10 Februari 2006

Penggantungan Sarawak Tribune Tepat



Penggantungan Sarawak Tribune dilihat sebagai tepat setelah menyiarkan semula karikatur jahat yang menghina Nabi Muhammad SAW di kala bantahan hangat seluruh umat Islam sedunia. Berita Cartoon, Not Much Impact Here ataupun Kartun, Tidak Banyak Impak Di Sini yang disiarkan 5 Februari lalu telah mengundang marah umat Islam Malaysia.

Rentetan bantahan orang ramai, Sarawak Tribune telah mengumumkan permohonan maaf kepada umat Islam namun hal ini tidak sama sekali meringankan tindakan terhadap akhbar berbahasa Inggeris di Sarawak itu. Serentak dengan penggantungan itu, pengurusan akhbar itu tidak akan menerbitkan lagi Sarawak Tribune walaupun jika permit diberi kembali pada masa depan.

Pihak polis juga diharap dapat menyiasat dengan rincinya jikalau ada pemprovokasi dalam penyiaran ini. Dakwaan Pengarang Kumpulan, Toman Mamora bahawa beliau bukan dipecat tetapi diarah melucutkan jawatan dan juga dakwaan Penasihat Editorial, Datuk Idris Baung bahawa Toman Mamora menyelinap masuk karikatur itu di saat akhir akhbar dicetak perlu disiasat jika ada dalang dalam hal ini.

Penyiaran Sarawak Tribune adalah tak bertanggungjawab dan memalukan Malaysia sendiri sebagai sebuah negara bermajoriti Islam. Di kala bantahan berterusan umat Islam sedunia, mereka menguji kesabaran umat Islam Malaysia dengan penyiaran itu. Kini, mereka mendapat balasannya di atas ketidakpekaan ataupun mungkin sikap provokasi itu.

Islam sendiri tidak membenarkan sebarang penghinaan terhadap agama lain dan penganut agama lain juga harus faham dan tidak sesekali menghina Islam. Dalam masyarakat majmuk Malaysia, kita harus elakkan hal-hal yang sensitif. Penyiaran unsur-unsur penghinaan terhadap mana-mana agama, bangsa ataupun budaya hanya dilihat sebagai menjolok sarang tebuan.

Dalam pada itu, lebih 8000 umat Islam berhimpun secara aman di Kedutaan Denmark di Kuala Lumpur hari ini sebagai membantah penyiaran karikatur tersebut. Demonstrasi secara aman itu dilihat berjaya kerana tiada unsur provokasi dan malah dipuji pihak polis sendiri. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan terima kasih beliau mengatakan pihak polis yang menjaga keamanan itu bakal menjadi saksi di hadapan Allah di akhirat kelak kerana telah mengadakan bantahan terhadap penghinaan Rasulullah s.a.w.

Desakan supaya memboikot barangan Denmark agar diteruskan juga dilaungkan. Sekarang ekonomi Denmark sudah kerugian berbilion Dolar atas pemulauan itu yang kebanyakannya dipelopori negara-negara Arab. Walaupun ancaman Duta Denmark bahawa ini akan menjejaskan hubungan dagang dengan Denmark, kita tak perlu takut kerana maruah Baginda lebih mulia daripada berhubung dengan orang yang benci akan Islam ini. Kita masih banyak lagi peluang dagang bahkan dengan umat Islam sendiri, pasarannya juga luas.

Pos berkaitan:
Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara I
Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara II

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...