02 Julai 2006

KL Ketiga Terburuk - Benar!

Hasil kajiselidik Reader’s Digest yang mengatakan wargakota Kuala Lumpur adalah yang ketiga paling teruk dalam kajiselidik tahap kesusilaan penduduk-penduduk di 35 bandaraya utama dunia mengejutkan banyak pihak. Tapi inilah hakikat. Kalau kita lihat penduduk kota hari ini telah hilang kesopanan dan budi bahasa mereka.

Kajiselidik ini sebenarnya merujuk kepada penduduk bandaraya sahaja, tidak menggambarkan seluruh penduduk sesuatu negara itu. Ini kerana kajiselidik itu hanya dilakukan di kota-kota besar. Sebenarnya, di Malaysia, yang diheboh-hebohkan adalah seolah-olah Reader’s Digest telah melabel seluruh rakyat Malaysia.

Jumaat lepas dalam rancangan AC Di Sini di Astro Ria, kulihat AC Mizal mengoyakkan Reader’s Digest sebagai tanda protes. Agak jengkel kulihat tingkah lakunya di dalam siaran langsung itu. Pemuzik latarnya memainkan muzik tanda menyokong tapi kulihat tidak semua penonton yang bersetuju.

Berbalik kepada isu KL ketiga terburuk di dunia, ini mungkin benar dari sudut cara pengujian dilakukan. Mungkin ada yang beranggapan dari sudut lain, wargakota akan lebih prihatin. Contoh, kalau ada musibah, bantuan akan datang mencurah-curah seperti tsunami lalu di Aceh ataupun yang terbaru gempa bumi di Jogjakarta. Namun, berdasarkan cara ujian, iaitu membuka daun pintu untuk orang lain, mengucapkan terima lasih selepas belian dibuat dan menjatuhkan kertas di laluan sibuk sambil mengharapkan seseorang membantu, inilah cara mudah untuk menilai budi bahasa seseorang.

Sepengalamanku, memang sering kulihat jurujual yang tidak “berperasaan” ketika berhadapan dengan pelanggan. Apabila bayaran dibuat, tiada senyuman langsung, apalagi untuk mengucapkan terima kasih. Ada yang bermasam buka. Cara membungkus barang-barang pun sangat kasar. Namun mereka kadang-kadang berubah sikap jika seseorang berperwatakan kaya-raya ataupun pelancong asing bukan Asia (seperti orang Eropah atau berketurunan Afrika), budi bahasa mereka tampak kembali.

Antara alasan diberi ialah gaya hidup dan desakan-desakannya. Di bandar, semuanya mahu cepat. Orang di kiri kanan sehinggakan tidak dikisahkan langsung. Masing-masing berkejar ke sana sini. Kota besar – jarak antara satu tempat ke tempat lain agak jauh dan dengan kesesakan lalulintas yang tidak dapat dielakkan, semua orang tidak mahu membuang masa dan harus tergesa-gesa.

Ada juga yang kurang budi bahasa mereka kerana faktor keselamatan. Pengalamanlah yang mengajar bahawa orang yang baik itulah sebenarnya adalah orang yang paling jahat. Selalu terjadi orang mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain. Jadi, demi keselamatan, lebih baik saja tidak menghiraukan orang lain.

Walau bagaimanapun, rakyat tidak perlu merasa risau. Orang-orang di luar bandar masih kaya dengan budi bahasa mereka. Biasanya, dalam satu kampung, semua orang saling mengenali. Aktiviti yang selalu mereka lakukan seperti gotong-royong sebenarnya memperkayakan lagi budi bahasa mereka. Cuma orang bandar yang perlu berubah.

Carta bandaraya paling bersopan menurut kajiselidik Reader’s Digest:

1 New York (80 peratus)
2 Zurich (77)
3 Toronto (70)
4= Berlin (68)
4= São Paulo (68)
4= Zagreb (68)
7= Auckland (67)
7= Warsaw (67)
9 Mexico City (65)
10 Stockholm (63)
11= Budapest (60)
11= Madrid (60)
11= Prague (60)
11= Vienna (60)
15= Buenos Aires (57)
15= Johannesburg (57)
15= Lisbon (57)
15= London (57)
15= Paris (57)
20 Amsterdam (52)
21= Helsinki (48)
21= Manila (48)
23= Milan (47)
23= Sydney (47)
25= Bangkok (45)
25= Hong Kong (45)
25= Ljubljana (45)
28= Jakarta (43)
28= Taipei (43)
30= Moscow (42)
30= Singapore (42)
32 Seoul (40)
33 Kuala Lumpur (37)
34 Bucharest (35)
35 Bombay (32)

Pautan/pos berkaitan:
Artikel penuh kajiselidik Reader’s Digest
10 Bangunan Tertinggi di Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...