12 Julai 2006

Bangkok 2006 - Hari Ketiga



29 April 2006

Hari ini hari Sabtu. Asalnya mahu ke pasar hujung minggu, Jaktujak Market atau lebih dikenali sebagai JJ Market namun kami berputar-putar di sekitar Banglamphu ini sahaja. Setelah bersarapan pagi, kami berjalan kaki ke Lorong Rambutri lagi. Kami mahu mencari lagi beberapa buah buku terpakai. Semalam, buku Lonely Planet Indonesia yang temanku pesan tidak kutemui. Kucuba mencari lagi hari ini.

Lorong ini dikhaskan buat pejalan kaki. Hamparan tar sudah diganti dengan mozek berwarna kemerahan. Di sepanjang lorong, terdapat beberapa kedai seperti kedai jurujahit dan restoran serta bar. Di depan kedai-kedai itu, gerai-gerai kecil didirikan dengan meja-meja kecil untuk mempamerkan barangan jualan. Para peniaga pula duduk di kerusi di belakang meja, menghadap lorong, barangkali menunggu pelanggan pertama berkunjung di awal-awal pagi begini.

Photobucket - Video and Image HostingBeberapa gerai yang kami tinjau semalam rupanya sudah tiada lagi. Mungkin sudah bertukar tempat ataupun tidak dibuka hari ini. Tempat gerai-gerai itu diambil oleh orang lain yang menjual barang-barang lain. Kami berjalan menyusur jauh ke dalam lorong itu. Kami bertemu sebuah gerai yang agak panjang mejanya. Banyak barang terpakai dijual di situ dan sudah semestinya banyak juga buku terpakai dipamer di situ.

Kumengambil kesempatan di awal pagi begini untuk mendapatkan harga termurah. Dengan alasan sebagai pelanggan pertama (dan sebenarnya memang begitu), kuperolehi harga agak murah untuk Lonely Planet Thailand versi terbaru iaitu Bht500. Agak fasih penjual di situ berbahasa Inggeris dan beliau juga seorang peramah. Kami rancak berbual sambil kutawar-menawar.

Selepas itu, kami berjalan kaki lagi. Tujuan kami ialah ke Sanam Luang, sebuah padang luas di hadapan Grand Palace, istana rasmi Raja Thai. Sanam Luang, kalau ditafsirkan bermaksud Padang Raya. Di sinilah para pemprotes Perdana Menteri Thailand, Taksin Shinawatra (yang juga kubenci itu) berkampung sehinggalah pengundurannya dari jawatan Perdana Menteri. Kata Amran dulu, di sini banyak bohsia. Tapi tak nampak pun… (rujuk lawatan terdahulu berkenaan Sanam Luang).

Sungguh terik panas hari ini. Kelihatan tidak ramai orang yang berkunjung di sini. Tidak seperti tahun lepas yang mana ramai orang kelihatan. Adakah kerana demonstrasi jalanan menentang pemerintahan Taksin tempoh hari? Entahlah. Kulihat seorang pelancong yang agaknya dari Taiwan, berdasarkan perawakan dan warna kulitnya, melihat gerak-geri kami. Mungkin kali pertama ke sini agaknya kerana kelihatannya teragak-agak untuk menentukan arah tujuan. Mahu ditegur tetapi beliau agak jauh dari kami.

Kami berjalan-jalan lagi. Kucuba jejaki lelaki tadi dan sekarang kelihatan dia bersama seorang perempuan yang menjual biji jagung buat makanan burung-burung merpati yang hidup tidak bersangkar di situ. Perempuan itulah sebenarnya memaksaku membeli biji jagungnya tahun lepas. Sudah kukata tidak mahu tapi dipaksanya juga. Kami tidak mempedulikan mereka. Kami berjalan lagi. Di Sanam Luang juga tidak ada acara hari ini. Semuanya lengang.

Photobucket - Video and Image HostingKami akhirnya sampai ke pintu gerbang Grand Palace. Ironinya, agak ramai orang di sini. Mungkin kerana kebanyakannya mengikuti pakej. Kami memang tidak bercadang untuk masuk kerana bayaran yang agak mahal. Sekadar duduk di luar sahaja. Sedang kuleka mengambil gambar, telefonku berbunyi. Seorang pelanggan menelefonku bertanyakan sekiranya terdapat gangguan pada bekalan barangan syarikat kubekerja kerana satu kebakaran besar sebuah depot di Pasir Gudang sudah berlaku. Kucuba menelefon rakan-rakan lain untuk mendapatkan gambaran tetapi semuanya tidak dapat dihubungi mungkin kerana hujung minggu.

OK, tinggalkan dulu hal kerja. Cuti, kami sedang bercuti! Kami berjalan lagi ke belakang istana yang menghadap Menam (Sungai) Chao Phraya yang sangat sinonim dengan matapelajaran Geografi di sekolah dahulu. Chao Phraya adalah nadi utama Bangkok pada zaman dahulu bahkan hingga ke hari ini. Waima banyak jalanraya sudah dibina, masih banyak orang menggunakan mod pengangkutan air. Kumahu bawa temanku melihat suasana di tebing sungai itu serta kehidupannya.

Kami ke sebuah pasar kecil di situ. Kumahu isi badanku dengan air mineral kerana badanku sudah kehabisan air di hari yang amat panas ini. Kami menyusuri lorong-lorong agak sesak di pasar itu dan kami menemui sebuah stesen bot yang menawarkan perkhidmatan ulang-alik di antara beberapa tempat di sepanjang sungai itu. Perkhidmatan ini ala-ala LRT tetapi ini menggunakan laluan air. Tambang berdasarkan jarak stesen.

Kami berjalan lagi. Sudah penat kakiku ini. Kami ke depan Wat Pho pula. Wat Pho adalah tempat bersembahyang utama umat Buddha, agama rasmi Thailand. Kami duduk di kerusi sebuah gerai di situ buat menghilangkan kepenatan sambil minum. Kami sudahpun tidak berdaya lagi untuk berjalan kaki pulang. Mungkin sudah lebih lima kilometer kami berjalan di bawah terik mentari. Akhirnya kami menahan sebuah teksi dan pulang semula ke hotel.

Ini bab yang paling seronok. Kami makan lagi di Restoran Sara. Kali ini mahu cuba manu yang lain. Kumemilih Po Taek manakala temanku memesan Tom Kah Gai. Po Taek adalah sejenis Tom Yam yang agak cair, tidak seperti Tom Yam Gung yang lemak. Tom Kah Gai pula Tom Yam yang berwarna hijau dan lemak. Agak kurang rasanya namun kami mencuba sesuatu yang baru. Bersempena promosi makanan India, kupesan Lassi.

Selepas makan, seperti biasa, kami kepenatan dan pulang untuk tidur di bilik. Rancangan kami petang nanti untuk ke pasar antik yang sudah kulupa namanya, atas saranan temanku di pejabat semalam. Sesudah bangun, kami berjumpa Yusof bertanyakan nama sebenar tempat itu supaya kami senang difahami pemandu tuk-tuk yang kami naiki nanti.

Tuk-tuk adalah sebuah pengangkutan beroda tiga dan sangat efisyen untuk perjalanan jarak dekat di Bangkok. Tuk-tuk adalah seperti beca cuma berenjin yang diubahusai dari enjin motosikal bercc besar.

Kami sampai di pasar itu selepas beberapa minit sahaja walaupun jalanraya agak sesak. Pemandu itu mahir menyelinap di ruang-ruang kecil antara kenderaan-kenderaan lebih besar. Di pasar itu, memang banyak barangan lama dijual. Kami sebenarnya agak kebosanan di sini kerana barang-barang yang dijual sukar untuk diangkat dan lebih-lebih lagi untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti. Contoh yang ada seperti mesin jahit, senjata lama (sah akan dirampas Kastam nanti) dan barang-barang elektrik. Langsung kami pulang sahaja dengan menaiki tuk-tuk lagi.

Kami ke gerai makan berhampiran masjid namun gerai itu ditutup pada hari ini. Sungguh hampa kami. Sudahlah lapar, untuk balik ke hotel dan makan di Restoran Sara, pastinya restoran itu sudah ditutup. Kami ke 7-Eleven sahaja mencari apa-apa yang boleh dimakan. Kami berjalan sehingga ke Khao San Road. Namun di sana hujan sudah mulai turun. Kami berlindung di sebuah restoran sambil melihat perlawanan penentuan Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Man Utd. Gembiranya aku apabila Chelsea menang.

Selepas hujan reda, kami pulang ke hotel.

Pos terdahulu yang berkaitan:
Grand Palace dalam Lawatan ke Siam Hari Kelima dan Keenam
Kedai Makanan Mak Yah Pattani dalam Lawatan ke Siam Hari Keempat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...