03 Julai 2006

Bahasaku Oh Bahasaku

Isu ini sudah lama. Bahasa Melayu semakin terpinggir di negara sendiri. Orang yang mempejuangkan isu ini sering kali dianggap orang yang kolot dan tidak berpegang kepada kehendak semasa. Hari ini Bahasa Melayu hanya digunakan secara rasmi di dalam pentadbiran negara, di sekolah rendah dan menengah kebangsaan dan di sesetengah universiti awam.

Dalam keadaan lain, bahasa ini hari ini hanya terbatas penggunaannya di pasar-pasar, kedai-kedai mamak (untuk membuat pesanan) ataupun lebih untuk bercakap dengan pembantu-pembantu rumah dari Indonesia. Selain itu, penggunaannya lebih kepada orang Melayu sendiri namun di bandar sudah ramai yang kurang bertutur Bahasa Melayu.

Dengan pengambilalihan bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu di dalam pembelajaran Matematik dan Sains, Bahasa Melayu semakin jelas direncatkan nilai ekonomi dan teknologi bahasanya. Usaha-usaha penterjermahan dan pengenalan perkataan-perkataan sains dan teknologi ke dalam Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka berakhir dengan sia-sia.

Masalah paling besar bagi Bahasa Melayu ialah kurangnya rasa pemilikan bahasa itu oleh rakyat Malaysia sendiri. Mungkin ada yang tidak menyedari bahasa ini adalah bahasa rasmi Malaysia. Bahasa ini bukan milik orang Melayu sahaja tetapi juga milik seluruh rakyat Malaysia.

Bagi yang penutur yang bukan bahasa ibundanya Bahasa Melayu, ramai yang tidak mempratikkan kerana keperluannya. Kalau yang tinggal di bandar-bandar yang kurang orang Melayu, tahap penguasaan mereka begitu lemah kerana kurangnya interaksi dengan orang Melayu. Kalau di dalam peperiksaan, kita lihat ramai yang mendapat gred teratas dalam subjek Bahasa Melayu tetapi apabil disuruh bercakap secara spontan, mereka agak kekok. Salah satu sebab yang pernah diakui sendiri oleh mereka ini ialah mereka menghafal karangan Bahasa Melayu.

Oleh kerana tidak mahir berbahasa Melayu, ramai yang lebih senang bercakap dalam Bahasa Inggeris. Mereka rakyat Malaysia, ironinya mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan. Di siaran berita, ramai yang bukan Melayu lebih senang bercakap dalam Bahasa Inggeris. Akibatnya, terpaksalah stesen TV membuat sarikata dalam Bahasa Melayu.

Dari pihak penutur bahasa ibunda, mereka kadang-kadang lebih mahu bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan orang bukan Melayu. Ini salah satu lagi sebab kenapa bahasa ini terpinggir. Pernah pegawai kedutaan Singapura yang mahu mempelajari Bahasa Melayu tetapi niat mereka terbatas kerana orang Malaysia sendiri bercakap Bahasa Inggeris.

Sekarang ini terlalu sukar untuk melihat di dalam bidang ekonomi, Bahasa Melayu digunakan. Hatta PETRONAS sendiri pun tidak menggunakan Bahasa Melayu. Hassan Merican apabila berbicara dengan pihak wartawan pun bercakap dalam Bahasa Inggeris baru-baru ini dalam pengumuman keuntungan kewangan tahun berakhir PETRONAS. Agaknya bila dapat melihat bahasa kebangsaan digunakan sepertimana Presiden FC Barcelona, Juan Laporta membentangkan laporan kewangan Barcelona di dalam bahasa sendiri, seperti tersiar di Discovery Channel baru-baru ini.

Oleh kerana ini, ku juga baru saja ditolak permohonanku untuk Google AdSense kerana bahasa yang kugunakan tidak terdapat dalam senarai mereka. Jelas bahasa yang aku gunakan ini tidak ada nilai ekonomi. Kenapa? Sebab utama ialah bahasa ini tidak digunakan di dalam bisnes dan orang Malaysia sendiri lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris. Di Internet, Bahasa Melayu tidak diperlukan kerana orang Malaysia memahami Bahasa Inggeris. Berapa ramai yang agaknya tahu apakah itu peranti, kebiorosotan, aci engkol dan jumpelang? Entahlah...

Pos berkaitan:
Blog dan Bahasa
Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia
Singapura Memperbanyakkan Penutur Bahasa Melayu
Bahasa Indonesia - Mengapa Bahasa Melayu?
10 Bahasa Paling Dipertuturkan Di Dunia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...