23 Julai 2006

Bangkok 2006 - Hari Keempat



30 April 2006

Hari ini kami akhirnya ke Pasar Chaktuchak atau Jaktujak atau JJ Market. Kerana kusudah jelajahi pasar ini selama dua hari pada tahun lepas, keterujaanku untuk ke situ agak kurang kini. Tujuanku adalah untuk menemani kawanku ke sana dan membeli kalau-kalau ada barang menarik dan unik untuk dibawa pulang.

Selepas rutin permulaan hari kami iaitu bersarapan dengan nasi dan menikmati buah kabung sebagai pemanis mulut, kami menaiki teksi ke JJ Market. Dalam perjalanan ke sana, kucuba untuk mengenali lokasi Kolej Vajirabudh yang sering menjadi buah mulut di sekolah dulu kerana perlawanan ragbi tahunan dengan sekolahku, tetapi masih ku tak temui. Menurut temanku di sini, Jade, lokasinya di perjalanan kami dari hotel ke JJ Market.

Jika tahun lepas, suasana sungguh panas, tahun ini pula agak lebih nyaman walaupun boleh dikatakan masih panas. Kami berpusing-pusing di dalam pasar mencari barangan yang berkenan di hati. Temanku bertemu sebuah replika rumah dan ku pula membeli sehelai kemeja. Kami kepenatan kerana sudah berjalan jauh mengelilingi pasar yang sangat besar itu. Kami mahu makan tengah hari dan kusarankan temanku untuk makan sup tulang yang kumakan tahun lepas.

Cari dan mencari, ku masih tidak temui kedai sup tulang itu. Kami menjelajah setiap pelusuk pasar dan fokus kami lebih kepada kawasan yang dikhaskan untuk warung-warung makan. Kami mengelilingi pasar itu sehingga kali ketiga namun masih tidak berjumpa. Klu yang kucari ialah warung yang ada tanda bulan dan bintang – tanda halal dan juga jika ada wanita yang bertudung (Muslim) makan di situ. Walau bagaimanapun, tidak langsung kulihat tanda-tanda itu. Yang ada, banyak yang bergantungan. Hmm… tak perlu kusebutkan di sini…

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel saja. Kami mahu makan di Restoran Sara saja dan pulang dengan teksi. Di Restoran Sara, kumemesan Nasi Goreng Amerika atau Khao Pad American. Temanku pula memesan Rad Na yang dimakan dengan nasi putih. Sebenarnya, kusudah tidak sanggup lagi makan Tom Yam. ;-) Ini kerana kepedasannya sudah cukup menyeksa perutku. Apabila makan Tom Yam yang pedas dan masam itu setiap hari, perutku seolah-olah sudah tidak tertahankan lagi. Tiada waktu langsung untuk berehat dari makanan yang ekstrim rasanya.

Photobucket - Video and Image HostingSeperti biasa, kupesan Lassi sebagai minuman. Untuk melepaskan penat di JJ Market tadi, kami terus berehat di Restoran Sara. Kumemesan Banana Split dan temanku pula memesan makanan kegemarannya iaitu Tod Mun Pla ataupun Kek Ikan. Kami pulang ke bilik untuk berehat selepas itu. Pada petang itu, kami tidak ke mana-mana.

Kami hanya keluar dari bilik untuk makan malam. Kami ke Restoran Sara lagi. Ada lagi menu belum dicuba? Masih ada! Kami memesan Massaman Gai iaitu Kari Ayam ala Thai untuk dikongsi bersama kerana kami hanya mahu makan ringan saja. Menariknya di sini, perkataan massaman merujuk kepada musselman yang bermaksud berasal dari Islam. Temanku pula sudah “ketagih” dengan Tod Mun Planya.

Selepas itu, temanku mengajak melihat kehidupan malam Bangkok dengan bazar malamnya. Kami menaiki teksi untuk ke sana. Cakap dengan bellman nak pergi ke Silom, cover punya pasal… Kalau Yusof tahu, tentu malu… Kami berjalan di luar saja. Kami tidak didesak promoter kelab malam untuk masuk kerana wajah kami yang lebih kurang iras orang Thai. Tiada apa menarik di sini kerana malam masih muda.

Kami berjalan ke kedai-kedai berhampiran. Kuingin meninjau kalau-kalau ada seluar yang sesuai untukku. Sedang kami berjalan untuk ke sebuah stesen Sky Train di situ, kelihatan seseorang membawa anak gajah bersiar-siar di situ. Rupanya anak gajah itu digunakan untuk pertunjukan. Pengunjung boleh membeli makanan dan memberi makan anak gajah itu. Kubeli sebungkus timun untuk anak gajah itu. Anak gajah itu sungguh jinak dan mengambil makanan dari tanganku dengan belalainya lalu menyuapkan ke mulutnya.

Selepas itu, kami naik Sky Train yang sama pembuatnya dengan MRT di Singapura. Cuma koc di sini ada dua atau tiga sahaja manakala di Singapura, ada lapan koc. Pengguna Sky Train di sini tidak seramai di Singapura walaupun penduduknya lebih ramai. Kami berhenti di Stesen Siam dan ingin ke Siam Paragon, sebuah gedung membeli-belah moden yang baru dibuka. Namun, tempat ini sudah ditutup.

Kami pulang saja dan ada satu masalah yang menghantui kami iaitu sukar mendapat teksi untuk pulang ke Banglamphu. Apa idea agaknya untuk mendapat teksi dengan mudah? Teksi-teksi di sini tidak mahu membawa penumpang ke Banglamphu kerana takutkan tiada penumpang yang ingin pulang semula ke pusat kota Bangkok. Lagipula, ini sudah larut malam. Kumendapat idea untuk memberitahu yang kami mahu ke Khao San Road dan idea itu berkesan kerana pemandu teksi terus bersetuju membawa kami ke sana. Pelik juga kerana Khao San Road dengan hotel kami hanyalah sejauh dua blok sahaja.

Walaupun pemandu teksi menghantar kami ke Khao San Road sahaja, kami tidak kisah kerana kami memang mahu ke sana. Kami mahu ke Watson untuk membeli sedikit barang-barang. Harga barangan di Bangkok sebenarnya lebih murah kalau dibandingkan dengan di Malaysia. Kuambil peluang ini untuk mengisi semula beg toiletriesku yang sering kubawa semasa mengembara. Sesudah itu, kami pulang ke hotel.

Pos berkaitan:
Pasar JJ dalam Lawatan ke Siam Hari Keempat 2005

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...