30 Januari 2006

Bertuahnya Rakyat Malaysia

Sungguh beruntung menjadi rakyat Malaysia. Dengan komposisi rakyatnya yang berbilang kaum, pelbagai perayaan disambut. Dan setiap kali menjelang musim perayaan ini, pelbagai jualan murah diadakan buat menarik para pembeli yang membuat persiapan.

Kali ini kita menyambut Tahun Baru Cina. Semasa di KL minggu lepas, tak terfikir pun untuk aku mengambil peluang berbelanja di waktu begini. Sesudah bertemu kawanku yang akan ke luar negeri di KL Sentral, aku terus menaiki Monorel untul pulang ke hotel.

Sedang aku menggelamun sementara sampai ke destinasiku, aku terfikir bila lagi aku nak mengambil kesempatan sementara harga barangan masih murah ini. Selepas Tahun Baru Cina nanti, promosi jualan akan berakhir.

Aku sememangnya sudah bercadang hendak membeli sepasang kasut baru. Yang sedang aku pakai sudahpun lusuh setelah dipakai tiga tahun lebih. Pernah aku ke Tebrau City yang baru dibuka itu tapi tak jadi dibeli di situ.

Jadi, aku mengambil keputusan untuk berhenti di stesen Bukit Bintang saja. Aku mahu ke BB Plaza. Aku tak mahu mengambil waktu yang lama kerana kedai-kedai akan ditutup tak lama lagi. Pada waktu itu jam sudahpun 9 malam.

Aku ke satu kedai yang nampak banyak kasut dipamerkan. Pastinya banyak pilihan di situ. Para pekerjanya sangat memahami kehendakku. Mereka terus mencadangkan satu model kasut kepadaku. Langsung aku berkenan dan terus membelinya.

Sedang aku membelek-belek kasut itu, aku ditegur seorang pekerja sesyarikatku. Dia mengenaliku berdasarkan logo pada bajuku. Dia juga mengambil peluang terakhir ini untuk membeli-belah.

Akhirnya tercapai juga hasratku untuk membeli kasut. Kali ini agak mudah membeli kerana banyak pilihan (dan tepat dengan citarasaku), harga terbaik dan layanan memuaskan.

Sempena Tahun Baru Cina ini, aku juga menerima buah limau dari rakan-rakan Cina. Bertuah diriku, sekurang-kurangnya dapat juga aku mengubati selesemaku yang dah berlanjutan beberapa hari ini.

Sebelum terlambat, kuucapkan Gong Xi Fa Cai buat kaum Tionghua dan Maal Hijrah buat umat Islam seluruhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...