22 Mac 2006

Misteri Genting Highlands


(Picture from http://www.mingalaronline.net)

Ketika ke Genting Highlands tempoh hari, kumenaiki kereta kabel untuk ke puncak. Kebetulan seorang teman sedang sarat mengandung, dia tak ikut serta. Sebaliknya dia menaiki kereta sahaja. Alasan lain juga kerana dia pernah mendengar cerita kurang elok tentang kereta kabel di Langkawi.

Akhirnya tinggal beberapa orang sahaja yang menaiki kereta kabel. Tak ramai orang di stesen kereta kabel pada waktu itu kerana bukan musim cuti sekolah dan waktu itu sudah pun malam.

Pada permulaan perjalanan memang seronok. Semua orang menganggap thrillnya pasti kurang kerana pada waktu malam, cerun-cerun yang dalam di bawah laluan kereta kabel pasti tak dapat dilihat.

Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali. Pada waktu malam thrillnya memang tetap ada malah berlainan sama sekali. Di sesetengah tempat yang tak terjangkau lampu limpah, suasananya amat gelap. Hanya lampu malap di dalam kereta kabel sendiri yang sedikit sebanyak menerangi penglihatan.

Di kawasan-kawasan gelap itulah, seolah-olah sudah dirancang, kelajuan kereta kabel dikurangkan. Bayangkan setelah diperlahankan, suasana sungguh sunyi! Tiada lagi bunyi angin dibelah kereta kabel. Tiada lagi bunyi celoteh kami, seolah-olah sudah diarahkan diam. Cengkerik yang dari tadi berbunyi tak henti-henti pun tiba-tiba diam membisu. Semua orang melayan perasaan masing-masing.

Setelah sampai semula di tempat yang lebih terang, seorang teman memecah kesunyian dengan berkata yang dia ternampak “Maya Karin” ataupun pontianak bertenggek di atas dahanan pokok di hutan tebal di bawah laluan kereta kabel tadi.

Kusudah mengagak di sini pasti banyak makhluk-makhluk halus. Tempat ini pun bukanlah sebuah tempat yang elok sangat. Sering kedengaran cerita-cerita para penjudi menggunakan khidmat makhluk-makhluk ini untuk meraih kemenangan besar. Apabila kalah dan tak mahu lagi dibebani dengan makhluk-makhluk itu, maka ditinggalkan mereka itu di hutan berhampiran. Temanku yang agak arif tentang hal-hal ini juga mengatakan banyak hantu raya tinggal di sini.

Dalam perjalanan pulang, mahu melihat tapi tak muncul. Kalau dicari takkan jumpa…

1 ulasan:

  1. nasib baiklah si "maya karin" tidak dok dalam kereta kabel tu.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...