02 April 2006

Moero Attack Dan Bola Tampar



Ingat Moero Attack? Sekarang pasti pembaca terbayang jauh nun di masa lampau ketika masih bersekolah cerita ini disiarkan pada lebih kurang jam 4 petang di TV3. Pelbagai gambaran pasti terpancar ketika masih di zaman sekolah sambil menikmati ais krim, memakan makanan ringan, main tikam dan lain-lain.

Idea menulis fasal Moero Attack ini dah lama kufikirkan cuma tak dapat bahan yang kucari-cari. Kumahu sekurang-kurangnya ada video yang boleh meningkatkan keterujaan ataupun boleh mengalirkan air mata jika mengenang zaman dahulu (ada ke?!). Pernah kujumpa video ini di Jiwang Torrent tapi seedernya entah ke mana menghilang. Hari ini kucuba lagi melayari laman Internet lain, akhirnya aku berjaya!

Bercakap tentang Moero Attack ini, pastinya ramai yang berkongsi pengalaman yang sama. Ku masih ingat ku selalu memonteng kelas agamaku di waktu petang semata-mata kerana tak mahu terlepas menonton rancangan ini. Summersault berkembar, servis piring terbang dan puncak kehebatan Chun iaitu summersault berpusing ciptaan ibunya masih terbayang-bayang di fikiran. Ku pernah dilucutkan jawatan ketua kelas agamaku kerana terlalu kerap memonteng. Apalagi pabila di akhir-akhir episod, ku tak kelihatan langsung di sekolah...

Moero Attack
mengisahkan seorang gadis berhijrah ke Hokkaido semata-mata untuk terpilih mewakili Jepun ke temasya Sukan Olimpik di Moscow. Pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi untuk mencapai cita-citanya. Berkat galakan bapanya, beliau dapat juga ke Sukan Olimpik.

Hasil penangan Moero Attack ini juga bola tampar tiba-tiba menjadi sukan kegemaran pada masa itu. Semua orang mahu belajar bermain bola tampar. Ini termasuk diriku. Ketika pihak sekolah mengumumkan untuk memilih pemain menyertai pertandingan bola tampar peringkat negeri (pada masa itu tak ada peringkat daerah kerana tak semua sekolah didedahkan dengan sukan ini), aku sangat teruja untuk mewakili sekolah.

Pemilihan hanya dilakukan dengan menyuruh murid-murid membuat servis. Ramai juga yang datang. Ada yang boleh tapi ada juga yang tak berjaya. Sampai ke giliranku, aku berjaya menyervis bola ke gelanggang lawan. Kusangka kuberjaya tapi tidak! Kata guru yang membuat pemilihan itu, kakiku melepasi garisan ketika membuat servis tadi. Terus aku tak terpilih. Ini tidak adil! Bakatku dipersiakan begitu saja gara-gara hanya kaki terlepas garisan servis.

Penat saja aku berlatih di belakang rumahku. Sehinggakan kumenggunakan bola sepak yang zahirnya lebih berat dari bola tampar untuk berlatih. Sampai hari ini aku menyesali keputusan guru itu... (isk...isk..)

Tapi tak mengapa Cikgu. Ku tak kisah kerana kudapat juga bermain untuk sekolah menengahku. Pernah ku ke peringkat kebangsaan dan seterusnya bermain untuk universitiku sebagai Kapten...

Tetapi setelah kumelalui semua itu, setelah kubelajar undang-undang dan teknik bermain bola tampar, rupa-rupanya summersault berkembar atau berpusing itu menyalahi undang-undang permainan bola tampar! Ku masih ingat pesan Cikgu Hamzah semasa kelas ko-kurikulumku (kuambil bola tampar juga sebagai subjek ko-kurikulum), semua yang dalam Moero Attack itu tidak boleh dilakukan semasa permainan sebenar. Yang dipaparkan hanyalah untuk mengolahkan cerita itu supaya lebih dramatis. (Sihat lagi ke Cikgu Hamzah?. Beliau terkena buatan orang ketika ku di tahun akhir pengajian. Dari badan yang gempal beliau menjadi kurus kering...)

Begitulah penangan Moero Attack. Buat menyahdukan memori anda semua, kutemui satu video di bawah di Internet.



Berikut pula hasil nukilan beberapa bloggers yang berkaitan dengan Moero Attack. Gaban, Ding Dang, Kum Kum, Projek Susu Segar? Semua ini pasti terkait pada zaman itu... Sukar untuk kupastikan siapakan penulis asal kerana terlalu banyak disiarkan di pelbagai laman. Kupasti ini nukilan ini pernah dilayangkan melalui emel. Kendatipun begitu, kusiarkan semua yang kutemui ini. Cheers!

Those Days
A walk down memory lane...
Nostalgia of Malaysian 70's Babies (sebenarnya tahun 80-an ni...)
Attiesya
Forum Moero Attack Di Cari.com.my

4 ulasan:

  1. :) tringat memacam citer jepun hok besh mase tuh...tapi tajuk dok ingat la...mariko shinto ada dok?hmm..klako.bakpe la mu ponteng kelas agama mu tuh. orait selamat..jgn keje kuat sgt..rilek2 etek

    BalasPadam
  2. oh memori sungguh cerita itu. Oshin pun sama.

    BalasPadam
  3. kt mana nk download Moero Attack ni...? x jumpa...nk sgt nengok..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...