05 Jun 2006

Lawatan ke Indonesia II - Hari Terakhir di Bali



16 April 2006

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Indonesia. Dek kerana kecederaan kakiku, rancangan asal kami untuk berjogging pada awal pagi di Pantai Kuta terpaksa dibatalkan. Lagipun pagi itu gerimis dan kesejukan yang dirasai menghambat keinginan kami untuk keluar. Kami juga bersarapan agak lambat.

Setelah bersarapan, kami mengambil teksi untuk ke Bali Mal Galeria Kuta. Mahu window shopping saja dan membeli kalau-kalau ada barang-barang yang berkenan. Sebenarnya pemandu teksi itu telah menurunkan kami di bahagian “kelas tertinggi” pusat membeli-belah itu. Yang kami temui di situ semua barang-barang dijual dalam Dolar Amerika! Nampaknya pemandu teksi itu menurunkan kami di tempat yang salah. Ini tempat orang-orang kaya saja. Kalau Mak-mak Datin memang sesuailah untuk ke sini. Dengan bertanyakan petugas di situ, kami ke kawasan gedung membeli-belah yang sepatutnya.

Di situ, ada agak banyak kedai-kedai. Kami singgah di kedai muzik yang terletak di muka pintu. Temanku mahu mencari album terbaru Radja, Aku Ada Karena Kau Ada. Beliau mendapat banyak pesanan dari teman-teman di Malaysia untuk dibawa pulang nanti. Maklumlah, CD di sini lebih murah jika dibandingkan di Malaysia. Namun kami hampa kerana CDnya sudah kehabisan stok. Begitulah penangan Radja yang merupakan kumpulan paling popular di Indonesia. Jika di Jogja tempoh hari, masih ada banyak tapi teman-teman itu belum memberi pesan.

Kami naik ke tingkat atas, ke sebuah kedai buku. Kami membelek-belek buku di situ. Kutertarik dengan sebuah buku bertajuk Gajahmada. Kalau yang minat sejarah, pastinya Gajah Mada merupakan seorang Perdana Menteri Majapahit yang sangat terkenal dengan kebijaksanaannya. Semasa Gajah Mada menjawat jawatan itulah kerajaan Majapahit sangat kuat.

Sedang kami hendak keluar dari kedai itu, kuterpandang deretan CD yang dipamerkan di sudut muzik. Kucuba cari kalau-kalau ada CD Radja di situ. Kami bernasib baik walaupun yang tinggal hanyalah satu salinan saja. Tak apalah, asalkan ada.

Selepas itu, kami ke pasaraya Matahari. Matahari ini persis Parkson atau The Store di Malaysia. Pelbagai barangan ada dijual. Kami membeli beberapa barangan di situ. Selepas berpusing-pusing di beberapa kedai lain, kami pulang dengan teksi.

Destinasi kami seterusnya ialah ke kedai Hard Rock. Temanku sudah memesan untuk membeli kemeja-T di situ. Di sini juga ada Hotel Hard Rock Bali yang sebenarnya diuruskan oleh orang Malaysia. Lokasinya sangat strategik –menghadap Pantai Kuta yang sangat cantik di kala senja.

Selepas itu, kami pulang ke hotel dengan teksi walaupun hotel kami agak dekat dengan Hard Rock kerana kami sudah kepenatan. Kami makan tengah hari di restoran kebiasaan kami – dan minum air Avokado!

Selepas makan, temanku meminta bantuan pihak hotel untuk mendapatkan kotak untuk mengisi barang-barang kami. Sudah banyak barang-barang untuk dibawa pulang sehinggakan beg-beg kami sudah tidak muat lagi. Kami mengemas barang-barang kami sehinggakan kami tertidur.

Pabila tersedar, jam pun sudah 4 petang. Kuharus pergi ke klinik dahulu untuk mencuci luka kakiku. Kukeseorangan ke sana sementara temanku menyambung mengemas barang-barangnya. Sesudah pulang dari klinik, teksi yang kami tempah untuk ke lapangan terbang sudahpun sampai. Temanku pun sudah bersiap dengan bagasi-bagasi semuanya sudah dimasukkan ke dalam but teksi.

Sebenarnya kami mahu makan dahulu di restoran kegemaran kami itu. Namun sudah tidak sempat. Kami langsung ke Lapangan Terbang Ngurah Rai. Selepas daftar masuk, kami hanya makan di McDonald’s. Kempunan tak dapat makan di restoran kegemaran itu. Mungkin di lain kesempatan saja. Seperti biasa, penerbangan Air Asia pasti akan ada kelewatan. Kami sudah awal-awal lagi bertanya dan itulah sebabnya kami ke McDonald’s dahulu.

Tepat jam 9.15 malam, pesawat kami berlepas ke Kuala Lumpur (jadual asal perlepasan ialah jam 8.20 malam). Kami agak sedih meninggalkan Pulau Bali ini dan juga kota-kota lain yang sudah kami lawati sebelumnya, yakni Solo dan Jogja. Pun begitu, harapnya masih ada peluang lagi untuk ke sini.

Sungguh mudah untuk kukatakan yang inilah percutian paling menyeronokkan pernah kualami. Kami ke sini dengan tidak tahu apa-apa, hanya berpandukan Internet dan buku Lonely Planet Indonesia temanku yang dikeluarkan pada tahun 1990! Syukur orang di Solo, Jogja mahupun Bali sungguh ramah-tamah dan suka menolong. Di Solo kami mendapat bantuan penting pemandu teksi yang katanya pernah ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan hotel yang sesuai untuk kami. Di Jogja, Adi sungguh informatif dan tak segan untuk memberi tunjuk arah. Di Bali, Bapak di meja tamu hotel sungguh baik hati membantu. Begitu juga Made dan Nyoman Black.

Suatu hari nanti, pasti ku akan ke sini lagi. Terima kasih buat semua yang membantu…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...