31 Mei 2006

Lawatan ke Indonesia II – Kuta & Tanah Lot



14 April 2006

Sesuai dengan harga hotel yang lebih mahal di sini jika dibandingkan dengan di Jogja, kami mendapat kupon makanan untuk bersarapan di sebuah restoran yang terletak di hadapan hotel. Restoran itu sebenarnya adalah milik hotel cuma terletak menghadap Lorong Benesari supaya bukan tetamu sahaja dapat menikmati hidangan di situ. Pada mulanya kami sangsi jika restoran ini benar-benar halal namun apabila melihat papan tanda di dalam restoran itu, kami yakin makanan di sini halal. Bukan sahaja makanan asli Indonesia malah makanan Barat juga disediakan termasuklah specialty mereka iaitu pizza. Jadi, nampaknya kami makan di sini sajalah nanti. Memang banyak menu di sini, pastinya kami takkan jemu dengan memilih menu berlainan setiap kali makan.

Hari ini kami merancang untuk jalan-jalan di Kuta sahaja. Temanku menjadi jurupandu kerana beliau pernah ke sini. Kami berjalan kaki sahaja kerana jarak yang dekat. Sebenarnya hotel yang kami duduki sangat dekat dengan Sari Club yang menjadi sasaran pengeboman pada 2001 dahulu. Sekarang ini tidak dibangunkan kembali sebarang bangunan di situ, sebaliknya dibina satu tugu peringatan buat mereka yang kehilangan nyawa semasa kes itu. Nama-nama mereka diabadikan di situ berserta kerakyatan masing-masing. Paling ramai adalah warga Australia dan Indonesia sendiri.

Photobucket - Video and Image Hosting

Kami berjalan keluar masuk kedai-kedai di sini yang tarafnya agak tinggi seperti di Kuala Lumpur. Banyak kedai di sini dimiliki pelabur asing terutamanya dari Australia dan juga dari Singapura. Barang-barang dijual kebanyakannya berjenama dan berkualiti tinggi. Pun begitu, harganya lebih murah jika dibandingkan dengan di KL. Di suatu gedung perniagaan, kutertarik dengan bunyi muzik yang dimainkan di satu kedai muzik di situ. Muzik itu adalah muzik tradisional Indonesia tetapi telah dimodenkan. Kumembeli dua CD iaitu Degung Bali dan Muzik Urut dan Spa Tradisional Bali. Muzik ini sesuai untuk merehatkan fikiran.

Kami berjalan lagi. Kami bertemu kedai kasut Edward Forrer yang sebenarnya sudah kami singgahi di Solo tempoh hari. Kusudah berkenan dengan satu model kasut di cawangan Edward Forrer Solo tetapi malangnya tidak ada saiz untukku. Kali ini, di Bali, harapnya aku dapat mencari model dan saiz yang sesuai bagiku. Di sini kedainya lebih besar dan lebih banyak model kasut diperagakan. Akhirnya kubertemu model yang kuinginkan. Kumendapat diskaun lagi kerana menggunakan kad kredit Citibank. Hmm, akhirnya baru aku merasa kelebihan kad Citibank yang yurannya agak mahal. Kasut Edward Forrer sebenarnya tinggi kualitinya. Kasut buatannya selesa dipakai dan tidak terlalu keras. Jenama ini sudahpun sampai ke Australia dan sekarang ini mereka melancarkan program francais buat meluaskan perniagaan mereka. Nah, apa lagi peluang sudah terbuka. Di Malaysia belum ada lagi jenama ini.

Photobucket - Video and Image Hosting

Melihat kepada banyak peluang perniagaan hasil kedatangan berterusan pelancong asing ke sini, sudah tentu Bali merupakan lubuk pekerjaan bagi warga Indonesia. Banyak orang yang kutemui di sini bukan berasal dari Bali. Dua orang pemuda yang kami temui pada awal perjalanan kami tadi, yang seorang berasal dari Aceh manakala seorang lagi dari Jawa. Yang menjual CD tadi berasal dari Solo manakala yang bekerja di Edward Forrer berasal dari Flores. Katanya gelaran untuk mereka adalah pendatang. Kataku, kalau di Malaysia perkataan pendatang itu agak kasar kerana sering digunakan untuk para warga asing yang datang tanpa izin atau illegal. Kalau datang secara sah, kupanggil saja perantau.

Apabila puas berjalan, untuk pulang, kami sudah kepenatan. Jadi kami akhirnya menaiki teksi saja. Sampai di hotel, kami terus ke restoran yang kami bersarapan tadi. Temanku mahu mencuba makanan Barat tetapi kuterpaksa memesan nasi kerana terlalu lapar. Bagiku tanpa makan nasi, itu bukan makan namanya. Tak makan nasi, ku tak kenyang. Selepas makan, kubertanya pihak hotel untuk menguruskan perjalanan ke Tanah Lot petang nanti. Kata mereka lebih baik pergi lewat petang sahaja kerana suasana mentari jatuh lebih cantik di sana. Jadi, kami pulang ke bilik. Apa lagi, tidurlah!!

Photobucket - Video and Image Hosting

Kutersedar dari tidur apabila seorang pekerja hotel memanggilku berkenaan pengangkutan ke Tanah Lot nanti. Temanku tidak mahu ikut serta jadi tinggal kuberkeseorangan ke sana. Akhirnya kumemilih untuk menaiki motosikal sahaja kerana lebih efisyen dan ekonomi untuk seorang saja.

Yang menunggang motosikal hari ini adalah Made. Made sebenarnya panggilan untuk orang Bali dalam sesuatu ke keluarga seperti orang Melayu yang memanggil anak-anak bermula dengan Along, Angah, Uda dan lain-lain hinggalah yang bongsu dipanggil Usu atau Su. Dalam masyarakat Bali, panggilan bermula dengan Wayan untuk anak sulung, diikuti Made, Nyoman, Ketut dan seterusnya.

Agak penat membonceng motosikal tetapi ini terbalas dengan pemandangan indah sepanjang jalan. Sungguh mengasyikkan melihat pemandangan sawah padi yang menguning di samping para pesawah yang membanting tulang mengerjakan sawah mereka. Kami sampai di Tanah Lot pada masa yang tepat. Matahari sudah mula turun di ufuk barat dan sebentar lagi matahari terbenam. Tanah Lot merupakan kawasan pantai yang terletaknya satu pulau kecil yang dijadikan tempat bersembahyang orang-orang di sini yang beragama Hindu. Pengunjung boleh berjalan kaki ke pulau ataupun lebih tepat dikatakan sebuah bukit kecil apabila air laut surut. Bukit kecil itu akan menjadi pulau apabila air laut pasang.

Photobucket - Video and Image Hosting

Nun di sebelah tanah besar, ada kawasan bukit yang terhakis oleh ombak. Di celah-celah lubang di situlah tinggalnya ular yang dikatakan suci bagi orang-orang di sini. Ku tak yakin untuk menyentuh ular ini apabila disuruh penjaga di situ namun rupanya ia amat jinak dan bertindakbalas apabila tangan suamku menyentuh badannya yang berdarah sejuk. Dikatakan dengan menyentuh ular itu, mudah-mudahan seseorang akan beroleh keberuntungan. Ku tak punyai niat apa-apa cuma sekadar untuk menyentuh. Ular ini pernah menjadi bahan paparan rancangan Misteri Nusantara di TV3. (Rujuk pos terdahulu berkenaan Misteri Nusantara)

Pabila Sang Suria makin terbenam, suasana kelam diwarnai cahaya gemerlapan di ufuk sungguh mengujakan. Saat inilah waktu yang sesuai menikmati keindahan alam dan mengambil foto buat kenang-kenangan. Ku tidak mahu melepaskan peluang ini sehinggakan sudah habis memori kamera digitalku. Sesudah itu, kami berehat di satu tebing tinggi melihat beberapa pemancing sedang sabar menunggu umpan mereka dimakan ikan-ikan. Sambil berehat, kami bercerita panjang tentang latar belakang masing-masing.

Photobucket - Video and Image Hosting

Puas bercerita, kami berjalan-jalan di sekitar pintu masuk ke Tanah Lot. Kumahu mencari beg di kedai-kedai di situ tapi Made mencadangkan padaku supaya ke suatu jualan murah jenama Billabong di Kuta saja. Jadi, kami pulang dan mengarah ke Kuta. Sampai di Kuta, kami ke satu gedung membeli belah. Sekuriti di sini agak ketat kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Tidak mahu lagi terjadi kes pengeboman seperti masa-masa lalu. Kami diperiksa seperti mahu menaiki kapal terbang. Semua beg dan seluruh badan diperiksa rapi. Di sini, banyak barangan Billabong dijual pada harga diskaun termasuklah baju dan seluar, selain beg. Walaupun model yang dijual agak lama tapi masih berbaloi dengan harga dan kualitinya.

Temanku yang sudah menunggu di hotel menelefonku untuk makan malam. Jadi aku dan Made langsung pulang. Kami makan lagi di restoran sama. Kali ini kedua-dua kami menjamah pizza dan memesan lagi makanan Itali lain seperti pasta dan lasagna. Tapi tidak habis kerana hidangannya agak besar. Minuman kegemaranku di sini pula ialah avocado yang disertakan coklat di dalamnya.

Selepas makan, kami berjalan kaki ke sekitar Kuta. Kami mahu singgah di beberapa kedai di situ. Rupa-rupanya tak jauh dari hotel kami, terdapat juga sebuah lagi cawangan Edward Forrer. Kedai di sini lebih besar. Temanku membeli sebuah sandal. Setelah itu, temanku ke kedai urut manakala ke terus pulang. Walau bagaimanapun, kusesat sewaktu pulang. Kuberkeliling di tempat yang sama beberapa kali. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya kudapat membakar makanan yang kumakan begitu banyak tadi.

Sampai di bilik, kukepenatan, mandi dan terus tidur. Pengalaman baru hari esok sedia menanti.

(bersambung dengan lawatan ke Pasar Sukawati dan pemadangan sangat menarik di Uluwatu)

Koleksi gambar menarik di Tanah Lot

2 ulasan:

  1. tengok ni:
    http://srinorintanfariz.fotopages.com/?&page=1

    http://srinorintanfariz.fotopages.com/

    BalasPadam
  2. Travel to Bali is easy as the island is connected by major airlines from around the world either serving direct flight to Bali or via other cities in Asia such as Singapore, Kuala Lumpur and Bangkok. To fulfill the needs of tourism industry, there are hundreds of accommodation available with more than 40,000 rooms. Get special discount Bali hotels and villas through www.bali-travelnet.com

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...