05 Julai 2006

Bangkok 2006 - Hari Pertama



27 April 2006

Belumpun sempat kepenatanku hilang setelah pulang dari Jogja dan Bali, ku bersama seorang teman ke Bangkok pula. Kami sebenarnya mendapat tiket percuma AirAsia (tapi cukai masih harus dibayar) yang ditempah sejak hujung tahun lalu. Jadi, perancangan untuk ke Bangkok sudah lama dilakukan, cuma percutian ke Jogja dan Bali dirancang di saat –saat akhir.

Sebenarnya ku ke sana menemani seorang teman. Ku pernah ke Bangkok tepat setahun lepas dan pengalamanku sebelum ini menjadi rujukan untuk membawa temanku ke sana. Kami masih tinggal di New World Lodge Hotel, Banglamphu kerana mudah – hotel ini milik orang Islam dari Selatan Thai dan makanan di hotel adalah halal. Minuman keras juga dilarang di sini. Di samping itu, terdapat sebuah masjid berdekatan dan gerai-gerai di situ juga menjual makanan halal.

Jadual kami agak santai, sesuai dengan kehendakku. Pada paginya kumemandu kereta dari Johor Bahru dan mengambil temanku di Bangi dan seterusnya ke KL untuk memarkir keretaku di pejabatku. Dari situ, pada sebelah petang, kami naik LRT dari KLCC ke KL Sentral dan akhirnya ke Terminal LCC dengan menaiki bas. What a journey! Nasib baik ada lebuhraya dan kemudahan pengangkutan awam. Perjalanan sejauh 400km sungguh cepat dan mudah kini.

Temanku sebenarnya agak risau kerana beliau masih dalam “masa kecederaan”. Beliau masih lagi dalam waktu bekerja dan hanya mengambil cuti satu hari sahaja iaitu keesokannya. Namun semuanya selamat kerana tiada panggilan “kecemasan” dari pejabatnya. Kutenang tidur sepanjang perjalanan ke LCC kerana kami adalah orang pertama menaiki bas tadi dan memilih tempat duduk terbaik, tidak seperti semasa perjalanan ke Jogja tempoh hari yang mana kududuk paling belakang di dalam bas.

Sudah masak dengan penerbangan AirAsia yang selalu tidak menepati masa, kubertanya dulu dengan kaunter daftar masuk. Sah, ada kelewatan tapi sejam sahaja. OK, kami pergi makan dan solat dahulu. Kali ini, kudapati tandas dan surau LCC ada sedikit peningkatan dari segi kebersihan dan kemudahannya jika dibandingkan dengan perjalanan terdahulu.

Kami bertolak lebih kurang jam enam petang. Hujan renyai-renyai tetapi AirAsia menyediakan payung buat penumpang berjalan kaki ke pesawat. Semasa perjalanan, kutidur dan tersedar apabila pesawat sudah terbang di langit kota Bangkok. Kami mengambil teksi ke Banglamphu. Tujuan kami ialah ke Soi Sam Seng Song yang temanku tergelak apabila kusebutnya sambil terbelit lidah. Maksudnya ialah Lorong Sam Seng Dua, di mana terletaknya New World Lodge Hotel.

Sawadika! Kami disapa pelayan tamu wanita hotel itu setelah kumenyelak daun pintu kaca tertulis Selamat Datang di pintu utama hotel itu. Kusebut namaku untuk daftar masuk tapi namaku tidak ditemui beliau. Eh, bukankah temanku yang bekerja di Bangkok sudah membuat tempahan untukku? Namun masih tidak ketemu. Akhirnya terpaksa daftar sebagai walk- in customer. Nasib baik masih ada bilik kosong. Apabila kutanya berapa harga semalam, kata beliau berkata harganya Bt1400. Setelah diskaun kerana ingin menginap selama empat malam, harganya Bt1200. Kurasa harganya mahal kerana seingatku, dulu harganya sekitar Bt1000 sahaja.

Sedang kuberunding dengan penyambut tamu itu, datang seorang abang bertanyakan masalahku. Rupanya beliau orang Melayu juga, berasal dari Pattani. Nama beliau Yusof. Nasib baik, lebih senang sikit kuberkomunikasi kerana bahasa yang sama. Akhirnya beliau bertemu namaku. Rupa-rupanya namaku disalah eja. Beliau malah memberikan lebih diskaun kerana kata beliau “Ore Melayu kito dapat diskaun. Hargo biaso kito ko ore Eropah, 1600 Baht. Ore Melayu kito hargonyo 1200 Baht. Ni duduk empat male, kito buwi diskaun lagi. Jadinyo, 1020 Baht sajo.”

Fuh, nasib baik dapat harga sekitar Bt1000. Kami dibawa ke bilik dan kali ini, susun atur bilik kami malah lebih baik jika dibandingkan dengan dulu. Ada minuman dan manisan percuma. Kami mandi, solat dan bersiap untuk makan malam. Kami pergi makan di luar saja, berhampiran masjid. Kumakan Nasi Goreng yang diletak semua ramuan – ayam, daging, sotong dan udang kerana harga di sini murah. Apabila disuap saja ke mulut, cukup lengkap rasanya. Sedap! Inilah yang asli Thai. Tidak seperti makanan Thai di Malaysia yang rasa aslinya sudah hilang. Temanku pula makan Tom Yam. Sedap juga katanya.

Setelah makan, kami singgah sebentar di Khao San Road yang terkenal itu. Tidak ramai orang kali ini seperti tahun lepas. Kami berputar-putar di situ dan selepas itu pulang semula ke hotel. Sudah kepenatan.

Pos terdahulu yang berkaitan:
Lawatan Ke Siam - Hari Pertama - Kawasan Banglamphu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...