25 Julai 2006

Kajian Asal-Usul Melayu

Akhbar Berita Minggu semalam menyiarkan satu kajian intensif tentang asal-usul orang Melayu sedang dilakukan oleh USM. Terdapat banyak teori tentang asal-usul orang Melayu. Yang paling popular ialah orang Melayu berasal dari wilayah Yunan di China. Ini berdasarkan kapak tua yang ditemui di sana adalah mirip dengan kapak di Kepulauan Melayu. Selain itu, adat resam dan bahasa juga mirip antara satu sama lain.

Teori lain pula mengatakan orang Melayu berasal dari Kepulauan Melayu sendiri dan telah berkembang sendiri di sini berdasarkan fakta bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun hebat di sini berkurun dahulu.

Ada juga yang mengatakan orang Melayu itu terhasil dari perkahwinan campur antara orang India dan orang Cina. Namun pendapat ini agak lemah kerana kekurangan fakta.

Salah satu cabaran besar dalam kajian ini ialah orang Melayu itu sendiri sudah tidak ‘asli’ lagi. Dengan sifat orang Melayu sendiri yang asalnya tinggal di tempat yang senang diakses dan sering berlaku perhubungan dengan dunia luar, maka tidak hairan perkahwinan campur berlaku. Dengan pengasimilasian pelbagai sub-etnik Melayu di Malaysia hari ini, sukar untuk mencari keaslian Melayu itu sendiri.

Untuk mengatasi masalah ini, Melayu Kelantan dijadikan asas kajian kerana sikap orang Kelantan sendiri yang jarang berkahwin dengan orang luar. Selain Melayu Kelantan, ada juga kumpulan Melayu lain di Semenanjung yang dikaji:

  • Melayu Minang di Negeri Sembilan

  • Melayu Yunan (dari China) di Terengganu

  • Melayu Aceh di Perak

  • Melayu Riau di Johor

  • Melayu Champa (dari Kemboja) di Perak, Kedah dan Kelantan

  • Melayu Mandailing di Perak

  • Melayu Jawa di Johor dan Selangor

  • Melayu Bugis di Johor dan Selangor

  • Melayu Rawa di Perak

  • Melayu Jambi di Johor, Selangor dan Perak

  • Melayu Batak di Perak dan Pulau Pinang

  • Melayu Banjar di Selangor dan Johor

  • Melayu Kurinchi di Selangor

Antara kaedah kajian ialah mengambil sampel darah setiap sub-etnik untuk ujian DNA, mengambil ukuran muka, gigi, mata dan rahang serta maklumat susur galur responden.

Ini adalah satu kajian yang menarik yang pastinya akan menemukan asal usul seseorang dan dari sub-etnik manakah seseorang itu datang. Ini juga bakal mengukuhkan fakta sejarah seperti semasa kegemilangan empayar Kesultanan Melayu zaman dahulu, terjadi kemasukan saudagar luar ke dalam masyarakat Melayu dan mereka berkahwin dengan rakyat tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...