29 Mei 2006

Lawatan ke Indonesia II - Keraton Ngayogyakarta



13 April 2006

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Jogja. Jadual kami agak santai hari ini supaya kami tidak tergesa-gesa untuk meneruskan perjalanan seterusnya yang kami rancang iaitu ke Bali pula. Pada sebelah pagi, kami merancang untuk ke Keraton Ngayogyakarta manakala di sebelah petang, kami tinggal di hotel sahaja supaya kami mempunyai masa yang cukup untuk mengemas barang-barang kami yang makin bertimbun ini.

Pramuwisata merangkap pengayuh beca kami tak lain tak bukan adalah Mas Adi lagi. Mas Adi membawa kami ke Keraton dengan becanya. Hari ini juga ada dipersembahkan gamelan di Keraton, jadi ku tidak sabar-sabar untuk melihat persembahan itu. Sebelum meninggalkan kami, Mas Adi menasihati kami agar berhati-hati dengan sesetengah orang yang memberi tunjuk arah yang salah dengan mengatakan pintu masuk kami tadi tidak boleh digunakan sebagai jalan keluar. Mereka sebaliknya menunjukkan arah berlainan untuk tujuan menipu mereka.

Bayaran masuk adalah sebanyak Rp.12,800 dan Rp.1,000 pula untuk bayaran mengambil gambar untuk setiap kamera. Kami disapa seorang Mbak yang kami lupa namanya menawarkan diri sebagai jurupandu. Beliau berpengalaman luas tentang Keraton dan berkerja di sini secara tak dirancang. Pernah menjadi penyelidik di sini akhirnya terus dengan kerja sebagai jurupandu. Beliau juga fasih dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Belanda dan juga bahasa Indonesia dan bahasa Jawa sendiri.

Keraton ini merupakan pusat pemerintahan Kerajaan Mataram pada zaman dahulu. Sekarang masih lagi bersemayam Sri Sultan Hamengku Buwono ke-X di sini. Sri Sultan bagaimanapun sekarang hanya menjawat jawatan Gabenor bagi Daerah Istimewa Jogjakarta (DIY). Tiada lagi kekuasaan raja-raja di Indonesia kerana Negara Kesatuan Republik Indonesia merupakan sebuah republik yang diketuai oleh seorang Presiden yang dipilih rakyat. Sekarang ini, raja-raja merupakan lambang kebudayaan dan juga bukti sesebuah kerajaan pernah wujud di Indonesia. (Baca kisah seorang kanak-kanak ditabalkan sebagai Sultan di Sumatera di pos terdahulu.)

Kendatipun begitu, beberapa kerajaan lampau di Indonesia termasuk yang sangat terkenal pada masa dahulu tidak dapat dikesan peninggalannya. Ini termasuklah Kerajaan Majapahit dan Kerajaan Demak. Mungkin juga ini disebabkan oleh musuh yang sudahpun memusnahkan segala-galanya. Keadaan sama juga berlaku kepada Kerajaan Melayu Melaka yang mana istana Sultan telah dirobohkan penjajah. Kubu Portugis, A Farmosa yang ada sampai hari ini itu dikatakan sebahagiannya dibina dari batu-batu nesan. (Rujuk di sini untuk melihat gambar A Farmosa.)

Banyak barang-barang milik diRaja dipamerkan di sini termasuklah pingat penganugerahan, hadiah pemberian pemimpin asing, senjata, alat sukan dan juga alat muzik terutamanya gamelan. Ada juga sebuah galeri khas yang dibina oleh Sultan iaitu galeri batik yang mempamerkan pelbagai corak batik yang sangat bermutu tinggi. Di sini, kubelajar ada beberapa corak batik yang dilukis tangan yang mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan hanya boleh dipakai oleh keluarga diRaja sahaja. Cara pembuatan batik juga ditunjukkan di sini.

Setelah melihat semua bahan-bahan pameran, kami melihat persembahan gamelan. Persembahan awal sudah bermula sewaktu kami sampai ke kawasan pentas. Walau bagaimanapun, dek kesuntukan masa, kami perlu pergi dahulu sebelum persembahan habis. Kami tidak dapat menunggu persembahan yang agak lama itu.

Setelah mendapatkan Mas Adi yang setia menunggu di luar, kami ke destinasi terakhir di Jogja yakni Jalan Malioboro. Kami mahu merasai suasana siang di sana pula setelah ke sana pada malam pertama kami. Mas Adi menurunkan kami di berhampiran sebuah tugu, Monumen Serangan Umum 1949 dan berjanji untuk menjemput kami pada jam 2 petang nanti. Kami berjalan menyusuri Jalan Malioboro dan masuk keluar kedai-kedai serta gedung membeli-belah di situ. Tak ada apa yang dibeli cuma buat tatapan mata dan melihat kehidupan seharian orang-orang di sini. Kumahu mencari beg tapi tidak ketemu yang berkenan di hati. Setelah kepenatan berjalan dan perut sudah berbunyi, kami mahu makan Nasi Padang tapi restorannya ditutup. Akhirnya kami makan Sup Ayam dan Lumpia Ayam yang terletak berdekatan. Sedap juga sehinggakan kami tambah satu lagi.

Selepas itu, kami mahu mencari Mas Adi. Sedang kami mengambil gambar di tengah perjalanan, ada seseorang datang menyapa kami dan mengatakan latar belakang yang kami ambil gambar bukanlah tempat terbaik. Aku mengambil pendirian berhati-hati kerana kata orang, ada udang di sebalik batu. Namun setelah bercakap dengannya, kusedar beliau ikhlas. Kulupa lagi siapa namanya, orang itu berasal dari Pontianak dan datang ke sini menghadiri suatu kursus. Peramah orangnya.

Kami berjalan lagi menuju ke tugu tadi. Kelihatan Mas Adi sudah ada di situ melambai-lambai dari seberang jalan memanggil kami. Mas Adi membawa kami pulang semula ke hotel. Katanya dia sedia menolong menyediakan pengangkutan kami ke lapangan terbang pada malam nanti. Namun kami belum memberikan kata putus kerana belum memikirkan tentang mod pengangkutan kami nanti. Di hotel, kami santai saja sambil mengemas barang-barang kami. Kami mengimbas kembali hari-hari kami sebelumnya. Memang waktu terasa bergerak perlahan kerana banyak aktiviti kami lakukan tetapi santai. Kalau rutin seharian kami di Malaysia pula sama saja setiap hari dan itu yang menyebabkan masa terasa terlalu pantas. Apa lagi apabila mahu menyiapkan tugasan yang tarikh akhirnya sudahpun hampir.

Terasa sedih juga kami mahu meninggalkan Jogja yang memberikan kami seribu satu pengalaman ini. Kami teringat yang pagi kami dimulakan dengan berenang di kolam (dengan badan kami yang masih belum mandi) dan seterusnya bersarapan pagi. Di sebelah petang, berenang ataupun berendam lagi buat menghilangkan kepenatan. Pada malam itu, kami mendaftar keluar dan seterusnya menyuruh pihak hotel saja menguruskan teksi kami ke lapangan terbang. Kami bernasib baik kerana teksi di sini jauh lebih selesa jika dibandingkan kami menaiki kenderaan yang disyorkan Mas Adi tadi iaitu van.

Teksi di sini adalah model Vios atau di sini dipanggil Limo. Ada penghawa dingin, selesa dan masih baru, tidak seperti van itu. Hmm.. teksi di sini menggunakan Vios, kereta yang kucita-citakan untuk menjadi keretaku nanti. Malaysia juga yang masih jauh ketinggalan dengan Proton buruk yang berbau hapak yang modelnya dah bertahun di jalan raya itu. Ini belum lagi diburukkan dengan pemandu teksi yang ego, kurang ajar yang tak mahu mengambil penumpang, tak mahu menggunakan meter atau mengecaj lebih. Di Thailand pula digunakan model yang lebih baik iaitu Altis. Pemandu teksi yang kami naiki itu juga malah mengecaj kami mengikut meter tanpa mengenakan sebarang caj tambahan. Kalau di Malaysia, pelbagai caj tambahan dikenakan. Kalau ke lapangan terbang, meter memang tak dipakai dan harga yang diletakkan sangatlah mahal. Kalau membawa barang dan diletakkan dalam but, akan ada caj lain. Kalau selepas jam 12 tengah malam, habislah penumpang diketuk sifat tamak mereka yang masih mengaku hidup susah…

Lapangan terbang yang kami tujui merupakan lapangan terbang antarabangsa di sini, Bandara Adi Sucipto. Pesawat kami hanyalah pesawat tambang murah seperti Air Asia iaitu Wings Air. Tempat duduk dalam pesawat bernombor, jadi tidak perlulah kami berebut-rebut apabila masuk nanti. Setelah masuk, kami dapati pesawat ini agak berusia. Setiap barisan ada tiga tempat duduk sahaja. Kerusinya agak daif - tidak ada lapik kepala. Tak apalah, kami tak kisah, perjalanan singkat sahaja. Para anak kapal juga tidak seperti biasa kualiti kerjanya jika dibandingkan dengan penerbangan lain. Apabila memberi taklimat keselamatan, kelihatan ala kadar sahaja demonstrasi yang ditunjukkan. Pengumuman dalam bahasa Indonesia sangat jelas dan “manja” tetapi apabila bercakap bahasa Inggeris, habis hancur semuanya. Setiap perkataan disebut seolah-olah bersambung antara satu sama lain. Langsung ku tidak memahami apa yang diperkatakan. Mungkin bangga agaknya berslanga begitu…

Sejam kemudian, pesawat kami terbang meluncur rendah. Sangat hampir dengan permukaan laut. Rupa-rupanya, kami sudah hampir mendarat ke Bandara Ngurah Rai di Denpasar, Bali. Akhirnya sampai juga aku ke Pulau Bali ataupun Pulau Dewata ini buat kali pertama. Temanku itu sudah beberapa kali ke sini. Setelah mengambil bagasi, kami mengambil teksi untuk ke Kuta untuk mencari hotel yang sesuai di sana. Kami mahu menginap di Bali Taman Sari yang sudah kami temui di Internet tetapi pemandu teksi itu mencadangkan Sandat Inn II sahaja kerana hotel itu masih baru. Kami bersetuju. Kami bernasib baik kerana masih ada bilik yang kosong.

Setelah memasukkan barang-barang kami ke bilik, kami keluar untuk makan. Di sini, pilihan makan terhad kerana umum sudah sedia maklum majoriti penduduk di sini adalah Hindu. Kami makan di McDonald’s sahaja kerana mudah dan berhadapan pula dengan Pantai Kuta. Setelah makan, kami pulang merehatkan diri untuk hari esok pula.

(bersambung dengan pusing-pusing di Kuta dan lawatan ke Tanah Lot dengan menaiki motosikal @ sepedamotor!)

Pautan berkaitan:
Koleksi gambar di Keraton Ngayogyakarta
Koleksi gambar di Jalan Malioboro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...