24 Julai 2006

Bangkok 2006 - Hari Terakhir



1 Mei 2006

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Bangkok. Perancangan kami hari ialah mahu ke Lorong Rambutri dan Khao San Road untuk membeli apa-apa barang yang dikehendaki sebelum pulang nanti. Kami juga mahu ke Siam untuk bersiar-siar di sana.

Photobucket - Video and Image HostingSelepas bersarapan pagi, kami berjalan kaki ke Lorong Rambutri. Semasa berjalan, kubertemu dengan satu papan tanda yang telah dicari-cari sejak hari pertama lagi iaitu Masjid Chakrabongse. Laa… di sini rupanya. Kami tidak pernah melalui kawasan ini selama ini walaupun lokasinya tidak berapa jauh dari Lorong Rambutri.

Di Lorong Rambutri, kuingin membeli beberapa buku terpakai lagi. Kali ini, kami mencari peniaga barang terpakai peramah yang kami beli buku Lonely Planet Thailand dua hari lepas. Kali ini kami mahu menjadi pelanggan pertama beliau lagi. Kali ini kumenawar buku Lonely Planet Cambodia yang dipesan temanku. Agak sukar beliau memberikan harga yang diminta namun akhirnya bersetuju setelah menelefon bos beliau. Rupanya bos beliau ada membuat bisnes di Malaysia.

Photobucket - Video and Image HostingKami berjalan lagi ke gerai lain. Kali ini kumembeli satu lagi iaitu Lonely Planet China. Perancanganku untuk ke China pula tetapi belajar Mandarin tak pernah lepas. Susah wo… Selepas itu, kami ke Khao San Road pula. Kucari beberapa buku terpakai lagi. Harapnya begku tidak berat nanti.

Setelah menyusuri Khao San Road, kami menaiki teksi untuk ke Siam.

Destinasi kami ialah ke Siam Paragon yang kami tidak sempat pergi malam tadi. Tempat ini merupakan pusat membeli-belah terbaru di kawasan Siam yang terkenal sebagai pusat komersial Bangkok. Kami ke kedai buku di situ dan ke Paragon Departmental Store untuk meninjau barang-barang yang dijual di situ. Siam Paragon ini boleh dikatakan ala-ala Suria KLCC.

Photobucket - Video and Image HostingSelepas puas menjenguk barang-barang di situ dan juga puas mencari temanku yang entah ke mana menghilang yang akhirnya kutemui di kedai buku tadi, kami keluar dari Siam Paragon dan berehat sebentar di sebuah dataran kecil di depan Siam Paragon yang berhadapan dengan Siam Center dan di sisinya terletaknya stesen Skytrain Siam. Di sini terdapat air pancut dan kelihatan ramai kanak-kanak bermain di sini. Kami duduk saja di situ melihat orang ramai lalu-lalang dan koc-koc Skytrain bersilih-ganti sampai dan meninggalkan stesen Skytrain Siam.

Selepas itu kami ke Siam Center pula. Berpusing-pusing sebentar dan seterusnya ke Siam Discovery Center dan akhirnya ke Mah Boon Krong (MBK). Tak ada apa menarik di sini. Kompleks membeli-belah sama saja di mana-mana kota kecuali kita ada sesuatu yang ingin dibeli. Kami pulang dengan teksi setelah kepenatan berjalan-jalan di situ.

Photobucket - Video and Image HostingDi hotel, kami mahu mengambil peluang terakhir makan di Restoran Sara. Kami berkongsi Tom Yam Goong di samping Nasi Goreng yang dipesan. Kupilih Khao Pad Pla-Kem atau Nasi Goreng Ikan Masin dan temanku pula memilih Khao Pad Sod Gai atau Nasi Goreng Ayam. Kami indulge habis-habis. Seperti biasa, kupilih Lassi sebagai minuman.

Selepas kekenyangan, kami berehat sebentar di bilik dan mahu mengemas barang-barang kami yang semakin banyak ini. Tepat jam 5 petang, kami ke Lapangan Terbang Dong Muang. Sebenarnya kami mahu makan dulu di Restoran Sara, tetapi teksi yang ditempah sudahpun sampai. Mahu tak mahu kami terpaksa pergi dahulu.

Akhirnya, kami sampai agak awal di lapangan terbang. Perut sudahpun lapar tetapi tidak ada makanan yang halal di sini. Semasa di hotel tadi, penyambut tetamu yang beragama Islam berkata beliau biasanya membawa bekal makanan jika mahu ke lapangan terbang. Dek kerana terlalu lapar, kubeli sebuku roti. Harapnya halalan toyyiban...

Di lapangan terbang ini, ada disediakan sebuah surau yang akan menjadi masjid pada hari Jumaat untuk bersembahyang Jumaat. Boleh dikatakan agak luas surau ini, mungkin seluas surau di KLIA, tak seperti kompleks membeli-belah milik bukan Islam di Malaysia yang biasanya berkedudukan tersorok, sama ada bawah tangga ataupun stor. Inilah Bangkok walaupun umat Islam adalah minoriti.

Di luar surau ada ditulis doa buat bakal haji yang ditulis dalam tulisan Jawi, di samping tulisan Thai. Jadi, surau ini adalah persinggahan terakhir bakal haji yang kebanyakannya berasal dari wilayah-wilayah selatan bermajoriti Islam. Masyarakat Melayu Thai masih lagi mengekalkan tulisan Jawi dalam penulisan mereka, tidak seperti di Malaysia yang telah dirumikan oleh penjajah (atau sebenarnya oleh seorang Melayu sendiri yang terlalu taksub dengan latarbelakang pendidikan Inggerisnya).

Selepas solat jamak, kami terus ke balai berlepas. Kali ini tepat pula jadual penerbangan Air Asia.iaitu jam 8.20 malam waktu setempat. Kami mendapat pesawat Airbus terbaru Air Asia. Dapat juga kumerasa buat kali pertama. Selama ini naik Boeing sahaja.

Kami selamat sampai di LCC tepat jam 11.30 malam. Kami naik bas ke KL Sentral dan menumpang teksi untuk mengambil keretaku di pejabat. Kali ini ku tidak mahu bergegas balik ke JB lagi sepertimana balik dari Indonesia dulu. Nanti mengantuk lagi di tengah lebuhraya. Selepas makan di Kampung Baru, kumenginap saja di rumah temanku di Bangi dan pulang ke JB keesokannya.

Kutinggalkan Bangkok dan entah ke mana pula selepas ini. Siem Reap? Medan? Bukit Tinggi? China? Entahlah. Mungkin juga naik pesawat tambang murah Singapura. Banyak juga destinasi menarik yang ditawarkan seperti ke Darwin, Australia dan Shenzen, China. Entahlah, tunggu bajet tahun depan…

Koleksi gambar di Bangkok

Pos terdahulu berkenaan lawatan ke Bangkok:
Bangkok 2006 - Hari Keempat
Bangkok 2006 - Hari Ketiga
Bangkok 2006 - Hari Kedua
Bangkok 2006 - Hari Pertama

2 ulasan:

  1. Thank you. Skin ni dari blogspot sendiri. Dah boring tgk skin lama..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...