07 Februari 2006

Sikap Curiga Singapura



Singapura mahukan pasir dari Malaysia dijual kepadanya dan diberi kebenaran menggunakan ruang udara Malaysia buat latihan jet pejuangnya. Itulah syaratnya jika Malaysia mahukan jambatan penuh buat menggantikan Tambak Johor.

Asas Malaysia untuk membina jambatan adalah untuk mengurangkan kesesakan di waktu puncak dan musim perayaan. Ini juga untuk mempastikan Kompleks Imgresen dan Kuarantin (CIQ) yang bakal siap dapat digunakan sepenuhnya. Selain itu, air Selat Tebrau yang dah berkurun tersekat alirannya antara Laut China Selatan dengan Selat Melaka dapat mengalir kembali dan mengurangkan pencemaran teruk di Selat Tebrau dan sungai-sungai sekitarnya.

Jika diteliti semua permintaan Singapura, semuanya berpihak kepada Singapura. Jika mereka tak dapat permintaan mereka, mereka sebenarnya tak rugi pun kerana itu semua bukan hak Singapura. Hak yang didesak adalah hak Malaysia.

Pasir adalah hak Malaysia. Jika dijual, pasir itu akan digunakan untuk menambah keluasan pulau itu dan secara langsung memberi kesan kepada alam sekitar yang melampaui batas wilayah Singapura sendiri. Air yang deras disebabkan penyempitan selat akan mengganggu ekologi yang merugikan para nelayan tempatan. Malah dugong yang sangat jarang kewujudannya mungkin akan pupus. Air yang deras juga bakal mencetus hakisan teruk.

Kenapa mahu ruang udara? Ruang udara Malaysia adalah kedaulatan Malaysia. Jika dibenarkan, bagaimana nak menghadkan ruang yang diberi kepada mereka? Jika sudah masuk pasti ada kemungkinan melencong dari batas dibenarkan. Jika Malaysia bertindak balas, bagaimana tindakan itu dijustifikasikan? Kalau sekarang sudah ada batas ruang udara antara negara, tak perlu bersusah payah menghasilkan satu lagi peraturan membenarkan pesawat pejuang Singapura ke sini.

Pesawat pejuang adalah satu anggota pertahanan. Pasti setiap gerak langkah adalah berdasarkan sekuriti masing-masing dan tidak dapat tidak pasti berlaku aktiviti perisikan. Singapura sejak dikeluarkan dari Malaysia ketara benar sikap curiga-mencurigainya. Mereka menjalin hubungan ketenteraan dengan Israel dan Amerika dan memperkuatkan ketenteraan mereka seolah-olah jiran-jiran mereka adalah singa yang hanya menunggu masa “ngap” mereka. Ini umpama takut dengan bayang-bayang sendiri.

Masih ingat lagi penulis ketika kes penangkapan ahli JI di Republik itu dan isu terrorisme masih hangat, kebanyakan pemuda Melayu bawah 30 tahun dari Malaysia yang ke sana melalui Tambak Johor perlu ke bilik pegawai imigresen untuk disoalsiasat sebelum dicop visa masuk mereka. Ini terjadi kepada penulis sendiri. Bila ditanya, jawapannya rutin biasa. Pernah juga teman-teman dari Indonesia juga ditahan ke bilik pegawai walaupun mereka ada dokumen lengkap. Teman yang ikut sekali dari Thailand tak pula ditahan.

Banyak lagi isu tertangguh. Isu air sudah lama diperkatakan. Sikap “cincai” pihak Malaysia juga membuka peluang buat mereka. Setelah perjanjian menyewakan seluruh pulau selagi ada bulan dan bintang oleh pemerintah zaman dahulu yang cetek pemikiran, Malaysia terlalu jujur menjual air sesen seliter untuk jangkamasa yang panjang. Orang dulu agaknya tak berapa kenal akan inflasi.

Malaysia mempunyai peluang menaikkan harga pada 80-an tetapi pemimpin Malaysia pada masa itu terlalu sibuk dengan pertelagahan politik sesama sendiri. Cubaan menaikkan harga beberpa tahun lepas tak berjaya kerana sikap kiasu atau tak mahu kalah Singapura yang terkenal seantero dunia walaupun harga tak masuk langsung pada masa sekarang. Isu ini masih berlarutan.

Begitu juga dengan isu wang caruman CPF, versi KWSP di sana, milik rakyat Malaysia yang bekerja di sana. Wang mereka tak boleh dikeluarkan.

Jelas semua isu yang tertunggak adalah bukan milik mereka. Jangan kita diputar belit mereka itu yang mahukan kita tergadai satu demi satu hak kita. Sekarang bukan lagi zaman selagi ada bulan dan bintang. Semua benda ada harganya dan jangan biarkan anak cucu kita tak merasainya.

Tak perlulah kita membuang masa berunding lagi. Kalau mereka tak mahu buat jambatan kita teruskan saja cadangan jambatan separuh yang bengkok itu. Biar generasi akan datang dapat menilai perangai “satu titik hitam” di rantau ini yang pernah digelar mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie itu.

Atas dasar apa kita memujuk Republik itu untuk membina jambatan penuh jika kita menggadaikan hak kita? Air kan dah mengalir di wilayah Malaysia. Jangan diikut sikap penuh curiga mereka. Sudah terang lagi bersuluh. Mereka mahukan penjelasan dari Malaysia apa habuan yang bakal mereka dapat dari pembinaan jambatan ini. Tiba-tiba mereka jadi bodoh dalam hal ini.

“Kebodohan” mereka ada banyak maknanya itu. Sikap curiga-mencurigai masih menyelubungi pemikiran mereka. Mereka risau pembinaan jambatan bakal membenarkan Pelabuhan Johor di timur dan PelabuhanTanjung Pelepas di barat Johor dihubungkan dengan jarak yang lebih singkat dan mempercepatkan pertumbuhan kedua-duanya lalu menjadi saingan terbesar pelabuhan mereka. Mereka sudah serik dengan kehilangan dua pelanggan terbesar mereka kepada PelabuhanTanjung Pelepas.

Meruntuhkan tambak yang sedia ada juga bakal menjadikan alatan ketenteraan mereka seperti kereta kebal kurang berkesan. Pembinaan jambatan dilihat bakal mengukuhkan keselamatan Malaysia.

Sikap curiga-mencurigai mereka adalah segalanya. Padahal mereka akan banyak dapat manfaatnya terutama dalam memajukan kawasan utara pulau itu. Tepuk dada tanya selera. Tak perlu pening kepala. Kalau mereka mahu, baguslah demi kebaikan bersama. Kalau tak mahu, biarkan mereka dengan keluarga mereka. Jangan kita kehilangan sesuatu yang tak patut kita hilang.

Kalau Leftenan Adnan melihat episod ini, alamat menangis penuh sesalanlah…

Pos berkaitan:
Singaporean - Kiasu and Speak English

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...