12 April 2006

Lawatan Ke Indonesia II - Pra Lawatan - Cabaran Demi Cabaran



8 April 2006

Dari negeri Johor Ke negeri Mataram. Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan. Kali ini bersama seorang temanku, kami berangkat ke Solo, Indonesia. Pelbagai halangan dan dugaan ditempuh sebelum perjalanan kami. Asalnya mahu pergi bersama seorang teman lain tapi beliau tidak dapat turut serta. Kumahu batalkan saja tetapi kubernasib baik kerana seorang kawan yang lain dapat pergi.

Perjalanan bermula apabila kuhabis urusan kerjaku di KL. Sewaktu kumendaftar keluar, satu lagi cabaran kutempuhi. Ramai orang pada masa itu mahu mendaftar keluar dan masing-masing ada dengan masalah sendiri. Ada yang meragui bil yang dicaj dan ada juga yang mahu dicaj bil mereka secara asing-asing walaupun mereka datang berkumpulan.

Kumenunggu hampir dua puluh minit untuk mendaftar keluar. Biasanya tidak sampai tiga minit pun. Para pekerjanya pula kelihatan tidak mengambil inisiatif langsung untuk memperbaiki keadaan seperti mempercepatkan proses daftar keluar. Apabila ku sudah bercekak pinggang barulah terhegeh-hegeh mahu cepat.

Kami menaiki LRT ke KL Sentral dan seterusnya menaiki bas ulang-alik ke LCC. Dinamakan Skybus, perjalanan ke LCC mengambil masa satu jam untuk sampai. Kerana kami lambat tadi, kami hanya mendapat tempat duduk yang paling belakang. Apabila duduk di situ, maklum sajalah untuk sebarang lantunan bas yang terhasil dari sistem gantungannya, orang yang duduk terbelakanglah yang paling terasa kesannya. Akhirnya apabila sampai ke LCC, kami sudah kepenatan.

Di LCC, kusudah fikirkan yang keadaan di sini tidak boleh disamakan dengan KLIA, meskipun kumahu yang terbaik di sini setaraf dengan terminal yang baru siap ini. Walau bagaimanapun, kudapati keadaannya tidaklah selesa sangat. Terlalu sesak disitu menandakan ruangan yang dibina tidak mampu mengisi jumlah penumpang yang ramai. Terlalu ramai orang menunggu baik di balai berlepas mahupun balai ketibaan. Di situ juga masih belum banyak kedai yang dibuka. Di McDonald's, ramai orang beratur untuk membeli makanan. Pun begitu, proses daftar masuk cepat kerana banyak kaunter dibuka.

Sampai di balai berlepas, terlalu ramai orang menunggu pesawat masing-masing sehinggakan tidak cukup kerusi. Kami terus beratur di pintu yang ditetapkan kerana kami masuk pada waktu pesawat sudah hampir berlepas. Dengan kelihatan sebuah pesawat menunggu di luar, kami teruja untuk memulakan perjalanan. Namun keterujaan kami tersekat kerana itu bukan pesawat kami. Kami terpaksa menunggu lagi.

...terhenti di Prawirotaman, Jogjakarta, 12 April 2006...
...disambung kembali di Kuta, Bali, 14 April 2006...

Kali ini ada beberapa pesawat lain turun lagi. Kami lega. Namun harapan tinggal harapan. Yang ditunggu tak kunjung tiba. Orang ramai yang masih duduk semasa kami beratur tadi pula yang berlepas dahulu. Rupanya pesawat kami masih belum sampai.

Kami hampa. Ramai yang beratur tadi sudah keletihan dan mulai duduk di atas lantai. Kesabaran kami teruji. Tidak ada langsung pengumuman kelewatan dari Airasia. Tiada juga pengumuman maaf buat menenangkan para penumpang. Beberapa penumpang mengambil inisiatif untuk bertanya. Akhirnya diberitahu juga kelewatan penerbangan kepada para penumpang. Itupun sudah hampir dengan waktu penerbangan yang tertunda itu.

Sepanjang perjalanan, pesawat agak bergoyang dek cuaca buruk. Ada beberapa perempuan yang menjerit. Tapi keadaan itu sekejap-sekejap sahaja. Tak ada apa yang perlu dirisaukan.

Perutku pula berkeroncong setelah melalui beberapa peristiwa tadi. Kumemesan nasi goreng sate kerana ku belum menjamah nasi lagi hari ini. Almaklum, pesawat tambang murah tetapi makanannya berharga mahal. Nasi goreng satu senduk kecil berserta dua cucuk sate berharga RM9.00. Oleh kerana lapar, kubeli jua.

Apabila kami sampai ke Solo, hari sudahpun gelap. Proses imigresen amat cepat. Para pegawai di situ juga ramah. Tidak ada yang meminta uang pelicin. Kami menaiki teksi ke Jalan Slamet Riyadi sambil memperjudikan nasib kalau-kalau ada hotel yang sesuai dan masih kosong. Pemandu teksi itu menyarankan kami agar menginap di Hotel Dana. Kami bersetuju untuk tinggal di sana. Sebagai back packers, kami tidak kisah kerana kami hanya satu malam transit di Solo. Nasib kami juga baik kerana masih ada satu lagi bilik kosong untuk kami walaupun ada majlis perkahwinan di situ.

Pada malam itu, kami makan di luar. Mahu mencari Ayam Bakar yang terkenal itu tapi tidak dijumpai. Kami makan di restoran makanan laut bakar sahaja. Walau bagaimanapun udang bakarnya tetap sedap. Selepas makan, kami pulang. Sudah penat melalui hari yang
sangat sukar...

Koleksi gambar di Solo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...