13 Mei 2006

Lawatan ke Indonesia II - Borobudur dan Dataran Tinggi Dieng



11 April 2006

Hari ini seperti yang telah dirancang, kami mahu ke Borobudur dan Dataran Tinggi Dieng. Kami sudahpun membeli pakej untuk ke sana semalam. Kami menaiki van berserta seorang pemandu ataupun dipanggil supir. Walaupun asalnya jadual pertama kami ke Dataran Tinggi Dieng, kami dinasihatkan ke Borobudur dahulu supaya tidak kehujanan seperti semalam di Prambanan. Sekarang ini musim hujan di sebelah petang.

Perjalanan ke Borobudur sungguh mengasyikkan. Di sebelah kanan, nun kelihatan panorama Gunung Merapi yang berkepul-kepul asap di puncaknya, hanya menunggu masa meluahkan lahar yang terkurung di dalamnya. (Pada masa pos ini ditulis, Merapi sudahpun memuntahkan laharnya.)

Kebetulan hari ini hari Maulidur Rasul, kelihatan juga kanak-kanak sekolah melakukan perarakan berserta sepanduk sambil membaca selawat. Teringat aku di sekolah dulu memegang papan tanda darjah 4 Kenanga mengetuai kelas berarak di kawasan persekitaran sekolah.

Kami melewati pekan Magelan untuk ke Borobudur dan mengambil satu jalan khusus ke Borobudur. Untuk masuk ke Borobudur, sepertimana di Prambanan, bayaran untuk orang asing juga berlainan daripada orang Indonesia sendiri iaitu US$10. Ah, mahu jadi orang Riau lagi?! Akhirnya Mas supir yang tolong beli (maaf Mas, kusudah lupa namamu) dan dapat lagi harga Indonesia...

Di sini, kami tidak lepas dari sikap kegigihan para penjual yang mahu kami membeli barangan mereka tatkala kami berjalan masuk ke Borobudur. Apalagi mendengar loghat Melayu kami, makin galaklah mereka menawarkan barangan mereka. Ramai orang di sini fikir semua orang Malaysia kaya-raya. Namun tidak semestinya. Masih ada yang susah meskipun tidak ada yang tidak cukup makan. Tapi kami Alhamdulillah, syukur.

Ada seorang Mbak yang menawarkan topi. Tampak cantik tapi dalam keadaan didesak sebegini sukar untukku membuat pilihan dan keputusan. Akhirnya kubeli juga satu memandangkan mentari sudahpun naik.

Setelah menyerahkan tiket masuk, kami didekati Bapak Suyono yang menawarkan diri sebagai pramuwisata ataupun jurupandu kami. Rupanya Pak Suyono pernah menjadi jurufoto. Gambar yang diambil beliau sungguh cantik. Tidak sia-sia kami mengambil beliau sebagai pramuwisata kami. Beliau bahkan juga tahu di mana untuk mendapatkan shot terbaik.

Borobudur merupakan candi yang sudah berabad lamanya dibina selama 75 tahun untuk penganut Buddha. Namun Borobudur hanya digunakan untuk 150 tahun. Prambanan yang kami lawati semalam pula adalah candi bagi penganut Hindu. Inilah bukti yang nenek moyang kita pernah menganut agama-agama ini sebelum kedatangan Islam ke rantau ini. Bukti lain juga terdapat di Palembang di bawah kerajaan Srivijaya yang pernah menjadi kota ilmu penganut Buddha. Ini juga ditemui di Lembah Bujang, Kedah.

Kupenasaran tentang anutan agama ini dengan kedatangan Islam dan juga bagaimana agama langit tidak terjangkau ke sini pada zaman dahulu sehinggalah kedatangan para pendakwah yang juga pedagang menyebarkan Islam ke rantau ini. Kubertanya pada Pak Suyono, yang juga merupakan seorang khatib, pada zaman Nabi manakah candi ini dibina. Berdasarkan tahun pembinaan candi ini iaitu Before Christ (B.C.), pastinya ia dibina pada zaman sebelum lahirnya Nabi Isa A.S. atau sekurang-kurangnya pada zaman Nabi Musa A.S. Tidak pernah kutahu atau mungkin kulupa dalam kitab-kitab Islam bagaimana ajaran-ajaran ini diasaskan.

Di Borobudur banyak diukir patung-patung yang menggambarkan sesuatu peristiwa seperti kelahiran Buddha yang ibunya meninggal semasa melahirkannya. Ada juga untuk pembelajaran dan teladan seperti patung-patung anak-anak yang dungu dan kurang waras yang menggambarkan penegahan perkahwinan antara muhrim yang mungkin melahirkan anak-anak yang cacat. Dalam Islam sendiri kita tidak digalakkan berkahwin dengan saudara dekat kerana dikhuatiri akan memperolehi anak-anak yang kurang cerdas di samping tidak memperkembang hubungan kekeluargaan.

Kudapati anak-anak tangga di sini cukup tinggi iaitu separas lututku. Agaknya orang zaman dahulu besar-besar belaka. Ini malah diiyakan oleh Pak Suyono. Di dalam binaan yang berbentuk sangkar, terdapat patung-patung Buddha. Kononnya barangsiapa yang bisa menyentuh patung itu, dia akan mamperolehi nasib yang baik.

Nun di latar belakang Borobudur, terdapat banjaran gunung yang menyerupai muka orang yang terarah ke atas ketika sedang berbaring. Kononnya sesudah membina Borobudur, tokoh itu berbaring dan diam di situ lalu menjadi gunung. Di kaki gunung itulah terdapat sebuah resort yang mahal berserta padang golf yang bersuasana sawah padi menghijau, cantik dan saujana mata memandang.

Selesai masa yang diperuntukkan, kami ke Dataran Tinggi Dieng pula. Perjalanan ke sana agak jauh. Kami melewati kampung-kampung di kaki gunung yang berselang-seli dengan sawah padi. Padi di sini walaupun ditanam di kawasan tinggi, ia tetap ditanam di sawah yang digenangi air. Air-air itu pula berasal dari pergunungan yang disaliri supaya mampu mengairi sawah-sawah di situ. Kudapat bayangkan betapa dinginnya air itu.

Ini merupakan pengalaman baru bagiku kerana jarang melihat suasana sebegini di Malaysia. Orang Jawa banyak juga yang tinggal di kawasan gunung. Ini tidak seperti Malaysia yang penduduknya tinggal di tepi laut, muara sungai ataupun sepanjang sungai, sesuai orang Melayu yang asalnya pelaut, pedagang, nelayan dan petani.

Setelah lama melalui jalan berbengkang-bengkok mendaki bukit, akhirnya kami sampai ke sebuah bandar bernama Wonosobo. Tidak sangka di sini juga ada bandar walaupun jauh di atas pergunungan. (Di sinilah anggota Noordin Mohd Top dicekup setelah kedudukan mereka dikesan tak lama sebelum pos ini ditulis).

Perjalanan mendaki diteruskan lagi. Apabila kami menghampiri kawasan Dieng, kelihatan banyak sekali kebun sayur di sini. Dieng merupakan pusat penghasilan sayur terkemuka Indonesia. Di sini seperti Cameron Highlands di Malaysia. Udaranya nyaman, sejuk dan tipis.

Satu kelainan di sini ialah banyak sekali masjid dan surau didirikan oleh penduduk, sangat ironis dengan tempat ini yang pernah menjadi pusat agama Hindu suatu ketika dulu. Tidak hairan di sini dan juga di Wonosobo kelihatannya adalah kubu kuat PKS.

Akhirnya kami sampai ke pintu masuk kawasan wisata Dieng. Keluar saja dari van, amat terasa kedinginan suhu di sini. Apabila cuaca sudah dingin, maka badan akan bertindak balas dan tandaslah tujuanku. Mujur ada tandas di sini. Namun apabila kubuka paip air, wah terasa air itu seperti baru keluar dari peti ais. Sungguh sejuk!

Dieng adalah kawasan datar yang agak luas yang terletak di kawasan tanah tinggi. Kerana itulah ia dipanggil Dataran Tinggi Dieng atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Dieng Plateau. Di tengah-tengah dataran itulah terletak sebuah candi lama yang dipanggil Candi Arjuna. Candi itu sedang dibangunkan dari sisa runtuhannya. Satu perkara yang mengujakanku ialah kutemui bunga Sundal Malam yang diletakkan di candi itu. Bunga Sundal Malam adalah nama yang digunakan pada filem Pontianak Harum Sundal Malam. Bau bunga ini sungguh wangi.

Sedang kami asyik mengambil gambar, gerimis mulai turun. Kami langsung beransur. Namun sedang kami berjalan, tiba-tiba hujan semakin lebat yang memaksa kami berlari mencari tempat berteduh.

Kami bernasib baik kerana supir sudah menunggu di kawasan parkir bahagian atas bukit. Kami terus masuk ke van. Kami termengah-mengah disebabkan berlari tadi. Bukan kerana jarang bersukan tetapi kerana udara yang nipis di sini yang mengandungi kurang oksigen menyebabkan kami termengah-mengah. Ku pernah menghadapi keadaan sama di kawasan tanah tinggi lain. Di Genting Highlands, terasa sungguh berat
untuk menghabiskan satu pusingan renang dan juga tidak mampu lagi untukku berlari semasa bermain bola sepak di Cameron Highlands.

Seterusnya kami dibawa ke kawah gunung berapi Kesidang. Dari jauh sudah kelihatan asap putih berkepul-kepul. Semakin kami mendekati kawasan kawah, semakin kuat bau amonia menusuk hidung kami. Bau amonia yang keluar bersama-sama asap itu seperti bau hancing. Asap ini beracun dan boleh membuatkan seseorang sesak nafas dan pengsan.

Kami berhati-hati mendekati kawah itu dan memastikan supaya kami tidak berada di arah laluan angin yang membawa asap-asap itu. Sungguh mengagum dan mengujakan melihat air yang berwarna kelabu mengandungi belerang menggelegak di tengah kawah. Kalau terjatuh agaknya dapatlah kulit yang cantik dan sebelum sempat diperagakan, sudahpun Innalillah... Di bukit-bukit di belakang kawah, hanya kelihatan pokok pain tumbuh, sangat sesuai dengan cuaca sejuk begini.

Selepas puas menikmati kejadian alam itu, kami pun turun semula. Kami singgah di Candi Bima sekadar untuk mengambil gambar. Kemudian kami berhenti sekejap di gerai-gerai di tepi jalan untuk membeli ole-ole. Kubeli satu tutup kepala yang ada perkataan Dieng didepannya buat kenang-kenangan.

Semasa turun, aku tidur kerana kepenatan. Apabila tersedar, van berhenti. Kudapati beberapa orang lelaki termasuk seorang kanak-kanak meminta wang sebelum dibenarkan lalu. Kurasa mereka tiada hak meminta duit kerana jalan itu bukan milik mereka bahkan pemerintahlah yang membina dan menyenggara jalan itu. Rupanya ada juga orang malas di kalangan orang Indonesia yang rajin bekerja memerah duit orang lain sewenang-wenangnya. Mereka pula bijak memilih lokasi orang sedang membaiki jalan yang apabila kenderaan lalu, pasti akan diperlahankan. Mereka sanggup berbasah kuyup dek hujan untuk mengumpul wang mudah itu. Bukan hanya satu, malah ada beberapa sekatan lagi. Mas supir pernah memberi mereka hanya sepuntung rokok kerana sudah membayar "tol" sebelumnya.

Aku sambung tidur lagi. Apabila kusedar kembali, van berhenti untuk makan di Wonosobo. Kucuba sate jamur atau cendawan yang amat enak sehinggakan kubeli lagi untuk dibawa pulang.

Sebelum pulang ke hotel, temanku mahu singgah kembali ke Borobudur untuk membeli topi lagi buat cenderahati untuk teman-teman. Kami mahu mencari Mbak tadi. Tetapi kami diberitahu Mbak itu sudah pulang. Kami sebaliknya singgah di sebuah gerai di situ. Apabila mahu membeli dalam kuantiti yang banyak, maka terjadilah tawar-menawar untuk mendapatkan harga terendah. Kukatakan pada Mbak pemilik gerai itu, "Kalau Mbak jual kepada kami sejumlah ini, Mbak bisa pulang saja untuk hari ini. Mbak bukannya selalu dapat menjual sejumlah ini dalam sehari."

Agak ego tapi akhirnya Mbak bersetuju. Walau bagaimanapun, tidak banyak variasi warna yang tinggal. Yang banyak berwarna krim. Akhirnya riuh rendah kawasan gerai itu kerana Mbak tadi mendapatkan topi berwarna lain di gerai-gerai lain. Habis semua gerai dicarinya. Apabila melihat kami membeli banyak topi, para peniaga jalanan lain juga ingin mengambil kesempatan menjual barangan mereka. Ada yang mengikuti kami hingga ke van bahkan ada yang mengetuk cermin van memujuk kami. Kami tidak berminat kerana tidak menarik perhatian kami. Malah ada yang cuba menjual patung Buddha kepada kami. Tak tahulah di sini tak ada batasan. Kumelihat yang menjual gayanya seorang Muslim.

Kami terus pulang dan malam itu tidak ke mana-mana kecuali ke Internet.

Pautan berkaitan:
Koleksi gambar di Borobudur
Koleksi gambar di Dataran Tinggi Dieng

1 ulasan:

erwin berkata...

sejarah singkat borobudur:

Borobudur adalah nama sebuah candi Buddha yang terletak di Borobudur, Magelang, Jawa Tengah. Lokasi candi adalah kurang lebih 100 km di sebelah barat daya Semarang dan 40 km di sebelah barat laut Yogyakarta. Candi ini didirikan oleh para penganut agama Buddha Mahayana sekitar tahun 800-an Masehi pada masa pemerintahan wangsa Syailendra.


Penemuan dan Pemugaran Borobudur:

Tahun 1814, Sir Thomas Stamford Raffles, Guberur jendral Inggris di Jawa, mendengar adanya penemuan benda purbakala di desa Borobudur.

Raffles memerintahkan H.C. Cornelius untuk menyelidiki lokasi penemuan, berupa bukit yang dipenuhi semak belukar.

Tahun 1873, monografi pertama tentang Candi Borobudur diterbitkan.

Tahun 1900, pemerintahan Hindia Belanda menetapkan sebuah panitia pemugaran dan perawatan candi Borobudur.

Tahun 1907, Theodoor van Erp memimpin pemugaran hingga tahun 1911.

Tahun 1926, Candi Borobudur dipugar kembali, tapi terhenti pada tahun 1940 akibat krisis malaise dan Perang Dunia II.

Tahun 1956, Pemerintah Indonesia meminta bantuan UNESCO. Prof. Dr. C. Coremans datang ke Indonesia dari Belgia untuk meneliti sebab-sebab kerusakan Candi Borobudur.

Tahun 1963, Pemerintah Indonesia mengeluarkan surat keputusan untuk memugar Candi Borobudur, tapi berantakan setelah terjadi peristiwa G-30-S.

Tahun 1968, pada konferensi-15 di Perancis, UNESCO setuju untuk memberi bantuan untuk menyelamatkan Candi Borobudur.

Tahun 1971, pemerintah Indonesia membentuk badan pemugaran Candi Borobudur yang diketuai Prof.Ir.Roosseno.

Tahun 1972, International Consultative Committee dibentuk dengan melibatkan berbagai negara dan Roosseno sebagai ketuanya. Komite yang disponsori UNESCO menyediakan 5 juta dolar Amerika Serikat dari biaya pemugaran 7,750 juta dolar Amerika Serikat. Sisanya ditanggung Indonesia.

10 Agustus 1973, Presiden Soeharto meresmikan pemugaran Candi Borobudur, pemugaran selesai pada tahun 1984

Pada 21 Januari 1985, terjadi serangan bom yang merusakkan beberapa stupa pada candi Borobudur yang kemudian segera diperbaiki kembali.

Tahun 1991, Borobudur ditetapkan sebagai Warisan Dunia UNESCO.

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin