal dari perkataan Jawa lama iaitu nusa yang bererti pulau dan perkataan antara. Dalam konsep kekuasaan Raja Jawa, Nusantara merupakan lingkungan kekuasaan Raja yang ketiga

Yang paling hampir dengan pengaruh Raja ialah Negara Agung dan diikuti Mancanegara yang dikatakan masih mirip budaya Jawa tetapi di luar lingkungan pengaruh Jawa. Ini termasuk Madura, Bali dan kemungkinan Lampung dan Palembang. Manakala Nusantara merupakan kawasan yang di luar pengaruh Jawa tetapi masih berlindung di bawah kekuasaan Raja Jawa dengan membayar ufti kepada Raja Jawa.

Di Indonesia, istilah Nusantara digunakan hanya untuk merujuk kepada wilayah-wilayah Indonesia. Nusantara tepat digunakan kerana Provinsi seperti Aceh dan Papua merupakan wilayah-wilayah yang dikatakan dalam lingkungan Nusantara tadi.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, Brunei dan Singapura, Nusantara digunakan dengan mengambilkira faktor geografi dan budaya. Dalam erti kata lain Nusantara merujuk kepada Dunia Melayu iaitu kawasan rumpun Melayu yang mengamalkan adat, budaya dan bahasa yang hampir sama. Ini meliputi Selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Filipina dan Indonesia.

Tag: , , ,

06 Oktober 2006

Silk

Satu lagi filem seram menarik menunggu di pawagam iaitu filem Silk dari Taiwan. Khabarnya akan ditayangkan pada 12 Oktober nanti. Filem ini mengisahkan sepasukan saintis diketuai oleh Hashimoto (lakonan Yosuke Eguchi) berjaya menangkap kuasa hantu seorang kanak-kanak dengan menggunakan ciptaan yang dipanggil Menger Sponge.

Mereka berusaha untuk belajar tentang masa lalu hantu itu dan menggunakan khidmat agen khas, Ye (Zhang Zhen), seorang ahli JCCU (Joint Crime Crackdown Unit) yang mempunyai indera penglihatan luar biasa.

Pada mulanya, Ye keberatan namun demi ibunya yang sedang sakit tenat menunggu kematian, dia sanggup menerima tugasan itu untuk mengetahui apa yang hantu itu bakal dedahkan tentang kehidupan dan juga kehidupan selepas kematian.

Ye dapat melihat sehelai sutera tersambung dari hantu itu ke satu kuasa misteri. Dari helaian sutera itulah, Ye mengetahui bagaimana kematian kanak-kanak itu sungguh menakutkan.

Kerana takutkan hantu kanak-kanak itu berbahaya, pasukan itu memutuskan untuk mengasingkannya tetapi tanpa diketahui, mereka sebenarnya mencetuskan satu lagi kuasa yang lebih kuat dan ganas di hujung lain helaian sutera itu.

Lihat trailer filem Silk:



Pautan:
Laman rasmi filem Silk yang canggih dan interaktif
Pos terdahulu yang berkaitan:
Dorm
Misteri Nusantara


Tag: , , , ,

05 Oktober 2006

Lee Kuan Yew Tidak Minta Maaf Pun

Hangat diperkatakan tentang tuduhan Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Singapura yang mengatakan kaum Cina di Malaysia dan Indonesia disisihkan secara sistematik kerana kerajinan dan kejayaan mereka. Rentetan itu, Lee menghantar surat permohonan maaf kepada Pak Lah. Namun jika diteliti isi kandungannya, Lee hanya memohon maaf secara peribadi kepada Pak Lah sahaja, bukan kepada rakyat Malaysia amnya. Dia hanya meminta maaf kepada Pak Lah di atas "ketidakselesaan" yang dialami Pak Lah ekoran kata-katanya itu.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah peribahasa terbaik untuk menggambarkan sikap dan tingkah laku orang yang bernama Harry Lee yang berpendidikan tegar Inggeris itu. Sedang dia mengatakan orang Cina disisihkan di Malaysia, lihat saja nasib dan kedudukan orang Melayu di negara pulau itu. Kalau kata-katanya yang orang Cina di Malaysia ditekan itu "betul", jika dibandingkan dengan orang Melayu di pulau itu, maka orang Melayu di pulau itulah yang lebih ditekan dan disisihkan.

Buka saja akhbar mereka, bukan akhbar perlecehan tapi akhbar arus perdana seperti Strait Times, kita dapati syarat-syarat wajib untuk mendapat kerja ialah fasih berbahasa Mandarin. Bukankah itu penyisihan yang nampak jelas untuk orang bukan Cina seperti Melayu dan India khususnya. Bahasa Mandarin bukanlah bahasa pengantaraan antara kaum di sana, jadi kenapa itu dijadikan salah satu syarat wajib. Tiada tindakan dari pemerintah untuk menangani hal ini.

Di Malaysia, didirikan sekolah vernakular Cina yang khusus mengajar semua matapelajaran dalam bahasa Mandarin kecuali subjek Bahasa Melayu yang diajar dalam bahasa Melayu. Adakah itu menyisihkan orang Cina di Malaysia? Kalau dilihat di negara lain, malah di Singapura sendiri, pemerintah mahukan sekolah yang standard dan diajar dalam bahasa yang satu iaitu bahasa kebangsaan. Lihat di Selatan Thailand, walaupun penduduk majoriti Melayu, di sekolah diajar dalam bahasa Thai. Jika Malaysia mahukan semua itu, semua sekolah vernakular mesti ditutup dan hanya sekolah kebangsaan dibuka dan diajar dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Tetapi Malaysia masih menghormati keistimewaan orang Cina yang ada sekolah vernakular mereka sendiri.

Lee Kuan Yew sendiri malah pernah mengatakan orang Melayu di republik itu tidak boleh memegang jawatan tinggi dalam turus angkatan tentera mereka. Alasannya jika berlaku perang antara Singapura dan Malaysia, pegawai tertinggi Melayu akan belot dan berpihak kepada Malaysia kerana akan wujud sentimen kesamaan dari segi bangsa dan agama.

Orang Melayu di pulau itu juga dinafikan kekuatan mereka dari sudut politik. Kawasan majoriti Melayu seperti Geylang dibubarkan komposisi kaumnya supaya menepati peratusan penduduk negara itu. Setiap kawasan haruslah mempunyai komposisi Cina paling ramai diikuti Melayu, India dan lain-lain. Dengan cara itu, kaum teramai di sana akan menjadi penentu kuasa. Di Malaysia tidak ada semua itu. Kawasan majoriti orang Cina seperti di Cheras, Ipoh atau Pulau Pinang tidak dipecahkan komposisi kaumnya. Mereka masih mempunyai wakil kerajaan dari kalangan orang Cina.

Dengan situasi di Singapura sekarang di mana kadar kelahiran di kalangan orang Cina paling rendah manakala kadar kelahiran orang Melayu masih tinggi, wujud kebimbangan suatu hari nanti Melayu akan kembali menjadi majoriti di pulau itu. Maka tidak hairan banyak kewarganegaraan Singapura dianugerahkan untuk orang berketurunan Cina dari negara lain. Lihat saja kemasukan beramai-ramai rakyat China ke pulau itu. Jika selama ini kita biasa dengan nama Cina seperti Chong, Lim atau Tan, sekarang kita lihat banyak nama Cina seperti Xi, Liu atau Zhang yang berasal dari China. Juga sungguh mudah untuk rakyat Malaysia atau Indonesia berketurunan Cina ditawarkan kewarganegaraan pulau itu.

Sudahlah Lee. Hentikan sikap keCinaanmu itu. Biarpun Malaysia dan Singapura terhasil dari perbalahan dua bangsa iaitu Melayu dan Cina dan kau melihat Melayu Malaysia dan Indonesia sebagai musuh dalam selimutmu, marilah maju ke depan. Malaysia dan Indonesia takkan boleh membuang dan melenyapkan Singapura dari dunia Melayu. Kita harus terus hidup, bersama hidup aman sejahtera (Majulah Singapura) dan hentikan provokasi terhasil dari ketakutanmu (adakah kau bersalah dengan orang Melayu?).

, , , , , ,

03 Oktober 2006

Perang Rancangan Bulan Puasa

Entahlah adakah ini satu lagi "perang" antara stesen TV atau mungkin kebetulan. TV3 seperti saban tahun menyiarkan Jejak Rasul, RTM1 pula menyiarkan rancangan Syahadah dan Astro Ria menyiarkan rancangan Ziarah. Semuanya disiarkan dari jam 6.30 petang hingga 7.00 malam iaitu waktu perdana di bulan puasa begini di mana seisi keluarga sedang berkumpul untuk berbuka puasa.

Jejak Rasul tahun ini mengisahkan perjuangan getir Rasulullah SAW manakala Syahadah pula menyiarkan kehidupan masyakarat Islam di China yang jumlahnya lebih ramai dari orang Islam di Malaysia sendiri. Ziarah pula merentas ke Afghanistan menyelami kehidupan pasca perang di sana.

Semuanya cukup menarik dan kita sebagai penonton mungkin sukar untuk memilih. Aku agak tertarik dengan rancangan Syahadah kerana cita-citaku mahu ke sana suatu hari nanti. RTM1 juga bijak menarik penonton kerana selepas rancangan itu, diperdengarkan bacaan ayat-ayat Quran oleh artis-artis. Antara yang pernah muncul ialah Aisyah, Ustaz Asri Rabbani, Akma AF3, Yassin dan juga Mawi. Mereka juga tidak kurang kehebatan dalam membaca Al-Quran.

Tag: , , , , , , ,

29 September 2006

Ada Apa Dengan Malaysia?

Jikalau aku seorang pelancong asing, apa yang membuatkan aku ke Malaysia? Apakah keunikan Malaysia? Jika kudisuruh memilih di antara beberapa negara di dunia ini, adakah akan kumemilih Malaysia?

Mungkin jawapannya tidak. Ada apa dengan Malaysia? Ada senibina tersendiri? Ada budaya tersendiri? Ada keindahan alam belum diterokai? Ada makanan unik? Mungkin semua itu ada tapi tidak kutahu.

Inilah persoalan pelancongan di Malaysia sekarang. Malaysia ada semua itu, bukan tidak ada, tetapi masalah suka meniru orang lain dan kurangnya strategi pemasaran membuatkan orang luar tidak dapat memberikan satu perkara unik tentang Malaysia.

Kita tidak perlu pergi jauh. Cukup dengan membandingkan dengan jiran-jiran kita. Kita ambil contoh senibina. Jika kita melihat rumah berbumbung tajam seperti tanduk kerbau, kita dengan cepat itu mengatakan itu berasal dari Indonesia. Itu adalah senibina Minangkabau. Kalau hiasan dalaman ataupun luaran, seluruh dunia tahu konsep Bali.

Di Malaysia, kita bukan tidak ada senibina tersendiri tetapi ia kurang menonjol. Kita ada senibina Terengganu seperti di Muzium Losong yang berasaskan istana Melayu zaman silam dan juga ukiran pada kepala perahu. Kenapa tidak kita tonjolkan ini semua. Kelihatannya semua orang mahukan kemodenan. Tiada lagi unsur tradisional.

Cara berfikir kita tentang kehendak pelancong juga kadang-kadang melucukan. Dulu apabila ramai orang Arab berkunjung ke sini, menteri berkenaan mahu membuat satu lorong Arab yang khusus menjual barangan berasaskan Arab. Cuba kita berfikir balik. Jika kita ke negara lain, adakah kita akan mencari sesuatu yang sama dengan negara kita? Itu bukannya membuatkan pengalaman semakin luas, tetapi akan tetap berada di takuk lama.

Jika kita ke London, Sydney atau Wellington, adakah kita akan makan Nasi Lemak? Nak makan Nasi Lemak di Malaysia pun boleh. Sudah berbelanja besar-besar, alih-alih nak makan Nasi Lemak saja? Lagipula Nasi Lemak itu bukannya asli kerana bahan yang membuatnya tidak asli. Seperti orang Thai, adakah mereka mahu makan Tom Yam di KL? Tentu rasanya tidak sesedap dan tidak seasli yang ada di tempat sendiri.

Jika anda selalu menaiki perkhidmatan tren dari KLIA ke KL Sentral, adakah anda perasan adanya unsur-unsur keMalaysiaan di iklan-iklan di TV tren? Yang biasa kulihat ialah Carta Lagu 10 Terbaik Amerika Syarikat, Filem Terbaik Amerika dan seumpamanya. Kenapa tidak Carta 10 Filem Terbaik Malaysia? Kenapa tidak didedahkan filem buatan Malaysia? Adakah pelancong mahu tahu semua itu? Mungkin pelancong tadi sudah melihat carta itu sebelum dia menaiki kapal terbang di negara mereka.

Sebut pasal filem, kita pun tidak ke mana-mana. Lihat Thailand, filem seramnya sudah menembusi pasaran Amerika. Kita masih tercari-cari identiti budaya Malaysia dalam filem. Tak nak buat cerita Toyol? Rasanya belum ada cerita hantu Thai atau Korea yang mengisahkan orang bersahabat dengan hantu dan menggunakan hantu untuk mencuri. Yang mereka ada hanya orang diganggu hantu.

Selamat Tahun Melawat Malaysia 2007.

Tag: , , , , , , , , ,

28 September 2006

Astana Idaman - Watak Datin Rocky Bertukar Pelakon

Setelah terlepas siri Astana Idaman di Astro Ria minggu lepas kerana ku ke KL, tiba-tiba minggu ini kulihat watak Datin Rocky sudah bertukar pelakon. Watak asal dilakonkan oleh Rozie Othman namun telah digantikan oleh Hamidah Wahab.

Sungguh janggal kurasa kerana apabila kita sudah sebati dengan watak seseorang, pertukaran mengejut pelakonnya adalah sesuatu yang sukar diterima. Terasa seperti hilang keterujaan untuk terus mengikuti cerita ini kerana kecacatan tersebut.

Satu hal lagi ialah Hamidah pastinya dibayangi Rozie yang cukup baik membawa watak Mak Datin. Kulihat Hamidah tidaklah setanding Rozie dan agak janggal pabila dia digandingkan dengan Jalaludin Hassan.

Ada satu forum di sini yang rata-ratanya tidak menyokong perubahan ini. Berbagai-bagai pendapat diluahkan untuk tidak menyokong perubahan ini.

Sebenarnya inilah satu-satunya drama Malaysia yang kuikuti di TV. Sebelum berbuka puasa, juga kutonton Hikmah 2 yang tidak kuhabis ikuti tahun lepas di RCTI kerana telah kubalik kampung untuk berlebaran.

Entahlah kenapa kuterlekat untuk menonton Astana Idaman. Mungkin agaknya selalu kumenonton TV pada jam 11 malam sebelum tidur. Hikmah pula jalan ceritanya menarik di samping watak Ana (kalau yang perempuan mengikuti watak Arman). Dulu semasa menonton Hikmah 1, sering kucapai Kamus Dewan* untuk memahami perkataan daripada bahasa Jakarta

*Kamus Dewan terbaru sebenarnya sudah memasukkan perbendaharaan kata daripada bahasa-bahasa rumpun Melayu lain seperti bahasa Jakarta, Jawa, Sunda dan Minang di samping loghat-loghat Melayu dari setiap negeri di Malaysia. Kupasti pembaca akan menemui maksud pamit, keren dan sebagainya.

Tag: , , , , ,

26 September 2006

Dorm

Hujung munggu lepas, tidak kubuat apa-apa di bulan puasa ini kecuali menonton VCD/DVD. Salah satu cerita yang kutonton ialah Dorm yang berasal dari Siam. Ini bukan saja satu lagi cerita seram garapan terbaik para sutradara Thai, malah bagiku cerita ini seolah-olah menggamit kenanganku di zaman sekolah dulu.

Babak-babak cerita ini menyegarkan kembali zamanku semasa tinggal di asrama dulu. Semuanya hampir sama - tinggal di dorm yang besar dengan katil tersusun antara satu sama lain, makan beramai-ramai di dewan makan dan mandi di kolah dengan gayung sambil berseluar pendek (dan bahagian dalam seluar itulah yang jarang disabunkan...)

Cerita ini mengisahkan seorang budak berusia 12 tahun, Chatree yang dihantar olah bapanya ke sebuah sekolah berasrama di tengah-tengah semester. Alasan bapanya ialah untuk mempastikan Chatree memperolehi pelajaran terbaik di sekolah yang lebih berprestij dan menghalang Chatree dari terganggu pelajarannya oleh gangguan di rumah seperti TV.

Lazimnya di sekolah ada pembuli dan cerita ini juga berkisar dengan pembulian. Rakan-rakan seasrama Chatree cuba menakut-nakutkan Chatree dengan cerita hantu di sekolah itu. Kononnya ada seorang pelajar mati lemas dipercayai membunuh diri di kolam renang sekolah itu. Warden di situ, Cik Pranee juga dikatakan mempunyai kaitan dengan peristiwa itu.

Pada malam pertama ketika Chatree berkeseorangan pergi ke tandas, belumpun sempat dia membuang air kecil, dia diganggu oleh hantu itu. Akibatnya Chatree lari lintang-pukang ke bilik dan akhirnya Chatree terkencing di katil. Ini menjadi bahan tawa kawan-kawannya.

Rupa-rupanya, hantu budak yang membunuh diri itu mahu berkawan dan meminta pertolongan dengan Chatree. Hanya Chatree yang mampu melihat hantu yang bernama Vichien itu. Setiap hari Vichienlah yang menjadi teman rapat Chatree.

Klimaks cerita ini ialah Chatree membantu Vichien kembali ke alam kematian untuk selama-lamanya dan Vichien tidak lagi bergentayangan di asrama itu. Rupanya misi Vichien ialah untuk menjelaskan keadaaan sebenar di mana dia tidak membunuh diri.

Walaupun cerita ini mungkin agak klise bagi sesetengah orang tetapi set penggambaran di asrama memberikan kelainan bagi cerita ini. Cerita ini berkisar tentang kehidupan di asrama seperti cerita hantu yang pasti setiap sekolah ada versinya tersendiri, warden yang garang, hidup teratur berdisiplin dan kerinduan pelajar baru terhadap orang tua dan rumah serta pembulian.

Babak paling mengesankan ialah di mana Chatree berlinangan air mata semasa makan telur goreng kerana teringatkan peristiwa telur goreng di rumahnya. Teringat kali pertama dalam hidupku berenggang dengan orang tuaku dulu.

Teringat di sekolah dulu, kutakut untuk ke tandas berkeseorangan di tengah-tengah malam kerana seringkali diceritakan kisah-kisah hantu di sekolahku. Kalau berjalan ke tandas, pandanganku terus ke depan, tidak memandang ke kiri atau kanan supaya tidak terlihatkan benda-benda aneh. Di tandas pula, sentiasa kuharapkan ia selesai cepat. Kalau dengar bunyi aneh, apalagi, berlarilah balik ke dorm.

Namun itu zaman junior. Tetapi bila sudah senior, diri sendirilah yang menjadi hantu...

Lihat trailer filem Dorm di bawah:



Pos terdahulu yang berkaitan:
Puteri Gunung Ledang
100 Tahun Malay College Kuala Kangsar
Teringat Perkara Lama
Moero Attack dan Bola Tampar

Tag: , , ,

25 September 2006

Wi-Fi Percuma di KLIA

23 Sept 2006 @ 2.00PM

Sebenarnya ku sudah lama tidak ke KLIA kerana jarang menaiki kapal terbang. Kalau kunaik pun, ku ke LCC kerana semua penerbangan AirAsia berlepas dan mendarat di sana.

Kali ini kuterpaksa menaiki kapal terbang MAS kerana ku tidak boleh memandu. Apabila kuberjalan ke terminal, kulihat banyak banner mempromosikan Wi-Fi percuma untuk para penumpang. Wah, ini sudah satu berita baik! Lantas kuambil PDAku dan sekarang sudah kuterhubung ke seluruh dunia! Sebab inilah pos ini tertulis...

Terima kasih KLIA!

Tag: , , , , ,

23 September 2006

Selamat Menyambut Ramadan 1427H

Kuambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1427H. Moga-moga Ramadan ini merupakan yang terbaik pernah kita semua lalui.

Kupetik pesanan ahli jawatankuasa masjid yang kupergi tadi - "Saya kira ada 1000 orang datang ke masjid pada malam yang berkah ini. Kita berharap semoga jumlah ini bertahan sehingga ke akhir puasa."

Diharapkan kita semua bersama-sama berjemaah di masjid bersembahyang terawih, bukan hanya di awal puasa, bahkan diteruskan sehingga ke penghabisan bulan puasa.

Tag: , , , , ,

17 September 2006

KT vs JB

Tempoh hari, kulihat ada satu surat dihantar ke The Star oleh seorang penduduk Petaling Jaya (PJ) yang mengatakan semasa lawatan beliau ke Kuala Terengganu (KT), beliau mendapati KT jauh lebih bersih dari PJ. Ku yang sememangnya berasal dari KT selama ini tidak ambil kisah namun setelah kubaca dan kufikirkan, ya, itu memang benar.

Dibandingkan dengan Johor Bahru (JB), JB lebih kurang sama dengan PJ. Banyak kemudahan rakyat yang sesudah dibina tidak terurus. Berhampiran rumahku, jalan raya diperlebarkan dan apabila mahu siap, semuanya dibiarkan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Kerja-kerja housekeeping di JB ini selalunya diabaikan.

Lihat saja, garisan putih di jalan raya tidak disiapkan habis. Tiada anak panah petunjuk arah ke mana sesuatu lorong itu patut mengarah. Pasir yang bertaburan di jalan raya juga tidak diketepikan. Akhirnya rumput dan lalang yang tumbuh. Ini diparahkan lagi oleh kurangnya kesedaran sivik penduduknya yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Selain itu, lori-lori yang biasanya membawa muatan lebih selalu "terkeluar" dari lorong sebenarnya dan melanggar benteng di tepi jalan. Habis roboh dan kadang-kadang hancur apa yang dibina.

Jadi di sini ku telah ambil gambar di kedua-dua bandar itu. Mari kita bandingkan.


Rumput kering dan sampah bertaburan di JB.


Kemas dan bersih di KT.

Kalau di KT, semuanya terurus. Jarang kelihatan sampah. Kerja-kerja merapikan bandar ini selalu dilakukan. Setiap pagi selalu kelihatan pekerja-pekerja Majlis Perbandaran atau dipanggil Bandaran oleh penduduk di sini menyapu sampah. Kadang-kadang ada mesin penyedut sampah bekerja. Pantang ada sedikit ruang, pasti ditanam pokok-pokok hiasan (cuma akhir-akhir ini ditanam pokok kaktus plastik, aduih....).

Ini semua tidak ada di JB. Yang ada cuma yang datang memotong rumput. Selepas dipotong tiada yang menyapu rumput yang berterbangan di jalan raya. Ke mana bajet? Mungkin semuanya sudah mengalir ke Teluk Danga (sebut da nge, bukan dan ga seperti disebut sesetengah orang yang terlalu keInggerisan itu...)

Berkenaan sikap suka membuang sampah ini, kufikir jika sesebuah tempat itu bersih dan kemas, agaknya orang segan untuk membuang sampah. Namun jika sudah kotor, siapa pun tidak segan untuk melonggokkan lagi sampah di situ. Teringatku satu papan tanda di Jogja - Hanya Orang Sembarangan Membuang Sampah Sembarangan.

Pos terdahulu berkaitan:
Panjang dan MBJB - Memalukan!

Tag: , , , ,

14 September 2006

Puting Beliung

Ku sedang tenang memandu di lebuhraya. Semuanya sungguh terkawal. Tiba-tiba ada sebuah kereta membuat pusingan U secara tiba-tiba di lebuhraya itu tiga lorong itu. Kereta itu menongkah arus dan mengambil lorong paling kanan. Ku pun terpaksa mengelak dan kumasuk ke lorong tengah. Kutertanya-tanya kenapa kereta itu berbuat begitu. Kali ini kelihatannya ada beberapa kereta lagi membuat pusingan U. Kujadi bingung. Ada apa ini?

Pertanyaanku terjawab. Di depanku kini kelihatan awan gelap seolah-olah mahu menyentuh bumi. Awan itu kelihatan ada ekor. Lama-kelamaan ekor itu turun menyentuh bumi. Oh, puting beliung rupanya. Kujadi teruja, tanpa rasa sedikit ketakutan pun. Kumemandu perlahan di lebuhraya itu dan kucapai telefon bimbitku untuk mengambil gambar kejadian alam yang sungguh luar biasa ini. Kuambil beberapa keping gambar. Sungguh cantik gambar-gambarku.

Keretaku bergerak lagi. Akhirnya kusampai ke kawasan yang dilanda puting beliung itu. Suasana sungguh hingar-bingar dan haru-biru. Orang ramai yang cedera parah meneriak meminta bantuan. Kelihatan ada seseorang yang telah berjaya merakam kejadian itu. Di dalam rakaman beliau, orang ramai berlari tidak tentu hala untuk mencari tempat perlidungan dan apabila awan berisikan habuk hitam datang melanda, semuanya habis disapu. Sungguh menakutkan.

Tiba-tiba, ada sebuah bas muncul meluru ke jalan. Kebetulan seorang remaja lelaki berada di situ dan bas yang seolah-olah terbang itu menggesek ubun-ubun remaja itu. Berteriak dia kesakitan. Di dalam bas itu pula kelihatan cebisan daging dan darah manusia bertaburan di cermin depannya. Kukira itu penumpangnya yang telah terkorban.

Kujadi takut. Kutakut! Apa harus kubuat? Remaja tadi masih lagi berteriak. Dia berteriak meminta tolongku! Kutakut. Kumahu lari dari tempat ini. Kumahu lakukan seperti kereta-kereta tadi. Kumahu lari!

Astaghfirullah! Itulah, tidur tak basuh kaki lagi. Bermimpi pun yang bukan-bukan...

Tag: , ,

09 September 2006

Kerana Vs Karena

Sedang jari-jemariku sibuk menaip di komputer ribaku, tiba-tiba kudengar satu suara yang biasa kudengar keluar dari TVku yang siap terpasang, namun kali ini loghatnya amat berlainan sekali. Rupanya itulah suara Siti Nurhaliza bercakap loghat Indonesia di dalam iklan Pantene yang disiarkan di RCTI.

Agak janggal kudengar dari mulut Siti yang kebiasaannya sungguh pekat dengan tutur loghat Melayunya. Perkataan rontok (merujuk kepada rambut rontok) disebut seperti sebutan loghat Jawa. O disebut seperti o dalam sebutan torque dalam Bahasa Inggeris, tidak seperti sebutan Bahasa Melayu KL yang bunyinya seperti sebutan o dalam perkataan tone.

Satu lagi, yang mungkin menjadi kekeliruan orang Malaysia iaitu kerna. Kerna adalah singkatan untuk kerana. Kerna merupakan perkataan Bahasa Melayu dan ini bukanlah perkataan Bahasa Indonesia. Dalam Bahasa Indonesia, ia disebut karena atau kadang-kadang disingkatkan sebagai karna. Sebutan re dalam karena disebut seperti re dalam perkataan rebung atau reban. Di dalam iklan itu, Siti masih menyebut kerna, bukan karena atau karna.

Tag: , , , ,

07 September 2006

My Heart

Lagu My Heart persembahan Acha Septriasa dan Irwansyah yang juga dipetik dari filem Heart.

Klip video ini memang kupasang siang dan malam. Memang sebuah halwa telinga yang mengasyikkan.

Liriknya menarik kerana menggunakan dua bahasa. Jikalau kita menterjemahkannya secara terus, perkataannya akan berlainan tetapi maksud kedua-duanya adalah sama.

Bila kita mencintai yang lain
Mungkinkah hati ini akan tegar

If you love somebody
Could we be this strong
I will fight to win
Our love will conquer all

Sebisa mungkin tak akan pernah
Sayangku akan hilang

Wouldn’t risk my love
Even just one night
Our love will stay in my heart




Tag: , , , , , ,

04 September 2006

Akhirnya Crocodile Hunter...

Steve Irwin atau lebih dikenali sebagai Crocodile Hunter telah meninggal dunia pagi tadi kerana terkena libasan ekor ikan pari semasa sebuah penggambaran rancangan TV di Australia.

Ketika kejadian, beliau yang berada di atas seekor ikan pari tiba-tiba dilibas dan sengat dari ikan pari itu dikatakan menusuk ke jantung beliau. Pasukan paramedik yang datang dipetik berkata mereka tidak dapat menyelamatkan beliau. Kejadian berlaku di Batu Karang Batt, laut lepas Pelabuhan Douglas, Queensland.

Ini merupakan satu kehilangan besar kepada pecinta alam dan peminat siri TV beliau. Beliau sangat dikenali kerana keberaniannya menangkap dan menjinakkan buaya dan juga ular. Kini tiada lagi episod baru Steve terutamanya di rangkaian Animal Planet. Beliau meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

p/s – dulu ada khabar angin yang mengatakan dia mati dibaham buaya. Namun akhirnya jatuh ke tangan ikan pari. Pun begitu, keluarga beliau mungkin bangga dengan apa yang telah dilalui beliau...

Lihat gambar Steve Irwin aka Crocodile Hunter

Tag: Steve Irwin, Crocodile Hunter, Australia, stingray, Animal Planet

03 September 2006

Merdeka Merdeka Merdeka



Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rabu lepas, kebetulan kuberada di KL selepas menghadiri satu kursus, kubercadang untuk menonton konsert Merdeka di KLCC yang sangat dekat dengan pejabatku dan menyertai pengiraan detik ke 31 Ogos seterusnya menikmati pertunjukan bunga api.

Sedang kubersiap turun dari bilik hotelku, Traders Hotel, untuk menjemput seorang teman yang datang, kudisapa oleh seorang pekerja hotel yang kebetulan berada di lif yang sama denganku. Beliau bertanya ke mana kupergi untuk menyambut kemerdekaan. Kumembalas yang ku hanya ke bawah bersama-sama orang ramai yang sudah mula memenuhi ruangan di situ untuk meraikan detik-detik ulangtahun kemerdekaan.

Beliau tersenyum mengangguk dan malah mencadangkan kepadaku untuk meraikannya di puncak bangunan hotel saja kerana persembahan bunga api nanti akan lebih mengujakan jika kuberada di situ. Wah, idea yang bagus! Aku membeli cadangan beliau itu. Lagipula, di bawah sudah terlalu sesak dengan lautan ribuan wargakota yang datang.

Pabila turun di lobi, kubawa temanku ke bilik saja tanpa ke Taman KLCC. Sementara menunggu detik 12 malam, kumembaca akhbar yang belum terhabis baca dari pagi tadi sambil menonton filem patriotik, Gandhi yang disiarkan di TV2. Temanku pula meminjam komputer ribaku untuk melungsuri Internet yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel.

Lebih kurang lima minit ke tengah malam, kami naik ke tingkat 33 hotel ini yang mana terletaknya sebuah kolam renang dan sebuah kafe. Nampaknya sudah ramai tetamu hotel lain yang berkumpul di sini dan menempah tempat terstrategik untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

Kendatipun begitu, kami masih menemui satu ruang yang belum diduduki. Kedudukannya masih strategik kerana terus menghadap menara berkembar tertinggi dunia, walaupun bukan yang paling tinggi sekarang (kata Mahathir), Menara Berkembar PETRONAS. Kelihatan bangunan pencakar langit lain juga tidak mahu ketinggalan untuk meraikan kemerdekaan. Bangunan-bangunan itu disimbahi cahaya multirona yang sungguh kontras tetapi menarik.

Lebih kurang empat minit ke 12 malam, berdasarkan jamku yang kurasa tepat dengan jam Astro, kedengaran riuh-rendah sorakan lautan manusia menunggu detik bersejarah itu. Namun di sebelah lain bangunan hotel kami, kedengaran tembakan bunga api ke udara sudahpun dilepaskan. Eh, bukankah belum detiknya lagi? Jam mereka cepat agaknya… Bunga api itu dilancarkan dari kawasan sambutan di Bukit Bintang. Beberapa tetamu hotel bergegas ke sebelah sana untuk menyaksikan pertunjukan itu. Kami, bagaimanapun, tetap duduk di tempat kami. Nanti ada yang ambil tempat kami pula.

Sedang tetamu hotel lain menikmati pertunjukan bunga api dari Bukit Bintang itu, kudapati waktu telah pun melampaui jam 12 malam. Mana pertunjukan bunga api dari KLCC. Semua orang kelihatan tidak sabar-sabar untuk permulaannya. Sorakan ribuan manusia dari kawasan KLCC yang sungguh ramai itu yang sekarang melimpah sehingga ke Jalan Ampang semakin lama semakin kuat.

Jamku sudahpun lima minit selepas jam 12 malam. Tiba-tiba kedengaran sebuah suara nyaring pantas meluncur ke langit. Ya, pertunjukan sudah bermula! Satu demi satu bunyi nyaring naik ke langit dan disusuli dengan percikan bunga api yang berwarna-warni dan bersilih-ganti dengan bentuk berlainan.

Sungguh mengujakan dan sangat cantik! Rupa-rupanya bunga api itu meletup di depan mata kami! Dilancarkan dari bawah, bunga-bunga api memercikkan cahaya gemerlapan di aras yang sama dengan tingkat yang kami duduki. Ku tidak mampu membuka mataku kerana percikan itu sungguh dekat dengan kami. Tambahan pula bunyi letupan kuat itu membingitkan telingaku.

Sungguh menarik! Inilah pengalaman pertamaku berada dekat dengan percikan dan letupan bunga api. Ku berjaya menangkap beberapa keping gambar namun sedikit kabur kerana tanganku bergoyang dek letupan di depan mataku itu. Nikmati video dan gambar-gambarku (di pautan) di bawah:



Koleksi gambar Ambang Kemerdekaan di KLCC

Tag: , , ,

25 Ogos 2006

Explorace Jakarta

Malam tadi kumenononton rancangan Explorace di TV3. Jarang kumengikuti rancangan ini. Entahlah kenapa. Semasa musim pertama dulu, kuikuti kerana rancangan itu masih baru dan juga yang menang itu adalah rakan sebatchku.

Malam tadi para peserta beradu di sekitar Jakarta. Namun kurasa sangat jengkel melihat salah seorang peserta memaki hamun dan menyumpah seranah pengguna jalanraya lain di Jakarta kerana terlalu emosi dan terlalu inginkan kemenangan.

Bagiku, ini sungguh memalukan negara. Sepatutnya peserta diberitahu atau diberi amaran terlebih dahulu supaya menjaga tingkah laku di tempat orang. Apakah yang tersemat di fikiran pemandu atau supir itu melihat gelagat penumpangnya yang sangat memalukan itu? Itukan Jakarta yang memang sudah terkenal dengan kesesakan lalulintas atau kemacetannya. Seharusnya peserta itu bersabar.

Namun peserta itu kalah dalam perlumbaan itu.

Tag: , ,

23 Ogos 2006

Sejenak di Kedai Mamak

Tadi, kukeseorangan makan malam di sebuah kedai mamak berhampiran rumahku. Kusudah lapar sangat dek senaman petang tadi dan ku tidak sabar lagi untuk menikmati Nasi Goreng Ayam dan Milo Ais.

Buat mengisi masa menunggu pesananku sampai, kubawa bersama Harian Metro semalam yang belum kuhabis baca. Biasanya kubaca The Star namun gara-gara pernikahan Siti kelmarin, kubeli satu akhbar Melayu untuk membaca lebih lanjut kisah pertunangan dan akad nikah pasangan itu.

Sedang kumembaca berita-berita itu, pelbagai bahasa kudengar dipertuturi oleh orang di sekelilingku yang terdiri dari pelbagai bangsa. Agak unik di negara ini kerana itu perkara biasa tetapi di negara lain agak sukar mencari senario sebegini.

Setelah kududuk di kerusi, datang seorang pekerja berbangsa India menanyakan apa menu yang kumahu pesan. Lantas setelah mendapatkan pesananku, dia secara automatik menterjemah pesananku ke Bahasa Tamil untuk tukang masaknya yang juga berbangsa India.

Ku terus membelek helaian akhbar itu. Susunan gambar hantaran perkahwinan Siti Nurhaliza menarik perhatianku. Sudah tentu mahal hantaran itu lantaran didatangkan khas dari luar negara.

Kemudian datang sebuah keluarga Cina duduk di meja di depanku. Ibunya becok bercakap dengan anak-anaknya dalam Bahasa Mandarin. Apabila datang pekerja restoran mengambil pesan, secara automatik, pertuturan mereka ditukar ke Bahasa Melayu.

Di sebelah kiri mejaku, kedengaran perkerja dari Indonesia yang menjual sate bercakap dalam Bahasa Jawa dengan seorang pelanggan yang juga berasal dari sana. Sedang mereka berbual, datang seorang rakan mereka yang berbangsa Cina. Mereka bertutur dalam Bahasa Melayu. Yang uniknya, pekerja dari Indonesia itu sudah pandai mengubahsuai loghat mereka supaya menyamai loghat Melayu dipertuturkan orang Cina.

Itulah kehidupan di Malaysia. Punya pelbagai bangsa pelbagai bahasa namun pasti ada satu bahasa perantaraan antara kaum berlainan bahasa itu. Bahasa itu adalah Bahasa Melayu. Bahasa inilah yang menjadi ligua franca di rantau ini sejak berkurun lamanya.

Namun bahasa ini sekarang melalui detik paling sukar dalam sejarahnya. Globalisasi yang membawa gelombang Bahasa Inggeris dan mungkin juga ketaksuban orang terhadap bahasa itu pastinya bisa melenyapkan ligua franca yang sudah berkurun dipertuturkan itu. Penekanan orang yang lebih gemar dengan monobahasa iaitu Bahasa Inggeris sahaja juga ancaman lebih besar.

Tidak salah berbahasa Inggeris tetapi tidak salah juga untuk mahir seribu bahasa. Sungguh rugi orang yang tidak mempedulikan bahasa yang sangat senang diaplikasikan di negara ini. Pelik juga kerana ada orang lebih sanggup belajar bahasa asing seperti Jepun atau Perancis yang sangat mustahil digunakan di negara ini walhal memilih untuk tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan. Lihat saja ucapan Hari Kebangsaan, mereka terpaksa bercakap dalam bahasa penjajah.

Lihatlah di sebuah pulau kecil itu, lingua franca ini sudah lenyap. Hanya golongan tua masih mampu bercakap. Golongan muda mereka pula melihat dengan teropong, bukan dengan mata kasar. Mereka nampak Amerika atau Eropah yang menjadi jiran mereka, bukan negara tetangga mereka yang sebenar ini.

p/s – kemampuan Bahasa Arab yang dipelajari penulis dulu juga sudah hampir lenyap kerana kekurangan kesempatan untuk bertutur.

Tag: , , , , ,

17 Ogos 2006

Menunggu Titik Hujung?

Entah kenapa kali ini kuberpaling tadah. Tidak lagi setia.

Dulu kerana tuah, diriku di sini. Entah apa azimat kubawa, diriku seolah-olah di puncak semasa wawancara hari itu. Itulah pertuturan terbaik pernah kuucapkan dari mulutku, berbekalkan bacaanku tentang satu artikel di Internet. Ku tidak layak tapi masih sebagai yang terbaik, dari yang terbaik kukira. Itulah tuah. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Hampir lima tahun berlalu. Sepanjang masa itu, tiada tanda-tanda ketidaktenangan pada diriku walaupun temanku yang lain satu demi satu meninggalkan ribut yang sering melanda ini. Kini keadaannya berubah. Kuingin turut sama.

Kusedar yang kuperolehi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi melepaskannya tidaklah harus dibiarkan begitu mudah. Namun, kukekusutan. Tekanan demi tekanan dan kekecewaan demi kekecewaan masih melanda. Justeru kuharus lakukan sesuatu buat mengubah keadaan. Lima tahun adalah jangkamasa yang lama. Sesuatu yang baru harus kukecapi.

Hari ini buat pertama kali selepas lima tahun, kumenulis kembali CVku. Sediakan payung sebelum hujan…

Pos tidak berkaitan:
Bos

16 Ogos 2006

Astro Perkenal Tujuh Saluran Baru

Astro akan melancarkan tujuh saluran baru dan saluran-saluran itu sudahpun mula diuji dan penonton dapat menonton promo-promo yang disiarkan. Tujuh saluran itu ialah:

  • Astro Ceria – saluran kanak-kanak interaktif berbahasa Melayu.

  • Astro ARUNA - saluran drama memaparkan sinetron and telenovela (dengan sarikata Bahasa Melayu).

  • Astro KIRANA – saluran filem Asia and Eropah (dengan sarikata Bahasa Melayu).

  • WaTV – saluran hiburan bermaklumat memaparkan gaya hidup muda-mudi penuh gaya, "New China". Berbahasa Mandarin.

  • CCTV 4 – saluran am memaparkan berita, kebudayaan, hiburan dan drama. Berbahasa Mandarin.

  • ZEE –saluran pelbagai hiburan dari India memaparkan drama, program permainan dan ujibakat (dengan sarikata Bahasa Melayu).

  • Animax – saluran 24 khusus untuk animasi Jepun (anime).


  • Sebenarnya tiga saluran pertama di atas sudahpun ditawarkan Astro Nusantara di Indonesia. Cuma saluran-saluran itu diperluaskan ke Malaysia buat mengukuhkan pegangan pasaran Astro di sini. Cuma bilakah agaknya Astro Ria dapat disiarkan di sana. Pastinya undang-undang di sana mungkin akan menghalang penyiaran Astro Ria di sana, tidak seperti di Brunei.

    P/s – Hmm.. kalau boleh hack Astro Nusantara, bolehlah tengok saluran terrestrial Indonesia di mana saja di Malaysia. Bolehlah tengok Siti kahwin di Trans TV, ya?

    Pos berkaitan:
    Hatiku Sudah Dimiliki - Siti Nurhaliza - Petanda Kejatuhan?
    Anugerah Televisyen Asia 2005
    Anugerah Televisyen Asia 2004
    Watch TV
    Misteri Nusantara
    Who Wants To Be/Steal A Millionaire

    15 Ogos 2006

    ‘Saya Seperti Orang Bodoh Jikalau Saya Bercakap Dalam Bahasa Melayu’

    Rupanya kenyataan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), Sharifah Amani yang bukan sahaja membuka pekung di dada, malah mengundang kemarahan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sendiri dan dianggap sebagai ‘perosak majlis’ oleh menteri berkenaan.

    Keterujaannya untuk memberi ucapan kemenangan itu mengundang kontroversi apabila beliau berkata, “I sound stupid if I speak Malay”. Walaupun dia tidak fasih bercakap Melayu, ironinya dirinya seorang Melayu, ucapan itu tidak sepatutnya dituturkan apalagi di atas pentas yang ditonton jutaan audiens di auditorium dan juga di rumah.

    Jika meminta izin untuk bercakap Bahasa Inggeris kerana tidak mampu bercakap Bahasa Melayu dengan lancar, caranya harus lebih beradab dan tidak mengguris hati orang Melayu sendiri.

    Menjawab kritikan itu, dia memberi alasan berketurunan campuran Cina, India dan Arab serta hanya bertutur Bahasa Inggeris di rumah. Kendatipun begitu, dia sepatutnya malu dengan ketidakmampuan diri sendiri itu. Sebagai rakyat Malaysia, apalagi orang Melayu, sepatutnya mampu untuk berucap dalam bahasa kebangsaan. Artis bukan Melayu pun masih mampu bercakap Melayu seperti Hans Isaac dan Carmen Soo.

    Agaknya bagaimana dirinya bertutur di dalam filem. Adakah menghafal skrip? Ataupun hanya mampu berlakon di dalam filem-filem Yasmin Ahmad yang miskin keindahan bahasa itu? Kalau dilihat pertuturan Bahasa Inggerisnya pun, tidaklah kelihatan terlalu mahir. Masih ada Manglish dan penuturan yang tidak tepat.

    Bukan pengucapan itu saja yang mengundang kemarahan, malah dia menghabiskan ucapannya dengan,

    If the film (Gubra) mencemar budaya, let’s do it more often ( Jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, mari kita hasilkan lebih banyak lagi).”

    Agaknya inilah hasil Bahasa Rojak… Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

    p/s – Mbah Marijan pun dah jadi selebriti – berlakon iklan (buat yang tak tahu, Mbah Marijan adalah penjaga kunci Gunung Merapi yang penuh mistik).

    Berita berkaitan di akhbar-akhbar:

    Dr Rais marah gelagat Amani
    Rais lahirkan kekesalan
    Nani calar imej FFM19
    Edisi KL: Nani hina bangsa sendiri
    Edisi KL: Mohon maaf
    Kenapa saya berucap bahasa Inggeris
    'Saya tak hina bahasa Melayu'

    05 Ogos 2006

    Samsons - Kenangan Terindah

    [Terima kasih buat YouTube & RuFez]



    Pos berkaitan:
    Ungu - Demi Waktu
    Dewa Featuring Mawi - Pupus

    03 Ogos 2006

    Bawang Putih Bawang Merah

    Hari ini ku tidak menutup TVku walaupun selepas waktu rehat tengah hari. Sedang kuasyik membalas emelku, kuterdengar sebuah lagu sinetron yang pernah kudengar sebelum ini di rangkaian TV3 yang sedang keudara itu. Selepas kuhulurkan kepalaku menjenguk ke arah kaca TV yang tidak mengarah ke mejaku, baru kutahu yang itu adalah drama Bawang Putih Bawang Merah yang pernah disiarkan di RCTI beberapa lama dahulu.

    Apa yang menarik perhatianku ialah adanya sarikata untuk drama itu. Tak pernah kulihat sinetron dari Indonesia disediakan sarikata. Pekat sangatkah loghat Jakartanya sepertimana filem Ada Apa Dengan Cinta yang sungguh sukar difahami rakyat Malaysia dulu? Kucuba amati drama ini sebentar. Apa yang kudapati perkataan yang digunakan bukanlah perkataan yang pelik untuk orang Malaysia. Cuma penggunaan perkataan yang berlainan tetapi masih seerti maknanya dan juga cara penyusunan perkataan di dalam ayat. Bagi yang kaya perbendaharaan kata, mungkin tidak menjadi masalah kerana masih memahami dialog-dialog itu.

    Kuteruskan mengikuti cerita drama itu namun terasa janggal kerana kumemahami kedua-duanya iaitu apa yang dipertuturkan oleh pelakon dan juga sarikata di bawahnya. Walaupun ini mungkin biasa kumemahami kedua-duanya jika kumenonton cerita Inggeris, namun ini adalah baru kerana kedua-dua bahasa ini mempunyai asas yang sama, bukan bahasa yang berlainan sama sekali.

    Adanya sarikata ini, kendatipun begitu, bagiku, sangat membantu mereka yang tidak memahami Bahasa Jakarta. Bahasa Jakarta adalah satu kreol yang terhasil dari pertuturan penduduk yang berlatarbelakangkan dialek yang berbeza. Ada pengaruh Betawi (contoh in menggantikan kan), Jawa dan juga Sunda. Di KL juga sudah terjadi kreol ini iaitu tercampur bahasa wargakotanya yang terdiri dari negeri-negeri yang berlainan loghatnya dan juga bahasa kaum lain iaitu Cina dan India.

    Melihat perkembangan ini, adakah suatu hari nanti orang KL tidak akan langsung memahami apa yang diperkatakan orang Jakarta atau juga sebaliknya? Dengan perkembangan teknologi terkini, adakah terma-terma berlainan akan terus muncul dan menjauhkan kedua-dua loghat? Sila tekan AF, ruang, KELUAR dan hantarkan ke 32999 atau ketik AF, spasi, KELUAR dan kirim ke 32999?

    Pos berkaitan:
    Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia
    Bahasa Indonesia - Mengapa Bahasa Melayu?
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...