02 Jun 2006

Lawatan Ke Indonesia II - Pasar Sukawati & Uluwatu



15 April 2006

Setelah menikmati sarapan pagi, kami menyewa sebuah van untuk ke Pasar Sukawati. Di situ banyak kraftangan yang majoritinya buatan asli Bali dijual dengan harga lebih murah jika dibandingkan di Denpasar atau Kuta. Ini sememangnya antara tujuan utama temanku ke sini kerana beliau akan membeli kraftangan itu untuk dijual kembali di Malaysia nanti.

Supir kami hari ialah Nyoman Black. Beliau berpengalaman luas membawa pelancong ke sekitar Pulau Bali ini. Pernah juga beliau berpacaran dengan seorang wanita Jepun yang datang ke sini. Perjalanan ke sana agak lama iaitu satu jam. Mungkin juga kerana Nyoman yang gemar memandu vannya dengan perlahan. Tapi kami tak kisah kerana jadual kami agak santai. Semasa perjalanan ke sana, kuteruja melihat keindahan pantai yang menghadap Pulau Nusa Penida yang di sana bercuram tinggi di kawasan pantainya. Tentu pemandangan lebih cantik di sana.

Pabila sampai ke Pasar Sukawati, kelihatan ramai sekali orang di sini. Maklum cuti lagi pada Jumaat sebelumnya. Kalau hujung minggu lepas Maulidur Rasul, hujung minggu ini pula Good Friday. Temanku lantas mencari lukisan. Ketika beliau berkira-kira mahu membeli lukisan mana, ku agak kebosanan lantas berjalan sendirian dan kubeli sehelai seluar pendek three quarter. Senang sikit nak berjalan-jalan nanti.

Setelah puas berjalan, kumencari kembali temanku itu. Kali ini kuturut serta dalam tawar-menawar beliau untuk mendapatkan harga termurah. Nasib beliau agak baik kerana hari ini tak ramai pelanggan yang datang membeli lukisan. Para penjual di situ sudah tidak sabar lagi menunggu pelanggan pertama mereka. Apabila mahu membeli dengan harga yang murah, mereka menjual saja walaupun untung tak seberapa. Setelah menjual mereka puas hati kerana sudah mendapat pembuka rezeki. Lalu kami melihat penjual-penjual di situ menepuk-nepuk duit yang mereka perolehi ke atas lukisan-lukisan lain yang belum terjual mudah-mudahan lebih murah rezeki hari ini.

Kuturut membeli tiga set lukisan yang menggambarkan tiga suasana berbeza pantai Bali. Harga yang kudapat tidaklah terlalu murah kerana penjualnya agak liat menerima tawaranku. Tambahan pula kubersungguh-sungguh untuk membelinya. Ku tak kisah asalkan kuperolehi yang kuidamkan.

Setelah membeli lukisan, kami mendapatkan Nyoman dan kami ke sebuah pasar berdekatan untuk membeli kraftangan asli Bali. Sungguh murah harga di sini. Kelihatan seorang pelancong dari Taiwan menyewa sebuah lori kecil memunggah barang-barang yang dibelinya. Pastinya itulah sumber rezekinya. Temanku juga turut tak kalah memborong kraf yang ada di situ.

Mentari sudah terik di atas kepala. Perut pun sudah berkeroncong. Kami mahu makan dahulu sebelum pulang. Kami bertemu sebuah restoran Padang yang berdekatan tapi susah mahu mencari parkir di situ. Jadi kami terus pulang saja. Nanti di tengah perjalanan boleh singgah di mana-mana restoran.

Kami akhirnya bertemu sebuah restoran Padang yang kelihatan eksklusif. Kufikir ini agak tidak sesuai dengan gaya kami yang ala back packers ini, tapi tidak apa, hanya sekali-sekala. Restoran ini lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau. Kami makan dan menjemput Nyoman makan sekali. Agak segan belliau. Mungkin tidak biasa dengan tempat sebegini.

Apabila mahu menbayar, kami agak terkejut kerana harganya lebih murah daripada harga di Jogja tempoh hari berdasarkan menu yang agak sama. Di sini juga rupa-rupanya pernah menjadi tempat persinggahan mantan Perdana Menteri Malaysia dan juga pemimpin tertinggi Indonesia sendiri.

Dalam perjalanan pulang, kami bersembang panjang dengan Nyoman. Beliau bercerita tentang pegangan agamanya dan nilai-nilainya. Kami juga bercerita tentang ilmu hitam atau ilmu santet. Beliau berkata di Bali tidak ada semua ini. Orang di sini bergantung terus kepada Sang Kuasa, tidak perlu perantaraan. Kata beliau, pernah mendengar cerita kitab ilmu hitam turun di Jawa dan sebab itulah di Jawa banyak pengamalnya. (Di Malaysia juga ada. Jika ada hasad dengki, maka akan ada tuju-tujunya buat memusnahkan mangsa. Nauzubillah.) Ditanya kenapa tidak mencuba nasib bekerja di Malaysia, beliau menjawab lebih senang berada di Bali. Orang Bali, katanya, tak seperti orang Jawa yang banyak merantau ke luar negeri mencari rezeki.

Sedar tak sedar, jam sudahpun 4 petang (waktu di Bali sama dengan waktu Malaysia). Kiranya aku sudah lambat. Aku sudah berjanji dengan Made semalam yang kami mahu ke Uluwatu pada jam 4 petang untuk menikmati panorama senja di sana. Nyoman pula memandu dengan perlahan. Kusudah agak resah takutkan terlambat dan terlepas untuk ke sana. Harapnya Made setia menungguku. Aku pasrah saja.

Photobucket - Video and Image Hosting

Sampai di Kuta, jalan agak sesak. Pastinya menambahkan resahku. Setelah berasak-asak dalam kesesakan itu, kami sampai di hotel tepat jam 5. Kelihatan Made sedia menungguku. Sebelum ke sana, kupulang ke bilik dahulu untuk bersiap. Walau bagaimanapun, menurut Made, ku masih berkesempatan kerana perjalanan ke sana tidak sejauh Tanah Lot semalam. Dengan menaiki motor beliau, kami ke Uluwatu.

Photobucket - Video and Image Hosting

Sampai di sana, mentari sudahpun mahu menyembunyikan dirinya. Pun begitu, kumasih berpeluang untuk menangkap gambar sepuasnya-puasnya. Pemandangan di sini sungguh mengasyikkan dan mengujakan. Uluwatu merupakan sebuah kawasan atas bukit yang bercuram tajam yang di bawahnya ombak pantai menghempas batu-batuan. Sungguh tinggi. Bagi yang takutkan ketinggian, pastinya gayat berada di sini. Di ufuk barat, matahari sudahpun mahu berlabuh. Suasana kelam yang terhasil sungguh cantik dan Uluwatu pun berlatarbelakangkan cahaya suram mentari jatuh.

Photobucket - Video and Image Hosting

Di sini juga terdapat sebuah pura yang bernama Pura Luhur Uluwatu. Untuk masuk ke kawasan Uluwatu pada awal tadi, pengunjung mesti memakai tali kuning tanda keselamatan dan perlindungan. Di hujung sebelah selatan, terdapat arena kecil. Di situlah tarian Kecak yang menjadi kebanggaan Bali dipersembahkan. Untuk masuk, bayarannya adalah Rp.50,000. Kumasuk setelah disarankan Made.

Photobucket - Video and Image Hosting

Kerana agak lambat, kududuk di baris duduk hadapan. Ku agak bimbang jikalau tarian ini ada melibatkan unsur spiritual. Apalagi kududuk dekat dengan penarinya. Sebenarnya ku tidak mahu dekat dengan unsur-unsur sebegitu seperti dalam tarian Barong yang awal-awal lagi kusudah buat keputusan tak mahu tengok.

Ku makin resah saat Sang Hanuman, watak penting dalam tarian itu, bermain api di hujung persembahan. Kuingatkan pemeran Sang Hanuman sudah tak sedarkan diri dan kalau nasibku tak baik, api itu akan terkenaku. Namun setelah persembahan habis kubertanya orang yang membuat koir, persembahan itu tidak melibatkan unsur sebegitu. Kulega.

Setelah persembahan, kami pulang. Rupanya banyak juga Mat Salleh yang pergi ke sana dengan menyewa motosikal sendiri. Pastinya jika kudatang lagi, ku akan sewa motosikal dan menunggang sendiri. Kami langsung pulang ke hotel.

Sampai di hotel, kelihatan seseorang menyapaku. Rupanya “penyu” a.k.a. temanku sedang berendam di dalam kolam renang. Kuteruja dengan beliau berenang bebas di kolam yang tak ada orang itu, lalu kuturut serta. Sedang kuseronok berenang, kakiku terasa pedih. Luka agaknya. Pada mulanya ku tidak ambil peduli tetapi melihat darah sudah mengalir keluar tak henti-henti melarut dalam kolam renang itu, aku naik. Apabila berada saja di atas, terasa sungguh pedih. Jari kelingking kakiku terpotong sedikit. Kukuku turut terbelah sedikit. Miungkin terhantuk di dinding kolam tadi. Kurisau lalu kubersiap untuk ke klinik.

Sampai di klinik, doktor yang merawat berkata lukaku tak teruk sangat. Tak perlu dijahit. Luka itu boleh sembuh sendiri. Aku lega. Pun begitu, bilnya sungguh mahal. Terpaksa aku tuntut dari insurans apabila di Malaysia nanti. Sekarang kutahu ramai orang Indonesia datang ke Malaysia berubat di sini kerana caj yang lebih murah. Tidak hairan banyak hospital dan klinik swasta di Malaysia begitu rancak menarik orang-orang Indonesia yang berada datang ke sini dalam pakej perubatan mereka.

Sesudah pulang dari klinik, kami makan malam. Kuterkedu memikirkan yang jadualku besoknya mahu berenang di Pantai Kuta sudah musnah. Apa boleh buat. Kita hanya mampu merancang, Tuhan menentukan. Setelah makan, kuberehat di bilik dan tidur.

Koleksi foto menarik di Uluwatu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...