14 Mei 2006

Lawatan ke Indonesia II - Putar-putar di Jogjakarta


12 April 2006

Hari ini jadual kami hanya di Jogja sahaja kerana temanku mahu mencari pengusaha perabot di sekitar kawasan ini. Kami menyewa sepeda motor atau motosikal sahaja memandangkan jarak perjalanan yang dekat. Kami masing-masing membonceng Mas Adi dan Mas Aji yang membawa kami ke Trangsang tempoh hari.

Destinasi pertama kami adalah sebuah kedai yang menjual perabot dan aksesori hiasan di Kasongan yang terkenal dengan hasil kerajinan tangan terutamanya seramik. Ada beberapa perabot yang menarik tetapi tata pamernya tidak menarik langsung. Banyak yang dibiarkan berhabuk. Temanku mahu bertanyakan peluang berniaga tetapi pemiliknya, Mbak Ita tidak ada. Khabarnya baru pulang dari Jawa Timur setelah mengambil wang daripada pelanggan. Kami seterusnya ke kilang perabot beliau pula untuk melihat proses pembuatan. Mbak Ita sebenarnya juga merupakan rakan perniagaan seorang warga Perancis. Orang Perancis itu membuat corak serta rekaan dan idea-idea itu dijelmakan di kilang Mbak Ita. Kami mencuba menemui Mbak Ita lagi tetapi beliau masih kepenatan setelah semalaman berkelana. Tidak mengapa, lain kali saja. Walaupun gagal membuahkan hasil, sekurang-kurangnya kami sudah kenal tempat ini.

Selepas itu, kami ke forwarding agent pula untuk menyelidiki selok-belok pengekspotan barang-barang dari sini. Kami bertemu saudari Arin yang berasal dari Aceh. Cantik orangnya tapi sudah segera mahu nikah… Setelah sebut harga diperolehi, kami terus makan tengah hari. Hari ini, kami makan Nasi Padang - akhirnya – kegemaranku. Kerana sudah mulai petang, makanannya sudah agak sejuk dan kesegarannya sudahpun berkurang. Kalau di Johor Bahru, ku selalu ke Larkin untuk menikmati makanan Padang. Di KL, ku ke Kampung Pandan.



Setelah mengisi perut, penunggangan motosikal diteruskan ke Kota Gede. Kami mahu mencari barangan perak dan juga melihat proses pembuatannya yang sangat halus. Kubeli satu cincin. Murah harganya di sini. Selain cincin, ada juga dijual rantai, kerongsang dan cenderamata yang diukir seperti Borobudur, basikal dan set gamelan. Kebetulan sekarang ini musim hujan di sebelah petang, awan mendung kelihatan dah mula berkumpul. Kami bergegas ke destinasi seterusnya iaitu pergi ke kawasan Keraton yang telah kami pergi pada malam sebelumnya. Kami mahu mencari kemeja T Dagadu lagi. Kualiti kemeja T yang kami beli pada malam itu sangat bagus, jadi kami mahu membeli lagi. Namun hujan dah mula turun sebelum kami sampai ke sana. Kumahu menyuruh Mas Aji, yang kubonceng, berhenti saja tapi dibilangnya sudah dekat. Mas Aji basah kuyup tapi aku tidak kerana kuberlindung di belakang beliau semasa titis hujan turun...

Selesai membeli kemeja T, kami ke toko batik. Mencari lagi kalau-kalau ada corak yang berkenan. Yang kubeli hanyalah ole-ole untuk dibawa pulang iaitu bekas pensil daripada batik. Selepas itu, kami pulang. Sampai di hotel, kami seperti biasa dihidangkan teh. Kami minum di hadapan bilik yang memang disediakan kerusi dan meja untuk minum petang. Memang asyik menikmati suasana begini setelah kepenatan. Tak perlu fikir fasal kerja. Telefon bimbitku sudahpun kupadamkan. Yang diaktifkan hanyalah nombor peribadiku. Hanya siapa yang tahu nombor peribadiku saja yang dapat membuat panggilan. Pastinya ku tak terganggu oleh pelanggan-pelanggan yang kadang-kadang mengganggu privasiku.

Kami seronok bercerita dan mengulas kembali apa yang telah dilalui hari ini dan juga hari-hari sebelumnya. Sambil minum, kami memasang MP3. Pagi tadi, bukan main lagi tukang masak menyanyi lagu Peter Pan yang kami pasang. Selepas minum, kuberendam di kolam renang manakala temanku ke gymnasium. Malam itu, ku ke kafe Internet untuk mengemaskini blogku ini. Agak laju Internet di sini, tak seperti Streamyxku yang kadang-kadang lebih perlahan dari talian 52K. Bilalah agaknya TMnet mahu upgrade?

Setelah setengah jam di sana, Mas Adi yang kutemui di hadapan hotel semasa perjalanan pulang mengajakku mencari temanku yang mahu minum di kafe di Jalan Parang Tritis. Kami bertemu temanku yang sudahpun sampai di kafe. Kumemesan minuman wortel campur susu. Pelayan di situ kaget kerana tak pernah orang memesan wortel dengan susu. Sebenarnya wortel adalah sejenis ubi yang masih mengelirukanku. Semasa malam pertama di Solo, ke pernah bertanya di kedai yang kami makan makanan laut itu. Dek berlainan loghat, ku tak mendapat jawapan yang kumahu. Dengan dialek Malaysia yang hilang sebutan “r”, penuturanku kurang difahami. Wortel menjadi “wotel”.

Semasa dalam perjalanan ke Dieng semalam, kubertanya pada Mas supir tetapi aku masih keliru. Wortel pada hematku adalah LOBAK atau carrot dalam Bahasa Inggeris, tapi menurut Mas lobak itu lain. Mungkin lobak yang dimaksudkan itu labu? Aku fening, fening. (Semasa pos ini ditulis, yang kutemui di Internet ialah wortel itu adalah lobak atau carrot dan wortel itu adalah berasal daripada Bahasa Belanda – hmm kerana Inggeris dan Belanda inilah Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia berbeza…) Berbalik kepada wortel susu tadi, kuberitahu pada pelayan itu bahawa carrot susu, slang di Malaysia untuk wortel susu, sangat biasa diminum. Kucakap padanya yang minuman ini sedap dan patut dipromosikan sebagai Today’s Special. Katanya mahu cuba nanti.

Esok adalah hari terakhir di Jogja. Sudah lima hari di sini. Kami mahu masuk ke Keraton Ngayogyakarta, istana Sri Sultan Hamengku Buwono ke-X, waris pemerintahan Kerajaan Mataram, yang sekarang menjawat Gubernur Daerah Istimewa Jogjakarta (DIY).

Segmen belajar Bahasa Indonesia:

Wortel – lobak
Teri – ikan bilis
Kepiting - ketam
Suku cadang – alat ganti (spare part)

Tiga perkataan pertama di atas yang kutemui semasa membuat pesanan untuk makan malam di Solo. Suku cadang pula pada awalnya kuingat bermaksud “bahagian cadangan” – jabatan yang membuat cadangan dan saranan. Banyak ditemui di pusat-pusat servis kenderaan di tepi-tepi jalan, kudiberitahu Mas Adi yang suku cadang itu rupa-rupanya spare part.

Pautan berkaitan:
Koleksi gambar di Solo dan Jogja
Pos terdahulu - Lawatan ke Indonesia (Bhgn I & II)
Pos terdahulu - Lawatan ke Indonesia (Bhgn III)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...