24 Jun 2006

Islam Hadhari

(Suatu tulisan yang boleh dianggap provokatif dan mungkin menyinggung perasaan sesetengah pihak. Budi bicara pembaca digalakkan.)

Sewaktu kupulang ke Kuala Terengganu tempoh hari, kebetulan hari Jumaat, kuingin berhenti untuk Sembahyang Jumaat. Walaupun boleh jamak Zuhur dan Asar saja kerana kubermusafir, kurasa lebih baik saja kuturut serta kerana ku bukannya mengejar masa.

Kutemui beberapa masjid di tepi jalan tetapi tempat letak kereta agak terhad atau ruang yang ada tidak sesuai. Akhirnya kuberhenti di sebuah masjid besar yang baru siap di bandar Marang. Kupilih masjid ini kerana pastinya kemudahan yang baru siap itu sangat selesa.

Apabila kumasuk ke perkarangan masjid, kelihatannya tidak ramai jemaah yang ke sini. Mungkin juga orang ramai merasa lebih senang untuk ke masjid yang biasa mereka kunjungi di dalam kariah mereka. Tiba-tiba kuterfikir yang ini adalah negeri Terengganu – kelainan fahaman politik akan membahagikan jemaah untuk ke masjid yang berlainan. Masjid ini masih baru dan pastinya masjid ini dibina pemerintah UMNO. Tidak apa. Kudengar saja khutbah nanti dan mudah-mudahan bermanfaat.

Masjid ini ada dua tingkat. Di tingkat bawah terdapat ruang-ruang aktiviti manakala di tingkat atas terletaknya ruang bersembahyang utama. Sungguh luas ruang ini. Nun di depan mimbar, ada projektor yang membuat pratayang isi khutbah hari ini. Bagus sekali masjid ini kerana menerapkan kecanggihan teknologi masa kini supaya mesej yang ingin disampaikan jelas dan berkesan. Harapnya tak ada jemaah yang ketiduran.

Isi khutbah bermula dengan kupasan berkenaan kemajuan umat Islam pada masa dahulu. Tokoh-tokoh Islam zaman lampau juga diperkatakan. Tiba-tiba kuterdengar satu perkataan yang membuatkan fokusku terhadap khutbah ini menjadi lebih tajam lagi – Islam Hadhari. Satu topik yang sinonim dengan permerintahan UMNO di negeri Terengganu Darul Iman ini.

Bagi yang tidak bersefahaman politik dengan Islam Hadhari ini, pastinya akan tidak berminat lagi untuk mendengar khutbah. Namun bagiku, kudengar saja isinya. Mahu diterima atau tidak, itu lain cerita. Sekurang-kurangnya kutahu apa itu konsep Islam Hadhari yang ingin diketengahkan.

Setelah mendengar isi khutbah itu, yang kudapati Islam Hadhari itu lebih berkisar kepada kemajuan, kemajuan dan kemajuan. Bukankah Islam itu syumul? Islam bukan sahaja kemajuan, malah lebih dari itu. Perkataan Islam Hadhari sefahamku adalah salah. Islam itu Islam. Tidak perlu ada Islam yang lain. Apabila diperkatakan Islam Hadhari, seolah-olah satu nilai Islam saja diterapkan. Mana pergi yang lain? Fikir-fikirkanlah.

1 ulasan:

  1. Islam sememangnyalah Islam. Tiada nafi untuk itu.

    Mungkin apa yang ingin disampaikan (sama ada pembaca khutbah ataupun orang menulis teks bacaan itu) adalah agenda besar yang ingin disebar kpd org2 di sana. - untuk mereka yang kuat agama dan kolot dunia. Tidak mahukan kemajuan. Atau yang melihat kemodenan sebagai agen sekular yang akan merosakkan akidah generasi mereka.

    Itu semua salah.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...