09 Februari 2006

Panjang dan MBJB - Memalukan!



Liputan The Star berkenaan seorang Samaritan bernama Panjang yang sanggup berkerja tanpa upah untuk menutup lubang-lubang di jalan-jalan selenggaraan MBJB sebenarnya dilihat sebagai memalukan. Memalukan bukan kerana kerja Panjang, bukan kerana pertolongan Panjang tetapi lebih dilihat sebagai kegagalan pihak MBJB mempastikan jalan-jalan di kawah kelolaannya diselenggara dengan baik dan sebarang kerosakan diambil tindakan segera.

Terlalu banyak jalan di Johor Bahru yang rosak tidak diambil peduli. Ada yang dah siap dibaiki tetapi rosak semula dalam jangkamasa yang singkat. Mutu kerja memang patut dipersoalkan. Bukan dalam kawasan MBJB saja malah kawasan-kawasan MPJBT dan PBT Pasir Gudang juga mengalami nasib yang sama.

Contoh terbaik adalah Lebuhraya Pasir Gudang. Jalan dah diturap baru beberapa tahun lepas tetapi tanpa mengambil masa lama jalan itu rosak kembali. Alasan diberikan kerana terlalu banyak kenderaan termasuk kenderaan berat melalui kawasan itu. Sepatutnya ini dah diambil kira sebelum proses pembaikan kerana sebarang kerosakan susulan pasti akan memerlukan lebih peruntukan dan membazirkan wang rakyat. Inilah mungkin agaknya pihak berwajib amat lambat bertindak kerana peruntukan sudah habis dek kegagalan pengurusan.

Bagi penulis sendiri, sudah jemu melanggar lubang-lubang di jalanan ini. Sistem gantungan kereta dah berkali ditukar. Kalau ke Pasir Gudang, sistem gantungan ini pasti teruk diuji. Jalan masuk ke Pelabuhan Johor adalah yang paling mencabar. Sudahlah jalan tak rata dan berlubang, terpaksa pula menempuh dua rintangan besi laluan kereta api yang terbonjol di tengah-tengah jalan akibat kehausan tar di sekelilingnya.

Kalau memandu di Jalan Tampoi, jalannya sudahlah tak berlampu malah banyak pula lubang di sana sini. Di bawah persimpangan bertingkat Lebuhraya Pasir Gudang - Giant Plentong pula, jalannya umpama bukan jalan lagi. Dah tak nampak tar di permukaan jalan. Cuma nampak akhir-akhir ini ada cubaan memperbaiki jalan itu. Harap-harapnya lebih pantas kerjanya kali ini. Jangan jadi lagi persimpangan bertingkat Lebuhraya Pasir Gudang - Jalan Kota Tinggi yang dah bertahun untuk disiapkan.

Pihak berwajib seharusnya lebih peka dan pantas dengan masalah besar di JB ini. Selain punca kesesakan lalulintas, lubang-lubang ini merupakan punca kemalangan bahkan boleh menjadi punca kematian. Harap ada lebih rasa tanggungjawab daripada pihak berwajib. Jangan ulangi lagi jawapan yang paling tak bertanggungjawab yang pernah berlaku kepada seorang pelapor, "Jalan luas, elak saja lubang itu!". Di mana nak mengelak, jalan di bandar sudah semakin sempit kerana kekurangan ruang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...