06 Julai 2006

Bangkok 2006 - Hari Kedua



28 April 2006

Sebenarnya, lawatan ke Bangkok kali ini adalah lebih kepada lawatan makan-makan. Kami tidak bercadang untuk mengikuti jadual rutin seorang pelancong ke Bangkok. Kami ke sini mengikut jadual sendiri dan kami lebih suka melihat dan menghayati kehidupan di Krung Tep atau Bangkok ini.

Bangun saja pada pagi pertama di Bangkok, kusudah tidak sabar-sabar lagi untuk bersarapan pagi. Di hotel ini, di samping sarapan ala American atau Continental, ada disediakan sarapan ala Thai sendiri. Sarapan orang Thai agak berat kerana disediakan nasi dan lauk yang terdiri daripada ayam atau daging, sayur dan sup. Ada juga pemanis mulut seperti kacang merah dan buah kabung yang dimaniskan, yang menjadi kegemaranku. (Rujuk pos terdahulu berkenaan sarapan pagi di Bangkok.)

Selepas makan, kami keluar ke kawasan berdekatan untuk berjalan-jalan. Kami ke Lorong Rambutri di awal perjalanan. Lorong ini lebih meriah pada waktu malam kerana banyak bar dibuka. Namun kerana masih pagi, lorong itu agak lengang. Cuma kelihatan beberapa gerai kecil sedang mula dibuka. Gerai-gerai ini banyak menjual barang-barang terpakai yang dijual oleh pelancong asing yang tidak mahu membawa barang-barang mereka balik ke negara asal. Paling ramai yang berbuat begini ialah pelancong yang berwisata ke pulau-pulau yang cantik di Selatan Thai. Bangkok adalah transit mereka sebelum pulang ke negara asal. Jadi banyak peralatan di laut seperti peralatan snorkeling dan menyelam dijual.

Selain itu, barang-barang lain yang popular adalah buku-buku terpakai. Mat Salleh memang terkenal dengan hobi mereka membaca. Setelah habis dibaca, mereka menjual buku-buku mereka di situ. Malah mereka juga membeli buku-buku terpakai lain yang masih belum dibaca. Ku ke sini juga ingin mendapatkan buku Lonely Planet yang dipesan kawanku.

Setelah di sana, kami ke Khao San Road pula. Jika malam tadi sudah agak lewat dan banyak kedai sudah mahu ditutup, pagi ini pula lebih banyak kedai sedang dibuka. Di sini, banyak juga gerai-gerai yang menjual pakaian, cenderahati, minuman, DVD and pelbagai aksesori. Ada juga yang mengambil tempahan membuat replika kad lesen memandu, kad ID universiti atau kad pas lawatan. Di samping itu, ada juga kedai ala reggae yang menjadikan Bob Marley sebagai idola. Busana, beg, aksesori ada dijual dan servis untuk menjadikan rambut pintal-pintal ala reggae juga disediakan.

Selepas itu, kami mahu mencari masjid untuk bersembahyang Jumaat nanti namun tidak ketemu. Kusudah lupa di mana lorong itu. Terlepaslah pengalaman kami untuk merasa suasana sembahyang Jumaat di sini walaupun kami tidak akan memahami khutbah nanti. Akhirnya kami pulang saja ke hotel.

Di hotel, kami terus makan tengah hari di Sara Restaurant. Sekarang inilah masanya untuk indulge habis-habis! Kami mahu makan masakan Thai. Kucuba Nasi Beriyani Kambing yang sedang dipromosikan. Walaupun itu adalah masakan India, tetapi kucuba rasainya dengan Tod Man Pla/Gung, kek ikan ala Thai. Kek ikan ini apabila dikunyah di dalam mulut, terasa aromanya hingga menusuk ke dalam hidung. Sungguh sedap! Kek ikan itu agak pedas dan diletakkan daun kari di dalamnya. Itu yang membangkitkan aromanya. Temanku pula memesan Tom Yam Gung yang terkenal itu. Tom yam ini lebih lemak dan keputihan kerana diletak santan atau susu di dalamnya. Kelihatan berpeluh beliau kerana pedas.

Photobucket - Video and Image HostingSetelah makan, kami berehat di bilik. Kami tertidur kepenatan.Apabila bangun dari tidur, kami mahu ke pejabat syarikatku cawangan Bangkok untuk bertemu teman-temanku di sana. Kami menaiki teksi ke sana. Setelah bertemu di sana, kami makan makanan Jepun di Tesco. Setelah itu, kami berjalan-jalan sebentar di kawasan Siam dan pulang ke Banglamphu selepas itu. Sebenarnya sebelum pulang, agak sukar kami untuk mendapatkan teksi. Kerana jarak yang agak jauh, tidak semua teksi yang mahu menghantar kami ke Banglamphu. Mungkin mereka tidak mahu melalui kesesakan lalulintas yang amat teruk di Bangkok kini.

Sampai di hotel, kami mandi dan bersiap untuk keluar menikmati supper. Tidak terasa kenyang tadi kerana makan makanan Jepun. Kami ke gerai yang sama seperti malam tadi iaitu gerai di tepi jalan berhampiran masjid (yang masih tidak kami temui). Kami mahu mencuba menu lain tetapi komunikasi kami terbatas kerana orang Thai, seperti sedia maklum, mereka kurang mahir berbahasa Inggeris.

Sedang kuberbincang dengan temanku, tiba-tiba perkerja gerai itu bertanya, "Mahu makan apa?". Kami tercengang kerana beliau boleh bercakap Melayu. Malu saja bercakap Inggeris 'bagai nak rak' tadi, rupa-rupanya beliau boleh bercakap Melayu. Pekerja gerai wanita itu berasal dari Pattani. Lain kali, kami kami patut bertanya dulu jikalau orang yang kami temui boleh bercakap Melayu. Orang di sini biasa menyebut, "Buleh kecek Jawi?". Jawi merujuk kepasa loghat Melayu di Selatan Thai.

Setelah senang bertutur bahasa sendiri, akhirnya kumemilih Nasi Goreng Thai lagi berserta Tom Yam Makanan Laut. Temanku turut memesan menu yang sama. Apabila menghirup Tom Yam, terasa aromanya. Cukup lengkap rasanya - masam dan pedas. Kami leka menikmati makanan itu sampaikan kami rupanya orang terakhir di situ. Kami pulang kerana gerai sudah mahu ditutup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...